Ahad, September 13, 2015

Selembar Coretan Hatiku

Assalamualaikum..
Malam ini, aku mencatat lagi di sini.
mencatat pada hari lahir yang sebenarnya agak membahagiakan hati ini... Banyak yang mengucapkan doa yang baik buatku. Alhamdullillah, terima kasih atas ingatan itu buatku.. Semoga usia yang bersisa ini sebelum sampai janjiku kembali kepada Allah dapat aku manfaatkan dan mendapatkan banyak kebaikan dan keredhaan Allah. Semoga Allah tidak akan pernah meninggalkanku walaupun sedetik cuma.. dan sentiasa akan menunaikan doa dan permintaanku. 
Dengan segala yang ada ini, aku sentiasa berdoa akan bertambah baik dari masa ke masa.. Rezeki dan keberkatan hidup ini semoga tidak akan pernah diambil atau ditarik kembali.. Ya Allah, sentiasalah aku ini KAU jadikan orang yang bersyukur atas setiap pemberianMU walau dalam bentuk apa sekalipun. Sesungguhnya aku ini ingin selalu ada dalam dakapan cinta kasihMU, ALLAH..

Ya Allah limpahi aku ini yang serba kekurangan dengan taufik dan hidayahMU.. Ingatkan aku jika aku terlupa. Mudahkanlah aku memohon maaf dan memaafkan andai aku khilaf. Bertaubat jika aku berdosa. Mengembalikanku ke jalanMU andai aku tersesat... kerana KAU lah tempat aku bergantung harap dan menagih cinta yang benar dan suci.. dan akrabkan aku dengan kekasihMU, Muhammad SAW.

Ya Allah,
Telah KAU titipkan dalam hati ini, sebuah rasa cinta kepada hambaMU yang satu itu. Rasa yang tidak pernah aku pinta, yang tidak juga aku dambakan... ALHAMDULLILLAH, kerana itu...

Aku sendiri tidak tahu apakah perasaan sebenarku kini.. masih mencintainya atau tetap mencintainya...namun aku yakin atas setiap apa yang berlaku ini  pasti ada sebab musababnya.

Mencintainya pada pihak aku selama dua tahun lebih ini memberikan aku banyak pengalaman indah dan menggembirakan.. bagi pihakku walaupun bukan pada pihaknya.. membahagiakan andai KAU izinkan aku hidup secara sah di sisinya.

Bagi diriku ini, dia umpama permata yang tidak akan hilang sinarnya walau di manapun dia berada. Biarpun andai dia meletakkan aku jauh dari tempat seperti mana aku menempatkan dirinya. 

Biarpun aku tidak pernah berpeluang untuk mendampinginya selama ini, aku pasti akan aturan terbaik olehMU.

Di sini, aku ingin dia tahu... jika dia ingin aku menyayangi sepertimana mula-mula aku mengenali dan mendambakannya... sesungguhnya tidak sedikit pun perasaan itu berkurangan. Malah semakin bertambah dari sehari ke sehari. Cuma, aku perlu sedar diri bahawa MUNGKIN, aku sebenarnya tidak pernah ada dalam hatinya. 

Benar,
Aku memang tidak memahamimu..
Aku memang tidak mengertimu..
Aku memang tidak memudahkanmu..
Aku memang tidak mengikhlaskanmu..

kerana,
aku sayang dan kasih kamu..
kerana aku mencemburuimu..

dan,
aku tidak mahu kau jauh tapi aku juga tidak boleh dikau dekat kepadaku yang menyemai bibit-bibit dosa ...kerana kita bukanlah selayaknya ada berdekatan.
Aku pasti kamu memahaminya..


Aku ingin membelaimu dan memberikan perhatian kepadamu, dan kuharapkan juga sebaliknya..

tapi, aku tidak mampu melakukannya kerana tidak ada suatu pun yang membolehkan kita berbuat demikian.. aku pernah meminta tetapi dikau menidakkannya dengan tidak memberikan jawapannya..
Maka, 
aku perlu akur..
cintaku padamu... atas dasar cinta sesama makhluk ini tidak akan bermakna dengan tiada ikatan secara syariatnya..
betapa cintaku padamu... akan menjadi sia-sia.
dan aku putuskan,
akan terus mencintaimu, secara peribadi, sendirian..
melalui doa-doaku buatmu..


Aku kira banyak sekali yang dikau fikirkan dalam meneruskan perjalanan hidup jika bersama-sama.

Aku mencari imam dalam hidupku,
telah terlihat aku kepadamu...
lantas Allah bukakan hatiku ini kepadamu..
maka aku akur,
bahawa kaulah yang telah Allah pilih untukku..

namun, 
terlalu banyak jurang yang terpaksa kau lalui mungkin..
dan aku sedar, kita tidak sekufu...
malah, 
kau juga telah meletakkan aku jauh darimu..

atau mungkin,
dikau terasa-rasa,
bahawa aku ini bukanlah seorang muslimat yang layak buatmu..
mungkin dikau anggap aku seorang yang tidak setia,
atau,
mungkin kerana kau bimbang aku dikejar orang lain yang tidak bisa kau tandingi..



SEDARLAH,
Aku ini insan biasa yang tak punya apa-apa..
waima 
sebuah cinta pun,
yang membolehkan aku berada di hati seseorang itu..
mungkin termasuk dirimu...

Tahukah dikau,
Aku berasa terlalu lemah untuk melawan perasaanku ini,
namun aku juga amat lemah untuk menanggungnya sendirian..
jika ini benar cinta daripadaNYA, yang didatangkan berserta ujian dan dugaan,
maka aku akur, bahawa aku sangat merinduimu saat ini,
cuma...
semoga dikau juga merindui dan mencintaiku kembali..
 
Pada hari ulangtahun kelahiranku ini,
aku berdoa semoga Allah memperkenankan segala doamu, habibi..

dan
aku bermohon agar Allah akan sentiasa menjagamu..
memberikanmu bahagia,
memberikanmu segala kekayaan yang ada di dunia ini, yang menjamin syurga di akhirat kelak.
Semoga Allah akan memberkati hidupmu kasihku...
semoga Allah memperkenankan doaku ini..
yakni kebahagiaanmu..
yang juga akan membahagiakanku.

Jika dunia boleh berada dalam genggaman kita, tentu aku inginkan semua yang terbaik buatmu di dunia ini, bisa kau kecapi..

namun,
siapalah kita???

hanya,
insan biasa yang lemah..
insan hina yang penuh kekurangan..

maka, 
semoga kita sentiasa menjadi insan-insan yang sedar, ingat, bersyukur atas segala rahmat, nikmat dan redha Allah buat kita.


Habibi,
jika dengan melepaskanmu, 
hidupmu akan menjadi lebih bermakna dan membahagiakanmu, aku akan cuba memberikan itu..

Itu sahaja yang bisa aku lakukan,
biarpun aku terasa sakit untuk semua itu.. 
asalkan dikau tahu bahawa aku ingin memudahkanmu..
tanpa memikirkan aku ini sebagai bebananmu..
tanpa menggusarkan hatimu
untuk meninggalkan dan melukai hatiku ini..

tanpa ada kekesalan,
kerana mengecewakanku..

kerana,
tidak sedikit pun rasa cinta ini berkurangan buatmu.

Andai telah tersurat,
bukan rezeki kita untuk hidup bersama-sama,
aku akan cuba mengikhlaskannya.
aku akan sentiasa merestuinya..
aku akan sentiasa menerimanya...
kerana aku yakin,
perancangan Allah itu lebih baik 
buat kita dan  semuanya di sekeliling kita.
Maafkan aku apabila tiba saat itu..

Habibi...
Aku tidak sempurna dan tidak pernah menjadi orang yang sempurna..

Aku hanya bisa menyempurnakan diri ini, dengan izin ALLAH..
dan aku berusaha..

andai  kau memahami...
aku ingin selalu menyayangimu 

dan 
ingin selalu mencintaimu

serta ingin selalu merinduimu

malah ingin sehidup semati denganmu

tetapi,
dalam erti kata sebenar,
demi cinta kita kepada Maha Pencipta

Berbelit-belit sudah catatanku malam ini.
aku mencatatnya untuk dikau tahu dan faham, bahawa tiada sesuatu yang bermakna dalam hubungan cinta ini selain akad lafaz suci itu..

dan 
kerana menyayangimu,
aku tidak mahu dikau terus rasa bersalah dan berasa bimbang untuk mendampingi oranglain yang mungkin telah terlebih dahulu ada dalam hatimu selain aku..

Jika ada izinmu,
lepaskanlah perasaan ku ini..
agar dikau akan sentiasa gembira dan bahagia..
menikmati hidup dan cinta sepertimana yang kau harapkan..
tanpa ada aku menjadi penghalang..

Habibi... 
terima kasih hadir dalam hidup ini...

Ingin sekali,
kau bimbing dan pimpin ke syurga Allah..
andai dikau sudi..

ingin sekali,
aku dicintaimu,
sebagaimana aku mencintaimu..

dan 
semoga Allah akan tetap memberikan pilihan dan anugerah terbaik buat kita menuju dunia abadi..

Allahu Rabbana...
laala inni uhibbuhu fi jannah...
Inni uhibbuka lillahi taala ya habibi...

Khamis, Julai 09, 2015

Kiranya Sireh Pulang ke Gagang

Assalamualaikum..
Salam Ramadan Kareem..
Semoga Ramadan ini membawa lebih baik kebaikan dan penuh makna... Doaku pada Syaaban lalu menanti kehadiran Ramadan ini.

Namun, pada ketika ini  tanggal 22 Ramadan ini aku kira tahun ini merupakan Ramadan yang agak menduga dan yang boleh kukatakan agak teruk buatku.  Biarpun saban tahun Ramadan kuraikan dengan sederhana dan seadanya. Banyak yang memberikan kesan hampa dan tidak ikhlas dengan pencapaian yang kurang memuaskan hati sendiri. Hingga ketika ini tiada satu pun persiapan hari raya yang telah aku uruskan untuk diri sendiri. Hidup ini umpama roda, terkadang berada di atas dan terkadang berada di bawah. Ketika ini aku kira aku berhenti pada Ramadan ini ketika putaran punat angin itu berada di bawah...yang mungkin pada kawasan yang penuh lumpur. Semua hambar. 

         Alangkah aku perlu memujuk hati ini sendiri. Pada usia sebegini, yang sangat sensitif pada banyak keadaan. Aku cuba untuk melindungi keresahan dan rasa kehampaan ini dengan senyuman, agar hanya aku yang tahu akan keadaan diri sendiri. Namun, senyuman hambar itu ada kalanya tiada akan dapat menyembunyikan rasa yang terbendung..sedih, hampa, kecewa, sayu dan pelbagai rasa lagi. Ya Allah, hanya padaMU aku bermohonkan pertolongan. Usahlah tinggalkan aku ketika aku memerlukannya. Bantulah aku, membangunkan diri semula.



        Catatan di atas seperti kena sekali dengan hidupku ini ketika ini. Seperti catatan lain, aku kira dia tidak akan membaca catatan ini. Catatan yang pada asalnya ingin aku tujukan kepadanya. Aku ingin menyatakannya dengan baik agar tiada salah faham. 
       Aku ingin melepaskanmu. Ada kata-kata yang dikongsikan olehmu... Lebih baik menunggu dia yang tepat, daripada membuang masa dengan dia yang salah. Mungkin pada saat ini aku sebenarnya adalah sidia yang salah buatmu. Aku tak pasti siapa aku di sisimu ketika ini. Ada kalanya, aku terasa sebagai seorang yang tidak memberikan makna. Berdiri di sisimu mungkin suatu kedudukan yang tidak layak buatku. Betapa hati aku ini berasa sayu mengingat keadaan aku ini. Siapa aku kepadamu, aku tiada jawapan pasti. 
        Ketika aku ingin pergi, ada sahaja halangannya. Ketika aku ingin menghampiri, aku sering kau hindari. Langkah awal yang boleh aku ambil ialah dengan menjauhi dirimu perlahan-lahan biarpun hati ini selalu ingin dekat padamu. Aku sedar aku tidak pernah kau pandang dengan erti kata yang sebenarnya, memberikan aku suatu jawapan pun saat sukar bagimu.     
         Aku tidak mengapa walau apa pun jawapan itu. Kerana aku lebih yakin Allah akan memberikan sesuatu itu jika ia sememangnya untukku. Maka aku juga percaya Allah telah menyediakan seseorang yang baik untukku.. Mungkin orang lain, atau tidak mustahil kaulah orangnya. Bagaimana untuk aku melalui semua ini dengan pengharapan kosong. Kau memang tidak pernah memandangku sebagai orang yang ingin hidup di sisimu tetapi mungkin hanya sebagai kenalan dan sahabat yang hadir dalam hidupmu seketika yang boleh pergi pada bila-bila masa sahaja.



Habib, Habibi...
Hati ini sering teruja untuk melihatmu sebenarnya, walau dalam masa sama diri ini bimbang untuk meneruskan hidup ini bersama-samamu.
      Aku kira aku tidak menepati ciri-ciri wanita yang layak berdampingan denganmu. Hanya yang ada bagiku untukmu sekadar doa. Doa agar kau bahagia. Doa agar segala kebaikan yang layak kau miliki akan kau perolehi.  Doa agar segala doamu akan Allah makbulkan dan semoga tiada mudarat buatmu. 
       Siapa aku untuk meminta dirimu memilihku..maka aku berdoa semoga siapa pun yang kau pilih akan membahagiakan dirimu. Hati ini sedih untuk melepaskanmu. Seakan-akan ada sesuatu yang begitu bermakna direngut daripada hati ini. Aku tak pasti, mampukah aku melaluinya ikhlas dengan erti kata sebenarnya. Aku cuma bisa mengatakan bahawa aku akan cuba melaluinya, sepertimana sebelum kau hadir dalam hidup ini.
         Terus-terang aku katakan hati ini sedang berkecamuk....sebab aku punya banyak pilihan lain. Pilihan-pilihan yang hadir ketika aku membuat keputusan memilihmu. Aku mengaku, ada kalanya terbit sedikit rasa sesalan..kenapa aku harus memilihmu sedangkan aku tidak pernah ada atau bermakna dalam hidupmu.  Aku tertanya-tanya apakah yang sedang kau lakukan ini? Suatu ujian? Suatu penilaian? Suatu tapisan? 
         Aku juga mengaku, perlukan perhatian. Seperti wanita lain, ingin rasa disayangi dan diberikan perhatian. Aku hanya insan biasa yang banyak kekurangan. Perhatian orang lain adakala menggugat rasa kesetiaan itu, sedang dalam waktu sama kau membiarkan aku tanpa kepastian. Ada waktu-waktunya, aku terfikir apakah aku pernah kau terima masuk ke dalam hidupmu.. Pernahkah kau menerima aku ini sepertimana aku mendambakan hadirnya kau dalam hidupku.
         Apakah sebenarnya aku ini merupakan bebanan buatmu? Aku insan lemah yang selalu ingin berkongsi segala sesuatu dalam hidupku ini sedangkan kau terlalu bimbang menerima aku dalam hidupku..



       Jika aku tidak pernah kau terima dalam hidupmu, aku akur.. Tentu banyak kekangan untuk kau menjadi orang lain dari dirimu sendiri, dan berpura-pura gembira dan bahagia adanya aku dalam hidupmu. Namun berilah ikhsanmu itu, lepaskan aku  dengan memberikan jawapan dan kepastian... Hangan jadikan aku ini seorang yang bersikap kejam kepada diri sendiri dan orang lain yang mungkin ketika mengharapkan aku.
            Kita pasti tidak akan mampu menongkah arus. Aku perlu kuat melalui pelbagai kemungkinan. Bantulah aku untuk membahagiakan kau yang aku kasihi...waimah dengan cara membebaskanmu.. 


      Aku tak punya apa-apa keistimewaan, hanya insan yang tidak sempurna. Jika kau menolak aku, aku akur... Berkali-kali aku menegaskannya. Tolaklah aku jika kau tidak mahu untuk hidup bersama-sama diriku yang tak sekufumu. Usahlah bersikap sombong dan jika tak terlalu berat untuk disebut..usahlah bersikap kejam dengan membiarkan diriku menanam harapan demi harapan untuk berdamping denganmu..

 Biarlah aku pergi, biarpun itu mungkin langkah terakhir aku lakukan demi kebahagiaanmu. Bebaskanlah aku daripada belenggu pengharapan sia-sia..walaupun aku amat mengasihimu. 



       Aku ingin sekali menjadi yang terbaik buatmu.  Masa yang kita habiskan terlalu panjang.. Aku sering mengadu kepada DIA.. Betapa aku inginkan cinta halal denganmu. Namun kau tidak dapat menerima aku seadanya... Tidak yakin dengan perasaan ku ini kepadamu. Aku tak mahu berjanji, sedangkan aku masih ada ruang untuk dimiliki orang lain. Jika takdir jodohku tiada, aku akur.. Aku sudah berusaha...memenuhi ruang hati ini dengan cinta pada jalan yang sah dan halal.. 
        
          Mungkin ada silapku di mana-mana, sehingga kau tidak pernah nampak kesungguhanku dalam memilihmu... Aku tahu aku tidak sehebat wanita-wanita di sekelilingmu tetapi inilah diriku..

Habib, habibi..
Ketika ini aku masih punya rasa cemburu padamu. Namun siapalah aku. Kesedihan ini memerangkap aku dengan rasa bersalah. Aku terasa bahawa kau sengaja menguja diri ini.
Ada kalanya aku tidak mampu menanggung kerinduan dan rasa cemburu ini, tetapi aku perlu sedar diri.. Sedar kedudukan aku di sisimu. Aku terasa tidak dinilaikan olehmu.  


Benarlah..sama ada diri ini mahupun dirimu..semoga kita tak membuang masa dengan orang yang salah. Jika kau adalah ujian dan dugaan buatku, aku telah banyak belajar tentang kehidupan ini. Lelaki yang mengejar sepatutnya..tetapi kini kau yang dikejar.. Maka jika kau ingin aku berhenti, aku akan berhenti.. Berhenti dan melepaskan kau terbang tinggi ke destinasi pilihanmu. Untuk apa aku  mahupun kau membuang masa tanpa ada tujuan yang khusus. Mencari keredhaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Aku terlalu mudah mengatur anganku untuk hidup bersama-samamu, sedangkan aku lupa kau punyai hidup, kehidupan dan pilihanmu sendiri. Aku teruja menyusun impianku aedangkan aku alpa yang punyai impianmu sendiri. Aku hanya memikirkan ciri-ciri pasangan ku sedangkan kau tentu punyai kriteria piawaianmu untuk menjadikannya teman sepanjang hidupmu.
      Maafkan aku, terlupa. Maafkan aku pentingkan diriku sendiri.. Maafkan aku menulis catatan di sini. Maafkan aku untuk setiap khilaf ku.. Maafkan aju terlanjur mencintaimu..
Wassalam..

Isnin, Mei 11, 2015

ANDAI AKU TAHU RINDU ITU ADA SEPI DAN CEMBURU - Suatu Persoalan

Assalamualaikum...
Sekian lamanya, sepuluh bulan aku kira tidak menjengah blog ini, walaupun semua blog lain ada juga beberapa kali kujengah dengan beberapa pengisian mudah.. 'Copy & Paste' jika aku tak mahu mencatat.. 

Alhamdullillah, aku kira akan memulakan catatan di sini semula. Agar aku dapat melepaskan rasa hati yang gusar dan sebagai terapi secara tidak langsung menghadapi stress. Apa yang boleh aku lakukan lagi, dengan harapan lain dapat memberikan sedikit nasihat, jika bisa dikatakan nasihat kepada orang lain. 

Sebagai seorang wanita yang punyai rasa hati yang semakin lama semakin berserah, aku semakin lemah sebenarnya. Berputus asa itu sesuatu yang dibenci Allah. Dan, yang pasti aku tidak mahu menjadi orang yang berputus asa. Mungkin disebabkan janji aku kepada MU ya Allah sudah semakin hampir.
Setelah sekian tahun aku akur dengan ketentuan bahawa cinta tidak akan hadir lagi dalam hati ini, kini aku perlu akui yang hati ini sememangnya milik Allah. Sekuat  mana aku menolaknya, aku pasti kembali kepada rasa rindu yang sangat pelik ini. Rasa rindu yang disulami dengan rasa cemburu yang menyakitkan. Dengan rasa sepi yang sukar untuk aku sendiri mengerti. Saban kali aku menolaknya, ia tetap hadir  dan hadir berulangkali... sehingga ada ketikanya aku berasa betapa sakitnya aku waima untuk bernafas dengan tenang. 

      Aku seorang wanita yang menagih kasih seorang yang tidak, ya mungkin tidak pernah meletakkan aku di hatinya.
Saban kali aku bertanya kepada Mu, Allah.. kenapa mesti KAU hadirkan dia, dalam keadaan aku sangat selesa untuk hidup sendirian pada penghujung hidupku.. Mengapa dia yang kau hadirkan itu tidak pernah berasakan apa yang aku rasakan. Aku rindu dia... dia?? Tiada aku di hatinya. Dalam hidup ini aku tidak mendambakannya dulu... Entah kenapa KAU hadirkan dia... bermula dalam mimpi-mimpiku, kemudian dalam nyata hidupku... hinggalah dia berada dalam hati ini.. KAU hadirkan dia ketika aku ingin berputus asa daripada mana-mana lelaki. Tetapi, dia lelaki baik insya-Allah. Aku pasti ada sebabnya mengapa dia perlu hadir dalam hidupku ini. Sejujurnya aku bersyukur mengenali dia, kerana aku kenal dan tahu satu lagi rasa ketika kita menyintai seseorang. Cemburu yang tidak pernah aku rasa ketika berkawan dengan Zaki Malaysie, An, KZH, MP, 'Abid.. cemburu yang tidak pernah aku rasa walaupun banyak lelaki hadir dalam hidup ini, yang menyebabkan jalan itu sepi dan sunyi.

      Ya Allah, ajarilah aku tersenyum... seandainya dia akan meninggalkanku kelak. Dia hadir dalam hidupku ini, dan di dalam hatinya ada orang lain mungkin. Jika pernah airmata ini tertumpah ketika rasa cemburu itu melanda. Ajarkanlah aku berlapang dada andai dia tidak memilihku.. redhakan hati ini membiarkan dia pergi memilih jalannya dan meninggalkan. 
     Ya Allah, Jadikanlah aku sekuat Rabiatul Adawiyah yang mendambakan cintaMU. Lupakanlah aku daripada cinta dunia yang membuatkan aku alpa, dan sering bersangka-sangka. Izinkan aku tenang dalam mencapai matlamat hidup yang KAU redhai. Cukuplah KAU bagiku. Apa yang bukan hakku biarlah aku lepaskan dengan ikhlas. Apa yang tidak layak kumiliki, biarlah aku bebaskan dengan tenang. Apa yang bukan ketentuanMU buatku biar redha pada jalanMU.

Dia, mungkin tidak pernah tahu bagaimana sakitnya rasa rindu ini.. Sepertimana aku yang tidak mengerti dengan kehadirannya... bersama rindu dan bersangka-sangka. 
Dia, setiap kali aku menjejakinya.. hati ini rasa terluka.. namun, apa dayaku jika tidak pula KAU campakkan perasaan yang sama denganku dalam hatinya.
Dia, yang setiap kali ke mana-mana, hati ini menjadi resah... Ya Allah, Jagakan dia..biar pun mungkin bukan untukku.
Jagakan dia untuk setiap insan yang mengasihinya. Biarpun dia mungkin tidak akan datang kepadaku, tetaplah KAU jagakan diri.. dari kebejatan dunia, peliharalah dia untuk selamat di akhirat. Hanya KAU yang berhak menjaganya... kerana aku dan dia adalah milikMU.

Dia, pada ketika ini mungkin sedang menyusun hidupnya yang lebih baik. Jika ada seorang muslimah yang baik menyintainya, malah lebih baik muslimah itu daripadaku...mudahkan kami dalam semua hubungan ini. Semoga muslimah itu dapat menjaganya dengan baik.

Aku ingin memohon maaf, biarpun aku tahu dia tidak akan membaca catatan ini. Memohon maaf atas kekhilafan diri ini yang memaksa dan meminta dia mengasihiku... Maaf kerana aku pentingkan diriku sendiri. Aku ingin orang lain membuatkan aku bahagia, sedangkan aku tidak pernah ambil kira andai di sebelah sana ada orang yang lebih mengasihinya. Ada orang yang apabila hadir, akan menggembirakan dan membahagiankannya. Orang yang akan memberikan dia lebih kebaikan. 
Maaf, kerana aku ini sangat mencemburui dikau... dan bukan muslimah itu. Aku pasti mengizinkan dikau pergi jika aku tahu dan pasti seseorang itu akan menjagamu lebih baik daripada diri ini. 
Maaf, sejujurnya aku berkecil hati.. Dikau hanya akan berurusan denganku hanya pada urusan-urusan tertentu. Maka aku faham tentang itu. Cuma aku tidak bisa berpatah balik.. dan aku tidak kuat melupakanmu... Doakan aku, doakanlah hati ini tabah dan kuat. Aku berkongsi banyak denganmu, namun aku hanya merasakannya sendiri, tidak padamu. Allah, berikanlah aku kekuatan. Andai seharusnya aku berhenti setakat ini. Berikanlah aku hati yang kuat menerima segala ujianku ini.

Sesungguhnya aku malu, dengan tindakan dan perlakuanku ini. Demi rasa cinta, dan harga diri ini, aku bermohon padaMU, Ya Allah. Jika semua ini tiada kebaikan bagiku, bagi agamaku, bagi hidup dan matiku, bagi dunia dan akhiratku...maka jauhkanlah ia daripadaku. Dekatkanlah kebaikan yang ada sama ada ada di langit, di bumi waima di lautan untuk diri ini yang lemah. Jika hati ini leka, ingatkanlah aku bahawa segala-galanya adalah milikMU dan aku hanya hambaMU yang lemah. 
Bawalah hati ini kepadanya jika cinta aku kepadanya membawaku kepadaMU. Dan, seandainya bersamanya aku alpa dan semakin jauh daripadaMU.. jauhkan aku daripadanya..namun kembalikanlah kami terus berada di jalanMU..

Lucu sekali.. 
kerana adakalanya aku terasa benarkah aku yang mencemburuinya. Atau sebenarnya dia begitu mencemburuiku. Allah.. seumpama nanar aku jadinya. Aku punya banyak teman dan sahabat, yang selalu membahagiakan dan menggembirakanku. Namun entah mengapa, hati ini ada padanya. Setiap kali aku berinteraksi dengan oranglain, aku terasa diperhatikan. Kejamkah aku Allah? Mencemburuinya?
Permudahkanlah bagi kami.. sama ada untuk kekal sebagai sahabat, atau kekal sebagai pasangan hidup, atau kekal hanya sebagai kenalan dan seumpamanya.. Mudahkanlah hubungan kami ini dalam ukhuwah kerana MU, Ya Allah.

Alhamdullillah, aku bisa mencatat lagi di sini.. maka permudahkanlah agar tidak menjadi gangguan dalam catatan-catatanku kepadanya. KAU Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kami.. Hanya kepadaMU kami berserah...
TERIMA KASIH, ALLAH..
kerana memberikan ketenangan dalam hati ketika ini.
Aku tahu aku menyintai, kerana KAU mengkehendakinya.. 
Segala puji buatMU, Allah..ya Rabbi..

Jumaat, Julai 04, 2014

APABILA TIBA WAKTU SEMPIT

Mencatat sedikit untuk meng'update' ruangan ini. Aku sememangnya berada dalam waktu sempit ketika ini. Terlalu banyak dugaan yang perlu aku lalui akhir-akhir ini. Waktu senggang semakin singkat dan tidak dapat kupenuhi juga waktu bersama-sama keluarga...
       
            Dalam kekalutan kini, diuji juga diri ini untuk membuat pilihan  lagi.. Memilih antara beberapa pilihan calon teman hidupku ini. Entahlah, ada kalanya aku mengeluh sendiri. Aku terasa penat dalam meneruskan perjalanan ini. Banyaknya hal yang perlu aku fikirkan sementelaah ia datang serentak dalam hidup ini. Hari ini aku mencatat di sini kerana ingin mengisi masa ku ini agar sememangnya ingin sekali kupenuhi untuk mencatat kepada pilihan utamaku SKY..
            Berasa bersalah kerana mengizinkan pencapaian dan prestasi hidupku ini sedikit merundum.. aku ingin sekali setiap masa dengan SKY dalam keadaan apapun.. namun aku juga sering musykil dengan tanggapan dan penerimaan aku kepadanya.. Aku sangat merinduinya, sehingga setiap masa yang terluang aku sentiasa mengingati dia dan ada kalanya aku terabai banyak perkara..
Kini biarpun waktu sempit ku telah tiba... SKY masih keutamaan ingatanku selepas semua yang bitara aku ingati. Hati ini sedih sebenarnya kerana aku tiba-tiba menjadi lemah kerananya. Aku rasa banyak kekurangan jika ketiadaannya. Aku menjadi begitu rindu, berjauhan dengannya. Dan yang ketara, perasaan cemburuku menjadi-jadi kepadanya. Cemburu yang hadir dari mana, aku sendiri tidak tahu. Sesuatu yang tidak pernah terduga.. Sesuatu yang tidak pernah berlaku pun pada mana-mana lelaki yang singgah di hati ini. Cukup menduga apabila perasaan cemburu itu datang tiba-tiba. Aku kira pastinya SKY sangat tertekan dengan perasaan cemburuku apabila ia datang melampau-lampau... Namun perasaan itu tidak boleh kunafikan. Terasa sakit juga menanggung perasaan cemburu itu, apatah jika orang yang kita cemburui itu bersikap bersahaja.. Yalah hendak dilayan sangat, semua perkara tak menjadi pula.  Masa sedang sayang, mungkin mampu juga dihadapi tetapi apabila melampau-lampau perasaan itu ia akan menjadi racun sama ada buat SKY mahupun diriku sendiri. Aku akan berasa berdebar-debar dengan rasa tidak tenteram. Sehingga menjadikan aku seorang yang tidak aku kenali lagi.  Dalam waktu sempit inilah semua perkara perlu dipertimbangkan dengan baik. Kita perlu berfikir dengan wajar dan penuh berani membuangkan perasaan sangsi dan curiga walaupun itu semua akan amat menyakitkan kita.  Itulah hakikat yang perlu aku alami.. 


   SKY, seorang yang bertenang aku kira.. sebab apa yang aku bebelkan, dia akan sentiasa sabar membacanya.  Berkali-kali aku menyatakan akan meninggalkannya, atau memintanya meninggalkanku.. namun seperti yang aku katakan, perasaanku ini amat kuat kepadanya... Saat yang sempit itu pun aku tidak bisa untuk melupakannya.. apatah dalam jangka masa panjang... aku akan sangat kehilangannya. Entah cinta atau kasih yang bagaimana Allah campakkan dalam hatiku ini. Sebagai seorang wanita yang telah melepasi garis masa berkahwin aku rasa, tidak sepatutnya aku mempunyai perasaan sebegini lagi. Seperti anak-anak yang sedang hangat bercinta. Tertawa juga apabila aku mendengar cerita seorang kawan yang mempunyai isteri yang cemburu, begitu cemburu... katanya, cemburu itu tanda sayang... dia suka isterinya cemburu, malah terlebih cemburu itu, yang juga bermakna terlebih sayang juga... walaupun habis laptop berkecai dibaling ke lantai.. telefon dicampak ke sungai...apa sahaja gajet yang boleh menghubungkan suami dengan orang lain ada, itulah juga dimusnahkan.. waima hanya mendengar nama perempuan lain meniti di bibir sang suami..
Aku berdoa, semoga SKY akan bijak menangani aku ini jika tiba cemburuku itu nanti.. dan semoga aku tidak akan hilang pertimbangan kerana cemburu itu juga.  Almaklum, SKY akan berada di mana-mana perjalanan kerana tanggungjawabnya... dan aku telah mengetahui itu, maka dari mula aku mengenali SKY dan mengenali rasa cemburu itu.. aku berdoa semoga cemburu itu bertempat..  Tentu hidup SKY sangat payah kerana terpaksa melayanku, semoga SKY akan sentiasa bersabar dengan aku... Insya-Allah jika SKY itulah jodohku.. Semua ini rahsia Allah... 

          Apabila tibanya waktu sempit ini barulah aku berasa sangat kalut..
Semua kerja seperti tidak menjadi kerana buat itu sikit, buat ini sikit.. siap separuh, pegang kerja lain... hingga waktu untuk senggang dan rehat pun terpaksa aku korbankan. Entah kenapa sekarang ini semuanya menjadi lebih sempit... 24 jam sehari terasa cepatnya berlalu... Atau adakah kerana faktor usia yang menjadikan keupayaan dan daya ketahanan ku semakin berkurang.  Ya Allah ku pohon kepadaMU kekuatan dalam melalui hidupku yang semakin mencabar dan masa yang ada untukku semakin kurang dan semakin sempit...

Hasbunallah wa nikma wakil, maula nikma...

Khamis, Mei 08, 2014

BERAT MATA MEMANDANG, BERAT LAGI BAHU YANG MEMIKUL

Ingin sahaja aku berlari, mengejar mimpi.... 
Hmmmm.... sesuatu yang boleh sahaja diungkapkan dengan mudah namun sukar untuk menjelaskannya. 
Demikianlah juga resah hatiku ini ketika ini... andai dapat aku hindarkan keresahan ini, alangkah baiknya... Setiap segala sesuatu yang berlaku itu pasti ada sebab musababnya...cuma aku sendiri tidak sedar apakah ini suatu yang disuratkan atau ujian yang tidak terduga.  Untuk membuat keputusan ini begitu sukar  sebenarnya. Berat mata memandang berat lagi bahuku memikul.. Setelah beberapa waktu aku sememangnya mencuba untuk membuka hatiku ini buat seseorang, walaupun dalam hati ini aku cuba untuk menerima hakikat bahawa semua itu adalah sukar untuk direalisasikan. Sejak beberapa tahun aku tidak digamit rasa untuk mendampingi seseorang. Mungkin hanya usikan bagi orang lain tapi bukan untukku.. rasa hati ini berbelah bahagi. Betapa aku perlu mengorbankan beberapa hal untuk meneruskan niatku ini.  Apakah pula penerimaan dia buat diriku. Namun dalam mencari 'dia' itu aku menemui sesuatu kisah yang mungkin salah atau mungkin benar. Dia sudah dimiliki orang lain. Hati ini sedikit kecewa. Allah belum mahu memberikan pendamping buatku lagi. Mungkin ada tanggungjawab yang belum selesai. Namun sebenarnya aku redha... mungkin dia juga bukan untukku. Dan jika Allah mengkehendaki aku bersendiri hingga akhir hayatku aku redha.. 



               Untuk membina masa hadapan sebagai seorang suri aku perlu bersedia sepenuhnya. Bukan rupa dan kekayaan yang aku harapkan cuma seseorang yang boleh berkongsi banyak hal bersama-sama aku. Seseorang yang tidak meminta banyak dan menuntut sesuatu yang tidak mampu aku berikan.  Aku tahu kalian tidak faham. Namun jika dia seseorang itu ingin mendampingiku, aku sangat berharap dia sudi 'bersedekah' bersama-sama aku ini. Hidupku terikat dengan orang lain. Kuhabiskan banyak masa untuk mereka... ruang, kos, perhatian untuk mereka. Jika dia 'mengambil' ku daripada mereka...bagaimana mereka kelak. Aku cuba mengatur hidup mereka tanpa aku semenjak aku dikaitkan dengan dia beberapa tahun lalu.. namun dalam melakukannya, aku tidak pula memikirkan bagaimana dia menerima aku pula. Mungkin sejarah hidupnya lebih perit berbanding aku sehingga dia menutup hatinya. Doa aku panjatkan andai jika bukan dia pun pendampingku kelak.. apabila tiba masa aku memisahkan diri daripada mereka yang kusayangi itu, semoga apa sahaja yang aku rancangkan berjalan lancar. 

              Namun hakikatnya ketika ini, aku masih terikat... hati ini tidak tega untuk meninggalkan orang-orang yang aku sayangi sepenuhnya. Aku masih berasa selesa mereka bergantung denganku, sehinggakan apabila hal ini dibicarakan rasanya lebih rela melepaskan dia yang tidak pasti berbanding darah dagingku ini.  Aku berdoa jika dia terbuka hati pula menerimaku, semoga terbukalah hatinya untuk reda kepada aku berserta tanggungjawab yang ada sekarang ini.  Mungkin mudah berkata-kata... tapi tiadalah mudah untuk menunaikannya 
 
       Kerinduan aku mengikat aku kepadanya. Mungkin dia tidak akan dapat menerimaku kerana aku punyai tanggungjawab kepada yang lain. Jika dia itu tetap jodohku, aku ingin sekali dia bertolak ansur denganku untuk setahun ini. Aku ingin mengaturkan dahulu hidup orang-orang yang aku tinggal. Aku sememangnya mengharapkan dia. Lalu aku sering berdoa agar Allah memberikan pengertian ini kepadanya... pengorbanan yang perlu dia berikan walaupun kelak aku telah menjadi miliknya. Agar dia ikhlas menurut perancangan yang aku buat sekali gus sanggup untuk hidup berasingan sementara demi membahagiakan semua orang di sekeliling. Tetapi mampukah dia? Mahukah dia? Sanggupkah dia? Berpisah dengan aku jika sampai waktu itu nanti... Sanggupkah dia untuk hanya bersama-samaku pada waktu-waktu tertentu seperti hujung minggu atau hari-hari tertentu? Banyaknya persoalan yang ada. Aku telah memilihnya, kerana dia yang ditunjukkan Allah buatku... dan aku tahu akhlaknya setakat ini, namun selagi dia membisu apakah yang dapat aku lakukan. Sudikah dia untuk menerimaku.


        Saban hari ingin sahaja aku menyatakan rinduku kepadanya. Aku ingin sekali melupakannya...kerana dia akan susah jika bersama-samaku. Maka aku menolak rasa rindu dan rasa sayang ini. Adakah dia mengerti, aku sendiri tidak tahu. Dia tidak pernah menjawabku...jadi apakah yang dapat aku sandarkan untuk terus berharap kepadanya.


      Ya Allah, sakitnya untuk melupakannya, dan membuatkan dia melupaiku. Sesungguhnya aku tidak sanggup melukakan hatinya, malah sangat takut dia meminggirkan dan menganggap aku ini seorang yang buruk akhlak lalu menolakku.. Bimbang sekali aku, dia menganggapku dengan satu anggapan yang tidak sepatutnya... mampukah aku melalui sekali lagi. Menghindari seorang muslim yang baik kerana apa yang aku tanggung selama ini. Tak Betah aku melihat dia pergi jauh dari hidupku.. Penasaran dibuatnya... Aku mengharapkan dia memberikan aku suatu kepastian namun seperti yang lain aku hampa. Susahnya seorang itu boleh berdamping.. Aku tidak punyai kekuatan untuk mengharap lagi, menunggu kemudian dikecewakan. Jika dia tidak mahu mendampingiku, biarlah aku berundur pada awal semua ini.. sebelum hatiku dan perasaan ini menjadi lebih parah. Aku juga sudah tidak mampu mengejar dan berharap kepada gerak rasa dan naluri ini sahaja.  Aku sudah tidak mampu untuk membuang masa.
     
          Apabila ada yang sudi kepadaku, aku akan menerimanya... Jika semua boleh semudah itu. Cinta itu boleh hadir selepas perkahwinan, jika anggapan itu sangat benar...sedangkan dalam hati ini ada dia. Aku perlu menghindar dia..kerana aku sayang padanya dan dalam waktu yang sama dia seperti tidak ingin kepada aku. Sedih hati ini. Apabila aku kenangkan kata emak dahulu, belajar tinggi-tinggi, ada gaji besar, menakutkan orang yang berkehendak kepada aku. Semua itu adalah doa apatah lagi ia keluar daripada mulut seorang ibu. Apakah aku perlu meminta emak menarik balik kata-kata itu. Atau aku perlu  memaklumkan hadirnya dia yang selalu aku rindui akhir-akhir ini. 

Ya Allah, 
Kuatnya rasa rinduku ini kepadanya. Usahlah Kau lalaikan aku ini daripada keasyikan yang yang tidak menentu ini. Sesungguhnya rasa rindu ini mengajar aku menghargai orang yang aku rindui itu... Semoga Allah mencampakkan juga rasa rindu itu dalam hati mukmin yang aku kasihi itu..


         Sesungguh aku ini insan lemah, diuji berkali-kali agar aku akan sentiasa dekat kepadaNya.. Ya Allah, usah Kau pinggirkan aku jauh dariMU... Jika mukmin itu Kau hadirkan untuk aku lebih dekat kepadaMU... aku ingin dia menjadi milikku yang abadi... sah di sisi syarak dan menjadi imam dan pendamping di syurgaMU kelak.  Kau kuatkanlah hatinya menerima aku ini seadanya... dan Kau kuatkanlah hatiku untuk menerimanya seadanya. Perkenankanlah doa-doa kami yang lemah ini agar kami tetap berada di sisiMU dengan segala keredaanMU...

Catatan ini dilakarkan pada bulan Mac, yang pada ketika itu... aku memang belum memulakan langkah mendekatinya.. dan aku tidak tahu apa penerimaannya kepadaku... dan aku terbitkan catatan ini untuk membolehkan mukmin yang aku rindui  tahu sesungguhnya aku berniat kepadanya seikhlas hati dan kerana Allah telah memilih dia untukku... di sebalik semua yang berlaku ini, aku juga telah melukakan satu hati tanpa aku sengajakan... Maafkan aku Kzis...kerana aku memilih dia sebelum dikau hadir memintaku... cuma aku tidak pasti... sama ada perlu meneruskan dengannya atau tidak... 

Rabu, November 13, 2013

MENERIMA SESUATU UJIAN DENGAN PENGAJARAN BUKANLAH SESUATU YANG MUDAH...

 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Hari ini aku hanya ingin mencatat tentang sesuatu dan semoga pengalaman ini dapat memberikan suatu nasihat bernas kepada semua yang membaca dan sahabat yang sedang melalui beberapa ujian dalam hidupnya.
         Hakikat hidup ini memanglah bukan mudah. Cara hidup kita juga berbeza dan sering menimbulkan pelbagai karenah yang tidak terduga oleh kita sendiri. Allah memberikan ujian sebagai salah satu cara mentarbiyah diri kita sendiri. Begitulah dengan diri ini. Sebagai seorang perempuan yang dikatakan lemah sebenarnya kita mempunyai kekuatan sendiri. Kekuatan yang seringkali tidak kita sedari. Maka cubalah berusaha untuk melalui ujian itu dengan tabah. Berusaha melaluinya dan bukan melarikan diri. Datukku pernah menasihatiku, begitu juga bapa... apabila kita melalui sesuatu ujian itu, kita sebenarnya mempelajari sesuatu ilmu yang di dalam terselit pengajaran yang adakalanya biarpun lambat kita sedari tetapi sangat berguna.  Sewaktu aku kecewa dengan Zaki Malasie dahulu, walaupun bukan sebenarnya kecewa... masa muda ketika itu, aku cuba untuk lari. Bapaku berkata: "..jika hari ini kau lari anakku, kau akan berlari selama-lamanya. Jadi, berhentilah... hadapi kenyataan itu biarpun payah, kerana jika kau berjaya melaluinya.. kau mempelajari sesuatu. Akan datang apabila ujian yang sama kau lalui, segala-gala akan jadi mudah.. Dan jika ada ujian baharu selepas itu, hadapilah dengan lebih tabah. Setiap masalah mungkin tidak sama untuk ditangani namun kau sudah punyai senjata dan cara untuk menghadapinya dengan lebih berani dan yakin. Selepas segala-galanya itu kau lalui, kau akan tahu indahnya hidup ini kerana semua ujian yang telah berjaya kau lalui."


        Biarpun bapa sudah tidak bersama-sama kami lagi di dunia ini, namun bapa adalah lelaki yang aku kagumi semasa hidupnya, dan sentiasa aku kasihi dan sayangi selama-lamanya. Pemergian bapa merupakan kehilangan yang besar buatku, namun aku bersyukur walaupun tidak dibesarkan bersama-sama adik-beradik lain, bapa tidak pernah mengabaikanku. Oleh sebab itu, bapa adalah penasihat terbaik buat. Bukan pula dia seorang yang hebat, kaya, tampan seperti yang orang lihat pada kebanyakan lelaki hebat... hanya insan biasa yang sederhana.. namun hebat dalam hati ini. Aku kongsikan banyak perkara dengan bapa, dan kerananya aku belajar juga banyak perkara. Kini, setiap kali aku terjaga dari lenaku pada waktu dinihari, ada kalanya aku menitiskan air mata teringatkannya yang tidak pernah lupa membelai anak-anak ketika hidupnya dulu. Lena kami adik-beradik, beserta belaian dan doa daripadanya. Walaupun aku hanya tinggal bersama-samanya keluarga bermula usia 16 tahun. 

       Menyebut tentang cinta sesama manusia, bapa berkata.. jangan menyusahkan diri, kerana cinta itu akan datang pada ketika ia perlu datang.. namun cinta itu boleh disemai, disuburkan... asal cinta ikhlas dari hati, tiada sebab mengapa cinta itu mesti dibalas atau kenapa mesti kita membalas cinta orang lain...kerana cinta itu sendiri ada sebab dan musabab; juga mempunyai pengertian yang pelbagai... dan hanya cinta itu yang memahami cinta... Keliru bukan? Pastinya... namun rasai kehadiran cinta itu dahulu maka kita akan sedar kita sememangnya sentiasa dalam cinta. 
       Rupa-rupanya hidup kita sebenarnya adalah cinta itu sendiri. Segala-gala yang berlaku dalam hidup kita berkait dengan cinta. Namun pengajarannya bagi setiap orang pasti berbeza. 

Al-Fatihah, semoga bapa akan aman di sana dan ditempatkan dalam golongan yang diberi rahmat dan dalam golongan orang yang soleh.

      Catatan seterusnya aku tujukan untuk beberapa rakanku yang ketika ini sedang melalui ujian dalam hidupnya. Bukan aku memandai-mandai namun aku sengaja berkongsi kisah hidupku ini buat kalian, semoga boleh dijadikan sedikit panduan buat kalian.  Kisah hidupku yang bukan indah namun masih dapat menjadi warna-warni yang menghiasi hidup bermakna.

     Dalam mencari pasangan hidup ada antara kita yang diuji dengan pelbagai kepayahan. Selalu menjadi umpat keji apabila seseorang wanita itu lambat berkahwin atau tidak mendapat jodoh hingga ke lanjut usia. Setiap wanita sentiasa diasak dengan pelbagai tohmahan dan umpatan kerana belum mendapat jodoh. Dan segala ini aku sandarkan melalui pengalaman diri ini. Hingga kini, aku belum diberikan jodoh yang bersesuaian oleh Allah, biarpun pengalaman 'cinta' itu telah berulangkali aku lalui. Dan sudah banyak juga ujian yang aku lalui kerana itu. Setakat ini aku masih dapat menjalani kehidupan ini dengan tabah dan dapat melalui pelbagai fitnah dan tohmah.. Memang buka mudah untuk melalui tetapi bukan juga sukar melepasi keadaan sukar itu selagi Allah bersama-sama kita. Allah pasti ada bersama-sama kita, itu memang hakikat... tetapi kita seringkali terlupa dan jarang menepati janji untuk bersama-sama Allah. Kita sering melalaikan solat dan selalu mengabaikan  perintah Allah walaupun dalam keadaan sedar. Siapa yang ingin kita persalahkan. Allah menguji kita kerana DIA tidak mahu kita meninggalkan DIA. Dan ujian-ujian itulah pula sebagai tanda bahawa Allah menyayangi kita maka seharusnyalah kita bersyukur.


       Maka di sini aku ingin berkongsi banyak dengan rakan-rakanku yang sedang mengalami dilema kerana jodoh yang tidak kesampaian, belum tersurat untuknya dan jika ada jodoh, jodoh itu singkat sekali. Aku ingin berkisah ketika aku begitu terkejar-kejar Abid suatu masa dahulu... lantaran cinta aku pada Zaki Malasie tak pernah aku lafazkan, tiada sayang penghias bicara, tiada cemburu mengukir rasa kasih... maka dia bersalah sangka. Selepas tiga bulan perkahwinannya baharulah aku mengetahuinya, betapa perkahwinannya hanya dirancang untuk melihat reaksi aku yang dianggap tidak pernah mengasihinya. Namun ketika itu semua sudah terlambat dan ketika itu rasa cinta kepada seorang lelaki terus menjadi pudar. Sebelum perkahwinannya, hati aku sudah mula hambar, maka aku cuba juga mengagahi hubungan itu walaupun pada dasarnya dia sudah pun mengkhianatiku apabila rakan sekampung, dan ayah rakan itu merupakan rakan baik bapa ketika itu. Bapa berterus terang tidak menghalang aku jika aku masih memilih Zaki, namun bapa kata... jika kebahagiaan kita akan menyebabkan orang teraniaya, maka lupakanlah cinta itu, kerana tindakan itu lebih baik... daripada kita sentiasa dalam doa orang yang berasakan diri mereka teraniaya. Aku ingin memutuskan hubungan itu, agar mereka dapat bersatu... Tiada siapa tahu sebab mengapa aku tiba-tiba berubah fikiran, walaupun rasa hambar semakin jelas. Aku mendidik diri mencintainya semula.. hanya kerana aku tidak mahu dia terlibat dalam cinta songsang. Aku sendiri tak pasti tujuan adiknya bercerita tentang Zaki kepada aku ini. Untuk menyelamatkan hubungan kami atau cerita itu adalah cerita benar. Maka akhirnya rasa sayang itu datang kembali buat Zaki. Dan kesimpulannya, sebenarnya cinta itu masih boleh dipupuk semula hanya bergantung kepada niat. Kepada Zaki Malasie, jika kisah cinta songsang itu bukan yang sebenarnya, aku hanya mampu memohon maaf kepadamu. Sesungguhnya, aku tidak mahu membiarkan kau terlibat dalam dosa itu. 


     Untuk cinta seterusnya juga aku tersilap kerana tidak bersungguh-sungguh menyatakan dan menunjukkan rasa kasih dan sayang kepadanya. Hingga dia berasakan aku masih punya orang lain dalam hatiku ini. Hanya kerana aku menyokong hubungannya dengan seorang rakan yang dapat aku rasakan lebih baik untuk dia. Sebagaimana dia menganggap beberapa orang rakannya yang lain lebih baik untukku. Siapa kita untuk menentukan apa yang lebih baik, untuk siapa pula sesuatu itu lebih baik.
       Dan pada hari pernikahannya dengan gadis yang bukan rakanku, baharulah aku tahu dia hanya ingin mengujiku. Malam itu, ketika aku bertanya kenapa dia masih di tempat kerja, tiba-tiba dia meminta aku membuat pengakuan bahawa aku sebenarnya menyayanginya. Jika aku berkata iya, maka dia tidak akan meneruskan pernikahan itu. Memang aku sangat sayang akan dia.. Cinta? Aku tidak pasti. Tetapi aku mengatakan tiada rasa sayang dalam hati ini kecuali hanya kepada seorang kawan. Aku akur pembohongan itu kerana pembohongan itu menyelamatkan suatu hubungan suci yang bakal terbina. Sebagai seorang insan, kita patut ada ehsan. Aku percaya tentu Allah akan memberikan aku yang lebih baik daripada cinta yang sebelumnya itu.


       Maka itulah yang terjadi, apabila Abid hadir dalam hidup ini. Aku sememang tidak pernah memandang Abid sebagai seseorang yang boleh mengikat hati ini kepada cinta yang lebih baik daripada kedua-dua mereka terdahulu... dua yang sangat terkesan di hati dalam kalangan banyak yang meluahkan perasaan kepadaku. Hinggalah suatu ketika apabila aku sangat terasa begitu tertarik dengan Abid. Pengalaman yang lalu menjadikan aku terlalu berani meluahkan perasaan hati kepada Abid. Biarpun Abid tidak pernah melayan aku sewajarnya. Pelbagai sekatan yang dirancang, diatur dan dilakukan oleh Abid menjaga dirinya. Aku mengunjungi setiap ruang waktunya dengan sistem pesanan ringkas (sms) yang tidak pernah putus. Hanya tiga kali sahaja dia membalasnya. Abid punya prinsip yang teguh biarpun dia seorang pendiam. Pengalaman yang lalu menjadikan aku tidak segan-segan meluah rasa rindu kepadanya. Dan aku sememang tidak malu mengakui bahawa aku berkali-kali mengajaknya berkahwin untuk mengelakkan dosa yang semakin tidak aku endahkan. Sehingga Abid pernah mengatakan aku seseorang yang tidak bermaruah, tidak menjaga maruah diri.... membuat sesuatu yang tidak menggambarkan aku sebagai seorang yang berakhlak baik. Namun aku sering juga mengganggunya dengan ucapan cinta, sayang dan rindu. 


       Hakikatnya aku sebenarnya tahu diri. Dia juga aku rasa tahu apa yang aku rasakan itu. Namun dalam rasa bencinya  itu masih menjagaku. Betapa dengan Abid aku mengenal erti pendirian, erti prinsip, erti kebertanggungjawaban kepada diri dan oranglain. Maka rasa kasih dan cinta itu semakin mendalam kepadanya. Dan kerana rasa cinta dan kasih itu, maka di hadapan Kaabah aku sujud dan berdoa  panjang supaya Allah bukakan hatinya untuk berkahwin dan menghentikan kegilaanku kepadanya. Aku bermohon Allah alihkan rasa marahnya kepada rasa ehsan kepadaku. Dan ketika Allah memakbulkan doaku itu, aku akur bahawa dia tidak Allah takdirkan buatku.. dan ketika malam dinihari, hari akad nikahnya dengan gadis pilihannya aku bersolat sunat syukur dengan segala pemberian Allah kepada kami. Aku pada ketika itu masih mencintainya seadanya, sepertimana aku kasih akan Zaki Malasie dan aku sayang akan Ann... pada ketika mereka melafazkan akad untuk gadis pilihan mereka itu. Dan demi rasa cinta aku akan Abid, aku menunaikan segala janji aku kepadanya. Tiada 'gangguan' dalam hidupnya, kerana aku sangat kasih akan dia. Aku ingin dia bahagia... Tentu kalian ingin tahu apakah perasaan yang ada dalam hatiku ini. Jawapannya, rasa bahagia. Kerana Allah memberikan kebaikan kepada orang-orang yang aku kasihi.


    Peristiwa itu telah pun lebih 5 tahun berlalu. Aku masih sendiri... tetapi masih lagi bersendiri. Ada yang bertanya, adakah aku serik. Tiada perkataan serik dalam kamus hidupku dan selepas mereka itu ada banyak lagi lelaki-lelaki budiman menyusup dalam hidup ini. 
     Buat rakan-rakan yang senasib denganku. Jika jodoh itu sangat payah dan sulit untuk kita, atau mungkin tidak tersurat untuk kita dalam hidup kita, janganlah kita menjadi lemah dan terdesak melakukan sesuatu yang akhirnya melukakan hidup kita sendiri.

     Tidak berkahwin itu bukanlah hina. Kita jagailah diri kita agar tidak tercampak ke kancah kehinaan. Kata Abid dahulu aku seorang yang tidak bermaruah dan tidak berakhlak mulia. Aku sebenarnya protes segala perkataannya itu namun aku tidak cepat melatah kerana bagiku, aku tidak pernah meletakkan maruahku serendah itu untuk meletakkan diriku menjadi hina. Aku tahu semua itu nampak seperti aku tergila-gilakannya, namun aku masih ingat Allah. Aku masih punyai iman... bagiku tidak ada salahnya apabila aku merayu kepadanya untuk menikahiku... dan aku tidak pernah menidakkan haknya untuk memilih dan menolak. Dan aku akur semua itu rahsia Allah buatku.


       Untuk rakan-rakan, usahlah melakukan perkara-perkara bodoh hanya kerana kita ini belum berjodoh. Buat apa kita relakan diri kita dipergunakan sewenang-wenangnya oleh orang-orang yang mengambil kesempatan kepada keadaan dan situasi diri kita. Berbangga menjadi wanita solehah dan menjadi iman dan taqwa walaupun jodoh tidak tersurat untuk kita. Jangan kita memperlekehkan diri kita sendiri kerana ejekan orang kepada kita. Bukan mereka yang menentukan syurga kita. Allah yang menentukan darjat kita di sana kelak. Aku ingin menasihatkan rakan-rakan senasibku, jangan mudah terpengaruh melakukan perkara-perkara yang tidak elok, seperti rela dipegang, menurut sahaja kehendak pasangan... memberikan sesuatu yang bukan haknya kerana hanya untuk mengikatnya dan mengharapkan dia berkahwin dengan kita. Tiada lagi istilah jika sayangkan abang, kena buat itu dan ini... apatah lagi merelakan maruah diri tergadai. Berfikirlah, Allah melewatkan jodoh kita, dan kita terpaksa melalui pelbagai fitnah... seterusnya kita melaluinya dengan sabar dan taqwa maka ganjaran adalah lebih baik.


Tiada istilah, aku akan berikan segala-galanya janji aku dapat berkahwin.. Usah pula ada, aku sanggup lakukan apa sahaja, asalkan aku berkahwin.

 Sekali lagi aku tekankan, tiada hinanya jika seseorang wanita itu tidak berkahwin. Banyak sahaja orang di sekeliling kita yang tidak berkahwin tetapi tetap berjaya di dunia dan akhirat. Kenapa kita takut menghadapi masa depan dengan gelaran andartu, andalusia, bujang terlajak dan seumpamanya itu.

Usahlah pula kita, dek terdesak memilih seseorang yang tidak elok buat kita. Dan ada antara kita senang-senang ditipu hanya kerana ingin menjadikan lelaki itu pasangan hidup kita. Tiada makna memilih seorang yang tidak menjaga solat misalnya, walaupun dia kaya dan kacak sekalipun hanya kerana malu dengan status andalusia yang kita pegang.  Jika ada yang mengatakan kita terlalu memilih biarkanlah.. tidak ke mana sudahnya. Memang seharusnya kita memilih pasangan hidup kita.. maka tidak timbul alasan terlalu memilih itu suatu penghinaan. Rasullullah juga menyarankan kita memilih pasangan yang akan kita kahwini. Kita perlu menyelidik latar belakangnya, melalui bapa kita, saudara-saudara lelaki kita, rakan-rakan dan kenalan sama ada di pihak kita mahupun di pihak dia.


        Sebenarnya aku menulis isu ini untuk beberapa orang sahabat yang sedang melalui saat-saat sedih ketika ini. Tersalah pilih pasangan, terdesak mencari pasangan, terlalu berharap mendapat pengganti ketika dilukai, sehingga memungkinkan mereka tersalah pilihan berkali-kali. 
Aku bangga sebagai aku, aku tidak cepat melatah. Kerana ada dalam pengalamanku, ada beberapa kenalan yang sanggup bertemu pengamal perubatan tradisional yang salah. Ada antara mereka yang dicabul dan dinodai hanya kerana kononnya mereka perlu membuang sial yang ada pada badan terutama pada tempat-tempat tertentu, yang pastinya sulit. Dan aku juga pernah melalui pengalaman itu sebenarnya. Cuma dengan rasa curiga yang kuat, keyakinan kepada pentingnya maruah diri, juga ingat akan dosa dan kemurkaan Allah... Alhamdullillah, aku terlindung daripada musibah itu. Waktu itu aku sangat muda dan aku hanya mengikut seorang rakan tanpa sebarang wasangka. Kes itu berlaku ketika Ann mula mendekatiku dan aku masih ada hubungan cinta dengan Zaki Malasie. Waktu itu juga aku tahu rakan itu menyukai An dan dia menggalakkan aku untuk 'mengikat' Zaki. Aku amat bersyukur kerana Allah mencampakkan rasa curiga yang tinggi dalam hatiku ini dengan syarat yang diminta... Waktu ramai-ramai orang itu masukkan jin jenis ular melalui keningku. Katanya, supaya yang memandangku akan tertarik denganku. Pada waktu lain dia meminta aku datang sekali lagi dengan beberapa pesanan. Dia kata aku kena dia mandikan supaya dia boleh 'mencuci' tempat tertentu supaya pasanganku kelak tidak lari dan dia akan masukkan sesuatu dalam tubuhku supaya aku sentiasa muda dan cantik. Huh, gila bukan? Ketika aku menelefonnya dan menyatakan bahawa aku tidak akan meneruskannya, orang itu memaki aku dan mengatakan dia akan membuat aku tidak akan berkahwin kelak. Dan jika kerana perbuatannya itu, aku tidak berjodoh sehingga kini...aku reda. Reda dan bersyukur kerana maruah diriku masih terpelihara dengan baik sehingga kini. Aku bersyukur kerana aku Allah pelihara daripada perkara-perkara mungkar. Aku bersyukur kerana terselamat daripada melakukan perkara-perkara bodoh seperti itu.
Kini, jin jenis ular itu telah pun berjaya dikeluarkan oleh seorang Al-Hafiz yang menawarkan ikhtiar kerana pada pandangannya jin itu telah menutup auraku dan juga menjadikan aku seorang yang rendah diri.


Alhamdullillah, akhirnya aku meluahkan juga hal ini, hanya kerana aku tidak mahu ada kalangan rakan-rakan terperangkap dengan idea bodoh untuk membuang sial dan menarik jodoh dengan cara mudah dan cepat. Ingatlah jodoh itu rahsia Allah... maka usah terlalu taksub mengganggap diri sebagai hina kerana tidak ada jodoh. Catatan ini hanyalah perkongsian untuk rakan-rakan agar tidak tersilap langkah. Banyak pengalaman yang boleh kita baca, dengar dan dijadikan pengajaran. Hal yang boleh dielakkan, kita elakkan. Kecuali sudah takdir kita sebegitu apa yang boleh kita buat. Namun kita perlu sentiasa berdoa agar takdir buruk itu tidak menimpa diri kita. Takdir mati sahaja yang tidak boleh kita ingkar.. yang lain Allah telah pun memberikan firman bahawa boleh berubah dengan berdoa bersungguh-sungguh  memohon. Allah pasti memakbulkan doa kita. Hanya tidak tahu lambat atau cepat. Jika lambat pasti ada hikmah di sebaliknya. Alternatif bertemu bomoh, dukun... jika boleh dikatakan alternatif itu lebih membawa mudarat, terutama yang terpesong daripada mengamalkan suruhan Allah dan menggunakan jampi-jampi yang bergantung kepada makhluk dan bukan pada Zat yang sebenar. Ada antaranya menggunakan juga ayat al-quran namun menyalahgunakannya dengan cara mengubah ayat itu sesuka hati. Semoga kalian tidak tertipu. Dan mempercayai semua itu adalah syirik, dan menyakini yang berlaku selepas itu jika berjaya kerana kehebatan selain Allah, menggandakan syirik itu. Nauzubillah....


Kasihanilah diri kita ini... jangan dengan sengaja merosakkan diri hanya kerana sesuatu yang tidak kita perolehi sebagaimana diperolehi orang lain.
Biarlah sedikit tetapi berkat daripada banyak tetapi lagho dan sia-sia, apatah lagi jika berdosa besar.
Semoga sedikit pengalaman ini dapat dijadikan panduan kepada rakan-rakan mempertimbang keputusan yang akan diambil.
      
Oh ya... ada satu lagi. Ada kalangan kita yang terlalu mementingkan cinta pertama kononnya. Cinta pertama tidak mungkin dilupakan, cinta pertama kekal ke akhir hayat. Semua itu hak individu. Namun cinta boleh wujud berkali-kali.. mungkin nilainya tidak sama. Ada antara kawan-kawan yang mempersoalkan pasangan tidak mencintainya sepenuh hati kerana dia bukan cinta pertama pasangannya. Sedarlah cinta yang berasaskan cinta kepada Allah dan RasulNya adalah cinta abadi.. tidak ada hebatnya cinta pertama itu. Jika ditakdirkan cinta pertama itu terlalu indah, mungkin ada lagi banyak cinta lain yang lebih indah.. Cinta sesama manusia cinta sementara, tetapi jika disandarkan kepada Yang Maha Esa... cinta ke berapa kali sekalipun tetap indah. Dan lebih indah lagi apabila cinta itu dibajai selepas berkahwin.


Cukuplah sudah rasanya catatanku kali ini. Yang baik jadikan panduan, yang buruk jadikan sempadan. Siapalah kita jika tidak mendapat tempat yang baik di sisi Allah. Hebatnya kita di mata dunia, akan bertuah jika kita hebat di sisi Allah. 

Semoga rakan-rakan yang membaca terutama yang sememangnya catatan ini ditujukan untuknya, akan mendapat sedikit nasihat melalui pengalamanku itu. Aku tidak malu menulis di sini, jika catatan ini memberikan sedikit manafaat yang boleh difikirkan oleh kalian. Aku juga sungguh bersyukur dengan apa yang dilalui dan aku masih dapat membelenggu diriku daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah. Aku berdoa semoga Allah sentiasa memelihara diri ini daripada segala keburukan. Aku juga berdoa dan berharap, sekiranya aku terlalai, semoga ada yang menasihatiku daripada tersalah langkah, Insyaallah.
Wassalam....