Rabu, Oktober 05, 2011

MAAF KERANA KEKHILAFANKU INI,

Tengok gambar si comel sebelah ini, hati kita pun boleh jadi senang sekali. Tulus sahaja nampaknya.. ceria. 
Ya lah masa kecil, tiada masalah untuk difikirkan... kalau ada pun pasal 'bilalah ibu hendak bagi susu atau makan? Kelakarnya muka orang-orang dewasa di hadapan aku ini!... Tentu lawa lagi comel kalau aku ketawa... 'Eh, orangtua itu tiada gigi macam aku juga kah? Kah,kah,kah,kah.... bolehlah kita ketawa sama-sama, tentu sama-sama comel...

        Hah, logikkah?  Mungkin ya, mungkin tidak! Bayi itu masih suci. Terpulanglah kepada ibu bapanya kelak untuk membentuknya... dari sehelai kain putih, pandai-pandai ibu bapa mencorakkannya.. 

       "SENYUM... TIDAK PERLU KATA APA-APA..."
        Namun sebenarnya, tidak boleh juga hendak senyum sahaja sesuka hati. Kena berhati-hati juga. Bimbang disalahertikan. Bahaya juga jadinya. Kes haru pula jika berjumpa orang yang perasan... kalau  skru di kepalanya semua masih ketat... kalau skru di kepalanya sudah longgar macam mana pula?
        Beberapa hari lalu dek kerana aku senyum, banyaknya pula orang salah sangka. sampaikan emak tegur kenapa dengan aku yang asyik ketawa sendiri sewaktu memandu, dan senyum-senyum sendiri... Mak kata, macam orang skru longgar saja, tak cukup 15 seringgit saja kenapa?   Hah... pasal senyum sahaja, aku dicop sebagai orang tiga suku... siapa susah?

       Bukan salah sesiapapun, cuma berasal daripada senyuman sahaja.  Kebetulan hari itu aku ada beberapa urusan untuk aku selesaikan. Semua melibatkan urusan kaunter. Apa-apa pun sekarang,kan semua mesti tekan nombor giliran untuk urusan. Aku senyum sahaja ketika menekan punat mesin pencetak angka giliran itu, tiba-tiba ada seorang perempuan sebaya emak hendak ambil nombor juga.. dia melintasi aku, melihat aku senyum.. orang tua itu membalas senyumanku.  Tak lama aku melangkahkan kaki, tiba-tiba aku terdengar makcik itu kata. "ops, mak engkau terlepas.." kuat jugalah. Aku pun menoleh ke arah alat tersebut, yakni ke arah makcik itu juga. Apa yang aku lihat, muka makcik itu sikit lagi tak tercium alat itu dek kerana tangannya terlepas daripada punat yang perlu ditekan. Aku berpatah balik  dan bertujuan hendak menolongnya. Kebetulan dia bersama budak perempuan dalam lingkungan usia 9-10 tahun yang sedang memegangnya. Cucunya mungkin. Aku merapatinya membantu dia berdiri betul dan stabil. 
 
         Aku bertanya, "Mak cik ok,ke?"

         Dia jawab apa tahu? 

         " Ini semua sebab kamulah. Kenapa senyum-senyum tadi. Tak pasal-pasal tangan aku terlepas nak tekan butang hijau ke merah."

         Fuhh, tidak pasal-pasal pula jagi salah aku.
       
         "Saya??" kelirulah sikit.

         " Yang kamu itu senyum-senyum kenapa? Ada masalah ke? Aduish... pening ini.. mana ada senyum-senyum, senyum (1x) adalah.

          " Maaf ya makcik, saya tak sengaja.. tidak bermaksud apa-apa" aku balas lembut sahaja.  tapi dalam hati aku tertanya-tanya juga .. senyum ada yang tidak sengaja ke ya?

          Nombor giliranku dipanggil.. aku menuju ke kaunter bernombor 4 seperti terpapar di skrin. Aku duduk di hadapannya dan bagi salam  kepada lelaki lingkungan umur  30an aku rasa. Dia mengangguk. Kemudian dia tersenyum.
 
         "Ya, puan ada apa? " Mesti ayat tak lengkap ini, maka aku tunggu dia bertanya seterusnya. Ayat sepatutnya, "Ya puan, ada apa-apa yang boleh saya tolong?", rasa-rasa akulah kalau berkaitan dengan urusan kaunter.

        "Puan!" Ops. dia masih tunggu jawapan aku rupanya.


        "Eh, ini bukan tempat hendak buat kad pengenalan atau perbaharui kad pengenalan ke?" Aku bertanya sambil membelakangkan badanku dan mendongak ke senarai urusan yang ada tercatat di atas kaunter tersebut sambil menghulurkan kad pengenalan dan wang sejumlah sepuluh ringgit kepada pegawai itu.


         "Eh, maaf... tapi kenapa puan senyum?" Pegawai itu menjawab dan mengambil kad pengenalan dan duit yang aku hulurkan.


         " Kenapa?.. Itu?" Aku menunjuk ke suatu arah dengan mengunjuk menggunakan ibu jariku.
Pegawai itu berpaling ke arah yang aku tunjuk di sisinya.


"SENYUM ITU SEDEKAH YANG PALING MUDAH... SENYUM, TIDAK PERLU KATA APA-APA."


            Dan aku menunjukkan pula ke atas kaunter. Pegawai itu tersedar dan  turut tersenyum dengan keadaan yang sedang berlaku ketika itu. Sebenarnya aku bengang juga dengan pegawai di hadapan aku ini sebab, mana ada aku senyum pun. Lagipun sudah dua kali aku terlepas nombor giliran. Pertama ketika aku lari ke tandas yang disebabkan aku sakit perut tiba-tiba. dan sekali lagi ketika makcik tadi marah-marah aku.. sambil membuat kerjanyanya pegawai itu beberapa kali memandangku sambil senyum.


           "sudah bayar duit RM10?"  Aku hanya menganggukkan kepala, dengan senyum nipis.


           " Kenapa puan?" aku terus keliru ini. Kenapa pula pegawai ini.


           " Puan masih tinggal di alamat yang sama? Di mana kawasan tempat tinggal puan ini? Tak nak tukar alamat? Masih di sini? ini tentu di bahagian dalam-dalam,kan " Berapa banyak pertanyaan pegawai ini hendak tanya? Satu-satulah kalau hendak tanya pun... Tak masuk 'jalan' aku dengan pegawai depan aku ketika itu.  Baru sahaja aku hendak menjawab tiba-tiba dia bertanya lagi. "Sudah bayar RM10 ?"


         Apalagi aku jawablah " Sudah.  Alamat pun tidak tukar, rumah saya di alamat yang tertera itu. Kampung itu pun melalui jalan besar atau jalan utama dari sini ke Klang.. Bukan bahagian dalam. Duit RM10 pun saya sudah bagi dari tadi lagi." 


         Ooooh.... Panjang harakat 'oh' dia itu.  Dia tanya lagi. " Kenapa puan senyum?" Laaa, bengong ke pula pegawai ini.   Belum sempat aku jawab soalan dia, dia terus kata "Letak ibu jari kanan di sini." dia hulurkan alat pengesan ibu jari itu.  Baru aku 'adjust' dia betul jari aku itu.. lepas itu minta ibu jari kiri pula... selesai urusan itu, langsung dia bersuara lagi. "puan bagus kita senyum selalu ini.. manis sangat!" Hah, cuba faham maksud dia ini.... ada yang tersirat. Lepas itu dia bertanya lagi, " duit dah bagi?". Kalau ikut aku ada yang makan tangan karang...barulah tidak perlu kata apa-apa.


           Masa aku hendak bangun untuk ambil gambar pula, dia berkata lagi. "Eh, puan duit sudah bagi tadi,kan.." Aku pandang pegawai itu lagi sambil senyum, lega sebenarnya boleh pergi dari pegawai yang satu ini. Aku bangun, dia pun senyum sambil ibu jarinya mengunjuk tulisan di sebelahnya.


            "Kena cakap terima kasih juga kerana dapat berurusan secepat ini." Aku menjelaskan seakan-akan menyindir. Pegawai itu senyum dan mengangguk.  "Kalau sudah senyum, barulah manis." Aku memandangnya dengan penuh curiga, dia mengangguk lagi dan senyum lagi...kemudian berkata, "Terima kasih kembali kerana senyum..". Aduh,duh, duh... apa jenis lelakilah di hadapanku ini. Buat kerja ke menggoda?  Aku tidak buang masa, terus berlalu.


          Ketika memasuki lif untuk ke tingkat bawah, aku terlihat seorang lelaki India tua melambai, untuk masuk ke lif sama. Dia senyum, aku pun senyumlah... tekan punat pintu terbuka itu, sambil menanti dia masuk dalam ruang lif.. kemudian dia mengangguk sekali lagi, aku rasa dia ucap terima kasih, kot. Sesampai kami ke lobi, kami keluar dan dia memandang aku lagi, mengangguk sambil senyum. Aku balaslah senyum dia itu. Lelaki India itu berjalan setapak ke belakang, aku masih berada di depan pintu lif yang sudah tertutup dan mencari arah tuju sebenarnya. Lelaki India berhenti dan berpaling kepada aku. Aku memandangnya, hairanlah juga. Kemudian dia kata."Awak senyum sikit sahaja pun sangat manis... Senyumlah selalu!" Aku?  menjenggelkan mata, terpempan sebenarnya dan tersenyum serta mengangguk. Lelaki India itu balas senyum aku, berpaling dan berlalu.


         Aku terus melangkah ke pejabat KWSP untuk mendapatkan maklumat akaunku yang sudah lama hilang.  Ambil nombor dan duduk setelah aku lama di hadapan mesin nombor giliran membaca urusan tertera dengan tersenyum sendiri. Tiba-tiba ada lelaki muda di hadapan aku memandangku dengan tersenyum... lalu berkata, "Tadi saya tekan butang ini untuk dapatkan penyata dan maklumat tentang akaun kita.." sambil menunjuk dan menekankan butang itu, kertas nombor giliran pun tercetaklah.. dia memberikan kertas itu kepadaku. Aku senyum dan menganggukkan kepalaku perlahan, tiba-tiba dia berlalu sebab giliran dia sudah dipanggil.  Yang ini baru betul "Senyum.... tidak perlu kata apa-apa!"


        Giliran aku dipanggil. Aku menuju ke kaunter dan dijemput duduk. Aku masih tersenyum kepada pegawai itu. Tiba-tiba juga dia bersuara," Assalamualaikum... kena juga bagi salam juga berserta senyum... ". Aku menjawab salam dan senyum tersindir namanya... aku lontarkan. Aku tidak berlengah menerangkan masalahku... selesai cepat urusan aku lagi bagus,kan. Usai urusan, aku bangun, senyum dan mengucapkan terima kasih dengan tertib. Dia menjawab, "Sama-sama, terima kasih berurusan dengan pihak kami dan terima kasih kerana senyuman itu!" Itu dia, sekali jawapan dia....berdesing di  telinga aku ini. Pasal senyum sahaja aku kena lalui macam-macam peristiwa hari ini.  Namun, pengajarannya... kita memang kena senyum walaupun kadang kala kita menghadapi sedikit kesukaran.. bukan untuk orang lain sahaja, waima untuk diri kita sendiri... SENYUM lah... ia akan menggambarkan banyak perkara.

        Kini aku hendak mencatat untuk seseorang yang tiba-tiba sahaja merajuk dengan aku ini... Hemm, maaf ya.. tidak bermaksud membuatmu terasa atau terkilan, atau bukan tujuan menegur tetapi sekadar mengingatkan, sebagai seorang kawan yang sayang akan 'kawan'nya... Aku harap dikau faham.  


      Alahai, susah hati sebenarnya aku ini! Sudahlah cik abang yang seorang itu pun macam merajuk sahaja dengan aku ini. Apalah malang kena pula memujuk lelaki-lelaki dewasa tetapi ada perangai budak kecil ini. Lagi pening hendak memujuknya.  Budak kecil itu bolehlah didukung, dibelai dan dipeluk-peluk... Ini sudah jadi suami dan bapa orang dan yang seorang itu sudah hendak jadi suami oranglah juga, manalah boleh hendak pujuk macam budak kecil.

Sudah tua-tua ini, merajuk... buruklah, awak! Ubahlah perangai itu sedikit.. masakan hendak merajuk tidak kena dengan tempatnya... terutama yang baru merajuk itu.. pergilah merajuk pada isteri dikau itu... berbaloi, baloi, baloi... sangat-sangat berbaloi.


          Buat apalah merajuk dengan saya ini, menghabiskan beras saja.. boleh senyum sahaja, tetapi tidak boleh buat apa-apa... Maaflah sangat!


          Rasa-rasanya yang patut merajuk, daku lah ini!... bukan dikau itu!  Hilang ketampanan, lelaki-lelaki Idaman Malaya ini merajuk... apa kata daku merajuklah pula dengan sikap kalian yang sedang merajuk itu, boleh..kan?

         Merajuk-rajuk masa tak sah, atau tak halal ini... bukan cinta tapi nafsu. Maaflah buat kedua-dua kalian,ya... Daku ini terikat dengan perintah dan larangan syariat kita.  Kalian pun begitu, maka harap-harap kekanda-kekanda boleh faham keadaan kita ini. Tiada apa-apa bukti atau kata yang membolehkan adinda ini boleh memujuk kekanda... harap maklum. Kalau ditakdirkan kekanda hendak merajuk lama-lama pun silakanlah... kekanda kenal adinda macammana,kan.. fahamlah sendiri ya.. terutama buat kekanda yang di utara itu ada yang menunggu... kena jaga-jaga!


       Kekanda selatan yang di Lembah Klang ini, belum masanya kekanda hendak merajuk ya. Cukuplah hendak bermanja-manja... kekanda sepatutnya yang membimbing adinda,kan.. Adinda tak anggap adinda tersalah kata, sudah itu hukumnya... maka jika Allah larang itu, tentu ada banyak sebabnya..kebaikan jika kita tak buat apa yang dilarang itu. Lagipun kita sudah kenal lama, cuma baru bertemu semula.. Masa dulu pun kekanda bukan tidak tahu bagaimana sikap adinda ini. Pernahkah lihat adinda keluar dengan mana-mana yang bukan muhrim bersendirian.. bukan susah pun. Adik adinda itu, sebagai teman sahaja... cuba kekanda faham.  
             Memang sebenarnya kekanda mesti faham, dan adinda tahu kekanda tahu dan faham.. Masakan sebab sekecil itu pun kekanda hendak ambil hati. Kalau ya, maafkan adinda, ok... Sebab itu juga dulu, kekanda tidak suka adinda bukan.. Sombong! kata kekanda.. Maaf, adinda memang 'sombong' pada sesuatu yang dilarang itu... sebab itu juga kekanda tidak pernah hendak minum mahupun bersembang dengan kawan-kawan kalau ada adinda, bukan? Adinda faham... dan sekarang pun adinda masih begitu.. Adinda masih akan berkira dalam banyak perkara. Tidak boleh berkompromi dengan benda yang salah. Jika kekanda tidak boleh terima semua itu, terpulanglah... panjangkanlah rajuk itu, sehingga selama manapun.. Cuma adinda hendak kekanda tahu.. pandangan adinda kepada seorang lelaki itu adalah berdasarkan kewibawaannya dalam kepimpinannya dan yang pasti dalam melaksanakan lunas-lunas Islam dengan betul dan tegas.  
             Kekanda perlu tegas kepada yang sepatutnya... dan tidak menjadikan hal kecil ini sebagai satu alasan. Jika rasanya kekanda ingin menarik diri, silakanlah... mungkin itu sudah takdir hidup adinda.  Adinda hormati kekanda sebagai seorang yang lebih senior dan lebih berpengalaman.  Namun adinda bukan seorang yang suka memanjakan oranglain apatah lagi seseorang yang bukan muhrim dengan adinda.  Jika adinda salah tolong betulkan... jika adinda tidak salah, sila betulkan juga... betulkan persepsi kekanda.  Dan jika merasakan apa yang sedang kita lalui ini suatu kesukaran buat kekanda.. adinda redha..


         Adinda tiada jawapannya atas segala yang berlaku.  Jika dia menjadi halangan bagi kita, adinda mohon maaf.. adinda silap. Dan satu lagi yang adinda hendak kekanda tahu, adinda adalah seorang yang mengelakkan poligami, kecuali itu ketentuan dariNYA. Selagi ada upaya, adinda akan mengelakkannya. Kekanda juga tahu, dia telah hadir kembali dalam hidup adinda lebih awal beberapa tahun lalu berbanding kekanda. Dan adinda sudah pernah menolak dan kini dia adalah hanya sahabat kita. Adinda ada jawapan adinda sendiri.


        Lagipun dia sahabat kita, kawan yang rapat dengan kekanda. Dan dia tidak tahu bahawa ada kekanda dalam hidup adinda ketika ini. Banyak sebab kenapa dia mendekati adinda.. Lagipun kekanda patut tahu, ada sejarah yang berlaku kepada adinda dulu ketika dia mula-mula mendekati adinda, dan adinda tidak mahu lagi melalui saat itu lagi. Cukuplah.. biarlah dia tidak serik, tetapi bukan adinda.  Naik fobia mengenangkannya.. Mujur jauh dan pasangannya itu tidak kenal adinda, kalau tidak... nanya adinda diganyangnya.  Bersama-samalah kita berdoa agar ujian ini dapat kita lalui dengan jaya. Dan semoga kekanda akan mendapat jawapan atas segala peristiwa yang berlaku ini....

           Jeng, jeng, jeng....
           Hairan tak dengan drama sebabak ini?  Sengaja mencatat... tiada idea hendak mencatat yang lain.  Pembaca jangan tertipu ya.. Catatan ini , cerita rekaan semata-mata, tidak berkaitan dengan sesiapa sama ada yang hidup atau yang sudah meninggal dunia... sekadar hiburan yang tercatat dek tarian  huruf-huruf dan angka di hujung jari... semoga dimengerti.. bahawa apa yang kita suka dan gemari itu tidak semestinya baik untuk kita... hanya DIA yang maha mengetahui.. Yang baik datang dari Allah dan segala yang buruk itu datang daripada kelemahan diriku sendiri. Yang baik buatlah teladan, yang buruk jadikan sempadan....
 

Belajarlah... carilah ilmu selagi kita tidak mengerti..
Belajarlah terus ... selagi kita belum benar-benar mengetahui...
Belajarlah lagi dan lagi... walaupun kita telah menguasai dan pasti...
belajarlah... sehingga ke alam abadi... kerana di situlah pembelajaran kita terhenti...
Wallahualam...

Selasa, Oktober 04, 2011

KERETA IMPIAN @ KERETA MIMPIAN ????

Malam ini aku ingin mencatat lagi... sahaja-sahaja, menghilangkan sedikit rasa jemu yang bertamu.. 

        Pelikkan, bukan aku tiada kerja hendak aku buat.. tapi tiba-tiba rasa hendak mencatat sesuatu.. tapi malam ini hendak catat tentang kereta impian hatiku.. Dalam banyak-banyak gambar yang aku muatkan dalam ruang ini ada satu kereta yang memang menjadi impian sejak kecil.
       Apabila melihat ada rakan-rakan yang menggunakan kereta jenis itu, aku ada sedikit iri hati, namun kita patut sedar dirikan. Ukur baju di badan sendiri.  Kalau aku kata, soru (makan) pun kadang-kadang hampir-hampir 'mis', boleh percayakah yang aku boleh dapat kereta yang aku impikan itu... jawabnya tinggal mimpi sahajalah.. Cukuplah melihat aku rasa bersyukur sangat.
     Rezeki yang ada belum mengizinkan aku untuk memiliki kereta yang aku impikan itu.. namun kata bapak tidak mengapa jika kita hendak berangan-angan pun, jika kita usahakan  dan menjadikan cita-cita, mesti ada azam, misi dan visi.. segalanya berkemungkinan. 

      Gambar di sebelah inilah kereta idaman hatiku.. keluaran lama sudah cukup menguja hati, apatah lagi keluaran yang baharu.. aduh, aku melirik habis kalau ada di sisi aku... hendak dipandang beriya-iya, perasaan pula pemandunya nanti. Maka cukuplah memandang...

         Sebenarnya masa kecil dulu, aku lebih suka dengan kereta jenis Pajero, Jeep dan sekeluarganya dengan spesies kereta itulah. Bukan kerana kereta itu besar tetapi kereta itu jenis pacuan empat roda.  Belum lagi pandai memandu, aku memang suka dengan kereta pacuan empat roda. Namun apabila aku melihat kereta Honda CRV, hati aku ini lebih teruja nampaknya. Pernah sahaja aku berangan-angan untuk menjelajah seluruh Malaysia menaiki kenderaan yang aku impikan itu.
       Pada awal menggunakan kereta  dulu aku hanya menggunakan kereta Iswara Sedan, kereta Nasional.  Aku beli tunai, tetapi separuh daripada simpananku dan sebahagian lagi  simpanan 'PaMa', papa dan mama... alahai bapak dan emak lah apalagi.. bukanlah mahal mana, beli kereta yang di'lelong' oleh Syarikat pengeluar kereta kedua (dululah) Perodua Sdn. Bhd. Kereta itu dipakai oleh pegawai dari Jepun, maka apabila sampai tempohnya kereta itu masuk tender. Kalau tidak silap kereta itu kira-kira RM22,500.00.  Masa hendak masuk tu kena bayar RM 500.00 dulu... aku dapat, maknanya harga aku letak itu yang paling rendah. Begitu pula cara lelongan itu. Biasanya apabila dilelong, harga yang paling tinggi akan menang,kan... itu namanya rezeki... Rezeki pun sebab sudah pecah lubang, siapa yang letak harga paling rendah boleh dapat... hah, akulah itu.

       Kereta itu baru digunakan antara 3-7 tahun digunakan.  Kira okay,lah kan sebab aku pun bukan lama kerja.. macam-macam hendak tanggung.. kelulusan pun tidak seberapa, sebab itu gaji pun (tidak dapat dipersoalkan)... 5 tahun sebelum itu pula aku sudah habiskan simpanan untuk menunaikan fardhu Haji yang pertama kalinya. Alhamdullillah, boros-boros aku pun aku boleh sampai juga ke sana.  Tapi sebenarnya emak dan bapak yang banyak 'memberi' kepada aku sehingga menimbulkan rasa tidak senang kepada keluarga.  
     Maknanya bukan senanglah hendak menggunakan dan memiliki sebuah kereta ini.  Sendiri kena ingat, janganlah hendak berlagak jika tidak cukup 'modal'nya.
     Sekarang aku gunakan kereta Wira Aeroback special edition... hitam. Itupun semua kawan yang uruskan.  Aku sahaja cakap jika yang aku mampu kereta itu sahajalah. Maka sudah rezeki aku ada pada kereta itu... sekarang kereta yang banyak berjasa kepada aku itu masih aku gunakan.

        Tetapi kereta itu aku sayang.. jika ditakdirkan aku ada kereta baru pun, kereta kedua ini akan aku simpan.. Entahlah kenapa, walaupun kereta 'be happy' aku itu bukanlah kereta idaman aku, aku memang sayang. Cuma aku tidak rajin hendak cuci kereta itu.. dulu rajin, tetapi apabila basuh sahaja, hari pun hujan. Ingat pakai kereta hitam, senang... tak payah hendak cuci selalu. Nasiblah kan sudah salah anggapan.
Sampai mencatat, aku lihat kereta jenis Audi yang ada ini... hendak terus sentuh tentang jenama kereta yang sangat aku suka ini. Sekarang susah hendak cari kereta jenama ini lagi di Malaysia ini tetapi aku kalau ke kampung baru aku akan cari tempat lepak depan tempat 'show room' kereta ini, di kawasan Kampung Baru, Kuala Lumpur... sekadar melihat, kagumnya aku.  Kenapa ya aku minat jenama ini? Sebab lambang ada empat lingkaran yang membawa makna Audi itu sendiri.  
        Kalau hendak diikutkan model kereta Audi ini cantik-cantik belaka. Ada satu waktu itu aku berhenti di lampu isyarat, lalu pula kereta Audi keluaran terbaru menjalar sahaja depan mata... akhirnya aku kena hon dek kereta-kereta di belakang.  Dek kerana terkejut termati kereta aku.. Hah, baru padan muka orang belakang.. hon-hon aku lagi.. kereta mati enjin, susah pula hendak dihidupkan semula.. rupa-rupanya gear aku terlupa hendak kembali ke petunjuk 'parking'. Al-maklum kereta automatik... mana hendak hidup kalau tak letak tempat sepatutnya gearnya.
Satu lagi jenama kereta idaman hati aku ialah BMW, tidak kira model apa sekalipun. Nampak sahaja simbol dan lambang BMW, kepala boleh berpaling.  Dulu susah juga hendak tendok kereta ini selalu. Tetapi sekarang aku sudah tidak hairan sebab beberapa orang jiran aku ini menggunakan kereta jenis itu tetapi model berlainan.  Dua daripadanya gunakan warna putih dan satu warna 'silver' atau warna perak. alhamdullillah tak perlulah pergi jauh-jauh, senang sudah dapat tengok selalu.
        Kembali kepada kereta milik aku sekarang ini... cukuplah, sederhana sahaja tetapi kereta ini sudah aku pandu merata tempat.  Sebenarnya jika kita selalu bersyukur dengan apa sahaja yang kita ada, kita akan dapat banyak maslahat dalam hidup kita ini.  Kereta ini sudah membawa aku ke Perlis di bahagian utara, ke Kelantan di Pantai Timur dan ke Melaka ke Selatan.  Ke Johor sahaja belum sampai.  Penang, Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan... sampai aku dengan kereta ini.
     Kalau diikutkan kenapa hendak mempersoalkan jenis,jenama,model kereta apa yang digunakan.  Sampai juga aku ke merata tempat dengan kenderaan yang aku ini.
      Namun bukan semua jenis atau jenama aku suka. Jika disenaraikan antara jenama kereta yang aku suka tidak banyak. Hanya jenama HONDA, TOYOTA, HYUNDAI, MERCEDES, AUDI dan BMW..
     Jenama lain seperti Wolkswagen, Volvo, Mazda, Sentra, Ford dan macam-macam lagi kurang menarik minat aku, tetapi kalau diberi percuma??? Aku pasti ambil juga..sudah namanya kereta.

     Kereta mahal lain seperti Lotus, Lamborghini, Porshe, Ferrari dan seumpamanya pun tidak menarik minat aku ini. Mungkin sebab aku tidak mampu agaknya. Kalau aku mampu?  Aku tidak minat pula.  Ada duit tapi tidak membahagiakan pun hendak buat apa, kan?

     Yang terbaru ini, aku berminat juga kereta jenama Toyota itu tetapi jenis Harier dan Fortuner.. 'handsome' sangat kereta itu apabila lelaki yang memandunya... agaknya lebih kacak daripada pemandu di dalamnya. Nampak 'feminin' apabila perempuan yang memandunya. Aduh, jatuh cinta aku pada kereta dua jenis ini.
     Tapi entah kenapa jenis yang aku minati ini masih bercirikan CRV yang masih menjadi impian aku ini. Siapalah yang akan belikan sebuah kereta yang menjadi idamanku.

           Biarpun ia hanya sekadar mimpi kosong mungkin, aku masih berharap suatu ketika apa yang dalam minda ini akan aku perolehi.. hadiah mungkin siapa tahu? EHemm... Bolehkah agaknya?

          Sengaja berfikiran polos agar tidak menyesakkan fikiranku... aduhhh, smart sungguh kereta ini.

     Kalau sesiapa mengenaliku tentu mereka tidak menduga semua kereta yang aku sukai dan aku letakkan ini sterotype.. sama ada Honda CRV ini, Toyota Harier, Toyota Fortuner, Hyundai i30 sport, BMW 6series, Fortuner Land Cruiser, Audi q7...
Fuuhh... puashati jika dapat memiliki salah satu kereta ini.. Atau jika dapat apa sahaja model BMW dan Toyota yang terpilih (aku pilih seperti Camry, terutama keluaran terbaru) dan Audi tentu seronok... tapi semua tinggal angan-anganlah sahaja kot!!!

         Aku teringat apabila seorang kawan memperkenalkan aku kepada seorang 'calon', untukku dulu. Katanya calon itu mempunyai rangkaian rumah sewa banyak di Kuala Lumpur, dan ada pelbagai perniagaan, insyaallah..halal.

        Masa itu dalam hati berkata, 'Alamak, dia tahukah aku kalau boleh hendak cari suami yang boleh belikan  salah satu kereta impian aku itu?'

       Namun aku meminta masa untuk menerimanya kerana dia menjelaskan hal itu dahulu sebagai taaruf untuk calon itu. Alahai pendekatan yang tidak tepat. 
       "orangnya macammana? Jaga sembahyang tak?" Barulah aku mendapat jawapan. Insyaallah, lagipun dia seorang anak lelaki yang bertanggungjawab kepada ibu. Biasanya lelaki yang hendak dan bertanggungjawab menjaga ibunya, adalah seorang lelaki yang baik... itulah ukuran dia.

 Apahal bukan hal itu yang didahulukan untuk salam perkenalan yang dihulurkan. 'Fail, budak ini hendak jadi orang tengah!' dengan wajah aku tersenyum kepadanya, tapi dalam hati aku ini mengutuk dia adalah.  
          
      Tapi tidaklah salah juga, biasanya perempuan akan pandang luarannya dulu... takkan hendak terima sahaja kan.. "nanti hendak makan apa? Makan pasir? Hendak tanggung biawak hidup?", satu jawapan yang akan aku beri apabila orang kata aku ini terlalu memilih... Kenapa? Orang lelaki sahaja boleh memilih? 

       Salah itu... sebab Nabi SAW menyarankan golongan wanita juga memilih pasangan hidupnya.  Orang perempuan juga berhak menentukan kesenangan pada hati dan matanya sebelum menerima seseorang dalam hidupnya... Betul?
       Pendekatan yang baik ialah memulakan ayat yang menyenangkan hati pihak yang 'dilamar' itu. Lihatlah peribadinya... Kalau aku, memang hendak juga yang kaya (sebab itu tidak dapat-dapat)... tetapi aku mendahulukan orang yang menjaga solatnya. Kerana orang yang menjaga solatnya, insyaallah akan menjaga semua urusan dunia dan akhiratnya, insyaallah.

      Macam abang aku itulah... nama sahaja abang aku tapi tak tahu langsung sensiviti aku ini.  Adakah dia kata, orang itu pernah kecewa... tengah cari calon, yang bertudung macam aku... ok boleh 'kawtim' lagi...  ditambah pula, dia boleh juga mengubat orang, ada banyak khadam (pendekatan yang aku tak suka langsung), rajin di dapur, boleh masak dan selalu menolong di dapur terutama kalau di rumah kakaknya (alahai, aku bukan hendak cari pembantu rumah,kan.. apa kes pula orang lelaki hendak duduk di rumah masak, aku kena pergi kerja pula?  Kalau setakat hendak masak, menyediakan makan minum, menolong kerja-kerja di rumah, alahai tak payahlah... aku masih mampu melakukannya)

          Selalu ada di surau... (hah, yang ini aku sukalah... ada ciri-ciri suami soleh) Tapi apabila aku tanya dia buat apa di surau,  abang aku kata kalau tiada apa-apa kerja duduk di surau. ( Payah jugalah...asyik ke surau sahaja tiada wawasan hidup ke?). Sebenarnya bukan sukar hendak menerima seseorang dalam hidup... Mungkin mudah sahaja tetapi kita yang menyulitkan.  Aku yang menyulitkan keadaan ditambah yang hendak 'membantu' itupun tidak menggunakan pendekatan yang betul. Jadi salah siapa... dua-dua pihak salah. agaknyalah...

       Gambar-gambar kereta dalam ruangan ini sudah hendak habis ini, maknanya catatan ini pun akan beransur selesailah... 
       Tengok kereta Hyundai i30Sport ini... ada kelas.. tidak jemu pula memandangnya. Hendak milikinya, 'tok dapeklah nak mnolongnye!"

       Agaknyalah... sekali servis, kena berapalah agaknya?  Berapalah bajet hendak kena sediakan setiap bulan... adeh, adeh.. silap hari bulan,boleh botak laki!  Kalau ada lah...
         Tapi sekali tengok Honda CRV baru sebelah ini... masih aku terpikat dengannya 'cinta pertamaku' ini. Bukan cantik mana pun.  Tapi hendak pilih suami atau isteri, tidak bolehlah macam hendak pilih kereta.. banyak kriteria yang perlu dipertimbangkan.

          Nasihat baginda SAW kepada kita semua ialah 'Sesuai yang baik dan elok itu adalah pada pertengahannya'

 
      Maksudnya apa?  Kalau makan, jangan terlalu kenyang, berhenti makan sebelum kenyang supaya tidak memudaratkan. Apa taknya, kalau sudah melantak tidak ingat dunia... senak dan sakit perutlah, malas hendak bangun... 'best' tidurlah.. tak larat hendak solat... senak sangat, takut muntah... macam-macam lagi.. 
      
     Kalau perempuan hendak berhias boleh tapi patut-patutlah... untuk suami sahaja kan... atau menjaga reputasi dalam tugas dan sesuatu yang tidak meletakkan kita dalam golongan tidak tahu jaga diri dan tabarruj..
     Kereta Mercedes, simbol komersial itu... tak semua keluaran atau model kereta ini aku suka.. tidak tahulah kenapa.. tapi ada satu dua memang menarik hari.
     Cuba bandingkan dengan Toyota Camry ini dengan Mercedes ini, sama cantik,kan... memang menarik. Aku mula mengenal kereta Camry ini sejak kawan sekerja aku membeli kereta ini, kalau tidak silap masa itu pada tahun 1997... Masa dia bawa ke tempat kerja aku pun jadi macam orang yang tinggal nun di pedalaman... tapi jangan salah sangka, kadang-kadang nama sahaja tinggal di pendalaman, kadang-kadang ada yang lebih canggih daripada kita!
 
         Kereta Toyota Fortuner sebelah ini pula nampak 'sasa' dan lasak. Walaupun anak-anak buah aku suka sangat dengan Toyota Alphard tapi aku kurang sikit pula, begitu juga dengan Toyota Estima... Cantik tetapi buat apa pula hendak bawa kenderaan besar macam itu.. Budak-budak sukalah sebab boleh berkejar-kejaran dalam Alphard itu... serupa bas mini yang mini pun ada juga... 'carvan' pula namanya itu.

 

 
        Namun walaupun apapun, dalam banyak-banyak kenderaan bermotor ini, Honda CRV tetap menjadi pujaan hatiku ini walaupun hanya dalam mimpi... Ya Allah permudahkan aku merealisasikan hasratku ini... Limpahkan rezeki buatku dan bukakanlah pintu rezeki yang luas... aku akan cuba berusaha... Insyaallah, suatu hari nanti aku akan memiliki sendiri kenderaan ini... Amin.

SAHAJA UNTUK MENENANGKAN HATI...

Ada kalanya kita memerlukan ruang yang tersendiri untuk merasai nikmat yang dikurniai Allah buat kita dengan tenang dan dihayati.  Ada kalanya kita sudah pun dapat merasainya ketika di mana sahaja kita berada. Waktu ini aku sememang ingin bersendiri walaupun dalam hati ini aku berasa sedikit gusar dengan mimpiku kelmarin. Namun bukan mimpi buruk tamsilannya aku rasa, walaupun mimpi itu memang mimpi buruk yang melibatkan keperibadian. Entah siapa pula perlu aku hindarkan dalam hidupku kelak. Cukuplah sebenarnya apa yang ada di sekelilingku ketika ini. Aku tidak sesekali ingin mencari musuh, apatah lagi dalam kalangan mereka yang aku kenali. Akan ada kemusykilannya mimpiku ini. Namun aku juga sering berdoa tiada apa yang berlaku terutama hal-hal buruk dalam hidupku ini kelak.

Beberapa peristiwa berlaku semalam dan kelmarin tidak menunjukkan akan ada apa-apa masalah yang berlaku, malah ada sahaja beberapa urusan yang sudah dapat diselesaikan. Namun ada kegusaran juga buat diri ini kerana ada kebimbangan dan keresahan yang tiba-tiba muncul dalam degup jantungku ini. Sudah seminggu aku rasakannya namun aku sengaja untuk bertahan dan bersabar. Akan tiba waktunya perasaan itu akan menghindar dariku ini. Semoga akan ada debaran yang membawa berita gembira buatku dan keluarga. Semoga akan ada kebaikan atas segala berlaku dalam hidupku ini kelak.  Sepertimana perancangan yang telah Allah campakkan ke minda dan naluriku. Biarpun aku tahu bicara naluriku ini agak janggal, aku masih yakin Allah akan memberikan beberapa cara dan beberapa tanda untuk aku, insan lemah ini.

        Sabda baginda Sallallahu Alaihi Wassalam marhumnya:

"Beruntunglah orang yang merendahkan diri tanpa mengurangi harga dirinya, ia hidup sederhana tanpa membuat dirinya hina, ia menafkahkan sebahagian daripada harta yang dikumpulkannya bukan untuk kemaksiatan, ia bergaul dengan ahli fiqih dan ahli hikmah, dan ia kasih sayang kepada orang-orang yang rendah dan orang-orang miskin. Beruntunglah orang yang merendahkan dirinya, baik mata pencariannya (halal), baik hatinya dan baik sikapnya, serta ia menjauhi manusia daripada kejahatannya. Beruntunglah orang yang mengamalkan ilmunya, menginfakkan sebahagian hartanya dan menahan mulutnya."  (Riwayat Bukhari)

      Alhamdullillah walaupun hidupku ini tidaklah dikurniai dengan kelewahan harta benda dan kehebatan yang banyak, aku amat bersyukur sekali. Walaupun ada kala aku mengeluh, merungut dan bersedih dengan apa sahaja yang aku lalui, namun akhirnya aku sedar, bahawa di luar sana masih banyak lagi yang kurang bernasib baik kepada aku. Contohnya, aku tidak memilik sebuah rumah namun aku tidaklah pula tinggal di rumah-rumah kebajikan mahupun di tepi-tepi jalan, di bawah kolong dan seumpamanya.  Dan aku masih mampu memandu kereta yang aku beli dengan hasil pendapatanku walaupun bukan kereta mewah yang menjadi idamanku. Dan dengan kereta aku itu aku mampu untuk membawa orang tuaku untuk ke mana-mana arah tujuannya. Dengan kereta yang ada aku boleh menyenangkan orang sekelilingku. Ehmm, walaupun kadang-kadang aku merungut juga menjadi seperti seorang pemandu tetapi itu lebih baik aku sentiasa rasa diperlukan dan aku gembira menyenangkan hati orang lain.  Aku masih punya wang sendiri untuk menampung hidup.. memastikan keperluan makan minum dan pakaian untuk aku sempurna. Tidak terlalu banyak tetapi tidak juga terlalu sedikit, lalu aku masih membesarkan anak-anak biarpun bukan anak-anakku.  Alhamdullillah, aku masih hidup dalam nikmat yang melimpahruah ini.
  
      Aku juga tidaklah dalam golongan orang-orang pandai seperti masyarakat di sekelilingku yang berjaya mendapatkan gelaran doktor dan berkedudukan tinggi. Jika sehingga akhir hayatku masih aku memegang tanggungjawab ini, aku akur.  Sekurang-kurangnya aku akan sentiasa dalam perjuangan menuntut ilmu itu. Apabila duduk dalam kalangan rakan-rakan lama, seringkali juga terasa berbanding. Aku mampu melanjutkan pelajaran untuk ke peringkat tertinggi, tetapi aku perlu membuat pilihan dalam hidup ini. Biarpun aku tiada gelaran sehebat rakan-rakan lain, itu lebih baik apabila aku dapat memberikan apa yang aku belanjakan untuk pencapaian itu kepada orang yang lebih memerlukannya. Insyaallah akan tiba masanya Allah memberikan balasan yang menggembirakan hati ini. Seperti membesarnya anak-anak menjadi orang yang berguna... melahirkan generasi yang soleh dan solehah. Membahagiakan orang tua yang lebih memerlukan masa dan perhatianku. Jika aku mengejar semata-mata pengikhtirafan di dunia, apakah pula yang akan aku bawa ke sana nanti. Maka pilihanku adalah di jalan yang sedang aku ambil ini.


     Sabda Rasullullah SAW bermaksud:

Tiada dua orang yang saling mengasihi demi kerana Allah SWT, kecuali yang lebi utama dari kedua-duanya adalah orang yang paling besar kasihnya terhadap temannya.

(Hadis riwayat Bukhari melalui Anas R.A)

    Dalam mengasihi oranglain, aku ingin mengasihi mereka seikhlas mungkin. Bukan hanya kepada saudara sedarah sedaging malah sesama muslim dan sesama manusia.  Orang kata aku takut untuk bersama untuk berpasangan kerana pengalaman-pengalaman di sekelilingku, namun aku rasa tidak ada pula kebenaran itu. Buktinya aku punya banyak dia yang mengasihi aku dan dikasihi aku. Tiada ada bezanya dengan orang lain. Kerana kasih aku itu, aku sanggup juga menanggung sakit, dan penganiayaan... malah fitnah dan penghinaan. Tiada siapa tahu sakitnya aku menghadapi semuanya.  

        Betapa hati ini terlalu sedih apabilla menjadi mangsa rasa iri hati dan dengki seorang yang dianggap sebagai saudara sendiri. Rasa sakit apabila dianiayai oleh orang yang dipercayai. Perit apabila kepercayaan dikhianati oleh orang yang kita hormati.  Dan tanyalah hati betapa derita untuk melepaskan orang-orang yang dicintai untuk melihat kebahagiaan mereka di kemudian hari. Berkorban hanya kerana cinta dan kasih itu tidak dihargai.  Tanyalah juga hati betapa kecewa, dihina dan diperlekehkan hanya kerana kita hendak menjaga maruah diri. Dan tanyalah juga hati, apabila kita terpaksa membohongi hati sendiri yang ingin melihat agar oranglain tidak berpecah-belah dan apabila niat ikhlas kita salah dimengerti. Hanya DIA yang mengetahui.. dan luka itu hanya sembuh kerana DIA lebih berhak kita cintai.

    Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

    "Tiada suatu kepayahan punyang menimpa seorang muslim, tiada suatu kelelahan pun, tiada suatu kesusuahan pun, tiada suatu kesedihan pun, tiada suatu penyakit pun dan tiada suatu derita pun disebabkan tertusuk duri (umpamanya), kecuali Allah menghapuskan sebahagian dosa-dosanya kerana hal yang tersebut."    
          (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim melalui Abu Sa'id al Khudri dan Abu Hurairah R.A)

       Ketika itulah pula, kita seharusnya kembali kepada Allah yang berhak kepada diri kita ini. Kerana DIA lebih menyayangi kita.  Dan hanya itulah kekuatan aku ini, yang sentiasa ada DIA di sisi...waktu aku senang dan sunyi.. pada ketika-ketika hati ini sepi.  ALLAH... nama yang indah di hati.
      Walaupun aku sebagai manusia sentiasa berkeluh kesah, namun aku sentiasa merasai pada setiap ketika doa yang aku ucapkan ketika resah itu DIA tunaikan dengan segera, DIA memberikan dengan mudah dan memudahkan. Aku tidak pernah menidakkannya. Dan selalu pula bagi aku ini, DIA memberikan tanda dan aku lantas melaksanakannya. ALLAH, terima kasih dengan segala pemberianmu ini..

 Catatan aku kali ini tidak bermotifkan apa-apa. Hanya kerana aku ingin berkongsi rasa sebab selalu sahaja kita ini lupa.  Ketika kita merancang, kita rasakan kita mampu melakukan segala-galanya.  Kita akan selalu rasa kita mampu... "Kalau kita fikirkan kita boleh, maka kita akan bisa melakukannya." Benar... tapi ada ketikanya kita akan lelah. Letih dengan apa yang kita fikir boleh, kerana kita sudah tidak punya ruang untuk diri kita sendiri. Ketika kita berasa kita tidak dihargai.  Ketika kita rasa kita tidak dihormati dan dipercayai lagi... dan, ketika itu kita rasa hampa dan sedih, lalu akan rasa tersisih dan tersingkir.
   
      Maka ubat dan penawar yang paling mujarab, kembalilah kepadaNYA.  Kerana kita hanya mampu merancang, tetapi DIA yang akan menentukannya. Usahlah dikesali jika kita gagal hari ini... Usahlah juga kita kecewa kerana perancangan kita tidak menjadi... Hiduplah dengan berkat dan redha dariNYA. Dan kita akan sentiasa berjaya... dalam erti kata sebenarnya.  Kerana DIA yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita dan hidup kita.

    "Doa itu adalah senjata orang mukmin".
     Kata-kata yang menjadi kekuatan dalam menjalani perjuangan hidup menghadapi masa depan yang tidak diketahui kesudahannya.  Jika aku derita hari ini, aku pasti berdoa kepada DIA, kerana DIA pasti menunaikan doa dan permintaan hambaNYA. Tidak akan pernah DIA mengecewakan hambaNYA.  Maka jika hati ini resah, aku pasti berdoa.. apabila aku gembira aku juga pasti berdoa... Dan apa yang kerap aku alami, doaku ketika aku gembira dan senang... lebih DIA dengari...dan tidak kurang pula doa ketika aku sukar dan sudah akan DIA beri..

 Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud :

      " Barangsiapa tertimpa cubaan lalu bersabar, diberi lalu bersyukur, dianiaya lalu memaafkan, berbuat aniaya lalu bertaubat, mereka adalah orang-orang yang memperoleh keamanan dan yang mendapat petunjuk."
      (Hadis ariwayat Baihaqi melalui Samurah)

        'Ahhh, kebetulan sungguh...', itu adalah sesuatu yang sering terjadi dalam hidupku. Suatu masa dulu, soal pakaian pun menjadi menjadi satu senario 'mengancam' hidupku.  Ada kata kuatnya naluri hati ini, atau hati kami... sering berpakaian sedondon setiap hari.  Namun aku tahu itulah hakikatnya, hingga kini. Allah telah memberikanku suatu 'rasa' dan 'gerak' dalam hati ini.. dan terpulang kepada aku untuk melestarikannya. Jika aku ingin menjadikan satu fitnah atau satu anugerah, terpulanglah kepada aku menentukannya.  Sedarnya aku dengan semua itu, aku yang harus pandai menentukannya.  Insyaallah tiada kebersamaan yang kerap terjadi itu akan sentiasa terjadi. Aku sudah bisa dan biasa mengawalnya.  Aku pernah melihat seseorang yang tidak senang dengan kebersamaanku dengannya dalam banyak hal... mungkin kerana dia tidak menyukaiku.. dan aku rela dan redha untuk mengelakkan kebersamaan itu. Kini, aku yang tahu kenapa tiada lagi kebersamaan itu lagi dalam hidup aku dan dia, atau aku dengan sesiapa yang lain. Kerana ada kalanya kita perlu memilih pilihan kedua dalam hidup kita ini.

      Menyentuh pilihan kedua, aku agak sensitif sebenarnya. Sedikit sebanyak menyentuh hidupku yang lalu.  Aku sering memilih apa yang menyenangkan dan meletakkannya sebagai pilihan pertama dan aku akan mengabaikan pilihan-pilihan lain. Namun kita aku sedar, kadang kala kita terpaksa memilih pilihan kedua atau seterusnya dan itu akan lebih membahagiakan.  Ketika ini sebenarnya aku agak keliru dengan pilihanku.. namun aku yakin ALLAH sedang mengerakkan aku kepada pilihan-pilihan yang terbaik dalam hidupku ini tidak kiralah sama ada sesuatu yang akan aku pilih itu, pilihan pertama, pilihan kedua mahupun pilihan-pilihan seterusnya. Asalkan segala yang diberikan kepada itu memberikan kebaikan kepadaku dalam agama dan ibadahku, hidup dan matiku... berlandaskan cinta kasih ALLAH.

     Hemmmm,leganya hati ini.. catatan yang sahaja-sahaja aku catat ini, memang melegakan.. benar nasihat sahabatku... menulislah, kau akan berasa lega.  Namun jagalah aib dirimu dan aib oranglain dalam catatanmu.. Jangan biarkan orang lain memperlekeh kita hanya kerana apa yang kita catat, jadikanlah mereka merasakan bahawa setiap apa yang kita catat seumpama halwa yang membawa kemanisan, garam yang memberi kemasinan, hempedu yang memberikan kepahitan, hembusan bayu yang memberikan kenyamanan, lukisan yang memberikan keindahan dan cerita yang menggambarkan kebahagiaan... Jika boleh sehingga kita mampu mengatur segala itu menjadikan suatu gambaran 'kehidupan', yang mengasyikkan. 

Bukan semua yang indah itu elok...
Bukan semua yang cantik itu baik..
Bukan semua yang pahit itu jelek...
Bukan semua yang perit itu menyakitkan...

Adakala, menangis itu lagu yang paling sedap didengar..
Adakala, merintih itu irama yang paling indah dialunkan...
Adakala, sendu-sedan itu nada yang paling mengasyikkan..
Adakala, rasa pilu itu dambaan kehidupan...

Terutama jika ditujukan kepada Yang Maha Pengasih dan Pengampun..
Ketika kita menginsafi diri,
ketika kita mengerti,
Ketika kita bertaubat  dan memohon kepada ILLAHI...

Catatan untuk diri ini yang ingin terus mengerti dan mencintai....