Ahad, Oktober 16, 2011

SAKITNYA.... Masih terasa!! Kenapa sebenarnya??

Hari ini hari minggu/ahad. Hari untuk berehat dan bersantai melepaskan lelah seminggu bekerja untuk bersama keluarga. 
Sebenarnya aku ingin mencatat dalam ruangan ini semalam lagi, namun talian internet tidak begitu baik. Malamnya pula ada jamuan keraian sedikit. Keletihan sepanjang hari menjadikan aku malas pula untuk meneruskan agenda mencatat di halaman ini. Dan aku juga sebenarnya mempunyai beberapa tugasan yang perlu aku siapkan segera.
 Gambar-gambar dalam catatan kali ini merupakan album pertama aku sejak aku berminat merakamkan keindahan di langit sejak dua tahun lalu. Gambar yang mungkin kurang menarik dari lensa kamera digitalku yang sudah menjangkau usia lima tahun, tahun ini. Kamera yang sudah merakamkan pelbagai cerita kaku dan cerita bentuk video pendek yang memberikan aku sedikit keselesaan menjalani hidup dan penyelesaian berkaitan tugas dan tanggungjawab aku ini. Kamera yang kadangkala membuat aku menempah bahaya, merakamkan gambar ketika memandu, dan kadangkala membuat aku begitu leka sehingga terlupa masalah yang terbeban di minda seketika.
    Namun aku tidak mahu mencatat tentang kamera ini. Aku hanya akan mencatat tentang  tajuk hari ini.  Aku sendiri tidak mengerti apa berlaku sebenarnya kepada aku.  Sebahagian badanku dan pada bahagian-bahagian tertentu amat sakit dan menyukarkan aku untuk bergerak namun kugagahi juga agar aku tetap dapat menjalani hari-hariku dengan baik dan dapat melaksanakan tugas sesempurna mungkin. Jika ditanya mengapa boleh aku seperti ini sekarang aku tiada jawapan untuk itu. Jika boleh aku sendiri inginkan jawapan untuk kesakitan yang sedang aku alami ketika ini.  Sesuatu yang mungkin tidak dialami oleh orang lain. Sesuatu yang pelik dan mengelirukan.
         Dulu ketika aku sakit, atau mengalami suatu perasaan pelik dalam hati ini aku pasti akan bertanya kepada ZAK tentang dirinya. Memang pula secara kebetulan, kesakitan aku itu adalah bersebab musabab daripada kesakitan yang dia alami.  Pasti mengelirukann bukan? Aku terasa sakit badanku seperti terjatuh. Oleh sebab semua keluarga sudah aku tanyai, maka akhirnya ZAK lah yang aku tanyai. Maka jawapannya ketika itu ialah dia baru tergelincir di tempat wuduk dan sebahagian kanannya sakit terutama di bahagian bahu. Dia kata tidak tahu bagaimana dia boleh tergelincir, sedangkan dia sudah berhati-hati. Lalu ZAK bertanyakan aku kenapa?
        Aku jawab yang aku terasa sakit di bahagian kananku, tiada sebab dan tidak tahu kenapa aku berasa tidak selesa sehingga di fikiranku terlintas kepada ZAK ketika itu. Tetapi akhirnya aku berbohong mengatakan aku terlanggar dinding, mungkin itu menyebabkan aku rasa sakit. 
       Aku rasa hidup aku memang misterilah sedikit. Sejak aku tahu tautan hati aku itu agak rapat dengannya, aku sentiasa berwaspada juga. Tidak adil kan, dia tidak pula merasai apa yang aku rasai ini.
      Tambah menyukarkan apabila aku akan dapat mengenalpasti tindakan ZAK dengan gerak naluriku ini. Sehingga suatu masa ZAK berasa sakit hati kerana pergerakannya seperti aku kawal. Mana mungkinkan, aku berada jauh berpuluh-puluh kilometer darinya tetapi aku bisa mengongkongnya. Aku tidak mengongkongnya cuma aku silap ketika aku dalam keadaan itu, aku sering pula menelefonnya bertanya itu dan ini.. bukan yang pelik, cuma bertanyakan khabar tentang dirinya sahaja. Dan kebetulan pula, ketika aku menelefon itu dia baru berhubung dengan seseorang wanita lain. Aku tidak mengkatogerikan dia sebagai curang, namun itulah masalahnya, apabila dia hendak lebih rapat dengan wanita lain, aku pasti dapat menghidunya. Waktu itu juga sebenarnya aku sudah mencari-cari apakah sebenarnya keadaan ini, dan sehingga kini tidak dapat aku cari jawapannya yang sebenar. Dengan ertikata lain, tiada suatu jawapan yang bernas dapat aku jadikan pegangan mengatasi masalah ini.
         Kini aku dan ZAK hanya berkawan biasa. Sejak dia berkahwin terputuslah juga resa atau gerak naluri yang menghubungkan kami. Tiada apa-apa kesan yang masih tertinggal dalam hidupku ini. Dan aku dengan seikhlas hari melepaskannya mencari hidupnya sendiri. Sebenarnya tidak ada istilah cinta pertema dalam hidupku ini. Bagiku ZAK mungkin pertama hadir dalam hidupku sebagai kekasih, namun aku menemui banyak lagi cinta lain selepasnya. Orang kata cinta pertama akan diingati selamanya. Sebab itulah seorang lelaki itu akan menganggap wanita yang pernah memiliki cinta pertamanya tidak akan dapat mencintai orang seterusnya sepenuhnya. Satu jangkaan yang kurang tepat aku rasakan. Antara sebabnya adalah aku sendiri, aku punyai banyak cinta selepas cinta pertamaku... dan ada cinta yang jauh lebih baik daripada cinta pertamaku itu.
       Kali kedua aku alami keadaan ini, ketika aku mencinta seorang dia yang aku panggil 'Abid R' yang aku berikan buat dia sebagai doaku untuk seorang lelaki yang berwawasan dan bercita-cita tinggi dalam mendukung hasrat murni menjadi seorang yang beriman, kuat ibadah dan bertaqwa. Namun itu hanya panggilanku buatnya, tiada siapa yang jelas dengan semua itu. Namun panggilan itu sudah lama tidak aku sebut sama ada kepadanya mahupun sesiapa sahaja di sekelilingnya.  Panggilan itu akan sentiasa ada dalam hatiku. Terutama sewaktu-waktu aku sedih dan sewaktu-waktu aku 'berbicara' sendiri tentang dia. Kesakitan, kesedihan, kegembiraan yang hadir tanpa sebab pada diriku ini selalu sahaja berkebetulan dengan diri 'Abid. Dan ada ketikanya kini, apabila aku tidak berpuashati dengan sesuatu perkara, aku akan membisikkan bersama doa dalam hati ini: 'Abid, mengapa......., sepatutnya......... dan usahlah dikau...............' Itu sahaja yang bisa aku lakukan.
        Selain cara atau kaedah yang sedang aku lakukan sekarang. Dulu aku bisa menegur, menasihati, mengongsikan segala perasaan dan keresahanku melalui sistem pesanan ringkas, namun demi menunaikan janjiku kepadanya... maka kini aku hanya bisa berbisik kepadanya dan melalui cara ini aku juga terus memujuk hati ini reda dengan ketentuan Illahi. Aku sudah melepaskannya mengecapi kebahagiaannya dan aku akan terus mendoakannya sepanjang hidupnya.
        Seperti ZAK aku kira, aku akan mengalami kesakita, kesedihan dan apa sahaja kesakitan atau emosi yang berkaitan datang dari 'Abid. Mungkin jangkaan salah atau bodoh.. ada kalanya apabila aku terasa terlalu sakit kepala seperti menghadapi tekanan dalam tugas,sedangkan pada masa yang sama aku sedang bersenang-lenang dan berehat dan aku akan menjangkakan itu datang dari kesakitan 'Abid..
        Akan aku kirim sms, memintanya berhenti melakukan tanggungjawab itu dan berehat. Aku akan mengurut kepalaku dan apabila beberapa waktu, sakit itu akan hilang.  Begitu juga ketika aku tiba-tiba akan berasa sedih pada saat aku gembira, atau berasa berdebar-debar pada saat aku sedang sangat tenang.. akan aku hantar sms untuk mendekatinya dan menasihatinya, atau menuduh melulu serta memintanya melepaskan keresahan itu agar tidak berkait denganku. Sejurus sms aku hantar, keadaan biasanya akan tenang.
      Adakalanya aku seakan-akan terasa cemburu, takut, bimbang seakan-akan ada yang begitu curiga, dan aku pula tidak dalam keadaan yang sama..maka aku akan sms 'Abid memaklumkan aku tidak ada apa agenda dan seumpamanya, aku tidak bertemu lelaki lain atau tidak akan ada sesiapa yang buat aku terpikat atau seumpamanya, maka tidak lama dari sms itu dihantar, hati ini menjadi tenang semula. Sebenarnya mungkin kebetulan, tetapi yang pasti kelainan rasa itu hanya akan ada antara aku dan ZAK, buat kali pertama... dan antara aku dan 'Abid, buat kali kedua. Selain dua mukmin ini, tiada sesiapa pun akan 'berkongsi' rasa denganku.

      NAMUN, buat masa ini aku mengalami satu kesakitan yang sukar juga untuk aku gambarkan dan sukar juga untuk aku kaitkan dengan sesiapa. Entah kenapa sedang aku berbengkel dan bertaklimat dengan rakan-rakan sekerja, tiba-tiba aku berasa amat sakit di bahagian pinggulku dan  pinggang. Agak menghairankan kerana duduk di kerusi yang boleh dikatakan empuklah juga, dalam keselesaan pendingin hawa yang menyamankan itu, tiba-tiba aku terasa sakit seperti jatuh terduduk dan terhentak. Apabila aku luahkan kepada kawan di sebelah diketawakan pula aku. Dan sebermula itu, badan aku sebelah kiri ini pula terasa sakit. Memang benar-benar yang menyakitkan. Semua ahli keluarga tidak mengalami sintom yang aku alami ini, maknanya bukan daripada kalangan keluarga yang mengalami kemalangan atau kesakitan itu. Dan hingga hari ini, badanku terasa sakit akibat kesan 'jatuh' yang terhentak itu.  Apabila aku hendak bangun daripada tidur pagiku, aku amat sukar untuk berdiri dan badanku masih sakit di seluruh badan. 
            Aku berkira-kira siapakah antara beberapa orang yang sedang mendampingiku, cuba mendampingiku dan bercadang-cadang mendampingku yang mengalami kesakitan berganda daripada kesakitan yang aku alami ini. Aku tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya tidak mengetahui siapakah selepas dua orang lelaki dalam hidupku yang lalu itu, akan menjadi sebegini rapat denganku sehingga belum ada apa-apa ikatan ketika ini aku sudah merasai perkongsian ini. Pastinya hasratnya agak tulus dan benar-benar ingin berkongsi denganku. Hanya apabila hatiku ini mengizinkan sahaja, maka aku akan merasai sedikit perkongsian sedemikian. Aduhai, susah untuk aku membantunya jika aku tidak mengetahui siapa gerangannya.
      Mungkinkah antara dua orang insan yang sedang merajuk kepadaku ketika ini.. atau mungkin orang lain. Ya Allah, permudahkanlah aku mengenalpasti gerangan orang yang dekat hatinya dengan ku ini. Aku boleh membantu mengubatinya namun aku juga khuatir usaha itu tidak berjaya malah memudaratkan kehidupan kami berdua.
     Ya Allah sampaikanlah perkhabaran itu kepadaku ini. Semoga segala urusan antara kami akan seterusnya lebih mudah lagi. Jika ada yang mengalaminya dan sukar untuk mendekati dan berterus terang, kuatkanlah hatinya untuk kebaikan dirinya. Dan aku sendiri rasanya tidak mampu untuk menanggung semua ini tanpa mengetahui gerangan siapa yang berkongsi sakit denganku ini.
         Setiap kali membaca catatanku ini, mungkin ada yang tertanya-tanya kepelikan diriku ini. Ada yang bertanya sama ada aku punyai saka keturunan atau seumpamanya.. Dan jawabnya tidak. Tidak secara jelasnya aku sedar bahawa aku tidak mempunyai apa-apa kelebihan mahupun tidak juga apa-apa hubungan dengan makhluk-makhluk seperti jin dan seumpamanya itu. Aku cuma yakin bahawa itu adalah keadaan aku yang diberikan oleh ALLAH sedikit kepelikan berbanding orang lain. Jika hatiku reda, aku akan lebih mudah 'berkongsi' sesuatu dengan sesiapa sahaja. Ada seorang rakan sangat pantang apabila aku berkata dia pasti mengandung lagi, sedangkan dia sudah tidak mahu mengandung lagi.. sehingga kadang kala dia menutup mulutku agar tiada kata-kata seumpama doa boleh keluar daripada mulutku ini. Katanya mulutku ini 'masin'. Ya, mungkin kadang-kadang, tapi aku masih menafikan kebenaran itu sehingga kini. 
         Namun sememangnya jika hatiku terluka dan akhirnya melahirkan suatu kata-kata, segala yang aku ungkapkan akan tertunai dan terlaksana. Cuma pada aku, doa itu dimakbulkan kerana ketika itu aku adalah golongan orang teraniaya. Maka lebih cepat segala apa yang keluar daripada mulut ini dimakbulkan ALLAH.
         
Dan jika sesuatu itu berdetik dalam hatiku ini berserta kata-kata yang keluar daripada mulut ini juga akan dimakbulkan ALLAH, mungkin itu secara kebetulan.  Selagi tiada doa dan kata yang seiringan terluah di bibirku dan di mulutku  serentak, maka tiadalah menjadi sesuatu ini.. maksudnya kemasinan mulutku itu dinafikan.  Hmmm... semua itu mungkin kerana di bibirku ini jika tiada ada agenda yang ingin aku perkatakan, hanya akan ada ucapan "Subhanallah walhamdullillah walailahaillallah wallahu akbar...Walahaulawala quwataillah billahi alilazim...", dan Allah sering memberiku ingat, ketika aku leka dan alpa...
          Maka dengan ingatan yang diberikan kepada aku ini, aku bermohon dan berdoa... sesiapa pun dia yang sedang menderita sakit kesan daripada jatuh atau seumpamanya ketika ini, semoga akan sembuh dan dapat menjalani hidup seperti biasa. Dan aku akan cuba mengusahakan sesuatu agar kesakitan itu berkurangan, kerana mungkin ketika ini 'dia' tidak mempunyai masa untuk mengubati kesakitannya ini. Aku mendoakan juga segalanya dalam keadaan sempurna ibadah dan mendapat haji yang mabrur, insyaallah.  Aku sering merasakan 'dia' sedang mengingatiku dan aku juga selalu terdesak, seakan-akan 'dia' sedang selalu menyebutku.  "Semoga Allah juga akan menyebutmu, ketika kau menyebutku.."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan