Isnin, Oktober 22, 2012

MUNGKINKAH RASA HORMAT ITU HILANG

     Sebagai orang yang lebih tua bukanlah aku minta dihargai namun cukuplah dengan rasa hormat yang ada untuk diri ini oleh adik-adik yang ada di sekelilingku.

      Entahlah sememangnya minggu ini aku agak sensitif sedikit. Ada sahaja yang menimbulkan rasa sakit dalam hati ini. Lebih kepada terkilan mungkin. Aku sendiri tidak tahu mengapa. Mimpiku kelmarin juga masih mengganggu hari-hari ku ini. Entahlah apa maksud mimpiku itu yang membangkitkan aku bersama-sama azan yang diungkap dari bibirku. Beristigfar panjang aku apabila aku ingin ditetak dengan sebilah parang panjang oleh orang yang paling aku sayangi. Apakah yang menjadi kemarahannya itu, aku sendiri tidak pasti. Namun aku akan menjenguknya hujung minggu ini... mengorek kalau-kalau ada hal yang tersirat sebalik mimpi itu.

     Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud:
     Apabila seseorang antara kalian bermimpi yang disukai, mimpi itu datang dari Allah, maka hendaklah memuji Allah dan menceritakannya kepada orang lain. Apabila bermimpi yang tidak disukai, hal ini datang dari syaitan, maka hendaklah meminta perlindungan Allah, dan jangan sekali-kali menceritakannya kepada orang lain,nescaya mimpi itu tidak akan membahayakannya.    (Riwayat Bukhari melalui Abu Said r.a)
          
       Semoga ada kebenarannya. Aku berlindung kepadaMU ya ALLAH daripada segala keburukan yang nya mahupun yang tersembunyi.  
          Sebenarnya sebagai seorang anak kita mestilah prihatin dengan orangtua kita itu. Biarlah kita habiskan masa bersamanya. Mungkinkah ketika ini ada kekecewaan dalam hatinya itu sehingga auranya sampai kepada itu. Dengan menghargainya kita akan juga berasa dihargai. Itulah istimewanya apabila mendahulukan orang tua kita daripada kepentingan sendiri. Namun mungkin bagi orang seperti aku ini. Perlu untuk kita menghormatinya waima jika kadang kala ada yang menyakiti hati kita ini. Siapalah kita ini hari ini jika tiada orang tua dalam hidup kita. Selalu dalam minda beranggapan tidak apa... namun bagi seorang ibu dan seorang bapa yang hidup mula, sedang atau telah bersendirian akan beringatan cetek dek kerana hatinya sering terusik. Alhamdulillah, sehingga hari ini kita masih hidup, dan Allah memberikan peluang mereka juga masih hidup...maka kredit bagi kita untuk terus berbakti kepada mereka. 

      Sabda Rasullullah SAW bersabda yang marhumnya :

      Tiada  seorang pemuda pun yang menghormati orang yang sudah lanjut usianya kecuali Allah menetapkan baginya seseorang yang akan menghormatinya kelak.       (Riwayat Tarmizi melalui Anas r.a.)

Tiada bezanya pemuda yang dimaksudkan dalam hadis ini sama ada wanita mahupun lelaki. Yang pentingnya bagaimana pekertinya dalam menghormati orang yang lebih berusia daripadanya. Sememangnya sesiapa yang menghormati orang lain akan dihormati oleh golongan lain yang kadang kala tidak diketahui siapa gerangannya. Aku juga pasti rasa hormat  perlu ada bukan hanya untuk golongan yang lebih tua daripada kita namun afdal bagi kita menghormati mereka yang lebih lanjut usianya; juga yang  lebih muda. Hal ini kerana seseorang itu lebih pengalaman dan ilmunya.

        Aku terkilan baru-baru ini kerana adik-adik sejawatku ini bersikap tidak menghormatiku. Bukanlah pula aku meminta aku dihormati atau diutamakan. Aku cuma ingin sedikit rasa hormat untuk membolehkan ukhuwah itu semakin teguh. Salahkah aku menegur sesuatu tidak ada sebarang mudarat belakang hari. Bukan aku tidak menghormati keputusan dan tindakannya itu namun jika ada kekhilafan yang aku sedari  akan menimbulkan kesulitan kepadanya belakang hari. Cukuplah jika dia ada sedikit rasa hormat dengan mempertikaikan secara lisan mempertahankan diri.
 
        Namun apabila difikir-fikirkan siapalah aku hendak mempertikaikan semua itu. Biarlah tiada  apa yang perlu dianggap sebgai masalah. Mungkin kerana kita ini sememangnya manusia dan hamba yang lemah dan sering alpa. Perasaan yang teruja untuk dihormati itu menjadikan kita sebagai sedikit kesombongan yang seharusnya ada dalam diri manusia atau yang lebih jelas dipanggil ego. Mungkin silap aku apabila menasihatinya tidak berhemah sehingga terasa kata-kata itu lebih kepada mengaibkan. Aku sekadar menegur tindakan yang dibuat. Melayang tangan ke pipi orang lain biarpun ada kalanya kita ini benar bukanlah tindakan bijak. aku cuma tidak mahu tindakan itu menimbulkan sakit hati kepada orang yang ditampar dan seterusnya menjadikan sebab musabab dia mendapat musibah yang lain. Sudah banyak sejarah berlaku. Namun jika itu dirasakan benar, biarlah!

         Sebagai seorang yang membimbing dan mendidik... sangat beruntung, sewaktu muda guru itu disukai dan ketika murid itu tua juga masih menyukai  guru itu,  Masih  beruntung jika ketika muda murid itu benci guru itu tetapi masa tuanya menyukainya... dan malang pula ketika muda dibenci, ketika tua juga dibenci... ada satu kategori yang bersinonim dengan semua itu,

          Aku hanya menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang kawan kepada kawan yang lain. Ingat dan mengingatkan. Kita selalu lupa dan selalu juga degil dengan segala apa yang berlaku.

Aku ingin sentiasa mengasihi mereka. Semoga akan datang dalam hati ini ehsan dan sayang itu kepada semua yang ada di sekelilingku terutama ahli keluarga ku. Aku sentiasa mengharapkan tiada mendung yang menutup sinar mentari, cukuplah jika awan melindungi kepanasan... cukuplah sekadar memahami dan mengerti.

       Setiap kita inipun tiada sempurna.. kita perlukan orang lain menampung kekurangan kita ini, melengkapi orang lain.. dalam hidup berpasangan... dalam hidup berkeluarga, dalam hidup bersahabat... dalam hidup bersaudara.... dalam hidup berkelana.. dan kita perlu menjadi sama ada yang melengkapi mahupun yang dilengkapi... dan ALLAH itu Maha Mengetahui akan segalanya.. maka semua itu ada pada kita..

 Cintailah kekasihmu (secara) sedang-sedang sahaja, siapa tahu pada suatu hari dia akan menjadi musuhmu; dan bencilah orang yang engkau benci (secara) biasa-biasa sahaja, siapa tahu pada suatu hari dia akan menjadi kecintaanmu.
            (Riwayat At-Tarmudzi)

       Kita perlu sentiasa bersikap adil kepada semua waima kepada diri kita sendiri. Biarpun kita seorang yang bersih, kemas, teliti... biarpun kita seorang yang cemerkap, tidak pernah telus... kita seharusnya bersikap adil kepada diri kita. Maka ada ketikanya apabila kita terlalu sakit melalui sesuatu perkara terutama soal hati... maka kita harus 'lari'kan  diri daripada kemarahan dan kesebalan hati itu seketika, agar apabila kita kembali kelak... segala-gala semoga akan pulih. Maka kita perlu selalu adil.. kepada semua.


            Ada waktunya kita tertanya-tanya, bagaimanakah ada orang yang mampu duduk di takuk lama dan sangat selesa dengan keadaan itu. Ada antara kita yang terkejar-kejar segala sesuatu di hadapannya dengan tergesa-gesa. Namun adalah sebaiknya kita berada di pertengahan. Bergerak dengan strategi dan teknik yang tepat dan betul dan hasilnya tentu akan lebih baik.

      Apakah faedahnya apabila memulau orang yang sebenarnya sedang memimpin kita ke jalan selamat dan ke jalan benar? 

      Aku menjadi hairan dengan generasi kita yang tidak menghindarkan rasa bertenang dengan banyak kelemahan namun hilang segala hormat apabila membetulkan kesilapan yang kita lakukan, menegur untuk membetulkan sedikit kekurangan kita. Adakah hanya kerana kita tidak boleh menegur kekurangan kita.
      Berikan nasihat itu biarpun tiada rasa hormat bagi orang yang mendengarnya. Nasihat itu merupakan sedekah yang kita berikan kepada orang lain akan memberikan kita lebih ganjaran apatah saat kita memerlukan. Sepatutnya tidak akan ada rasa jemu menasihati malahan menerima nasihat itu sendiri kerana kita ini sering terlupa dan alpa dengan apa yang kita ada. Cukuplah jika sebenarnya boleh menasihati diri kita agar kita sentiasa bermuhasabah bahawa setiap kejadian itu pasti ada hikmahnya.
           Sabda Rasullullah SAW bermaksud:
Sedekah yang paling utama ialah seseorang muslim belajar sesuatu ilmu, kemudian mengajarkannya kepada saudara muslimnya yang lain. (Riwayat Ibnu Majah)

      Kita perlu untuk sentiasa mencari ilmu; yakni belajar tentang sesuatu. Dan semua itu seharusnyalah akan memberikan iktibar untuk kita mengamati sekeliling kita untuk membolehkan setiap daripada kita sedar bahawa semua kejadian itu sekecil-kecil  kejadian itu sebenarnya mempunyai nilai tersendiri. Waima sezarah kuman mengandungi pelbagai 'kisah' di dalamnya. Cukuplah kita mengkaji sesuatu yang besar yang kelihatan di sekitar kita ini. Tidak perlulah untuk kita terus mencari yang rumit sedangkan apa yang ada di persekitaran kita yang jelas tidak dapat kita perhatikan dan membuat penelitian yang baik untuk semua itu.

        ALLAH memberikan banyak ilmu dan hikmah agar kita dapat melihatnya dan mentafsirkannya dengan sebaik-baiknya. Namun tidak banyak daripada kalangan kita yang dapat melihat semuanya dengan betul. Malahan ada yang menjadikan keistimewaan dalam diri sebagai satu ujub kepada diri mereka sendiri. Atas sebab itu kita seharus sentiasa mengingatkan sesama kita bahawa bukan semua yang kita miliki itu akan kekal seperti yang ada waktu ini.
       Keimanan dan Taqwa itu perlu kita cari, amalkan, semai, tanam dan perkukuh atas amalan dan kekuatan kita sendiri. Pada pertengah kemuncak yang kita kadang-kadang tidak tahu bahawa itulah pula titik permulaan; kita sering lupa dan kehebatan itu akan hilang jika kita leka walaupun seketika. 
  
Malaikat Jibril telah datang kepadaku dan berkata:
         "Hai Muhammad, hiduplah sesukamu kerana sesungguhnya engkau pasti mati, dan sukailah apa yang engkau kehendaki kerana sesungguhnya engkau pasti berpisah dengannya, dan beramallah sesukamu kerana sesungguhnya engkau akan mendapat balasannya. Dan ketahuilah bahawa kehormatan seorang mukmin terletak pada solatnya (yang dilakukan ) pada hari malam hari, dan kemuliaannya terletak kepada kemandiriannya dari pertolongan orang lain"      (Riwayat Imam Baihaqi melalui Jabir r.a)

            Maka dengan kerendahan hatiku pada hari ini, catatan ini diluahkan.  Entah mengapa masih banyak dalam kalangan kita sering mengabaikan soal yang sebegini. Berfikir untuk kepentingan diri sendiri sahaja tanpa memikirkan natijah perlakuan sendiri. Wallahualam.