Khamis, Mei 26, 2011

ENTAH MENGAPA AKU INI?????

 Entah mengapa dengan aku ini?  Aku sendiri tidak pasti.. Walaupun sebenarnya aku tahu mengapa... Persoalan-persoalan yang tidak mahu aku rungkaikan. Namun adakah aku akan bertahan melalui semua keadaan ini.   
Wajah dan keadaan diriku ini sememangnya nampak senang, tenang dan ceria ketika ini... Alhamdullillah... 
Namun mungkin aku 'sakit'.... aku sendiri pun tidak pasti. Minggu sebelum ini aku sudah mendapat rawatan doktor.. Tiada apa yang perlu dirisaukan, tekanan darah stabil, tiada kencing manis, jantung juga stabil.. tidak demam, tidak ada tanda-tanda jangkitan virus, sehingga akhirnya doktor mencadangkan aku mendapat rawatan pakar atau membuat imbasan... di seluruh tubuh terutama kepala..
Apalagi yang boleh dikatakan... aku tidak menghidapi apa-apa penyakit sekalipun... itu jawapan biasa doktor yang merawat aku. Dulu sewaktu aku mengalami muntah-muntah, bukan kahak..bukan juga lendir.... tetapi darah-darah beku... darah-darah hidup... apabila diimbas, tiada kerosakan hati, jantung atau sebagainya... Adakah hal ini akan berulang lagi.
Pesan doktor itu, jika sudah membuat imbasan, jika tiada perubahan setelah mendapat rawatan doktor pakar.... usahalah dengan cara lain....

Firman Allah yang bermaksud :
"Maha suci Allah yang di tanganNYA lah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kami, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun" (Al-Mulk: Ayat 1-2)

 
Maka aku redha jika diuji lagi.... Biarlah bagaimana sekalipun yang perlu aku hadapi, semoga DIA akan memberikan aku kekuatan dan ketabahan melaluinya... semoga aku sabar melaluinya...

Dan sakitku ini menemukan aku dengan beberapa individu. Individu-individu yang membantu aku melalui saat-saat sukar hidupku ini. Jelas, Allah menemukan aku lebih awal daripada pertemuan itu.. Aku bertemu mereka dalam mimpi-mimpi aku ini... di samping mimpi-mimpi dia, dia, dia dan dia yang pernah aku kasihi itu.. entah apa sebabnya begitu... lalu ketika aku benar-benar bertemu mereka, serasa-rasa aku telah mengenali mereka.

Seperti biasanya, mereka yang membantu aku menawarkan 'khidmat' kepada aku... 'bonus' buat aku kira-kiranya.  Berubat dapat, berguru juga rezekiku.. Alhamdullillah aku mendapat guru baru lagi yang akan mengajar aku ilmu-ilmu bathiniah dan ilmu-ilmu ukhrawi... Aduh, berguru dengan ustaz.... belum apa-apa aku sudah diberi amaran!
Tidak aku terima tawarannya, satu kerugiaan aku rasakan. Bukan mudah seorang guru menawarkan khidmatnya. Lagi buat aku yang tidak begitu pandai dan arif dalam banyak perkara.  Cuma ada juga kepelikan apabila diminta hanya memberi salam.... jika aku dalam kesusahan, pasti dia akan membantu... Mustahil!!! fikirku ketika itu...

Tapi tidak terfikir pula aku... dalam dunia sekarang ini, pelbagai cara untuk aku memberi salam kepadanya.  Telefon, internet, jalur lebar... macam-macam cara. Dan dia akan mengajarkan sesuatu yang dapat membantu...
Namun sayang sekali, kerana aku tidak akan sewenang-wenang menggunakan saluran komunikasi yang sedia ada ini untuk menghubungi mana-mana lelaki dengan mudah. Bukan kerana aku sudah serik... walaupun dalam hati ini tiba-tiba aku rasakan ada sebuah taman yang indah dengan bunga-bunga mekar... aku akan sedaya upaya mengelakkannya... Biarpun sukar aku hadapi selagi ada daya aku ini, aku tidak akan menggunakan alat komunikasi itu untuk berhubung... dan aku tidak boleh bersalah sangka lagi..

Biarlah.... jika dia berhajat, maka dia yang perlu memulakannya... itu tekadku ini.
Aku hanya dapat memberi sedikit isyarat,  dalam hati ini telah hadir suatu rasa tenang dan gembira dengan kehadirannya.  Hati ini menjadi girang apabila bersama dia.. asalkan melihatnya sahaja... Umpama pucuk dicita, ulam mendatang... apabila dia meminta aku menghubunginya... tapi sungguh sukar pengalaman lalu... dan aku tidak tahu status apa dia dalam hati aku ini... cuma, dalam kesederhanaannya itu aku melihat sesuatu yang hampir sempurna ada pada dirinya...sebagai seorang pemimpin yang baik sepertimana bagusnya dia dalam mengimami solat berjemaah dalam khairiyahnya... aku maklum itu..

Aku cuma mampu berdoa, jika Allah telah membukakan hatinya kepada aku... dan dia adalah terbaik buat aku... semoga segala urusan dipermudah untuk kami... dan yang jelas, dia agak berbeza dengan semua dia yang terdahulu aku kasihi...
Cukup rasanya catatan aku kali ini... Doakanlah, semoga hubungan kami ini akan terjalin dengan sah, halal dan mendapat keberkatan dalam hidup kami, insyaallah...

Isnin, Mei 16, 2011

Terima Kasih Guruku


Aku kira dalam meniti kehidupan aku hingga kini, guru/cikgu/ teacher/ ustaz/ Ustazah... dan sinonim dengannya yang banyak memberikan aku ilmu dan tidak terbalas pula aku dengan segala bakti mereka kepada aku ini.  Aku ingin sekali mengucapkan sejuta penghargaan buat semua guruku yang menjadikan aku ini, 'orang'

Teringat  pantun yang diajarkan oleh Prof. Nik Safiah Karim, yang aku simpan sebagai panduan dalam hidup ini....
Di sana padi, di sini padi,
Barulah boleh dipanggil bendang;
Di sana budi, di sini budi,
Barulah boleh dipanggil 'orang.  (yakni orang yang budiman)

Bukan Sedikit pula, mereka yang berjasa menjadikan aku sebagai aku hari ini... Budi yang mereka berikan, budi yang mereka tanamkan, Budi yang mereka semai, Budi yang mereka ajarkan.... Segala Budi baik itu telah menjadikan aku budiman hari ini.  Terima kasih guruku....

Guru yang terbaik dalam hidup ini, adalah emak dan bapak... yang memberikan aku sinar untuk melihat dunia yang maha indah ini... dengan sabar mendidik dan menjagaku dari tapak kaki aku ini sebesar dua jari, sehingga kini.... setiap ajarannya tetap tersemat dalam jiwa ini.... Terima kasih bapak Hj. Hassan bin Abdullah dan emak Hjh.Sokini bt. Mohd Yusof...

 Dalam hidupku yang aku rasakan hebat ini... selain emak dan bapak, datuk dan neneklah yang memberikan banyak ilmu dan pengetahuan yang menjadi bekalan dalam hidup ini.  Jika bapak menggunakan sebatang rotan sebesar jari telunjuk, dan hancur ketika mengajar aku mengenal alif dan seterusnya mengaji al-quran, datukku hanya berbekalkan rotan kecil yang tidak pernah jejak di mana-mana bahagian tubuhku... Terima kasih Guruku... Datukku Hj Mohd Yusof (Hj. Abd. Fatah) bin Hj.Ismail  dan nenekku Hjh. Supinem bt. Abu Bakar...
 
 Hidupku berperingkat yang indah.. dan dalam hidup ini banyak sekali guru yang memberikan aku cahaya dalam hidup ini... mungkin tidak aku ingat secara jelas semua nama mereka namun aku akan menyenaraikan sedapat boleh nama-nama mereka yang banyak berjasa kepada diri ini...
Hmmm.... semua mereka sedar betapa aku ini sangat nakal dan sangat licik sewaktu kecil aku ini... apa yang tidak pernah aku lakukan? Yang jahat? Yang baik? Yang Hebat? Yang teruk?.... entah apa lagi yang bisa aku lakukan....
Kadang-kadang aku rasa anak-anak muda generasi terkini ini patut berasa rugi kerana tidak merasai sendiri, pengalaman, pengetahuan, kegembiraan, kenakalan sewaktu aku masa kecil dahulu.   Mereka kini leka di hadapan komputer, melayan alam maya yang kadang-kala lebih bersifat penipuan kepada mereka... walaupun dunia berada di hujung jari, namun dunia sebenar itu tidak mereka alami... Contohnya mereka berasa takut menonton filem seram, namun tidak sedikitpun pengalaman benar yang mereka alami... ketakutan itu pula satu penipuan... hakikatnya ketakutan sebenarnya tidak pula mereka alami... Itulah hakikatnya...  Mengapa ada yang hanya bercerita berdasarkan pengalaman yang tidak pernah menjadi kenyataan...
 Masa aku sekolah tadika, Cikgu Armah bt. Marsan merupakan guruku yang pertama pada alam persekolahan.. Beliau merupakan anak datuk saudaraku, kebetulan pada ketika itu merupakan tunangan kepada bapa saudaraku... namun, jodoh mereka tidak kesampaian... namun aku bersyukur kerana mengenalinya dengan baik, dan aku dilayan dengan baik.. ada seorang lagi pembantu guru tadika ketika itu... aku ingat rupanya, dan namanya Kak As... nama penuh aku tak tahu... Masakannya... ehmmm, sukar untuk dibandingkan.... entah apa khabarnya sekarang...

Sekolah rendah merupakan saat yang paling menggembirakan dan seronok....(sekarang ini baru merasainya, dulu-dulu ke sekolah pun menangis saja... lagi-lagi jika kerja sekolah tak siap.. Matematik.. Sekolah Kebangsaan Assam Jawa... mendidik aku mengenal membaca, mengira... Walaupun aku bukan seorang yang aktif atas beberapa sebab ... namun aku juga bukan golongan yang tidak popular...Ingat guruku, Cikgu Abdul Hamid... guru ilmu hisab... apabila kami salah menjawab, tidak menyiapkan kerja.. kami harus lari keliling padang, mengutip sepuluh ekor kerengga dan digenggam di kedua-dua belah tangan... dan berdiri di satu sudut... bayangkan bagaimana rasa gigitan kerengga yang ada di genggaman kita itu.. Alhamdullillah, aku hanya didenda sekali sahaja... Cikgu Yahaya, Guru Besar ketika aku di SKAJ itu, yang sangat perihatin...Dalam masa yang sama aku juga ingin menghargai guru-guru agama di Sekolah Agama Kg, Api-Api, Kuala Selangor...
 
Meningkat usia, aku melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Seri Tanjung(SMST) tahun 1981-1985... aku belajar banyak perkara di situ... mengenali kawan-kawan akrab dan memperolehi guru-guru yang gigih mendidik kami.  Guru-guru yang sentiasa berusaha menjaga kebajikan kami... Oleh sebab SPM aku tidak begitu memberangsangkan, aku melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Kuala Selangor (SAAS) tahun 1986-1987... Aku  mengenal lebih banyak guru dedikasi yang begitu tabah mendidik kami di kawasan yang jauh dari bandar ketika itu..

Pada tahun 1988-1990 Institut Bahasa Kuala Lumpur merupakan wadah buat aku membentuk diri menjadi guru.... bercontohkan guru-guru yang hebat yang terdahulu... Pensyarah dan kakitangan di IBKL yang sentiasa memberikan komitmen baik kepada bakal pendidik muda seperti kami seperti itu... termasuk jasa baik Kak Hawa, Penyelia Asrama kami yang pada mulanya takut juga utk kami tegur....
Beberapa tahun menjadi guru bukan siswazah... aku meneruskan pengajian ke peringkat ijazah di Universiti  Malaya... walaupun aku bukan  mahasiswa yang dikenali... namun aku rapat dengan beberapa orang pensyarah... banyak guru yang begitu aku kagumi...
Ingin juga aku dedikasikan Ucapan selamat Hari Guru bukan guru-guru yang tidak secara rasmi mengajar aku erti kehidupan... dan juga buat semua guru-guru yang mengajarkan Keseniaan EZHAR... banyak lagi, aku kira terlalu banyak untuk aku senaraikan... maka aku juga ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua guruku....Terima kasih, cikgu

Terima kasih wahai guru-guru ku:
Cikgu Zabedah, Cikgu Normah, Cikgu Arif Fadillah, Cikgu Kartini, Cikgu Aziz, Ustaz Majid, Ust Yunus, Ust Mohamad, Cikgu Arif, Cikgu Ali, Cikgu Cheng, Cikgu Fuad, Cikgu Zakiah, Ustaz Hanafiah,Ustazah Maimunah, Dr.Sanat, Dr. Razak, En. Osman, Ust. Mohd Zakai, Ust. Sani, Cikgu Yusof Mat Diah,Cikgu Rosli, Pn. Azizah, Prof. Hashim Musa, Prof. Nik Safiah Karim, Cikgu Fauzi, Cikgu Aziz, En. Radzi, Dr. Arfah, Cikgu Rodziah, Ustzh Fatimah, Cikgu Zainal, En. Zainal, Cikgu Zainul, Cikgu Jakiran, Cikgu Noridah, Cikgu Azizah, Pn. Halimah.... dan  banyak lagi yang aku tidak ingat namanya, namun ingat rupanya.... namun semua mereka memberikan sumbangan besar dalam hidup aku ini, dan telah menjadikan aku seperti hari ini.... terima kasih, guruku....

Sabtu, Mei 14, 2011

BAHAGIA ITU PUNYA PELBAGAI RASA DAN MAKNA....

 Alhamdullillah dengan segala rahmatNYA atas hidup ini yang dapat aku lalui dengan banyak kebahagiaan dalam hati ini...
Sesungguhnya kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku di hadapan kita.... malah mungkin juga kita tidak pernah mengetahui hikmah setiap apa yang telah kita lalu...
Betapa kerdilnya kita ini di muka bumi ini.... Hanya DIA Yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu itu...
Firman Allah bermaksud :
" Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada ALLAH, sedang dia orang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang kukuh. Dan hanya kepada ALLAH lah kesudahan segala urusan." (Luqman :22)

FirmanNYA lagi yang bermaksud:
" Katakanlah : " Aku tidak berkuasa mendatangkan kemudaratan dan tidak (pula) kemanafaatan kepada diriku, melainkan apa yang dikehendaki ALLAH" Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan(nya).  ( Surah Yunus : 49)

Pelbagai persoalan yang sukar dimengertikan tetapi sebenarnya berkait rapat dengan diri kita ini. Aku akur. Dalam perjalanan hari-hari yang aku lalui beberapa minggu ini aku mendapat banyak iktibarnya... semoga segala itu dapat menjadikan setiap hari-hari yang aku lalui seterusnya akan bertambah baik dan baik... semoga aku tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi. Insyaallah...
Maka aku ingin meneruskan catatan aku ini tentang betapa bahagia itu sebenarnya mempunyai pelbagai rasa dan makna dalam hidup seseorang.. tidak semesti kaya itu bahagia, tidak semestinya cantik itu juga bahagia, tidak semestinya muda itu bahagia... tidak pula kemiskinan itu bahagia walaupun ada yang miskin itu bahagia kerana mempunyai kekayaan dalam hatinya... dan, segala itu sukar dimengertikan... hanya yang merasainya akan tahu sejauhmana bahagia itu dalam hidupnya...


 Beberapa waktu belakangan ini, aku diberitakan dengan khabar kematian yang mengejut... secara tiba-tiba dengan alasan yang tidak relevan.. namun ajal itu adalah hak ALLAH, maka siapa pula kita untuk mempertikaikannya... tidak punya kuasa untuk kita menangguhkannya mahupun mempercepatkannya... dan kita sebenarnya tidak boleh mempersoalkan segala sebab musababnya jika tidak dapat diterima akal...
Seorang saudara bertemu dengan ajalnya ketika usia muda, ketika bertabligh menyampaikan ilmu dan mencari kebahagiaan dalam hidupnya dengan bermusafir mengenal diri dan memperkukuhkan ketaqwaan... maka Allah menjemputnya secara tiba-tiba ketika menyampaikan tazkirah dan bermuhasabah dalam usrahnya.... MasyaAllah... mungkin itulah kebahagiaan yang dinanti-nantikannya...
Kenapa perlu bermusafir untuk mencari kebahagiaan itu??? Aku sendiri sebenarnya tidak pernah mengerti.. Berdakwah itu bukan hanya dengan bertabligh dan meninggalkan semua urusan dunia dan mengejarkan semata-mata akhirat.. sedang nasihah addin itu, akhirat itu mesti dikejar, dunia itu haruslah dicari.... "Berusahalah kamu, seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi, dan beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok harinya.."
Aku berpegang dengan itu, kedua-dua itu perlu diseimbangkan...Mungkin atas alasan inilah, aku cuba mengubah orang yang aku kasihi, mencapai keseimbangan dunia dan akhirat.... agar sentiasa selamat sama ada di dunia apatah lagi di akhirat kelak.
 Namun bukan itu erti kebahagiaan buat saudara yang telah menemui Penciptanya di malam jumaat yang mulia lalu... Tafsiran bahagia  baginya terlalu berbeza... katanya, jika tidak boleh mentarbiyah apa yang ada di sekeliling dan di sisi, walaupun yang sangat disayangi, maka apa salahnya memberikan kepada yang memerlukankan di luar sana... semoga usaha yang baik itu akan memberikan tarbiyah baik untuk yang ditinggalkan... Yang nyata, itulah kebahagiaan baginya... termasuklah pemergiannya itu sebagai suatu ingatan dan tarbiyah... bahawa ajal itu boleh tiba-tiba masa sahaja. Alhamdullillah, semoga dia ditempatkan dalam golongan orang-orang soleh dan segala amalannya akan diterima.... Al-Fatihah.

Beberapa pertemuan aku dengan beberapa orang akhir-akhir ini juga membawa satu lagi erti kebahagiaan kepada aku...
Entah mengapa rasa kelainan perasaan itu begitu mengasyikkan... Bukan kerana suatu yang sangat menggembirakan, namun keadaan itu sesuatu yang memberikan kelapangan hati dan ketenangan yang unik dalam hati ini.
 Suatu masa lalu, aku begitu rasa berdebar-debar untuk melihat dia... aku berasa itu lah bahagianya rasa cinta yang aku ada buat dia... aku berasa senang apabila setiap kali dia berbicara, aku kagum setiap kata yang dituturkannya.... aku senang dengan dia yang satu lagi itu juga... gembira bersama dia... setiap kali dia yang satu itu bercerita, hati aku akan sentiasa ceria.. pintarnya dia berkomunikasi, menyenangkan hati... pandainya dia berjenaka aku pasti tidak kering gusi...
dan aku juga bahagia dengan satu lagi si dia yang begitu penyayang, mengutamakan suri hatinya, bercita-cita tinggi... dan aku berasa ditatang bagai minyak yang penuh... hanya ketika dia bercerita dan meluah azam dan cita-cita... Dan bahagianya aku kesemua dia itu ada ciri-ciri mencintai ALLAH dan melaksanakan semua suruhanNYA dengan istiqamah..

Aku juga masih begitu merasai kebahagiaan itu apabila kesemua mereka aku ikhlaskan untuk bersama dengan orang lain.... sama ada yang pertama dulu, yang kedua itu, yang ketiga juga.... dan yang seterusnya yang terakhir itu...

Namun untuk beberapa pertemuan ini, aku merasakan suatu lagi kebahagiaan yang sukar untuk aku kisahkan... entah bagaimana perasaan ini... Yang jelas, aku berasakan satu lagi nikmat bahagia ini benar-benar berhak aku miliki... semoga rasa bahagia ini akan berkekalan... Biarpun sebenarnya aku tidak berharap apa-apa dengan pertemuan ini, namun aku berdoa semoga bahagia yang aku rasai ini merupakan bahagia yang DIA berikan, setelah pelbagai ujian dan dugaan dapat aku lalui dengan sabar... Terima kasih ALLAH, jika ini pemberian terbaik buat aku... biarpun dia bukan yang mempunyai kesempurnaan seperti yang lain, dan mungkin akan ada halangan dan ujian yang perlu aku hadapi.... semoga semua itu dapat aku lalui dengan tabah... Jika dia yang KAU tentukan buat aku.... aku redha kepadanya dengan ikhlas dan seadanya... Ya ALLAH, semoga inilah yang terbaik buat aku ini.....

Isnin, Mei 09, 2011

Jika dalam hati ada " rasa ?????"

“Wahai orang-orang yang beriman, lindungilah dirimu dan ahli keluargamu dari api Neraka. Ia dijaga dan dikawal oleh Malaikat yang amat keras dan kasar sifatnya. Mereka tidak pernah durhaka kepada Allah malah sentiasa melaksanakan apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka” [al-Tahrim 66: 6]

Aku mulai bicara aku ini dengan  ayat di atas agar memberikan sedikit ingatan buat diriku ini yang sedang berjalan di muka bumi ini dengan banyak kelekaan dan keasyikan yang mungkin akan melalaikan aku ini....
Sudah seminggu berlalu sejak wadah catatan ini aku sediakan bagi entri terbaru dalam laman sesawang malah kesibukan yang mencengkam diri ini menyebabkan aku lupa meneruskan agenda catatan ini... dan hari ini, ketika aku menyambung catatan ini, isu yang ingin aku perkatakan itu sudahpun berlalu dan luput daripada ingatan aku ini..
lumrah aku sebagai manusia biasa ini akan lupa akan perasaan yang dialami, kemarahan, kebencian, kekecewaan.... berlalu pergi meninggalkan aku dengan kisah baru... namun semoga ketika aku mencatat ini akan datang semula ingatan itu, agar apa yang ingin aku sampaikan kepada umum akan ada manafaatnya.
Beberapa malam yang berlalu aku tidak bisa tidur lena... Entah mengapa, aku tidak pasti.  Ada suatu hari itu aku tidak tidur langsung sepanjang malam dan apabila aku pergi ke tempat kerja, tidak sedikitpun keletihan yang aku rasai... tetapi ketika ini, aku rasakan untuk membuka kelopak mata aku ini.... astagfirullah al-azim.... berat sekali.

Aku ingin sekali menyentuh dan berbicara tentang dia yang aku kasihi sehingga kini... aku harap tidak akan menyentuh peribadi sesiapa dalam apa sahaja situasi dalam disedari mahupun tidak.. tetapi aku pasti bahawa  seorang dia itu akan memahami catatan ini.
Peribahasa lama ada menyebut... Langit itu tidak akan selalu cerah, namun apabila mendengar guruh di langit, air tempatan usahlah dicurahkan....dan air yang tenang itu jangan di sangka tiada buaya.

Dalam kataku tidak ingin mengambil  tahu akan dia, sebenarnya aku sentiasa berdoa buat dia... Semoga apa sahaja yang dia inginkan akan dia perolehi  KECUALI jika menginginkan aku sebagai apa sekalipun... kerana aku tidak lagi bisa menjadi apa yang diharapkan olehnya.  Malah hati aku ini juga tidak sebaik dan seikhlas dulu... kasih dan kecintaan aku ini juga sudah aku ragui... apatah lagi buat seorang dia yang tidak pernah menghargai dan menerima aku seadanya sewaktu waktu dulu.
Tidak sesekali aku berdendam.... malah aku masih kasih kepada dia...semoga dia menjadi nakhoda terbaik buat mengemudikan bahtera berkeluarga...
Cuma secara jujur, aku begitu simpati dan kasihan... buat dia itu dan pasangan-pasangannya itu.  Sahabat yang dianggap baik rupanya rencong di luar tetapi pepat di dalamnya.. tapi dia tidak salah, cuma ketika itu dia hanya tersilap perkiraan.... dan aku faham.
Ketika-ketika mereka memperlekehkan aku kerana 'kebiadapan' aku mengasihi orang yang tidak sekufu dan sepadan dengan aku dulu...
ketika-ketika aku dikatakan sebagai seorang yang tidak tahu menjaga maruahku... kisah aku dan dia yang dijaja merata-rata... yang ketika itu aku hanya mampu berdiam kerana aku tahu kebenaran pasti akan terserlah... malah dia sendiri mencemuh dan meletakkan aku begitu hina sebagai seorang wanita...
Ketika-ketika aku sangat dibenci oleh dia , sedang pada ketika itu aku sangat mengasihi dia dan tidak pernah sesekali prejudis kepadanya...
NAMUN, semua itu sudah berlalu.... DIA masih mengekalkan kecintaan aku kepada seorang manusia itu yang aku kasihi seikhlasnya..... Aku juga berbahagia dengan segala kebahagiaannya.... dan alhamdullillah, aku tidak ada sekelumit dendam yang tersemat dalam hati ini...
Ketika ini pula, aku terasa kasihan dia dan pasangannya.... kerana pasangannya yang satu lagi itu begitu membebankannya kini... Entah atas dasar apa, aku sendiri tidak tahu... mungkin cemburu... cuma agak lucu kerana pasangan dulunya itu sering bercerita kepada aku tentang dia... keadaan marah kepada dia, mempersoalkan kewibawaan dan keikhlasan dia.... walhal suatu masa dulu, dialah pula tempat bergantung harap dan berkongsi segala suka duka.  Malah untuk bersama pasangannya kini, pasangan itulah pula kononnya yang memainkan peranan untuk memungkinkan jodoh itu bersatu... Ada ketika apabila dikomen pasangan di sisinya itu agak-agak seperti aku, ada sahaja yang menafikannya.... dengan menyatakan pasangan baru itu lebih mirip pasangan lama itu pula... dan aku juga mengakui itu, bahawa kedua-dua mereka itu memang agak  mirip dan banyak persamaan berbanding dengan  aku ini... dan aku yakin bahawa mungkin pasangan itu mempunyai suatu hubungan yang sukar dimengertikan. Sedangkan aku ini begitu terpinggir daripada hubungan-hubungan itu yang berkaitan dengan dia itu.. Hmmm, biarlah ia berlalu... yang pasti bukan aku punca masalah ini... aku hanya mencintai dia sebagai dia, tidak lebih dari itu... aku jelas tidak akan mencampuradukkan pelbagai hal dalam satu masa.
Kini, setiap kali aku melihat dia dengan orang yang pernah akrab dengannya dulu itu.... aku berasa kasihan juga namun aku tidak boleh berbuat apa-apa, dan aku hanya mampu berdoa semoga segalanya menjadi baik semula. Entah apa masalah yang membelenggu mereka ketika ini... walaupun ada beberapa kali si pasangan lama itu bercerita kepada aku... namun aku tidak memahaminya sepenuhnya... Apakah perasaan yang ada dalam hatinya itu... ada cemburu? Ada dengki? Ada irihati? Ada marah? Ada meluat?  Aku memang tidak tahu sebab musabab... yang aku tahu, aku sering menasihati... agar segala itu tidak dicampuradukkan dan usahlah ada kebencian dalam hati yang bisa memutuskan hubungan itu... Biarpun satu masa dulu hubungan baik mereka itulah menutup kebenaran yang aku ada... memburuk-burukkan keadaan aku, dan meletakkan aku sebagai seorang yang seperti tidak bermaruah... tetapi tidak pula aku ingin membalas dendam itu... Aku tidak berdendam, kerana aku tahu segala-gala yang berlaku ini ada hikmahnya... Biarpun dalam hati ini  belum ada kemaafan sepenuhnya kepada si pasangan lama itu... aku masih mampu untuk memujuk hati ini untuk memaafkan.... semoga suatu hari nanti kemaafan itu akan aku dapat kuberikan kepadanya.

Ada ketikanya apabila diingatkan kisah lama, aku ingin mengucapkan "tahniah" kepada dia atas segala yang berlaku kini... tetapi aku bukan dalam golongan yang bergembira atas kedukaan dan kemudaratan yang dihadapi oleh oranglain...
Aku simpati pada dia... tetapi aku yakin dia sudah mengenali seseorang itu dan mengerti apa yang berlaku selama ini, salah satu daripada angkara dia... Ah, rasanya aku ingin menyatakan segala-galanya, tapi segalanya itu akan mengingatkan aku kepada 'kesakitan' lalu itu. Adalah lebih baik aku melupakan segalanya....

Jika dalam hati kita punyai pelbagai rasa dan sukar untuk kita stabilkan segalanya....maka akan lahirlah rasa tidak berpuashati dan akan ada kelainan rasa yang akan menyulitkan diri kita sendiri.  Akan ada juga rasa tidak selesa sepanjang hidup kita...
Semoga kita dapat meleraikan segala-gala yang tersimpul dengan baik dan tidak memudaratkan diri kita mahupun orang lain.

Beberapa hari ini juga aku berasa sedikit tidak selesa dengan beberapa mimpi aku beberapa minggu belakangan ini... entah kenapa setiap kali itu pula ada dia dalam mimpi aku ini... apabila terjaga sahaja, hati ini akan berkata-kata sendiri ... mengapa dia perlu ada dalam mimpi aku lagi... dan, aku ingin dia tahu....betapa pun jika kita sudah bisa berbincang dan berbicara tentang banyak hal... aku tidak gembira jika dia hadir dalam hidup walaupun dalam mimpi... Aku bisa menerima dia, tetapi aku tidak mahu untuk ada apa-apa jalinan dan tautan dalam hidup kita... maka sebarang kebetulan itu, aku anggap akan seperti tiada apa-apa dan tiada perkaitan apa-apa juga...

Aku tutup catatan itu..... dan dalam catatan seterusnya, aku hanya ingin mengucapkan SELAMAT HARI IBU.... buat semua ibu yang sebenar-benar ibu dalam dunia ini... sama ada ibu itu ibu yang melahirkan dan menjaga anak-anak dengan penuh kasih sayang... mahu ibu-ibu yang tidak melahirkan, tetapi tetap menjadi ibu dalam ertikata mempunyai jiwa keibuan serta menjadi ibu kepada anak-anak yang tidak beribu...

Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:
Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ayah kamu.”[1]
 
Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 23:
Maksudnya: "Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "uh" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."