Selasa, Oktober 19, 2010

PRIHATIN PERMINTAANKU : Menarik Rambut dalam tepung,..Rambut jangan putus, tepung usah berselerak..

Sebenarnya aku ingin menggunakan judul " Dengarlah... Jangan Terus Dikau Tegakkan Benang yang Basah..."
Namun pernyataan itu agak spesifik... sebab banyak yang ingin aku catatkan ketika ini... bukan menyelar mahupun meletakkan sesuatu kesalahan itu kepada seseorang yang ingin aku tujukannya lalu kupanjangkan 'bicara'ku ini agar dia mempertimbangkan permintaan aku ini...

Sayangku....
Langit itu tidak akan sentiasa cerah.... jika di pagi harinya, sinar mentari cerlang cemerlang... mungkin kita tidak akan bertemunya ketika petang menjelang tiba... mungkin sirna sinar mentari seketika dek tangisan dan sendu hujan yang mencurah-curah...

Buatmu.... aku ingin menyatakan sesuatu, maka aku pohon sebelum dikau memberikan perhatian yang aku harapkan... selesai pantauan matamu meneliti perjalanan catatan ini sehingga ke akhirnya... fahamilah...
dan aku berharap benar dikau tidak akan prejudis dengan segala apa yang aku catatkan dalam bingkisan khas untukmu ini. Semoga dikau dapat membaca dengan hati dan minda yang terbuka... dan tidak meletakkan aku sebagai seorang yang masih ingin campur tangan dalam kehidupanmu...

Aku positif bahawa dikau tahu bahawa catatan ini adalah untukmu..

Demi kasihku sebagai temanmu...
Beberapa hari lalu, aku bermimpikanmu lagi... datang dalam keadaan baik... berpakaian dengan pakaian barumu yang sama dengan warnanya dengan pakaian yang pernah aku berikan padamu... pakaian itu memang nampak kemas dan padan denganmu... namun sedikit ketat.. Dengan senyuman manis kau menghampiri aku... Aku seperti lazimnya cuba mengelakmu... tetapi dikau memanggilku dengan suara yang sederhana kuat.. apabila aku cuba tidak mempedulikanmu, dikau terus berjalan cepat malah melaungku lebih kuat. Aku berhenti menunggumu kerana aku tidak mahu dikau malu... dan aku tidak mahu orangramai di sekeliling kita mengetahui dikau masih mencariku... mungkin cuba mengelakkan dirimu dari malu.... Ketika sudah hampir denganku, dikau menghulurkan sehelai baju... aku melihatnya dan aku tahu itulah baju yang pernah aku berikan padamu dahulu... Namun baju itu sudah mula kusam dan pudar... walaupun tidak lusuh.... baju itu kemas berseterika... Aku bertanya kenapa dengan baju itu... dan aku menyatakan bukankah jika dia tidak mahu memakai baju yang aku berikan itu... berikanlah baju itu kepada orang lain... atau buangkan sahaja jauh-jauh... sepertimana dikau membuang jauh aku daripada hidupmu...

Namun dikau masih berdiri, meminta aku membaiki baju itu... dikau kata baju yang sedang dikau pakai itu tidak selesa dan menyulitkan pergerakanmu.. Dikau katakan bahawa selagi aku tidak membaiki baju itu dikau terpaksa memakai baju yang sempit itu. Dikau memohon kepada aku... dan ketika aku melihat baju itu, aku bertanya bukankah baju itu sudah dipinjamkan kepada orang lain... dikau mengiyakan bahawa baju itu pernah dikau pinjamkan kepada orang lain... selepas dikau mendapat beberapa baju baru yang lain... sedangkan sebelum itu, dikau gunakan baju yang aku berikan itu hampir setiap hari dalam hidup... Dikau kata baju itu sedang elok kepadamu... jika cuaca begitu panas, baju itu menyejukkanmu.. Jika cuaca agak panas baju itu akan menyamankanmu... Setelah dikau berikan baju itu kepada oranglain, dikau menggunakan semua baju barumu untuk pelbagai urusan... namun semua baju baru itu tidak seselesa baju yang kuhadiahkan itu... Lalu dengan menebalkan muka dikau meminta kembali baju itu daripada tuanpunyanya yang baru... malangnya setelah dikau mula berasa selesa jahitan pada bahagian bahunya meretas dan benang-benang mula berserabut...
Dikau telah meminta banyak orang membaikinya, termasuk orang kesayangan di sisimu itu... namun tiada siapa yang dapat membaikinya... lalu kerana aku yang menjahitnya dan merekakan fesyen itu khas untukmu... dikau yakin hanya aku boleh membaikinya... Asalnya aku menolak, namun dikau merayu-rayu agar aku membaikinya, kerana dikau tidak pernah berasa sangat selesa, sepertimana memakai pakaian itu... aku menawarkan untuk membesarkan sedikit semua pakaian barumu tetapi ditolak olehmu dengan alasan masih tidak berbanding baju lama itu... dan dikau berkata, jika baju itu aku perbaiki dikau akan menjaganya dengan baik... dan aku kalah, lalu aku ambil bajumu itu... dan meminta baju yang lain untuk aku sesuaikan denganmu... Dikau hanya menghulur baju yang satu itu dan baju-baju yang lain kau sembunyikan di belakangmu... dan berkata dikau hanya perlu baju yang satu itu juga... lantas aku terjaga.. DAN, itu hanya satu mimpi..... yang sebenarnya boleh aku abaikan....

Dan mimpi itu aku biarkan berlalu, sehingga hari ini.... apabila aku mendengar suatu kisah, mendengar beberapa cerita, dan merumuskan beberapa pendapat... Dengan adanya mimpiku itu aku sebenarnya mempunyai tafsiranku sendiri... Pertamanya baju itu melambangkan kehidupanmu.. mungkin yang lalu... di mana aku yang selalu menganggu segala keputusan, tindakan dan keputusanmu... biarpun adakalanya dikau akan membuat sesuatu yang bercanggah dengan pendapatku namun aku punyai peranan dalam hidupmu... apabila dikau mendapat baju baru, bermakna memulakan hidupmu yang baru... dikau melalui liku-liku hidupmu yang berbeza... kemas tetapi sempit... zahirnya sejahtera tetapi dikau berasakan kekurangan... begitu banyak pengalaman dan cerita baru dalam hidupmu... semua indah tetapi dikau masih kekurangan sesuatu... yakni panduan daripada seorang yang dikau benci... kerana apa sahaja yang dikau putuskan adalah benar dalam hidup barumu... tidak ada sesiapa yang berbantah atau menolak segala keputusanmu...sepertimana sebelum itu, aku akan menyatakan indah dan baik jika itu keadaanmu dan aku juga akan memarahimu jika dikau tersilap langkah atau ketika lupa...maka baju lama itu yang aku berikan kepadamu walaupun seperti tidak sesuai bagimu adalah sebenarnya yang dikau inginkan dalam hidupmu... Namun pakaian yang rosak di bahu pakaianmu, bagiku melambangkan sedikit kepincangan dalam dikau memikul tanggungjawabmu... ada sedikit kesilapan dan kekurangan dalam beberapa tanggungjawab yang dikau laksanakan... maka dikau memohon aku membantumu... biarpun aku ini umpama musuhmu namun aku masih dapat 'membimbing' dalam segala tugasmu...
Usahlah dikau salah sangka... Itulah kisah yang berlaku padamu yang ditunjukkan olehNYA kepada aku... Maknanya tafsiran itu hanya pada persepsi aku....

Dan seperti apa yang berlaku dalam mimpiku itu, maka hari ini aku berkeputusan untuk membaiki kesilapan ku jika ada kerana membiarkanmu melalui hidup barumu tanpa 'nasihat' daripada orang yang serba kekurangan ini pada pandanganmu dan beberapa orang lain..

Jika aku ingin dikau menjadi orang hebat suatu masa kelak, aku tidak sepatutnya 'meninggalkan'mu ketika dikau bertatih dalam hidupmu... aku membiarkan dikau begitu sahaja... aku tidak mahu terus melihatmu seperti seorang buta yang kehilangan tongkatnya... dan jika itu berlaku sekalipun.... dengan ikhlas aku akan menjadi tongkatmu kembali dan aku akan cuba membuat matamu yang buta itu dapat melihat walaupun menggunakan mataku...

Dan aku masih seperti dulu, selalu mendoakanmu menjadi mukmin yang bertaqwa dan dapat menjadi pemimpin hebat... Dan aku juga mahu agar dikau tidak lupa, setiap manusia itu naif dan tidak akan lepas daripada kesalahan....

Catatan tentang mimpiku itu aku tutup dulu... aku ingin terus kepada niatku mencatat bingkisan ini...

Demi sayangku sebagai sahabatmu...
Dikau yang aku kenali adalah seorang yang degil, keras kepala, sombong dan angkuh... dengan erti kata lain dikau seorang yang begitu ego dan mempertahankan keegoanmu sebagai seorang lelaki... Walaupun sebenarnya aku tahu dikau seorang yang berhati lembut, penyayang dan sangat mengasihi semua orang di sisimu... Cuma aku pernah berdoa semoga dikau akan berubah apabila sudah memiliki jalanmu sendiri bersama orang yang mencintaimu... dan aku pernah berharap satu sikapmu ini suatu masa kelak akan berkurangan dan berkurangan; lalu akhirnya menjadi seimbang... Iaitu sikap sukar memaafkan oranglain itu dan apabila dikau terlalu payah untuk mengubah walaupun sedikit.... yakni apabila dikau kata hitam, hitamlah ia.... jika dikau kata putih, maka putihlah ia... sedangkan sebenarnya dikau tahu bahawa dalam warna hitam dan putih itu sebenarnya ada pelbagai warna yang indah dan cantik...
Aku bermohon kepadamu.... bertolakansurlah dan maafkan oranglain kerana nikmat tindakan kedua-duanya itu sangat indah... Siapa kita untuk tidak memaafkan oranglain? Dan siapakah pula kita yang menentukan bahawa apa sahaja yang kita buat itu semua betul dan sempurna?
Fikirkanlah...... jika dikau masih berada dalam aura ukhwah aku ini..
Teringat aku suatu masa ketika keputusan itu dibuat berasaskan kehendakmu dan terus dikau putuskan tanpa dikau ambil kira pandangan oranglain... biarpun oranglain tidak setuju ketika dengan lantang dan tegas dikau mengumumkan keputusan itu... dan untuk menjelas duduk hal sebenar dan mempertahankannya.... dikau sanggup mengisahkan perjalanan tindakan dan keputusan itu kepada semua orang... Aku mendengar, lantang suaramu sayang... tapi aku tidak mahu campur tangan kerana aku yakin bahawa dikau telah mencuba untuk melakukan yang terbaik... dan ketika itu banyak yang sependapat dengan mengatakan dikau hanya menegakkan benang basah dan berkepentingan sendiri... Aku masih mendengar, petah dikau membela diri... Aku diam kerana aku berasa begitu mengenalimu... dan aku tidak terlibat dalam ceritera yang hangat itu... Malah aku juga tahu.... suatu masa akan berlaku beberapa perkara dan situasi sama pernah berlaku kepada mereka terdahulu yang terlibat denganmu... seterusnya berlaku peristiwa tidak terduga, berkonferanstasi..... dan berperang dingin denganmu... sayugia kerasnya hatimu.... dikau tidak memaafkan mereka...

Wahai mukmin yang aku senangi...
Berilah maafmu itu... memohon maaf itu indah dan memberi maaf itu bahagia...
Kaji beberapa keputusan dan tindakanmu... pertimbangkan dan ehsankan mereka... Kita murrabi yang berwahanakan kita suatu contoh yang baik... Berikan sedikit ruang, untuk memudahkan urusan mereka untuk melalui imtihan dan selesa... Jika dikau ragu, catatlah dan buatlah perjanjian bersaksi... dan pada kiraan aku... mereka mukmin yang berpegang kepada janji... Jika mereka ingkar, maka kembalilah kepada janji bersaksi itu... sedarkan mereka secara berhemah... Insyaallah DIA yang kita cintai itu... akan memudahkan urusan itu...

Wahai pemimpin yang aku hormati,
Jawablah sejujurnya soalan aku ini... Pernahkah dikau terfikir bahawa kekurangan dan sedikit ketidakselesaan dalam hidup seseorang itu adalah hasil atau datang daripada pengaruh doa seseorang? Apatah lagi doa seseorang yang pernah kita aniayai sama ada secara kita sedar mahupun tidak..
Doa daripada seseorang yang hatinya pernah kita lukai?
Doa daripada seseorang yang hidupnya pernah kita aibkan?
Doa daripada seseorang yang keselesaan dan haknya kita abaikan demi prinsip peribadi kita?
Doa daripada seseorang yang tidak pernah setuju dengan keputusan kita?
Dan siapa tahu..... doa daripada seseorang yang sangat kita sayangi, namun tidak pernah sekalipun waima nasihatnya kita ambil peduli?

Fikirkanlah.... senaraikan... campur, tolak dan bahagi.... dengan ertikata lain bermuhasabahlah...
Semoga Allah melembutkan hatimu yang sememangnya lembut dan sangat mengasihi...

Jika tujuanmu dulu itu mendidik.... tidak ada kah tanda-tanda didikanmu itu berhasil?
Jika hasratmu dulu itu ingin melihat perubahan baik... tidakkah ada sebarang perubahan baik yang berlaku?
Jika niatmu melahirkan insan kamil, modal insan seimbang.... tidakkah niatmu sudah tercapai? Tidakkah ada walau sedikit?
Renungi semula dasar, matlamat, objektif semua yang dikau lakukan dan putuskan...

Jika bukan hari ini, mungkin esok, mungkin akan datang.... jika dikau membaca bicaraku ini... Berikan keperihatinanmu kepada permintaanku ini..... Semoga dikau akan dapat menarik rambut dari dalam tepung... menang di pihak mu dan menang di pihak yang satu lagi... Ini sahaja pintaku...

Suatu hal lagi... ada beberapa permintaan... disampaikan kepada aku.. aku tidak pasti sebenarnya... namun dikatakan permintaanmu... aku ingin bermohon maaf kerana aku tidak dapat membantu... tidak ingin membantumu.. walaupun jika sebenar-benarnya permintaan daripadamu... kerana fitnah sangat besar.. bukan kepada mu tetapi kepada aku ini.. maka demi menyelamatkan diri aku ini, aku mengambil keputusan untuk tidak memenuhi permintaan itu... dan aku amat berharap dikau akan mengerti...

Dan akhirnya semoga kita sedar bahawa pada langit yang sama, pada ketika yang sama.... ada gambaran yang berbeza.... ada kisah yang tidak sama... dan kita tidak akan dapat untuk membaca semua 'kisah' itu... Maka jika kita termasuk dalam kisah-kisah yang banyak itu semoga kita sentiasa berada di jalan yang benar dengan sedar dan mengetahui bahawa itulah jalan terbaik untuk kita, biarpun amat pahit untuk kita lalui... Kerana yang benar itu adalah jalan yang lurus. Jalan yang lurus itu pula adalah yang HAK...

Wallahualam bissawab..

Rabu, Oktober 13, 2010

ILMU TANPA AMAL UMPAMA POKOK TIDAK BERBUAH...

Isu yang ingin aku bincangkan hari ini telah aku fikirkan beberapa hari belakangan ini... dan dalam masa itu pula aku melalui beberapa peristiwa yang hampir sama berkali-kali. Maka aku berkeputusan terus membincangkan hal ini...

Aku pula bukanlah orang yang berilmu sehingga dapat membincangkan tajuk ini secara mendalam namun aku tetap akan membicarakan setakat ilmu dan pengetahuan yang aku ada dan sedikit pengalaman jika ia boleh dijadikan panduan dan dijadikan teladan yang bersesuaian.

"Ilmu tanpa amal umpama pokok tidak berbuah"... tajuk perbincangan kali ini...

Mungkin tajuk yang biasa diungkapkan namun aku masih tetap ingin mengungkapkannya lagi. Biar berapa kali sekalipun lagi , tajuk ini akan tetap relevan.
Jika ingin mengukur dalam nya laut, jangan menggunakan kail panjang sejengkal... Banyak ukuran dan panduan orang-orang tua tentang keberanian seseorang dalam melakukan sesuatu... terutama jika seseorang itu tidak mempunyai ilmu yang cukup dalam menangani pelbagai urusan dan masalah.. kerana ada kalangan manusia ini yang kadang-kadang bertindak pandai dalam semua urusan.. Ada pula mereka yang begitu bijaksana tidak pernah bertindak pandai sekalipun..
Banyak kali perbezaan mereka yang berilmu dan tidak berilmu.. memang jauh bezanya... Orang yang berilmu umpama resam padi semakin berisi semakin merunduk.. namun orang yang tidak berilmu itu kerapkali secara lazimnya, seperti tin kosong...

Sabda Rasullullah yang bermaksud:
Malaikat Jibril telah datang kepadaku dan berkata: " Hai Muhammad, hiduplah sesukamu kerana sesungguhnya engkau pasti mati, dan sukailah apa yang engkau kehendaki kerana sesungguhnya engkau akan berpisah denggannya, dan beramallah sesukamu kerana sesungguhnya engkau akan mendapatkan balasannya. Dan ketahuilah, bahawa kehormatan seorang mukmin terletak pada solatnya(yang dilakukan) di malam hari, dan kemudiannya terletak pada kemandiriannya dari pertolongan."
Riwayat Imam Baihaqi melalui Jabir r.a.

Buat masa ini hati aku ini masih berasa ralat... beberapa orang di sekeliling aku ini sering sahaja dengan sengaja melakukan kekhilafan... Entahlah sama ada disedari mahupun tidak disedari oleh mereka... Dan, hatiku semakin ralat kerana mereka berada dalam golongan orang-orang agama... yang sedari awalnya berpendidikan agama.. berbanding aku ini yang mendapat didikan sekular dan sedikit berlatar belakangkan agama... Bukanlah orang agama tidak boleh melakukan kesilapan... mereka juga manusia biasa. Cukup bagi aku ini, jika mereka lebih berhemah... aku bukan orang yang tidak kisah.. aku kisah dengan segala kisah.. Jika perbualan itu berkisar berita-berita di akhbar, gossip liar dalam majalah.... mereka membicarakan dan menyatakan pendapat mereka.. tidak pula aku kisahkan..

Namun yang dibicarakan itu sahabat mereka sendiri, atau jika tidak mereka anggap sahabat... rakan dan kenalan di sekeliling mereka sendiri. Aku memang berasa hangat... cerita-cerita yang lama turut diungkit.. untuk apa? Aku berasa ingin menjawab dan bertegas tetapi aku tidak berada dalam wacana perbincangan mereka... Aku tahu dan tengok sendiri bukti kebenaran dengan mata ku sendiri... Jika seseorang itu sudah berubah, berikanlah peluang itu kepadanya... Berhusnozon wahai teman... Jika kalian sendiri tiada pengalaman itu, malah sebenarnya kalian takut untuk menghadapi pengalaman itu.. usah diperlekeh orang yang telah berjaya melaluinya.
Berhadapan dengan mereka, ada satu ketika dulu aku sendiri melalui hal yang sama.. mungkin sebab aku bukan sebaik mereka, atau bukan semewah mereka, bukan sehebat mereka. Mereka mempertikaikan kemudahan urusan yang dikurniai Allah kepada aku... Bertanya berkali-kali... mungkin pada mereka, aku ini penipu atau mereka-reka cerita... sedangkan itulah kisah dan pengalaman yang aku lalui.. Jika Allah memberi kemudahan dan kesenangan dalam urusan aku ini, apa hak mereka mempertikaikan?

Itu kisah dahulu.... tentang aku. Dan kini, oleh orang yang sama ditambah orang lain yang dalam golongan orang agama... melakukan kesilapan sama ketika mereka mempertikaikan aku dulu.. Mereka pun tidak tahu apa pula yang akan mereka lalui kelak... jika tidak menyukainya sekalipun, bersyukurlah Allah telah menambah 'orang-orang yang menjadi baik' dalam kalangan mereka... bukan menepis dan menolak "pemberian" itu... kerana mereka memang tidak berhak..

Aku berdoa dalam hati aku, berubahlah.... Hiasi lah hati kalian dengan keindahan rasa bersyukur... Usahlah berduka dan irihati dalam hati kalian jika Allah memberikan kebaikan kepada musuh kalian sekalipun ... apatah lagi kenalan di sisi kalian..
Nikmat Allah yang manakah lagi yang kalian ingin dustakan? Adakah jika kalian tidak memperolehi rahmat itu, kalian marah nikmat itu Allah berikan kepada orang lain...


Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud :
" Sedekah yang paling utama ialah seorang muslim belajar suatu ilmu, kemudian mengajarkannya kepada saudara muslim lainnya" (Riwayat Ibnu Majah)

SEPATUTNYA, kalian belajar dan mengajarkannya semula segala ilmu dalam dada kalian itu... jika kenalan itu belajar daripada pengalaman benarnya... kalian belajarlah dari pengalamannya untuk menambahkan pengetahuan dalam ilmu yang kalian miliki itu.

Hal itu akan menjadikan ilmu itu lebih murni dan bersifat global... dengar pengalaman benar orang lain semoga menjadi suatu keinsafan dalam hati setiap dari kita...
Jika bagi aku ini, ilmu yang ada tidak seberapa... harta yang ada juga tidak sebanyak mana.... aku ingin juga berasa bahagia dalam menjalani hidup dengan ukhuwah yang baik... Apa yang aku ada serba kekurangan namun aku sentiasa berdoa untuk menginfakkan ilmu sebagai suatu sedekah buat mereka yang lain... yang ada pada aku itu sedikit sahaja... namun yang ada pada mereka itu lebih banyak... mungkin lebih banyak pula ganjaran jika mereka menginfakkan ilmu mereka kepada perkara yang baik..

Sebenarnya aku masih berasa ralat dengan catatan aku ini, namun aku mesti menjaga aib mereka yang terlibat, dan aku perlu 'berlapik' dalam catatan aku ini...

Ya Allah....
Legakan rasa tidak puashati dan keresahan dalam diri aku ini...
Berikan aku kekuatan untuk bersabar dengan pelbagai kejadian di sekeliling aku... Berikan aku kekuatan untuk bertegas menyingkir perasaan benci dan sinis dalam hati ini..
Dan Ya Allah...
Sedarkanlah mereka bahawa ilmu yang mereka ada itu sepatutnya menjadikan mereka lebih berhemah dan tawaduk... Amin...

Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud :
"Janganlah kalian berlebih-lebihan dalam masalah agama, kerana sesungguhnya Allah Subhana wataala telah menjadikan agama mudah. Kerana itu amalkanlah agama semampu kalian; sesungguhnya Allah SWT menyukai amal soleh yang dikerjakan secara terus-menerus sekalipun ringan.." (Riwayat Abul Qasim)

Suatu masa lalu arwah bapa pernah berpesan supaya aku tidak terlibat dalam suatu perbincangan jika aku tidak benar-benar tahu, faham dan mengerti terutama dalam membincangkan hal-hal agama... namun aku boleh bertanya dan belajar dengan orang-orang berilmu dan lebih arif...
Kerana apabila kita berbicara hal-hal agama ini, kita akan melibatkan syariat, dan mungkin berakhirkan fitnah yang besar... Dan aku masih ingat ketika bapa memarahi aku mendengar perbincangan bapa dan datuk tentang suatu urusan kerana katanya mendengar seperti tahu dan kita tidak tahu, apatah lagi jika kita tidak boleh mengawal mulut"menyimpan" apa yang didengar... akan ada mudaratnya.. maka aku terus berlalu walau dalam hati aku ini ingin mengetahui perkembangan perbualan itu selanjut... Itu peristiwa dulu dan kini apabila usia semakin meningkat, pemikiran semakin luas.... aku sudah faham..

Dan kadang-kadang aku juga hairan dalam golongan yang arif itu sering menghukum sewenang-wenangnya apa sahaja perkara... Menghukum halal dan haram, menghukumkan seseorang itu kufur, munafik dan jahil... menghukumkan kejadian itu benar atau salah....

Allah memberikan kita mata untuk melihat, memberikan kita mulut untuk berkata-kata, memberikan telinga untuk mendengar.... memberikan kita hati untuk menggerak naluri dan MEMBERIKAN kita akal untuk berfikir...
'Berfikirlah sesaat dengan ilmu, itu lebih baik daripada solat sunat 1000 rakaat"..
Mereka tahu itu... dan mereka kurang mengetahui itu juga...

Semoga segala catatan ini memberikan aku manafaatnya.... sekurang-kurang kelegaan dalam hati ini.... dan memberikan sedikit perkara untuk direnungi bersama...

Jumaat, Oktober 08, 2010

Selagi Ada Rindu..... Entah mengapa airmata ini mengalir ketika mengingati mereka..

Hari ini aku mengucapkan Selamat Ulangtahun kepada seseorang di laman facebook... ada beberapa yang lain juga... Entah mengapa airmata ini mengalir mengingati mereka... Semoga mereka sentiasa diberkati dan dirahmati Allah....

Seseorang ini amat rapat denganku ketika dia dalam didik ajarku... dalam kasih sayangku mencurahkan ilmu buatnya.. Dalam perjalanannya menuju jihad kepada Allah, dia sering ada bersamaku... tiada rahsia antara kami walaupun rahsia dalam hidupnya.. mungkin ada, namun banyak juga yang aku ketahui. Aku kagum dengan pendiriannya, dengan pegangan dan matlamatnya walaupun dalam usia mudanya itu... Dia juga berkongsi suka duka aku ini... Malah aku amat menyayanginya... Hari ini airmataku mengalir dengan kegembiraan dalam hati ini... Semoga Allah akan sentiasa memeliharanya dan memberi banyak kemudahan kepadanya untuk menjadi orang yang cemerlang..

Ketika aku melihat dan menjengah laman antaramuka "facebook" yang dikatakan banyak meninggalkan kesan buruk kepada penggunanya... sekali lagi kesayuan dalam hati ini melanda... Tersayat hatiku dengan kejayaan mereka yang aku kasihi suatu masa ketika dekat denganku dulu... kini, masih aku kasihi biarpun mereka telah jauh dariku...

Inilah resam pendidik seperti aku... bertemu dan berpisah bukan suatu yang asing... aku akan bertemu mereka... bersama mereka ketika mereka memerlukankanku... Atau mungkin masih berada bersama mereka, ketika mereka meluat, benci dan marah kepada aku... Cuma kini , mereka tidak sama seperti dahulu... Bertambah baik, dan berjaya.. Jauh lebih baik daripada aku ini... Tidak kira sama ada mereka suatu masa dulu suka mahupun benci kepada aku... Siapa pun mereka ketika hadir dan hampir kepada aku... akan aku anggap umpama kain putih yang bisa aku corakkan..

Ada kalangan mereka yang tidak dipedulikan orang kerana punyai masalah disiplin.. namun pertama kali mereka bertemu aku... mereka adalah suatu anugerah yang terbaik bagiku... Dulu aku pernah mempersoalkan mengapa aku bisa terjebak dalam bidang ini, yang tidak pernah aku minati... Apatah lagi aku tidak begitu dikenali oleh para pendidikku... Aku seorang penakut, berbicara juga tidak petah... namun akhirnya bidang ini aku ceburi...

Terima kasih Allah.... kerana aku amat bersyukur kerana terjerumus dalam bidang ini... walaupun awalnya secara tidak aku harapkan... kerana terpaksa semata-mata... kini aku amat gembira tergolong dalam golongan ini... Jika bukan kerana beberapa insiden lalu... mungkin aku sudah seperti aku hari ini...

Melihat laman sosial facebook... dalam akaun aku punyai lebih 3400 kawan... dan satu per tiga itu adalah anak didikku sepanjang 20 tahun ini... dan kebanyakan mereka adalah sangat akrab denganku... Biar mereka tidak ingat, namun aku sentiasa ingat... mendoakan mereka sentiasa berjaya dalam hidup mereka... Kini, aku sudah pun melihat buktinya... Berbangganya aku dengan mereka... biarpun mungkin mereka hari ini begitu berjaya kerana seorang yang 'kerdil' dan banyak kekurangan seperti aku ini... tetapi aku pernah mengenali mereka... maka semua mereka dalam doaku ini.

Aku tambah terharu apabila ada banyak dalam kalangan mereka merupakan pendidik seperti aku... ".... ingat saya? Saya antara murid yang paling nakal dalam tahun.... dalam kumpulan 7 orang... kami pernah kunci,....... dalam bilik. Ingat.....?" Sudah tentu aku ingat... kalian penyeri dalam hidup aku ini.. Kalian membuatkan aku sering tertawa mengenangkan perjalanan lalu hidup aku...
" Sekarang saya tahu apa yang .......... rasa suatu masa lalu... ketika saya menganiaya ........! Kini saya faham sukarnya untuk mendidik orang menjadi orang.."

Hmmm..... Aku tertawa sendiri ketika membaca pesanan ringkas itu... tetapi ketahui anak-anakku... umi ini tidak pernah menyimpan sebarang dendam kepada kalian... Kalianlah masa indah umi sepanjang masa....

Aku bangga mereka menjadi orang lebih cemerlang ketika ini. Aku berbangga mereka telah menjadi 'orang', atau menjadi manusia berguna kini... Cukuplah bagiku, anak-anakku..

Teringat aku serangkap pantun daripada seorang guruku... pensyarahku ketika aku di Universiti Malaya dulu, yang aku pegang dan jadikan panduan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab aku yang tidak akan ada sudahnya ini....

Di sana padi, di sini padi,
Barulah boleh dipanggil bendang;
Di sana budi, di sini budi,
Barulah boleh dipanggil orang
(Dato' Nik Safiah Karim)

Tajuk yang aku pelajari ketika itu tentang budi dan bagaiman budi itu akan menjadikan seseorang manusia itu manusia... Sama ada tentang budi bahasa, budi bicara... budi itu sendiri secara umum... tentang pentingnya seseorang itu berbudi... dengan ikhlas.. Peranan budi dalam hidup, masyarakat, negara... budi dalam perspektif Islam yang juga dikenali adab dan akhlak... sehingga menjadi orang yang budiman...

Mungkin kini airmata ini mengalir lagi bukan kerana hampa dan sedih tetapi kerana rasa bahagia dan gembira, mereka sudah menjadi 'orang'... dalam syariat yang betul dan dalam kesedaran yang nyata... lebih baik dari dulu... dan, semoga akan terus berjaya menjadi 'orang yang berguna'...

Setakat ini aku jarang mendengar khabar mereka yang gagal... semoga tidak ada yang gagal... biarlah kita menjadi 'orang kecil' sekalipun dalam masyarakat... di dunia, doaku semoga kalian menjadi 'orang besar' dalam taqwa dan iman kepada Allah.. dan aku kira doa aku ini sebagai seorang yang pernah mendidik kalian, pasti DIA makbulkan... Ya Allah dengarlah doa 'orang kecil' seperti aku ini, agar semua anak didik yang pernah menjadi aku ini guru mereka.... semoga mereka menjadi 'orang besar' dalam semua bidang di dunia dan akhirat..

Mungkin airmata ini mengalir kerana aku merindui kalian...
Rindu dengan karenah nakal kalian
Rindu dengan gelak tawa kalian
Rindu dengan peluk manja kalian..
Rindu dengan segala-gala keindahan ketika kita bersama...
Aku rindu kalian... itulah hakikatnya...
Mungkin kita tidak seiring jalan kini, namun karenah kalian sentiasa membuat aku berasa bahagia dan benar-benar membuatkan aku begitu ingin kembali ke saat itu...
Anak-anak, ada sebahagian kalian memberikan hadiah buat aku ini... ketika melihatnya, aku sering mengingati kalian..

Ada waktu-waktunya aku terfikir untuk tidak rapat dengan mana-mana anak didik namun aku tidak bisa menghalang.... aku memang hidup bersama mereka... walaupun setiap tahun silih berganti.... Sudah hampir 20 tahun... Setiap tahun sekurang-kurang seorang menjadi rapat dan akrab denganku... paling kurang 20 orang ada dalam hati aku ini... Biarpun banyak keburukannya namun aku mungkin tidak akan menutup akaun 'facebook' sehingga aku pasti keburukan itu tidak boleh dibendung lagi... kerana dalam laman itu ada mereka, anak-anak didik aku yang aku kasihi dan melaluinya wahana aku dan mereka berhubung... Usahlah disalahsangkan pernyataan ini... Aku hanya ingin mereka tahu aku sentiasa, selalu ingat mereka..
Semoga selepas ini, jika air mata ini mengalir kerana mereka.... hanya kerana mereka berjaya dan berjaya, Amin......

Khamis, September 30, 2010

BAHAGIA MELIHAT KEBAHAGIAAN?

Bahagia dan kebahagiaan tidak akan terlihat oleh kita... kerana kedua-dua itu abstrak... Ukuran dan nilai bahagia itu juga tidak akan dapat diukur dengan tepat. Setiap orang pasti akan mempunyai piawaian sendiri mengenai bahagia itu sendiri..

Aku membaca daripada satu blog :
"Bahagia adalah pilihan, keputusan yang lahir dari hati setiap manusia. Dicari, diperjuangkan dan dinikmati dalam kehidupan kita. Arti kebahagiaan bagi setiap orang memang tak selalu sama karena kebahagiaan sering dipersepsikan sebagai ketercapaian atas sesuatu yang kita inginkan, kesuksesan atau kesempurnaan. Sejatinya, tidak ada kesempurnaan yang bisa membuat kita bahagia, tetapi kebahagian membuat hidup kita terasa sempurna. Setiap harapan dan kenyataan sebenarnya bisa membuat kita bahagia karena diri kitalah yang bisa menentukan, menjadi sumber, dan merasakan kebahagiaan itu. Apakah makna bahagia yang sesungguhnya? Bagaimanakah cara kita untuk bahagia?

Bahagia bisa dimaknai sebagai menyatunya berbagai-bagai perasaan positif sehingga menumbuhkan ketenteraman dan ketenangan hati, serta melahirkan kebermaknaan hidup. Kebahagiaan hakiki bukan sekadar mengejar mimpi, tapi memiliki mimpi bisa membuat kita teruja untuk bahagia. Kebahagiaan sejati tidak bersumber pada kesempurnaan material kerana materi hanya perantara dan sementara. Kebahagiaan itu terjadi jika kita benar-benar memahami hati, bersahabat dengan hati, mengikuti kata hati, dan menjadikannya energi untuk membuat keadaan dan kenyataan yang kita jalani lebih bererti. Kata hati tidak pernah mendustai, menuntun kita kepada kejujuran memahami, mengasah kepekaan untuk merasakan, memberi dan berbagi dengan orang lain, tanpa kepura-puraan dan tanpa ditutup-tutupi."

Aku telah memikirkan lama tentang tajuk bahagia ini... Memandangkan sukar untuk mengungkapkan bahagia sebenarnya bahagia dalam persektif umum... Maka aku kira biarlah aku menyentuh apa yang ada dalam perjalanan hidup aku ini... Hal ini akan lebih mudah aku bicarakan berbanding apabila melihat dan bercerita tentang bahagia dan kebahagiaan itu daripada pendapat dan pandangan orang lain waima jika seseorang amat rapat dan akrab dengan kita...

Aku beberapa hari ini berasakan ada sedikit 'kesakitan' dalam hati aku ini... Entah mengapa hati aku berasa sakit dengan beberapa hal dan mungkin berasa tidak selesa dan senang dengan beberapa situasi... bagaimana agaknya bahagia itu sebenarnya? Aku bertanya-tanya kepada diri aku sendiri... kenapa aku harus berasa sakit hati dengan sesuatu situasi... Kenapa aku harus berasa kurang senang dengan beberapa keadaan... Kenapa aku tidak selesa dengan beberapa pandangan dan tindakan orang lain.
Mungkinkah kerana aku bersangka-sangka bahawa mereka sengaja hendak menyukarkan aku dan mengganggu kesenangan aku ini... maka rasa bersangka-sangka itu menyebabkan aku berasa tersinggung dan sakit hati.

Sering pula aku berasa kenapa orang lain suka mencampuri urusan aku walaupun aku tidak mencampuri sebarang urusan mereka. Rasanya aku pernah mencatat tentang ini suatu masa lalu tetapi tidak pula dapat aku pastikan... Entah mengapalah adik-adik ini tidak boleh membiarkan aku bahagia dengan hidup aku ini... Aku tahu mereka lebih baik dari segi pelajaran dan pencapaian dalam hidup... tetapi usahlah urusan aku yang membuat aku rasa bertenang dan selesa ini kalian campuri... Kenapa???? Kuasa yang diamanahkan kepada kalian tidak cukupkah? Kenapa???? Orang lama seperti aku ini sudah tidak punyai perancangan dan idea yang baik dan bernas??? Sehingga kalian seperti "Tiada beban, batu digalas", "Kuah pula lebih dari sudunya" dan dengan segala "membuka pekung di dada". Aku tahu kerja aku... buat kerja kalian sendiri... selesai.. jika sudah selesai, bantulah orang yang perlukan bantuan.. Bukan dengan sengaja hendak buat kerja yang aku sedang buat dan mencadangkan kerja yang kalian pegang dan berasa susah itu ke bahu orang lain..

Janganlah menjadi "duri dalam daging", gunting dalam lipatan... Ilmu kalian tentu lebih mendidik kalian menjadi orang yang boleh baik. Tetapi aku setuju dengan pendapat seseorang bahawa, kekurangan generasi hari ini ialah mereka cerdik, mereka pandai, mereka tahu banyak.... tetapi mereka KURANG AJAR serta mereka suka memandai-mandai.... mereka suka menjadikan oranglain sebagai 'batu loncatan' untuk kebahagiaan secara tidak putus-putus. Aku tidak mengganggu orang lain tetapi mereka ganggu hidup aku.. Antara aku dengan dia, antara aku dan dia, antara aku dengan sesiapa sekalipun... biarkan aku uruskan sendiri.

Sebenarnya apa yang terjadi ini bukanlah racun dalam hidup aku ini.. Bukan sebab sekecil itu... namun kudis yang sekecil itu jika ada
dalam hati ini sedikit-sedikit akan merebak dan bernanah, lantas menjadi kelompok kudis yang sukar sekali diubati... Ukuran bahagia itu tidak akan sama, dan tidak pula bersifat serupa bagi setiap individu.. Apa yang ada kepada kita hanya sedikit kebahagiaan dengan rasa bersyukur dan rasa selesa dengan segala yang kita miliki.

Apabila hati ini mula berasa sakit dan mula berasa tidak senang aku sering beristighfar agar tidaklah aku tergolong dalam golongan yang tidak bersyukur... tidak apa yang aku ada ini mencukupi... Namun sebagai manusia biasa yang lemah dan daif aku tidak akan pernah lepas untuk melakukan kesilapan dan kesalahan. Setiap apa yang terjadi ini pasti ada hikmahnya...

Aku sendiri tidak mengerti mengapa aku selalu sahaja menjadi bahan dan pokok pembicaraan seseorang... atau mereka. Aku ada kadangkala terasa begitu angkuh, dan sombong... kadang kala pula menjadi seorang yang berasa rendah diri dan hina.. Aku tidak tahu mengapa.. Mereka yang di sekeliling aku ini sering tidak puashati dengan aku.. Ada waktunya aku hairan, aku disebut-sebut akan 'kehebatan' dan 'keistimewaan' aku...kononnya. Tetapi setiap kali aku berkata-kata dan menunjuk ajar atau memberitahu tentang apa yang dipuji-puji oleh mereka... aku pula diperlekeh... Bertanya benar atau salah.. bertanya betul atau tidak... sedang di belakang aku mereka memuji di depan mereka memperolok-olokkan aku... Mungkin sahaja tanggapan dan perasaan aku sahaja.. Wahai sahabat, jika kalian kata aku punyai 'kehebatan' sebenarnya banyak salahnya tafsiran itu... Aku tahu kalian lebih baik... namun jika memuji itu biarlah ikhlas dan tanpa sebarang prasangka... tanpa sebarang prejudis... tanpa sebarang muslihat..

Aku benci dengan kepura-puraan... Biarpun pedih dan menyakitkan, jika teguran itu benar walaupun pahit.... aku akan menerimanya, walaupun mengambil masa aku akan mengubahnya... walaupun pada awalnya aku menolaknya atau menafikan... aku akan redha dan memperbaikinya... itulah kebahagiaanku... Aku lebih rela mempunyai kawan yang menegur kesilapan dan kesalahan aku itu dan akhirnya aku menjadi lebih baik daripada seorang kawan yang terlalu menjaga hatiku hingga akhirnya menganiaya aku lebih kepada sesuatu yang merosakkan aku dan masa depan ku.... Inilah kebahagiaan aku... punyai kawan yang jujur dan berhemah... Mungkin itu juga kebahagiaan kalian... mungkin juga tidak..

Menjaga adab dan akhlak wanita solehah, bukanlah semudah yang disangkakan... Menjaga sekandang kerbau itu lebih mudah daripada menjaga seorang anak perempuan...Rasanya sudah beberapa kali aku mencatat... Dan, dalam mendidik diri aku sendiri kadang kala aku juga tewas.. banyak sekali kekurangan aku sebenarnya... apatah lagi bersama tanggungjawab lain terpikul di bahu aku ini... Cukuplah aku bahagia menjadi yang di pertengahannya... sederhana dalam semua hal kecuali dalam mencintai ALLAH... DIAlah segala-galanya dalam hidup kita tanpa kompromi...

Semoga hidup aku dan hidup mereka akan sentiasa dalam dakapan bahagia yang diwahanakan melalui pelbagai cara dan penuh dengan segala rahmatNYA..

Allah, berikan kami kekuatan untuk melawan karenah nafsu kami yang kadangkala keterlaluan... sehingga kami jarang sekali bersyukur... maka menghilangkan kebahagiaan di hati kami...
Allah, berikan kami perlindungan daripada sebarang fitnah... sama ada yang kami sedari mahupun tidak... sehingga melalaikan kami daripada berasa qanaah dengan segala yang KAU pinjamkan kepada kami...
Allah, jauhi kami daripada rasa tamak, kikir dan kedekut ... sehingga kami lupa siapa kami dan lupa dari manakah asalnya rezeki kami ini...
Allah, sayangi dan cintailah kami juga... usahlah kami ini tersisih daripadaMU... dekatkan kami kepadaMU sehampir-hampirnya dan berikan kebahagiaan itu dengan ertikata yang sebenar...
Amin ya Rabbil Alamin...

Isnin, September 27, 2010

BICARA TENTANG LANGIT...

Hmmm.... tajuk catatan ini merupakan gimik semata-mata... Tiada apa-apa sebenarnya yang khusus untuk bicaraku petang ini... Sengaja mengisi rasa jemu dalam menanti hujan lebat ini berhenti...

Bicara aku tentang langit... apa yang bisa aku perkatakan ya???

Sebenarnya terlalu banyak yang boleh diperkatakan dan terlalu banyak yang memberikan kita peringatan... terlalu banyak yang boleh kita fikirkan.. terlalu banyak yang boleh kita lihat dan dijadikan pengajaran.

Cukuplah melihat langit yang ada di atas kita yang menaungi kita. Selalu juga kita mendengar kata orang tua-tua 'langit tidak selalunya cerah'. Itulah sebenarnya dalam kehidupan kita ini... Dalam satu hari yang mendatang, kita pasti akan melihat perubahan langit... ada kala cerah cerlang, ada kala awan berarak mendung... namun kadang kala awan mendung itu tidak membawa hujan bersama... adakala langit cerah namun tiba-tiba hujan lebat menderu-deru..

Firman Allah yang bermaksud:
"DIA lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkanNya manzilah-manzilah(tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak.. Dia menjelaskan tanda-tanda (KebesaranNYA) kepada orang-orang yang mengetahui..* Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang itu dan pada apa yang diciptakan ALLAH di langit dan di bumi, benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaanNYA) bagi orang-orang yang bertaqwa"
(Surah Yunus : Ayat 5-6)

Tidak kiralah sama ada langit itu tika malam mahupun siang... langit itu pasti akan berubah... Hanya DIA yang maha mengetahui, apa yang akan berlaku seterusnya... Allah memberikan banyak peringatan melalui langit... Aku teringat seorang iparku, suatu masa dia menangis... kerana dalam hatinya ada rasa iri hati, ada rasa menyampah, ada rasa meluat... melihat birasnya yang berbadan dua... sedangkan dia sendiri sudah menjangkau 9 tahun menjalani hidup berumahtangga... namun belum dikurniakan cahaya mata... Namun apa pula yang dia sebenarnya faham keadaan aku ini... dia tidak sedar hidupnya jauh lebih baik daripada aku... ada suami menemani hidupnya... ada orang yang melayan karenahnya... ada kekasih tempat dia merindu dan bergantung harap... Airmatanya menderu laju dari lelangit matanya, kelopak matanya sudah tidak dapat membendung air mata... umpama awanan di langit yang sudah tidak tertampung kumpulan air... berderai... berserta sendu sedan yang tidak putus...

Apa yang bisa aku lakukan??? Maka aku bertanya, apa yang aku ada dan apa pula yang dia ada... dan akhirnya dia akur... Iri hati itu, cemburu itu... akan membawa luka yang pedih dalam hatinya... Aku menasihatinya, redhalah dengan segala qada' dan qadar ALLAH kepadanya... Mungkin ketika ini bukan masa untuk dia punyai cahayamata... nasihat aku kepadanya, bukalah hatinya agar menerima rezeki yang diberikan olehNYA dengan ikhlas... Lihatlah kepada sikap diri sendiri, muhasabah.... jika boleh diubah, berusahalah... jika sudah berusaha namun masih sama, bersabar dan berdoalah... jika bukan hari ini... pasti suatu masa ALLAH pasti kabulkan doa dan permohonan seseorang... kerana itulah janjiNYA..

Jika DIA tidak memberikan kita apa yang dipohon, tentu ada hikmahnya.... dan DIA Maha Mengetahui dan berkuasa atas segala sesuatu di langit dan di bumi.. Ketika ipar aku bercerita, seorang saudara jauhnya pernah bercerita bahawa kemandulan itu adalah disebabkan oleh orang lelaki... jarang sekali daripada kalangan orang perempuan... Mungkin dia ingin meletakkan kekurangan itu pada orang lain... namun aku hanya berkata, sekali kita bersangka-sangka atau beranggapan buruk kepada yang lain, maka DIA akan gandakan sangkaan itu berkali-kali kepada kita... Aku fikir, kita tidak boleh menyalahkan takdir, jodoh dan sesuatu kejadian itu hanya kerana kita tidak dapat, dan tidak punya seperti yang kita harapkan... Buat iparku itu, bersabarlah kerana ALLAH sentiasa mendengar kita... Lihatlah di sebelah pihak di sisi kita, yang mempunyai anak yang banyak namun tidak mendapat kasih sayang yang sempurna... mempunyai kemewahan melimpah namun tidak lengkap tunjuk ajar dan kurang bertatasusila...
ALLAH itu maha adil... namun hikmah yang diberikan kita pelbagai... ada kala diberikanNYA kita kebahagiaan, namun tiba-tiba direntap kebahagiaan itu tanpa terduga... Ujian dan cabaran itu kerana kasih sayangNYA yang melimpah ruah. Ketika ketika menjauh kerana kesibukan, ketika kita lupa kerana kebahagiaan, ketika kita alpa kerana kegembiraan... kita diberikan ujian agar kita kembali dekat, agar kita ingat dan agar kita berawas... Bersyukurlah kita disayangiNYA...

Firman Allah yang bermaksud:
" Dan kepunyaan ALLAH lah kerajaan langit dan bumi dan kepada ALLAH lah kembali.(semua makhluk.* Tidakkah kamu melihat bahawa ALLAH mengarak awan, kemudian mengumpulkan antara (bahagian-bahagian)nya, kemudian menjadikannya bertindih-tindih, maka kelihatanlah olehmu hujan keluar dari celah-celahnya dan ALLAH (juga) menurunkan (butiran-butiran) ais dari langit(iaitu) dari (gumpalan-gumpalan awan seperti) gunung-gunung, maka ditimpakanNYA (butiran-butiran) ais itu kepada sesiapa yang dikehendakiNYA dan dipalingkanNYA dari sesiapa yang dikehendakiNYA. Kilaun kilat awan itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan.* ALLAH menggantikan malam dan siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu, terdapat pelajaran yang besar bagi orang-orang yang mempunyai penglihatan..."
(Surah An Nuur : Ayat 42-44)

Setiap kejadian dalam alam ini ada sebab-musabab, ada hikmahnya... Menyentuh kembali kepada langit... di dadanya ada awanan yang menghias lakar mukanya.... DIA melakarkan bukti lalitulqadar melalui kecemerlangan langit pada hari itu.... di langit cerah tanpa awan yang mendung... tanpa awan berkepul.... entah ke mana awan-awan itu?? Namun ketiadaan awan ketika itu, hari tidak terasa panas dan matahari bersinar tanpa terik.

DIA juga menggambarkan, bahawa melalui unsur-unsur di langit, maka hidayahNYA akan sampai kepada mereka yang mengetahui.... melalui naluri, nurani... yang ikhlas dan suci... Namun ALLAH sering memberi peringatan awal, cuma kita yang selalu terlewat sedar.

Teringat aku, ketika buaya besar yang mati dan timbul di persisiran pantai di Port Dickson, jika tidak silap aku... aku sering berdoa dan berharap tiada musibah yang akan mendatang, melanda bumi di mana langit ini aku junjung... teringat kejadian sama apabila banyak dugong yang timbul dan mati suatu masa dulu... ini pula seekor buaya yang sepatutnya matinya ia berada dalam lubuk dan bukan timbul.... Semoga dijauhkan kita dari pelbagai musibah yang mungkin datang... malah mungkin lebih dahsyat dari tragedi Tsunami yang lalu... Lindungi kami dan selamatkanlah kami daripada bencana yang tidak disangka-sangka. Nauzubillahi minzalik... Kita juga tidak menafikan hak ALLAH yakni " Kun fayakun"... maka AKU sebut jadi maka jadilah ia...

FirmanNYA lagi yang bermaksud;
"Dia menjadikan langit dan bumi dengan hak. Maha Tinggi ALLAH daripada apa yang mereka sekutukan." (Surah An-Nahl :Ayat 3)

"Dan hak bagi ALLAH (menerangkan) jalan yang lurus, dan di antara jalan-jalan ada yang bengkok. Dan jikalau DIA mengkehendaki, tentulah DIA memimpin kamu semuanya (ke jalan yang benar).* DIA lah yang menurunkan air hujan dari langit untuk kamu, sebahagiannya untuk dijadikan minuman dan sebahagiannya lagi (menyuburkan) tumbuh-tumbuhan, yang pada (tempat tumbuhnya) kamu mengembalakan ternakmu.* DIA menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesunguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan ALLAH) bagi kaum yang memikirkan."
(Surah An-Nahl : Ayat 09-11)

Cukupkah jika kita melihat ke atas, melihat langit... dan kita berfikir. Dan berfikir sesaat itu lebih baik daripada sembahyang sunat 1000 rakaat... Aku mungkin jahil dalam banyak hal namun aku tidak mahu terus jahil.

Semua gambar dalam catatan ini, aku rakamkan sendiri... sama ada melalui telefon tangan mahupun menggunakan kamera digital aku... secara kebetulan... jika diamati, ada sesuatu berkenaan gambar-gambar ini... kalian tentu tidak dapat memastikannya... namun ini juga salah satu kelebihan aku ini, nampak yang tidak nampak dan kelihatan yang tidak kelihatan... bukan selalu, tetapi sesekali tetap menimbulkan reaksi tidak terduga... Tidak mengapa jika tiada yang memahami..

Semua apa sahaja yang digambarkan di sebalik apa yang tertera di langit, dalam apa cuaca... pasti ada cerita dan kisah tersendiri... Semoga alam ini akan terus memberikan keluhan dan pemberitahuan serta menjadi wahana unik menyampaikan amanat ALLAH. Dan semoga kita tidak memikirkan segala sesuatu itu berkaitan dengan dunia semata-mata... Usahlah kita memikirkan kebahagiaan dunia semata-mata... adakala biar bagaimanapun sakit disindir, dicerca, dihina ... dan seumpamanya, sakitnya, peritnya, pedihnya.... hanya di dunia. Mungkin kekurangan kita di dunia dalam satu-satu hal memberikan kelebihan yang banyak untuk di sana nanti... maka jika kita mengejar dunia, akhirat mesti dikejar sama... maka jika kita menginginkan akhirat, dunia usahlah diabaikan... semoga kita akan 'menang' di dunia dan 'menang' di akhirat kelak.. Wallahualam bisawab...