Khamis, Mei 26, 2011

ENTAH MENGAPA AKU INI?????

 Entah mengapa dengan aku ini?  Aku sendiri tidak pasti.. Walaupun sebenarnya aku tahu mengapa... Persoalan-persoalan yang tidak mahu aku rungkaikan. Namun adakah aku akan bertahan melalui semua keadaan ini.   
Wajah dan keadaan diriku ini sememangnya nampak senang, tenang dan ceria ketika ini... Alhamdullillah... 
Namun mungkin aku 'sakit'.... aku sendiri pun tidak pasti. Minggu sebelum ini aku sudah mendapat rawatan doktor.. Tiada apa yang perlu dirisaukan, tekanan darah stabil, tiada kencing manis, jantung juga stabil.. tidak demam, tidak ada tanda-tanda jangkitan virus, sehingga akhirnya doktor mencadangkan aku mendapat rawatan pakar atau membuat imbasan... di seluruh tubuh terutama kepala..
Apalagi yang boleh dikatakan... aku tidak menghidapi apa-apa penyakit sekalipun... itu jawapan biasa doktor yang merawat aku. Dulu sewaktu aku mengalami muntah-muntah, bukan kahak..bukan juga lendir.... tetapi darah-darah beku... darah-darah hidup... apabila diimbas, tiada kerosakan hati, jantung atau sebagainya... Adakah hal ini akan berulang lagi.
Pesan doktor itu, jika sudah membuat imbasan, jika tiada perubahan setelah mendapat rawatan doktor pakar.... usahalah dengan cara lain....

Firman Allah yang bermaksud :
"Maha suci Allah yang di tanganNYA lah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kami, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun" (Al-Mulk: Ayat 1-2)

 
Maka aku redha jika diuji lagi.... Biarlah bagaimana sekalipun yang perlu aku hadapi, semoga DIA akan memberikan aku kekuatan dan ketabahan melaluinya... semoga aku sabar melaluinya...

Dan sakitku ini menemukan aku dengan beberapa individu. Individu-individu yang membantu aku melalui saat-saat sukar hidupku ini. Jelas, Allah menemukan aku lebih awal daripada pertemuan itu.. Aku bertemu mereka dalam mimpi-mimpi aku ini... di samping mimpi-mimpi dia, dia, dia dan dia yang pernah aku kasihi itu.. entah apa sebabnya begitu... lalu ketika aku benar-benar bertemu mereka, serasa-rasa aku telah mengenali mereka.

Seperti biasanya, mereka yang membantu aku menawarkan 'khidmat' kepada aku... 'bonus' buat aku kira-kiranya.  Berubat dapat, berguru juga rezekiku.. Alhamdullillah aku mendapat guru baru lagi yang akan mengajar aku ilmu-ilmu bathiniah dan ilmu-ilmu ukhrawi... Aduh, berguru dengan ustaz.... belum apa-apa aku sudah diberi amaran!
Tidak aku terima tawarannya, satu kerugiaan aku rasakan. Bukan mudah seorang guru menawarkan khidmatnya. Lagi buat aku yang tidak begitu pandai dan arif dalam banyak perkara.  Cuma ada juga kepelikan apabila diminta hanya memberi salam.... jika aku dalam kesusahan, pasti dia akan membantu... Mustahil!!! fikirku ketika itu...

Tapi tidak terfikir pula aku... dalam dunia sekarang ini, pelbagai cara untuk aku memberi salam kepadanya.  Telefon, internet, jalur lebar... macam-macam cara. Dan dia akan mengajarkan sesuatu yang dapat membantu...
Namun sayang sekali, kerana aku tidak akan sewenang-wenang menggunakan saluran komunikasi yang sedia ada ini untuk menghubungi mana-mana lelaki dengan mudah. Bukan kerana aku sudah serik... walaupun dalam hati ini tiba-tiba aku rasakan ada sebuah taman yang indah dengan bunga-bunga mekar... aku akan sedaya upaya mengelakkannya... Biarpun sukar aku hadapi selagi ada daya aku ini, aku tidak akan menggunakan alat komunikasi itu untuk berhubung... dan aku tidak boleh bersalah sangka lagi..

Biarlah.... jika dia berhajat, maka dia yang perlu memulakannya... itu tekadku ini.
Aku hanya dapat memberi sedikit isyarat,  dalam hati ini telah hadir suatu rasa tenang dan gembira dengan kehadirannya.  Hati ini menjadi girang apabila bersama dia.. asalkan melihatnya sahaja... Umpama pucuk dicita, ulam mendatang... apabila dia meminta aku menghubunginya... tapi sungguh sukar pengalaman lalu... dan aku tidak tahu status apa dia dalam hati aku ini... cuma, dalam kesederhanaannya itu aku melihat sesuatu yang hampir sempurna ada pada dirinya...sebagai seorang pemimpin yang baik sepertimana bagusnya dia dalam mengimami solat berjemaah dalam khairiyahnya... aku maklum itu..

Aku cuma mampu berdoa, jika Allah telah membukakan hatinya kepada aku... dan dia adalah terbaik buat aku... semoga segala urusan dipermudah untuk kami... dan yang jelas, dia agak berbeza dengan semua dia yang terdahulu aku kasihi...
Cukup rasanya catatan aku kali ini... Doakanlah, semoga hubungan kami ini akan terjalin dengan sah, halal dan mendapat keberkatan dalam hidup kami, insyaallah...

Isnin, Mei 16, 2011

Terima Kasih Guruku


Aku kira dalam meniti kehidupan aku hingga kini, guru/cikgu/ teacher/ ustaz/ Ustazah... dan sinonim dengannya yang banyak memberikan aku ilmu dan tidak terbalas pula aku dengan segala bakti mereka kepada aku ini.  Aku ingin sekali mengucapkan sejuta penghargaan buat semua guruku yang menjadikan aku ini, 'orang'

Teringat  pantun yang diajarkan oleh Prof. Nik Safiah Karim, yang aku simpan sebagai panduan dalam hidup ini....
Di sana padi, di sini padi,
Barulah boleh dipanggil bendang;
Di sana budi, di sini budi,
Barulah boleh dipanggil 'orang.  (yakni orang yang budiman)

Bukan Sedikit pula, mereka yang berjasa menjadikan aku sebagai aku hari ini... Budi yang mereka berikan, budi yang mereka tanamkan, Budi yang mereka semai, Budi yang mereka ajarkan.... Segala Budi baik itu telah menjadikan aku budiman hari ini.  Terima kasih guruku....

Guru yang terbaik dalam hidup ini, adalah emak dan bapak... yang memberikan aku sinar untuk melihat dunia yang maha indah ini... dengan sabar mendidik dan menjagaku dari tapak kaki aku ini sebesar dua jari, sehingga kini.... setiap ajarannya tetap tersemat dalam jiwa ini.... Terima kasih bapak Hj. Hassan bin Abdullah dan emak Hjh.Sokini bt. Mohd Yusof...

 Dalam hidupku yang aku rasakan hebat ini... selain emak dan bapak, datuk dan neneklah yang memberikan banyak ilmu dan pengetahuan yang menjadi bekalan dalam hidup ini.  Jika bapak menggunakan sebatang rotan sebesar jari telunjuk, dan hancur ketika mengajar aku mengenal alif dan seterusnya mengaji al-quran, datukku hanya berbekalkan rotan kecil yang tidak pernah jejak di mana-mana bahagian tubuhku... Terima kasih Guruku... Datukku Hj Mohd Yusof (Hj. Abd. Fatah) bin Hj.Ismail  dan nenekku Hjh. Supinem bt. Abu Bakar...
 
 Hidupku berperingkat yang indah.. dan dalam hidup ini banyak sekali guru yang memberikan aku cahaya dalam hidup ini... mungkin tidak aku ingat secara jelas semua nama mereka namun aku akan menyenaraikan sedapat boleh nama-nama mereka yang banyak berjasa kepada diri ini...
Hmmm.... semua mereka sedar betapa aku ini sangat nakal dan sangat licik sewaktu kecil aku ini... apa yang tidak pernah aku lakukan? Yang jahat? Yang baik? Yang Hebat? Yang teruk?.... entah apa lagi yang bisa aku lakukan....
Kadang-kadang aku rasa anak-anak muda generasi terkini ini patut berasa rugi kerana tidak merasai sendiri, pengalaman, pengetahuan, kegembiraan, kenakalan sewaktu aku masa kecil dahulu.   Mereka kini leka di hadapan komputer, melayan alam maya yang kadang-kala lebih bersifat penipuan kepada mereka... walaupun dunia berada di hujung jari, namun dunia sebenar itu tidak mereka alami... Contohnya mereka berasa takut menonton filem seram, namun tidak sedikitpun pengalaman benar yang mereka alami... ketakutan itu pula satu penipuan... hakikatnya ketakutan sebenarnya tidak pula mereka alami... Itulah hakikatnya...  Mengapa ada yang hanya bercerita berdasarkan pengalaman yang tidak pernah menjadi kenyataan...
 Masa aku sekolah tadika, Cikgu Armah bt. Marsan merupakan guruku yang pertama pada alam persekolahan.. Beliau merupakan anak datuk saudaraku, kebetulan pada ketika itu merupakan tunangan kepada bapa saudaraku... namun, jodoh mereka tidak kesampaian... namun aku bersyukur kerana mengenalinya dengan baik, dan aku dilayan dengan baik.. ada seorang lagi pembantu guru tadika ketika itu... aku ingat rupanya, dan namanya Kak As... nama penuh aku tak tahu... Masakannya... ehmmm, sukar untuk dibandingkan.... entah apa khabarnya sekarang...

Sekolah rendah merupakan saat yang paling menggembirakan dan seronok....(sekarang ini baru merasainya, dulu-dulu ke sekolah pun menangis saja... lagi-lagi jika kerja sekolah tak siap.. Matematik.. Sekolah Kebangsaan Assam Jawa... mendidik aku mengenal membaca, mengira... Walaupun aku bukan seorang yang aktif atas beberapa sebab ... namun aku juga bukan golongan yang tidak popular...Ingat guruku, Cikgu Abdul Hamid... guru ilmu hisab... apabila kami salah menjawab, tidak menyiapkan kerja.. kami harus lari keliling padang, mengutip sepuluh ekor kerengga dan digenggam di kedua-dua belah tangan... dan berdiri di satu sudut... bayangkan bagaimana rasa gigitan kerengga yang ada di genggaman kita itu.. Alhamdullillah, aku hanya didenda sekali sahaja... Cikgu Yahaya, Guru Besar ketika aku di SKAJ itu, yang sangat perihatin...Dalam masa yang sama aku juga ingin menghargai guru-guru agama di Sekolah Agama Kg, Api-Api, Kuala Selangor...
 
Meningkat usia, aku melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Seri Tanjung(SMST) tahun 1981-1985... aku belajar banyak perkara di situ... mengenali kawan-kawan akrab dan memperolehi guru-guru yang gigih mendidik kami.  Guru-guru yang sentiasa berusaha menjaga kebajikan kami... Oleh sebab SPM aku tidak begitu memberangsangkan, aku melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Kuala Selangor (SAAS) tahun 1986-1987... Aku  mengenal lebih banyak guru dedikasi yang begitu tabah mendidik kami di kawasan yang jauh dari bandar ketika itu..

Pada tahun 1988-1990 Institut Bahasa Kuala Lumpur merupakan wadah buat aku membentuk diri menjadi guru.... bercontohkan guru-guru yang hebat yang terdahulu... Pensyarah dan kakitangan di IBKL yang sentiasa memberikan komitmen baik kepada bakal pendidik muda seperti kami seperti itu... termasuk jasa baik Kak Hawa, Penyelia Asrama kami yang pada mulanya takut juga utk kami tegur....
Beberapa tahun menjadi guru bukan siswazah... aku meneruskan pengajian ke peringkat ijazah di Universiti  Malaya... walaupun aku bukan  mahasiswa yang dikenali... namun aku rapat dengan beberapa orang pensyarah... banyak guru yang begitu aku kagumi...
Ingin juga aku dedikasikan Ucapan selamat Hari Guru bukan guru-guru yang tidak secara rasmi mengajar aku erti kehidupan... dan juga buat semua guru-guru yang mengajarkan Keseniaan EZHAR... banyak lagi, aku kira terlalu banyak untuk aku senaraikan... maka aku juga ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua guruku....Terima kasih, cikgu

Terima kasih wahai guru-guru ku:
Cikgu Zabedah, Cikgu Normah, Cikgu Arif Fadillah, Cikgu Kartini, Cikgu Aziz, Ustaz Majid, Ust Yunus, Ust Mohamad, Cikgu Arif, Cikgu Ali, Cikgu Cheng, Cikgu Fuad, Cikgu Zakiah, Ustaz Hanafiah,Ustazah Maimunah, Dr.Sanat, Dr. Razak, En. Osman, Ust. Mohd Zakai, Ust. Sani, Cikgu Yusof Mat Diah,Cikgu Rosli, Pn. Azizah, Prof. Hashim Musa, Prof. Nik Safiah Karim, Cikgu Fauzi, Cikgu Aziz, En. Radzi, Dr. Arfah, Cikgu Rodziah, Ustzh Fatimah, Cikgu Zainal, En. Zainal, Cikgu Zainul, Cikgu Jakiran, Cikgu Noridah, Cikgu Azizah, Pn. Halimah.... dan  banyak lagi yang aku tidak ingat namanya, namun ingat rupanya.... namun semua mereka memberikan sumbangan besar dalam hidup aku ini, dan telah menjadikan aku seperti hari ini.... terima kasih, guruku....

Sabtu, Mei 14, 2011

BAHAGIA ITU PUNYA PELBAGAI RASA DAN MAKNA....

 Alhamdullillah dengan segala rahmatNYA atas hidup ini yang dapat aku lalui dengan banyak kebahagiaan dalam hati ini...
Sesungguhnya kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku di hadapan kita.... malah mungkin juga kita tidak pernah mengetahui hikmah setiap apa yang telah kita lalu...
Betapa kerdilnya kita ini di muka bumi ini.... Hanya DIA Yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu itu...
Firman Allah bermaksud :
" Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada ALLAH, sedang dia orang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang kukuh. Dan hanya kepada ALLAH lah kesudahan segala urusan." (Luqman :22)

FirmanNYA lagi yang bermaksud:
" Katakanlah : " Aku tidak berkuasa mendatangkan kemudaratan dan tidak (pula) kemanafaatan kepada diriku, melainkan apa yang dikehendaki ALLAH" Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan(nya).  ( Surah Yunus : 49)

Pelbagai persoalan yang sukar dimengertikan tetapi sebenarnya berkait rapat dengan diri kita ini. Aku akur. Dalam perjalanan hari-hari yang aku lalui beberapa minggu ini aku mendapat banyak iktibarnya... semoga segala itu dapat menjadikan setiap hari-hari yang aku lalui seterusnya akan bertambah baik dan baik... semoga aku tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi. Insyaallah...
Maka aku ingin meneruskan catatan aku ini tentang betapa bahagia itu sebenarnya mempunyai pelbagai rasa dan makna dalam hidup seseorang.. tidak semesti kaya itu bahagia, tidak semestinya cantik itu juga bahagia, tidak semestinya muda itu bahagia... tidak pula kemiskinan itu bahagia walaupun ada yang miskin itu bahagia kerana mempunyai kekayaan dalam hatinya... dan, segala itu sukar dimengertikan... hanya yang merasainya akan tahu sejauhmana bahagia itu dalam hidupnya...


 Beberapa waktu belakangan ini, aku diberitakan dengan khabar kematian yang mengejut... secara tiba-tiba dengan alasan yang tidak relevan.. namun ajal itu adalah hak ALLAH, maka siapa pula kita untuk mempertikaikannya... tidak punya kuasa untuk kita menangguhkannya mahupun mempercepatkannya... dan kita sebenarnya tidak boleh mempersoalkan segala sebab musababnya jika tidak dapat diterima akal...
Seorang saudara bertemu dengan ajalnya ketika usia muda, ketika bertabligh menyampaikan ilmu dan mencari kebahagiaan dalam hidupnya dengan bermusafir mengenal diri dan memperkukuhkan ketaqwaan... maka Allah menjemputnya secara tiba-tiba ketika menyampaikan tazkirah dan bermuhasabah dalam usrahnya.... MasyaAllah... mungkin itulah kebahagiaan yang dinanti-nantikannya...
Kenapa perlu bermusafir untuk mencari kebahagiaan itu??? Aku sendiri sebenarnya tidak pernah mengerti.. Berdakwah itu bukan hanya dengan bertabligh dan meninggalkan semua urusan dunia dan mengejarkan semata-mata akhirat.. sedang nasihah addin itu, akhirat itu mesti dikejar, dunia itu haruslah dicari.... "Berusahalah kamu, seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi, dan beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok harinya.."
Aku berpegang dengan itu, kedua-dua itu perlu diseimbangkan...Mungkin atas alasan inilah, aku cuba mengubah orang yang aku kasihi, mencapai keseimbangan dunia dan akhirat.... agar sentiasa selamat sama ada di dunia apatah lagi di akhirat kelak.
 Namun bukan itu erti kebahagiaan buat saudara yang telah menemui Penciptanya di malam jumaat yang mulia lalu... Tafsiran bahagia  baginya terlalu berbeza... katanya, jika tidak boleh mentarbiyah apa yang ada di sekeliling dan di sisi, walaupun yang sangat disayangi, maka apa salahnya memberikan kepada yang memerlukankan di luar sana... semoga usaha yang baik itu akan memberikan tarbiyah baik untuk yang ditinggalkan... Yang nyata, itulah kebahagiaan baginya... termasuklah pemergiannya itu sebagai suatu ingatan dan tarbiyah... bahawa ajal itu boleh tiba-tiba masa sahaja. Alhamdullillah, semoga dia ditempatkan dalam golongan orang-orang soleh dan segala amalannya akan diterima.... Al-Fatihah.

Beberapa pertemuan aku dengan beberapa orang akhir-akhir ini juga membawa satu lagi erti kebahagiaan kepada aku...
Entah mengapa rasa kelainan perasaan itu begitu mengasyikkan... Bukan kerana suatu yang sangat menggembirakan, namun keadaan itu sesuatu yang memberikan kelapangan hati dan ketenangan yang unik dalam hati ini.
 Suatu masa lalu, aku begitu rasa berdebar-debar untuk melihat dia... aku berasa itu lah bahagianya rasa cinta yang aku ada buat dia... aku berasa senang apabila setiap kali dia berbicara, aku kagum setiap kata yang dituturkannya.... aku senang dengan dia yang satu lagi itu juga... gembira bersama dia... setiap kali dia yang satu itu bercerita, hati aku akan sentiasa ceria.. pintarnya dia berkomunikasi, menyenangkan hati... pandainya dia berjenaka aku pasti tidak kering gusi...
dan aku juga bahagia dengan satu lagi si dia yang begitu penyayang, mengutamakan suri hatinya, bercita-cita tinggi... dan aku berasa ditatang bagai minyak yang penuh... hanya ketika dia bercerita dan meluah azam dan cita-cita... Dan bahagianya aku kesemua dia itu ada ciri-ciri mencintai ALLAH dan melaksanakan semua suruhanNYA dengan istiqamah..

Aku juga masih begitu merasai kebahagiaan itu apabila kesemua mereka aku ikhlaskan untuk bersama dengan orang lain.... sama ada yang pertama dulu, yang kedua itu, yang ketiga juga.... dan yang seterusnya yang terakhir itu...

Namun untuk beberapa pertemuan ini, aku merasakan suatu lagi kebahagiaan yang sukar untuk aku kisahkan... entah bagaimana perasaan ini... Yang jelas, aku berasakan satu lagi nikmat bahagia ini benar-benar berhak aku miliki... semoga rasa bahagia ini akan berkekalan... Biarpun sebenarnya aku tidak berharap apa-apa dengan pertemuan ini, namun aku berdoa semoga bahagia yang aku rasai ini merupakan bahagia yang DIA berikan, setelah pelbagai ujian dan dugaan dapat aku lalui dengan sabar... Terima kasih ALLAH, jika ini pemberian terbaik buat aku... biarpun dia bukan yang mempunyai kesempurnaan seperti yang lain, dan mungkin akan ada halangan dan ujian yang perlu aku hadapi.... semoga semua itu dapat aku lalui dengan tabah... Jika dia yang KAU tentukan buat aku.... aku redha kepadanya dengan ikhlas dan seadanya... Ya ALLAH, semoga inilah yang terbaik buat aku ini.....

Isnin, Mei 09, 2011

Jika dalam hati ada " rasa ?????"

“Wahai orang-orang yang beriman, lindungilah dirimu dan ahli keluargamu dari api Neraka. Ia dijaga dan dikawal oleh Malaikat yang amat keras dan kasar sifatnya. Mereka tidak pernah durhaka kepada Allah malah sentiasa melaksanakan apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka” [al-Tahrim 66: 6]

Aku mulai bicara aku ini dengan  ayat di atas agar memberikan sedikit ingatan buat diriku ini yang sedang berjalan di muka bumi ini dengan banyak kelekaan dan keasyikan yang mungkin akan melalaikan aku ini....
Sudah seminggu berlalu sejak wadah catatan ini aku sediakan bagi entri terbaru dalam laman sesawang malah kesibukan yang mencengkam diri ini menyebabkan aku lupa meneruskan agenda catatan ini... dan hari ini, ketika aku menyambung catatan ini, isu yang ingin aku perkatakan itu sudahpun berlalu dan luput daripada ingatan aku ini..
lumrah aku sebagai manusia biasa ini akan lupa akan perasaan yang dialami, kemarahan, kebencian, kekecewaan.... berlalu pergi meninggalkan aku dengan kisah baru... namun semoga ketika aku mencatat ini akan datang semula ingatan itu, agar apa yang ingin aku sampaikan kepada umum akan ada manafaatnya.
Beberapa malam yang berlalu aku tidak bisa tidur lena... Entah mengapa, aku tidak pasti.  Ada suatu hari itu aku tidak tidur langsung sepanjang malam dan apabila aku pergi ke tempat kerja, tidak sedikitpun keletihan yang aku rasai... tetapi ketika ini, aku rasakan untuk membuka kelopak mata aku ini.... astagfirullah al-azim.... berat sekali.

Aku ingin sekali menyentuh dan berbicara tentang dia yang aku kasihi sehingga kini... aku harap tidak akan menyentuh peribadi sesiapa dalam apa sahaja situasi dalam disedari mahupun tidak.. tetapi aku pasti bahawa  seorang dia itu akan memahami catatan ini.
Peribahasa lama ada menyebut... Langit itu tidak akan selalu cerah, namun apabila mendengar guruh di langit, air tempatan usahlah dicurahkan....dan air yang tenang itu jangan di sangka tiada buaya.

Dalam kataku tidak ingin mengambil  tahu akan dia, sebenarnya aku sentiasa berdoa buat dia... Semoga apa sahaja yang dia inginkan akan dia perolehi  KECUALI jika menginginkan aku sebagai apa sekalipun... kerana aku tidak lagi bisa menjadi apa yang diharapkan olehnya.  Malah hati aku ini juga tidak sebaik dan seikhlas dulu... kasih dan kecintaan aku ini juga sudah aku ragui... apatah lagi buat seorang dia yang tidak pernah menghargai dan menerima aku seadanya sewaktu waktu dulu.
Tidak sesekali aku berdendam.... malah aku masih kasih kepada dia...semoga dia menjadi nakhoda terbaik buat mengemudikan bahtera berkeluarga...
Cuma secara jujur, aku begitu simpati dan kasihan... buat dia itu dan pasangan-pasangannya itu.  Sahabat yang dianggap baik rupanya rencong di luar tetapi pepat di dalamnya.. tapi dia tidak salah, cuma ketika itu dia hanya tersilap perkiraan.... dan aku faham.
Ketika-ketika mereka memperlekehkan aku kerana 'kebiadapan' aku mengasihi orang yang tidak sekufu dan sepadan dengan aku dulu...
ketika-ketika aku dikatakan sebagai seorang yang tidak tahu menjaga maruahku... kisah aku dan dia yang dijaja merata-rata... yang ketika itu aku hanya mampu berdiam kerana aku tahu kebenaran pasti akan terserlah... malah dia sendiri mencemuh dan meletakkan aku begitu hina sebagai seorang wanita...
Ketika-ketika aku sangat dibenci oleh dia , sedang pada ketika itu aku sangat mengasihi dia dan tidak pernah sesekali prejudis kepadanya...
NAMUN, semua itu sudah berlalu.... DIA masih mengekalkan kecintaan aku kepada seorang manusia itu yang aku kasihi seikhlasnya..... Aku juga berbahagia dengan segala kebahagiaannya.... dan alhamdullillah, aku tidak ada sekelumit dendam yang tersemat dalam hati ini...
Ketika ini pula, aku terasa kasihan dia dan pasangannya.... kerana pasangannya yang satu lagi itu begitu membebankannya kini... Entah atas dasar apa, aku sendiri tidak tahu... mungkin cemburu... cuma agak lucu kerana pasangan dulunya itu sering bercerita kepada aku tentang dia... keadaan marah kepada dia, mempersoalkan kewibawaan dan keikhlasan dia.... walhal suatu masa dulu, dialah pula tempat bergantung harap dan berkongsi segala suka duka.  Malah untuk bersama pasangannya kini, pasangan itulah pula kononnya yang memainkan peranan untuk memungkinkan jodoh itu bersatu... Ada ketika apabila dikomen pasangan di sisinya itu agak-agak seperti aku, ada sahaja yang menafikannya.... dengan menyatakan pasangan baru itu lebih mirip pasangan lama itu pula... dan aku juga mengakui itu, bahawa kedua-dua mereka itu memang agak  mirip dan banyak persamaan berbanding dengan  aku ini... dan aku yakin bahawa mungkin pasangan itu mempunyai suatu hubungan yang sukar dimengertikan. Sedangkan aku ini begitu terpinggir daripada hubungan-hubungan itu yang berkaitan dengan dia itu.. Hmmm, biarlah ia berlalu... yang pasti bukan aku punca masalah ini... aku hanya mencintai dia sebagai dia, tidak lebih dari itu... aku jelas tidak akan mencampuradukkan pelbagai hal dalam satu masa.
Kini, setiap kali aku melihat dia dengan orang yang pernah akrab dengannya dulu itu.... aku berasa kasihan juga namun aku tidak boleh berbuat apa-apa, dan aku hanya mampu berdoa semoga segalanya menjadi baik semula. Entah apa masalah yang membelenggu mereka ketika ini... walaupun ada beberapa kali si pasangan lama itu bercerita kepada aku... namun aku tidak memahaminya sepenuhnya... Apakah perasaan yang ada dalam hatinya itu... ada cemburu? Ada dengki? Ada irihati? Ada marah? Ada meluat?  Aku memang tidak tahu sebab musabab... yang aku tahu, aku sering menasihati... agar segala itu tidak dicampuradukkan dan usahlah ada kebencian dalam hati yang bisa memutuskan hubungan itu... Biarpun satu masa dulu hubungan baik mereka itulah menutup kebenaran yang aku ada... memburuk-burukkan keadaan aku, dan meletakkan aku sebagai seorang yang seperti tidak bermaruah... tetapi tidak pula aku ingin membalas dendam itu... Aku tidak berdendam, kerana aku tahu segala-gala yang berlaku ini ada hikmahnya... Biarpun dalam hati ini  belum ada kemaafan sepenuhnya kepada si pasangan lama itu... aku masih mampu untuk memujuk hati ini untuk memaafkan.... semoga suatu hari nanti kemaafan itu akan aku dapat kuberikan kepadanya.

Ada ketikanya apabila diingatkan kisah lama, aku ingin mengucapkan "tahniah" kepada dia atas segala yang berlaku kini... tetapi aku bukan dalam golongan yang bergembira atas kedukaan dan kemudaratan yang dihadapi oleh oranglain...
Aku simpati pada dia... tetapi aku yakin dia sudah mengenali seseorang itu dan mengerti apa yang berlaku selama ini, salah satu daripada angkara dia... Ah, rasanya aku ingin menyatakan segala-galanya, tapi segalanya itu akan mengingatkan aku kepada 'kesakitan' lalu itu. Adalah lebih baik aku melupakan segalanya....

Jika dalam hati kita punyai pelbagai rasa dan sukar untuk kita stabilkan segalanya....maka akan lahirlah rasa tidak berpuashati dan akan ada kelainan rasa yang akan menyulitkan diri kita sendiri.  Akan ada juga rasa tidak selesa sepanjang hidup kita...
Semoga kita dapat meleraikan segala-gala yang tersimpul dengan baik dan tidak memudaratkan diri kita mahupun orang lain.

Beberapa hari ini juga aku berasa sedikit tidak selesa dengan beberapa mimpi aku beberapa minggu belakangan ini... entah kenapa setiap kali itu pula ada dia dalam mimpi aku ini... apabila terjaga sahaja, hati ini akan berkata-kata sendiri ... mengapa dia perlu ada dalam mimpi aku lagi... dan, aku ingin dia tahu....betapa pun jika kita sudah bisa berbincang dan berbicara tentang banyak hal... aku tidak gembira jika dia hadir dalam hidup walaupun dalam mimpi... Aku bisa menerima dia, tetapi aku tidak mahu untuk ada apa-apa jalinan dan tautan dalam hidup kita... maka sebarang kebetulan itu, aku anggap akan seperti tiada apa-apa dan tiada perkaitan apa-apa juga...

Aku tutup catatan itu..... dan dalam catatan seterusnya, aku hanya ingin mengucapkan SELAMAT HARI IBU.... buat semua ibu yang sebenar-benar ibu dalam dunia ini... sama ada ibu itu ibu yang melahirkan dan menjaga anak-anak dengan penuh kasih sayang... mahu ibu-ibu yang tidak melahirkan, tetapi tetap menjadi ibu dalam ertikata mempunyai jiwa keibuan serta menjadi ibu kepada anak-anak yang tidak beribu...

Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:
Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ayah kamu.”[1]
 
Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 23:
Maksudnya: "Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "uh" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."

Isnin, April 18, 2011

MELALUI WAHANA HATI INI

Aku panjatkan kesyukuran atas anugerah ketenangan dalam hati ini.. Atas segala kegembiraan yang aku lalui... atas segala peristiwa pahit manis yang aku kecapi... atas segala-galanya, alhamdullillah.

Kini, aku ingin mencatat atas beberapa perkata melalui wahana hati aku ini... sudah lama aku kira tidak mencatat segala sesuatu melalui pendekatan hati aku ini... sebab banyak yang berlaku melalui wahana ini yang kadang kala membuat aku berfikir, perlukah aku berkongsi dengan segala sensitiviti yang ada melalui telahan hati aku ini... Aku akan mencuba sebaik mungkin agar tidak menyentuh mana-mana peribadi... namun jika tercalar juga hati-hati yang membaca ; umpama termakan cili dan terasa pedasnya; aku pohonkan kemaafan.... sesungguhnya aku ini insan biasa yang tidak lepas dari pelbagai dugaan,ujian dan cabaran; juga seorang yang lemah dan tidak sempurna maka sedar atau tidak sedar pasti aku bisa melakukan kesilapan dan kesalahan..

Kian hari, sebenarnya bertambah banyak ilmu dan pengalaman yang kita kecapi.  Yang membahagiakan mahupun yang mendukakan; apatah menjengkelkan dan menyakitkan... mungkin diri kita, mahupun diri orang lain.

Aku hanya ingin menyentuh sikap seseorang yang berada di sisi aku ini.  Seseorang yang sering sahaja mempertikaikan orang lain, seakan-akan diri begitu sempurna dan berada dalam zon selamat dalam pembentukan peribadinya.. Hidup kita ini tidak selalunya indah.... maka di situ lah pula silapnya... Setelah kesenangan itu hilang, ada sahaja yang diungkit... Masalahnya yang diungkit itu merupakan kekurangan dan kelemahan diri sendiri..Kelemahan-kelemahan yang disedari mahupun yang tidak disedari... Hati aku ini kututup untuk mendengar bicara-bicara yang tidak menyenangkan itu, namun jika ia berlaku... pasti aku tidak dapat menolaknya.

Ada kala mentari yang berselindung di sebalik awan itu amat cantik dan cerlang... ia akan tetap cantik dengan keunikannya... namun ada ketikanya mentari itu suram, sesuram apa yang berlaku sepanjang hari itu... Kenapa harus terjadi sedemikian.. aku tidak ikhlas untuk meneruskan pelbagai perbualan itu... sehingga aku lebih banyak diam.. Terlalu banyak keburukan yang digambarkan melalui hati itu.. Maaf, ketika aku menegur itu, aku berkata kasar.... namun itu satu nasihat buatmu dan rakan-rakan yang lain... Tidak mengapa... jika kemarahan mu itu diluahkan namun usah menyalahkan orang lain yang telah bersusah payah untukmu dan bertungkus lumus melaksanakan tanggungjawabmu... ke manakah menghilang rasa malu dan rasa bersalah mu itu... Aku memang kesal terpaksa menegur dengan nada dan suara yang begitu keras dan sangat menyakitkan hati kalian. 
Sudah menjadi tanggungjawab aku untuk menegur jika aku mampu; walaupun selama ini aku lebih banyak berdiam dalam pelbagai hal.. aku cuba menasihati diri aku juga sebenarnya... sebab aku tahu hati aku ini... dendam, marah, meluat, bengang dan bermacam-macam rasa lagi yang tidak dapat aku gambarkan terhadap apa yang berlaku di sekeliling aku ini.

Tidak kurang juga dengan sikap beberapa orang yang lain yang walaupun tidak lagi di sisi aku namun masih dekat dalam hati aku ini.  Suatu masa dulu hati aku ini pernah terasa dengan beberapa peristiwa... ketika itu aku menyakini bahawa aku hanya tempat untuk meluahkan rasa dan meraih simpati... segalanya dicurahkan kepada aku... dan aku dengan rela dan ikhlas membantu walaupaun kesibukan aku tidak terkira dan ruang masa yang ada terlalu sedikit waima untuk diri aku sendiri... Bukanlah aku ingin mengungkit, tetapi banyak masa, ruang dan ringgit yang aku habiskan untuk membantu... namun sebagai manusia biasa aku berasa begitu hampa dengan beberapa kejadian itu.

Hal itu menjadikan aku sendiri tidak menyakini diri aku sendiri... terutama apabila rasa kemegahan dan kebanggaan itu diberikan kepada orang lain.. Sedang sesuatu susah aku bersama dengannya... Maka aku kira tidak salah aku terus menarik diri daripada mereka yang tidak pernah menghargai aku, walaupun aku masih memberikan kerjasama yang baik untuk mereka... Hati aku ini sedih dengan sikap mereka itu... atau adakah hak aku kepada mereka atau sebaliknya, ketika mereka sukar dan memerlukan bantuan sahaja.. Setelah mereka berjaya dan gembira, segalanya dikongsikan bersama orang lain... Aku bukan mempertikaikannya, dan bukan juga mengharapkan dibalas atas segala 'pemberian' ku itu kepada mereka.... Aku cuma ingin merasai kebahagiaan itu bersama mereka... dan hak seorang 'sahabat' itu pula direngut daripada aku... Bukan hanya kawan... tetapi beberapa orang yang masih muda atau beberapa orang yang lebih senior ... Atas segala itu... MAAF, sebab hati aku ini sukar untuk membantu lagi, waima memberikan perhatian terhad kepada beberapa orang... semua orang berhak mendapat perhatian.. Mungkin itulah pengajaran tentang persoalan-persoalan hidup dalam hidup aku ini.

Yang aku kesali juga, biarpun ada kalangan mereka masih muda namun telah  mengamalkan sikap pentingkan diri itu juga... Mungkin disandarkan dengan pencapaian akademik yang mereka capai... atau keadaan ujub kepada diri mereka sendiri... yang pasti aku tidak tahu kenapa... Apabila diri merasai kehebatan dan berlakuk kekaguman tentan kehebatan itu, maka mereka akan merasakan  diri mereka tidak memerlukan sesiapa untuk naik... Maka aku rela orang begini pergi jauh dari hidupku ini.   Biarlah juga, tidak sesiapa dalam kerabat aku mengamalkan sikap sebegitu. Aku tidak rela dan tidak mahu dalam kalangan keluarga  wujud sikap yang aku anggap buruk itu.. Ilmu itu tanpa amal umpama pokok yang tidak berbuah... tetapi ilmu yang menjadikan  seseorang itu angkuh dan sombong, merasakan diri mereka itu hebat, bukan batas ilmu sebenar yang patut mereka capai... Bukti seseorang itu berilmu adalah seperti resmi padi, makin berisi makin merunduk...

Sedarlah ujian dan dugaan Allah itu bukan hanya kepada peristiwa duka, musibah, kepayahan hidup .... Malahan ujian itu boleh bersifat kekayaan, kemewahan, kebahagiaan waima dengan menguasai ilmu itu sendiri... janganlah kita menjadi orang yang lupa dengan segala yang diaturkan buat diri kita.
Hingga hari ini, aku berasa terkilan dengan suatu peristiwa itu, ilmu yang tidak setinggi mana yang telah dikuasai, membuatkan dia lupa diri... walaupun dalam doaku ada dia namun antara isi kandung doa aku itu, semoga dia tidak tertipu dengan kehebatan yang tercatat di sijil atau ijazah yang diperolehi... Jika gelaran untuk mereka itu Doktor, Proffesor, pendita dan seumpamanya sekalipun, tiada gunanya jika tidak ada akhlak yang baik mengiringi.  Aku percaya keseimbangan intelek(IQ) dan emosi (ESQ) perlu untuk melahirkan cendikiawan yang sebenarnya.

Dan, dalam mengejar akhirat pula... kita tidak perlu meninggalkan dunia... semata-mata untuk membolehkan kita masuk ke syurgawi impian semua itu kita hanya perlu mengejarkan akhirat semata-mata. Hal ini juga meninggalkan rasa ralat di hati aku ini... Namun banyak yang cuba memisahkan antara kedua-duanya itu...dengan meletakkan akhirat sebagai segala-galanya. Entah apa tafsiran yang ada apabila menganggap dakwah itu hanya boleh disampaikan menggunakan satu cara iaitu berceramah dan mesti dilaksanakan di surau atau masjid... Pada aku tanggapan yang salah dan pemikiran yang cetek.. namun aku tidak mahu mempertikaikan sebelum ini.. Biarlah mereka dengan cara mereka sendiri, namun ketika ini hati aku ini berasa sedih dengan semua itu.. Tarbiyah dan dakwah boleh dilaksanakan dalam pelbagai versi dan cara... Bukan satu cara itu. Bagaimana kita hendak menyampaikan ilmu itu, mengajar kebaikan itu kepada golongan yang meliar di luar itu dengan hanya menggunakan satu pendekatan.  Doa aku yang tak berapa pandai dan tak berapa bijak ini, semoga mereka yang memiliki ilmu agama itu tidak mengecilkan skop dakwah mereka.. bukan hanya berceramah dan berdakwah di masjid dengan mengajar mereka yang sudah tentu baik, sudah tentu insaf yakni tahu apa kepentingan dan hukum... jelas terbukti mereka menunaikan sembahyang berjemaah di masjid...

Entah mengapa generasi pendaie sekarang ini takut dengan cabaran yang ada di luar sana... Anak-anak muda itu tidak dapat dipujuk dengan sekali bicara dan nasihat... jika kita ingin mengubah dan membentuk generasi muslim yang baik, usahlah duduk di takuk lama, berdakwah dengan taktik dan kaedah yang sama begitu lama.... berubahlah... dan ubahlah paradigma diri pendakwah itu sendiri... barulah mereka akan dapat mengubah generasi itu menjadi muslim yang baik.

Hati aku ini masih ingin berbicara tentang golongan mereka di sekeliling yang mementingkan diri mereka.. Entah apalah yang hendak dijulang, Entah kenapa hendak mendabik dada... Kehebatan berasaskan kecintaan dunia ini tidak ke mana sudahnya... Betapa besar pun keyakinan kita, bahawa diri kita itu hebat... tiada apa yang boleh mengubah segala sesuatu itu hanya dengan berkata-kata atau bercakap besar... Tidak juga akan tertunai harapan dan impian kita  walaupun kita berusaha sehebat mana tetapi dalam masa yang sama tiada redha daripada orang tua dan guru-guru.   Tiada aku tahu mengapa, hati aku ketika itu sangat sayu dan rasa terhina... 'Anak-anak' di hadapan aku ketika itu tidak mempedulikan aku ini... mungkin aku tidak sesempurna mereka yang lain di sekeliling mereka, sehingga untuk berbicara.... aku terpaksa mengulang ayat yang sama beberapa kali...
Kejayaan sedikit itu sudah membuatkan seseorang itu lupa... dan ujub dengan kebolehan mereka..

Sayang sekali hati aku ini tidak redha diperlakukan seperti itu... diperlakukan seperti aku tidak punya peranan... diperlakukan seperti aku tidak tahu apa-apa.... diperlakukan seperti mereka sangat bagus.... sesiapa sahaja akan berasa hati... bukan hanya aku... maka entah ke mana keikhlasan aku ini meminggir... Entah ke mana juga doa aku ini... aku tidak tahu...
Bukan mudah bagi aku menyediakan ruang itu, masa dan perhatian aku dalam kesibukan sedia ada aku ini.... Maka hati aku ini terluka...
Aku tidak mengiringi perjuangan mereka dengan satu doa sekalipun... tiada dan tidak hadir juga doa selepas itu... malah tidak ingin aku tahu apa kesudahannya... tidak pula aku mendoakan kekurangan atau kekecewaan... aku serah segalanya kepada DIA... namun hati aku ini sedih dan pilu diperlakukan seperti itu.
Maafkan aku jika bersalah.....
Dan setelah keputusan itu....
Aku tiada apa-apa yang aku kesali... Cuma ada sisa-sia kesedihan lalu, cuma ada kehampaan lama... cuma ada keterkilanan lepas...
Aku tidak mahu berkata apa-apa dan tidak mahu memberi sebarang respon...  Biarlah berlalu... biarlah seperti itu... DIA sudah menentukan..

Cuma ada antara mereka yang begitu hampa... aku tidak hairan...
Cuma ada antara mereka yang kecewa... aku tidak kisah...
Cuma ada antara mereka mempertikaikan kesilapan orang lain... biarlah aku tidak ada kaitan...
dan ada yang berasa seperti mana yang hati aku ini rasai... Biarlah bukan aku yang menyediakan situasi itu...

Pantas sekali DIA memberi pengajaran... memberikan peringatan.. tentang hati aku ini yang dilukai, oleh mereka yang melukai.... rasa sakit dalam hati aku, rasa sedih dan sebak dalam benakku.... rasa hampa dalam pengharapan aku itu... mereka telah merasainya...
Biarlah, DIA memang Maha Mengetahui dan Maha Mengasihi... dan DIA Maha Berkuasa...
Aku cintai DIA.... dan DIA membalas cintaku ini.... Terima kasih.. DIA selalu mendengar aku yang lemah ini... dan DIA mengubati hati aku ini dengan segera... Alhamdullillah..
Melalui wahana hati ini, dengan selaut kasih sayang dan cinta DIA kepada kita semua, aku kira hati ini telah terpujuk dengan sendirinya... dan kini aku ikhlas dan nyata aku REDHA..
Sebenarnya aku tahu bagaiman peribadiku ini.. Apabila aku kecewa aku sering mengadu kepada DIA... tidak kira pada ketika mana... selagi hati aku ini tidak bermonolog, maka aku akan sentiasa dalam keadaan yang stabil dan bertenang... tiada apa akan berlaku....
Namun DIA mengurniakan aku sensitiviti yang kuat... Melalui hati ini jika ia berkata-kata sendiri, maka kata-kata itu akan tertunai.... walaupun bukan aku sengaja... apabila berkait di hati, DIA selalu menunaikannya.... Aku tahu itu, dan sentiasa tahu... maka aku selalu berdoa, usahlah ada sesuatu yang dapat membuatkan sesuatu terdetik di hati kerana melalui wahana hati aku ini, doa itu sering terlaksana...

Sabtu, April 09, 2011

MELALUI LENSA KAMERA DAN PEMERHATIANKU...

Sepanjang perjalanan ke tempat kerja, masih lagi gelap dan aku tidak dapat memerhatikan apa-apa di langit kecuali cahaya samar daripada neon-neon di sepanjang jalan itu... namun seharian ini hingga menjelang senja aku melihat pelbagai cerita dan panorama yang ada di langir yang sama di, dari tempat kerja ke rumah... pada langit itu terdapat kisah yang cepat berubah di langit dan cuaca yang tidak dapat dijangkakan kini. Inilah hakikat kehidupan kita kini, dalam perjalanan yang begitu singkat terdapat pelbagai kisah suka-duka yang dialami dan menguja minda ini terus berfikir dan menilai perjalanan dalam hidup sendiri.

Bukan mudah untuk memahaminya.... namun aku hanya memberi pesanan dan ingatan ini buat diri aku sendiri, agar aku akan lebih berhati-hati dalam tindakan aku selepas ini.  Seperti mana beredarnya pelbagai  cerita di dada langit dalam sehari itu, maka begitu jugalah dalam hidup kita ini. selebihnya jika boleh dijadikan ingatan buat orang lain, pembaca catatan ini, semoga akan ada iktibar di sebalik catatan ini... insyaallah...
 Minggu belakangan ini, sebenarnya aku terus diuji.... namun kini aku lebih tenang menghadapi pelbagai situasi dan perkara yang aku lalui. Walaupun aku tahu berdiam diri itu adalah tindakan orang yang seumpama pengecut... namun  bagiku jika ada baiknya untuk aku berdiam diri, maka aku akan terus berdiam diri dengan harapan agar perkara atau situasi itu tidak menjadi besar. Mungkin pelbagai telahan akan timbul rentetan itu... Apalah sangat umpatan dan penghinaan yang tidak berasas itu kepada aku ini. 

Biar seribu orang membenci aku ketika aku melakukan perkara yang betul tidak akan menjejaskan pandangan dan prinsip aku ini... cuma sepatutnya aku bisa untuk mempertahankan diri.... tetapi terfikir pula aku, mempertahankan diri daripada apa? Daripada sesuatu yang tidak aku perbuat?   Biarlah.... biarlah  si luncai terjun dengan labu-labunya... jika labu itu elok maka akan terapung dan selamat... tetapi jika ia rosak dan berlubang maka akan tenggelamlah juga... biarpun labu itu sesuatu yang ringan...

Banyak sekali cerita di dada langit itu, maka secepat dan sebanyak itu DIA akan menunjukkan kebenarannya... Kini, tanda-tanda menghampiri kiamat itu jelas... DIA akan 'membayar' tunai segala sesuatu itu... maka kini sudah banyak yang dibuktikan. 
Langit cerah itu tidak menjanjikan sepanjang hari itu akan cerah... Ada ketikanya, sinar mentari yang terik itu bertukar menjadi mendung dan tidak lama kemudian disusuli hujan lebat yang tidak berbendung..
Membanjiri semua kawasan dan menghalang pelbagai aktiviti terlaksana... dan selepas hujan itu pula, mentari akan cerlang ...

Sepertimana hidup kita, di sepenjang hari yang gembira kemudian berubah menjadi kesedihan dan akhirnya bermusibah...Atau sebaliknya, dari hari yang suram menjadi ceria dan bahagia...  atau, sepanjang hari itu adalah malang buat kita... atau seharian itu pula kegembiraan dan kebahagiaan terhadap kita.... SIAPA TAHU, siapa tahu, hari yang manakah akan menjadi milik kita.... atau setiap hari itu pula akan silih berganti tiada putusnya... Walau apapun yang berlaku, ketahuilah oleh kita... bahawa setiap apa yang diizinkan Allah untuk berlaku ke atas diri kita ini, pasti ada hikmah di sebaliknya... jika bukan hari ini, mungkin esok.... atau mungkin suatu masa nanti yang tidak kita ketahui...

 Cuma kadang-kala ada kekesalan dalam hati aku ini... setiap sesuatu itu tidak menjadi iktibar buat kita.... aku dan mereka. Entah di mana silapnya... Ada kalangan kita yang mempunyai keegoan yang begitu tinggi, sehingga tidak nampak kekurangan sendiri apabila asyik menyatakan kelemahan dan kekurangan orang lain.  Aku sendiri terpalit dengan situasi itu... seekor kerbau terpalit terpalit lumpur, maka semua kerbau di situ akan terkena palitan lumpur itu... Peribahasa lama, biarpun tidak begitu jelas ungkapan yang aku catat ini...maknanya tidak akan berbeza.  Banyak dalam kalangan kita tidak ada rasa bersyukur dan berterima kasih dengan segala bantuan dan kemudahan yang diberikan.  Tidak tahu untuk berbahasa yang baik... malah pertolongan itu pula dibalas dengan cemuhan dan umpatan.

Lazim, yang bersikap begitu perempuan.... kerana Pulut santan binasa, kerana mulut badan merana.... Itulah perempuan yang bersinonimkan mulut yang tidak boleh ditutupi.  Entah atas sebab apa... di hati mungkin ada iri hati, di hati mungkin ada bantahan, di hati mungkin tidak bahagia dengan kebahagiaan orang lain... Siapa yang perlu disalahkan... Perempuan juga dikatakan suka menjolok sarang tebuan... hanya kerana mulut.
Aku juga perempuan, namun tidaklah aku tergolong dalam golongan itu... itu doa aku ini, doa aku yang sering berfikir bagaimana untuk mengubah sikap dan persepsi aku agar tidak terlalu terikat dengan sikap perempuan yang tidak dipisahkan dari perempuan... nafsu yang sembilan itu itu perlu distabilkan dengan kewajaran fikiran.

Aku juga tidak hairan dengan peribahasa : kawan makan kawan, haruan makan anak, batu loncatan, baling batu sembunyi tangan, ketam mengajar anaknya berjalan lurus, telunjuk lurus kelingking berkait... kerana dalam hidup aku ini, di keliling aku ini.... aku menemui kawan-kawan yang sebegitu.. Tidak tahu kenapa tidak ada perubahan dalam hidup dan sikap mereka.  Setiap satu individu mesti ada sesuatu yang boleh menjadikan kita sedar akan kesilapan.  Cuma dalam 'masyarakat' kecil dalam bidang kerjaya dan keluarga sahabat-sahabat aku ini, masih banyak yang suka berpura-pura dan takut untuk mengakui kelemahan dan kesilapan diri.
Aku tahu terdapat beberapa orang sahabat aku yang dengan sengaja meletakkan aku sebagai seorang yang dianggap dipergunakan. Yang menggunakan sesuatu sebab untuk menolak aku sebagai seorang yang berhak kepada sesuatu dengan memperlekehkan aku... biarpun beralasan kerana orang lain.  Maaf, aku terpaksa 'melawan' situasi dan 'kebenaran' yang kalian wujudkan... kalian sudah banyak menikam aku dari belakang.  Aku sudah berbuat sesuatu supaya aku duduk di tempat sepatutnya.  Dalam tugas dan tanggungjawab aku yang tidak disenangi kalian itu, aku patut akur dengan syarat dan peraturannya... namun sebelum ini mungkin aku silap.... kerana bertolak-ansur atas nama persahabatan dalam menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.  Kekurangan aku yang satu telah kalian gunakan untuk menyatakan kelemahan kepada orang lain dan 'menyerang' menggunakan  nama pilih kasih dan tuduhan yang tidak berasas dalam menentukan keputusan suatu organisasi..

Namun dengan berniatkan tugasan dan tanggungjawab itu, aku lakukan kerana ALLAH... wajarkah aku mempertikaikannya??? Atas alasan itu aku lebih banyak senyap dan membiarkan kata-kata, umpatan, cemuhan, dan tindakan yang tidak menyenangkan itu berlalu... kerana aku bimbang akan segala usaha aku itu tidak membawa apa-apa makna.
Aku sudah mencuba... hidup dalam golongan yang lebih tua daripada aku dengan sebaik mungkin dan menasihati secara yang baik...
Aku juga sudah mencuba... hidup dalam golongan yang lebih muda... walaupun pandai dan berpendidikan tinggi namun penuh keangkuhan.... menegur, menasihati dan membimbing.... secara baik juga.  Jika usaha itu tidak berjaya apalagi dapat kukatakan... Mungkin aku gagal hari ini, aku akan terus  mencuba... kerana aku sayang mereka.... dan kerana aku berniatkan segala sesuatu itu kerana DIA.

CUMA, maafkanlah aku... dalam rasa kesakitan yang wujud hasil semua itu, hatiku berdoa.... maka sesiapa yang khianat kepada aku... siapapun orangnya, DIA akan memberikan petunjuk, pengajaran dan musibah yang boleh dijadikan ingatan... sama ada mereka ingat mahupun tidak selepas itu... mereka akan melaluinya... Maafkanlah aku... ketika itu aku berasa dianiayai dan dikhianati dan dizalimi... hati aku berkata-kata.... mulut aku berbicara sendiri... dan aku di luar batas sedar kerana kesedihan atas apa yang kalian lakukan kepada aku.... kini, aku menyesalinya, namun aku tidak dapat  menarik balik kata-kata itu....  Maafkan aku, jika ditakdirkan didatangkan sesuatu kemalangan, kesusahan, kepayahan dan kejadian yang tidak baik kepada kalian.... aku terasa, aku hampir yakin, aku sedikit percaya... hadir dari doa aku itu.... 

Berdetik di hati aku ini suatu doa, maka secepat itu pula DIA memperkenankannya... Maka buat diri aku ini, aku mengingatkan selalu... jika aku tidak redha akan segala sesuatu itu.... aku akan beristighfar, semoga ia reda.... dan aku akan sentiasa melatih diri aku ini sabar... walaupun sabar itu ada batasnya.... Bukan niat aku, malah bukan aku pinta dengan sengaja... AKU TERLUPA.....
Mungkin kalian tidak memahaminya.... namun sudah lebih 5 kisah rentetan itu.... dan biarlah aku yang tahu..
Di langit itu dalam seharian ada pelbagai wajah.... cerita dan situasi... Begitu juga dalam hidup aku ini... ada pelbagai kisah yang menjadi pedoman dan isyarat dalam hidup aku...
Catatan ini aku rakamkan pada hari ini, disebabkan DIA memberikan aku persoalan dalam mimpi aku ini apakah kaitan ikhlas dan redha... rela dan mampu... keterpaksaan  dan pasrah.... Cara bagaimana? Sukar untuk aku nyatakan.... Mimpi? Mungkin..... hanya sebahagian daripada semua persoalan itu... dan tugas aku seterusnya mencari makna, pengertian daripada semua itu... semoga semua usaha itu akan dipermudah olehNYA....