Rabu, September 04, 2013

DI MATAKU, DI HATIKU, DI JIWAKU HANYA ADA KAMU...

Melalui hari-hari yang semakin senggang kadangkala menyebabkan kelekaan yang panjang. Apabila tiba-tiba aku teringatkannya kembali dia yang ada di hadapanku namun semakin jauh dari hatiku. Bukan membuangnya dari hatiku ini. Aku masih menyayanginya namun tiada gunanya untuk mengekalkan rasa rindu, sayang dan kasih itu lagi dalam hati ini. Mungkin tiada salahnya, tapi masing-masing mempunyai tanggapan dan pendirian yang tersendiri. Aku juga tidak menafikan kadangkala aku berasa janggal untuk meneruskan apa yang pernah aku lalui itu walaupun sejarah itu tidak sesekali akan berubah.  Hari ini aku dimaklumkan apabila sesuatu itu tidak berlaku kesempurnaan dia tidak akan sesekali memberikan apa-apa komen. Menerima apa yang dariku ini seadanya. Aku tidak boleh menaruh harapan, atau mengimpikan sesuatu yang tidak menjadi milikku lagi. Dahulu aku melepaskannya seikhlasnya. Dan aku tidak akan meminta atau mengimpikannya kembali. KAU yang Maha Mengetahui segala-gala, ALLAH. Maka aku insan kerdil ini bersyukur dengan segala sesuatu yang aku pernah ada dan miliki sehingga kini. 

Buat dikau yang masih ada dalam hati ini,
       Kita perlu akur bahawa kita tidak ditakdirkan bersama. Dan aku juga sudah reda dengan semua yang telah ditentukan olehNya. Namun usah bimbang kerana aku masih lagi menyusun doa-doa kesejahteraan buatmu.... biarpun jika hari ini dikau tidak lagi mempedulikanku lagi. Kau cinta terbaikku... dan aku sudah memaklumkannya kepadamu... dan itu masih hakikatnya, sehingga mungkin jika ada yang lebih baik daripada cintaku kepadamu itu hadir menggantikan kedudukan rasa hati ini kepadamu. Namun usahlah jika aku ditakdirkan terdapat kekurangan dikau menutup bicaramu daripada memberitahu yang betul dan sesungguhnya aku rela mendengar yang pahit dan menyakitkan itu asalkan segala-gala itu benar. Kau harus tahu, aku tidak akan dapat hidup berjaya dengan sebenarnya, jika ada penipuan walaupun kecil dalam hidup ini, Dan, aku mengharapkan sesungguhnya jika kau benar-benar menyayangiku maka berkata benarlah biarpun itu sesuatu yang amat menyakitkan kelak. Kita sememangnya manusia yang tidak pernah sempurna. Hakikat hidup kita juga tidak sama... namun aku berterima kasih kerana kau suka menerimaku kini seadanya sebagai seorang rakan.... lebih daripada kau menerima aku saat aku melafazkan rasa cintaku kepadamu. Semoga kau akan kekal dalam bimbingan dan kesejahteraan yang diberikan oleh Allah. 

       Buat yang bakal pergi meninggalkan kami. Aku hanya menzahirkan rasa hati ini. Mungkin tidak nampak oleh orang lain segala yang berlaku kepadaku  hal-hal berkaitan dengan kamu... Aku menghormati dan menyenangimu.. namun sejak kehadiranmu, terasa dalam hati ini aku tidak begitu disenangimu. Aku memang tidak seperti mereka... aku juga tidak suka untuk menjadi seperti mereka. Mendekatimu dengan pelbagai cara dan karenah. Atau mungkin mengambil kesempatan atas kebaikanmu. Ada yang berkata takut dan gerun denganmu... tetapi dalam masa yang sama sering ingin bertemumu.. Sedangkan aku sering berasa jemu kerana kamu sering bertamu dalam mimpi-mimpiku. Aku rasa ralat malah terkilan dengan layanan kamu di realiti tetapi diberikan layanan baik dalam semua mimpiku tentang kamu.. Aku rasa cuak setiap kali kamu memberikan kata-kata meminta aku tidak berada berdekatanmu walaupun aku punya urusan denganmu. Mungkin aku tidak seperti mereka, sama ada status atau kedudukan namun aku masih punya hati dan perasaan yang sering berasakan ketidakadilanmu dalam melayan orang-orang sekelilingmu.... maka setiap kali kita berpandangan, hanya ada pandangan sinis yang entah mengapa kita talakan kepada masing-masing. 
        Ketika kamu dalam dilema, aku bermimpikanmu... waktu kamu menerima sebarang perubahan, aku bermimpikan kamu... Ketika kamu bakal mendapat beberapa ganjaran, aku bermimpikanmu.... sehingga sebelum kamu mengumumkan pemergianmu, aku telah bermimpikan hal itu.. Apakah di mataku, di hatiku, di jiwaku ini....hanya ada kamu?  Rasanya tidak...

Sebelum kamu pergi, aku ingin memohon kemaafan kerana aku tidak rasa kehilangan seperti mereka yang lain... namun aku sangat menghargaimu. Aku sangat berterima kasih kerana kamu telah menambah warna-warni dalam hidup ini. Doamu akan ada yang lebih baik, mungkin lebih kacak menggantikanmu.... dan tidak siapa tahu tiba-tiba aku rasa ingin ketawa mendengarkanmu... apakah itu yang kamu harapkan dengan perjalanan hidup kita ini... yang indah, yang baik... semua itu bukan ukuran. Semuanya sesuatu yang terlalu rumit untuk diperincikan. Cukuplah jika kamu di mataku, di hatiku dan di jiwaku.... dapat menerimamu seadanya. 
         Doaku semoga perjalanan hidup kamu untuk seterusnya akan terus dilimpahi RahmatNYA... 

       Semoga di tempat baharu, semuanya akan lebih baik dan bermanafaat.
Janganlah dilupa kami yang ditinggal ini walaupun ada kalanya pengalaman hidup itu amat memilukan.  Semoga semua kita akan mendapat keberkataan dan kesejahteraan...

Rabu, Julai 10, 2013

Terusiknya Hati Ini Lagi....

Untuk  sekian kalinya aku mencatat lagi.. Dalam mesyuarat yang tidak begitu melibatkanku...sekadar menjadi pendengar yang  taat.. untuk ambil tahu atas suatu tanggungjawab yang diamanahkan... Memang ada ketikanya kita berasa jemu dengan sesuatu rutin yg tidak berubah dalam hidup..Jika dalam setahun  aku terpaksa menghadiri dua atau tiga mesyuarat sehari..  Cuba dikira jika sehari sekurangnya sekali...atau seminggu sekurang-kurang tiga kali.. Tanggungjawab mesti kita lakukan dan dilaksanakan sebaik mungkin. Hari ini hati ini aku berasa sedikit resah dan sedikit rasa malas.. Entah kenapalah sedemikianlah rasa hati ini.. Bertenanglah wahai hati...bersabarlah wahai hati.. mungkin keresahan ini hanya sementara..
Bertemu dengannya secara berhadapan buat hati ini terisi kembali.. Aku berasa malu, begitu juga dengannya.. Entah mengapa aku rasa  suka dan riang apabila melihatnya. Namun aku perlu bersedia menghadapi kenyataan... aku tidak pernah berharap apa-apa..lagipun aku dan dia tidak sekufu. Tentu ada sebabnya mengapa kita tidak digalakkan mencari pasangan yang tidak sekufu.. Apabila melihat keluarganya aku sedikit cuak..  Entah mampu atau tidak aku menyesuaikan diri, tidak pula dapat aku pastikan. Beberapa hari ini aku teringatkannya. Kata orang jika asyik teringatkan seseorang pasti orang yang di sana itu teringatkan kita juga. Tidak dapat dipastikan juga. Banyak perkara yang berkemungkinan. 
Mungkin dia juga berasakan ketidaksekufuan kami ini, tambahan usianya lebih muda berbanding aku walaupun setahun dua cuma. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini yang berkenan denganku dan rajin melayanku berusia lebih muda daripadaku. Termasuk dia yang seorang ini. Namun kali ini biarpun hati ini telah terusik lagi, aku tidak mahu membuat iskhtiharah dahulu. Aku sedar salah tindakan aku ini namun aku hanya ingin bertenang. Tidak mahu tergesa-gesa untuk membuat pilihan. Doaku setiap kali teringatkannya, semoga jika dia terbaik untukku, hidupku, agamaku dunia dan akhirat semoga perjalanan kisah aku dengannya dipermudahkan. Semoga didekatkan hati kami.Semoga juga diberikan kekuatan untuk kami melalui semua dugaan ini dengan cekal dan tabah. Dan sekiranya jodoh ini terbaik buat kami, maka senangkanlah hati-hati kedua-dua ibu bapa kami; juga saudara-saudara kami dalam bersama-sama meraikan dan merestui hubungan kami.


          Mungkin benar kata-kata 'seseorang' itu.... hatiku ini sudah banyak kali terluka sehingga aku tidak rasa untuk membukanya lagi. Hati ini juga sudah banyak berkorban dan merelakan atau melepaskan orang-orang yang aku kasihi.. sehingga hatiku ini seakan-akan tertutup untuk melalui jalan-jalan itu lagi. Namun secara tidak sengaja, dia telah membuatkan hatiku terusik lagi. Ada sinar di matanya. Ada senyum di bibirnya.... dan aku sedar itu. Tertunduk dia malu ketika aku memandangnya dan apabila dia memandang aku pula, debaran dalam dadaku tiba-tiba hadir. Mungkin ada yang perasan kecanggungan aku ketika dia ada, namun aku tidak bersedia sebenarnya meneruskannya... bermain perasaan dan melayan karenah hatiku sendiri..Padaku aku sudah terlalu tua untuk beromantika d' amor seperti waktu dulu-dulu. Cukuplah apa yang aku lalui ini. Semoga ada kekuatan di  pihak yang satu lagi memulakan langkah ke perjalanan seterusnya.

           Hmm.... hati ini benar-benar terusik lagi kali ini. Bukanlah orang yang hebat aku kira namun ada sesuatu yang menarik aku dekat padanya. Namun fenomena lalu memang sering berulang lagi. Akhir-akhir ini aku bermimpikan seorang dia. Kami jarang sekali berbicara, jarang sekali bersua muka namun ada sesuatu yang menjadikan aku dan dia ada 'sesuatu' yang aku sendiri tidak tahu. Keresahan aku menolak rasa ini menjadikan aku cuba jauh daripadanya. Namun dia menghadirkan diri dalam mimpi-mimpiku. Tiada pula aku bisa menganggap dia sengaja hadir. Secara kebetulannya sahaja. Aku akur. Namun aku sering sahaja berdoa untuk tidak terlibat dengannya. Namun ketentuan Allah siapa yang tahu. Mungkin apa yang aku suka tidak baik untukku, siapa tahu?  Maka aku pendamkan hal ini sendirian. Rasanya setelah berbulan-bulan dalam keadaan ini, aku yakin tidak siapa yang tahu apa yang ada dalam hati kecil ini... Ya Allah, berikanlah aku isyarat dan petunjukMU agar tidak sesat lagi di jalan-jalan yang palsu... Semoga kali ini perjalanan hidup ini tidak akan serumit sebelum-sebelum ini. 

             Bermohon maaf aku  kerana buat kali ini aku tidak bersungguh-sungguh berkongsi kasih dengan orang lain. Kerana aku berasa sudah cukup tua untuk mengulang momen-momen itu. Semoga akan ada kekuatan dalam diri ini untuk meneruskan yang terbaik untuk diri ini dan semua yang ada di sisi. Inshaa Allah..

Khamis, Jun 27, 2013

TERJAWABKAH PERSOALAN DI HATI...KENAPA DIA BUKAN UNTUKKU?

     Sahaja aku mencatat hari ini walaupun kesuntukan ruang dan masa. Meluahkan apa yang terfikir di minda dan terbuku di hati. Malahan jika boleh setelah semuanya aku catatkan semoga sedikit keresahan hati ini dapat dibiaskan keluar dan menenangkan hati dan menceriakan hari-hari yang mendatang.

        Sebulan lamanya aku kurang sihat. Macam-macam keadaan aku lalui, ditambah dengan tanda-tanda akhir zaman yang melanda. Jerebu yang membuatkan semuanya sebu. Libu hati ini dengan beberapa perkara. Tidak terduga cuti baru-baru ini begitu tidak menyebelahi aku. Baharu ingin berehat tetapi diberikan ujian sakit olehNYA. Syafakallah dan kifarah, kata teman-temanku. Ketika sakit inilah aku menilai beberapa perkara. Salah satunya tentang tanggungjawab dan tugas yang aku lakukan. Sehingga terlintas di minda, jika ditakdirkan aku pergi dahulu... tentu akan meninggalkan beban kepada yang lain. Maafkan aku. 

     Lantas aku berdoa agar ALLAH menyembuhkan aku segera, agar aku dapat menyelesaikan tugas yang tertangguh. Supaya jika ditakdirkan hayat ini tidak panjang atau aku bercuti lama, ada pelapis untuk semua tanggungjawab dan peranan yang aku galas. Sesungguhnya DIA Maha Memahami.  Alhamdullilah keadaan aku lebih baik ketika ini.

       Teringat aku kepada si dia. Yang aku lepaskan seikhlas hati ini walaupun aku sangat menyayanginya. Kini dia masih lagi di depan mata namun aku tidak berdendam mahupun sakit hati kepadanya. Ya Allah.. KAU pengatur yang hebat. Tidak KAU jodohkan aku dengannya. Walaupun aku seperti sangat dekat dengannya dan mengerti tentangnya namun aku yakin sebenarnya sehingga kini aku sememang tidak serasi dengannya. Khabar terbaharu dia buat hal lagi. Bila-bila sahaja tanpa mengenal masa , siapa, di mana... dia menegakkan kebenaran yang dia sahaja berasakan benar. Jika hitam katanya, hitamlah keputusannya dan begitulah sebaliknya. Dia tidak akan berganjak. Seranglah dari arah mana sekalipun dia tidak akan berputus asa. Satu sifat dirinya yang aku kenal sangat. Kata orang dia 'mendahului' ketuanya. Dia memutuskan banyak hal berdasarkan pandangannya sendiri tanpa persetujuan ketuanya. Sehingga ada hati yang terhiris dengan tindak-tanduknya. Malas bergaduh dan mengalah kerana terpaksa. Entah kenapa dia tidak mahu berubah sikap itu. Dia memang degil.
 
      Ya ALLAH, kini aku lebih mengerti. Aku mungkin sudah beralah jika aku di sisinya, hidup terkongkong dan aku terpaksa menurut sahaja kehendaknya. Aku bersyukur tidak berjodoh dengannya walaupun sehingga kini aku tidak ada penggantinya yang sah. Yang sah! Kerana dalam hati ini sudah ditempati oleh seseorang. Mungkin tidak sehebat dia tetapi kesederhanaannya dan sifat pemalunya begitu menarik perhatianku.. Aku reda jika dia jodohku.. Biar pun sederhana aku akan menerimanya seadanya. Dia tidak setampan dia...tetapi dia lebih memahami. Aku berdoa, jika dia untukku maka dekatkanlah hati kami dan semoga kami dapat menerima satu sama lain seikhlasnya. Kami tidak sering bertemu namun dalam hati ini ada getaran halus apabila teringatkan.  Walaupun tidak sehebat getaran ketika dulu namun dia memberikan aku sedikit rasa itu kembali sedikit demi sedikit. Ya Allah, bersyukur aku diberikan nikmat ini untuk merasakan kembali rasa bahagia dan rindu itu. 
 
        Namun belum terjawab segala persoalan di hati ini.. Entah mengapa masih lagi ada situasi yang memerlukan aku terpaksa membuat pilihan. Walaupun telah penat aku membuat pilihan sebelum ini. Semoga akan ada keputusan yang terbaik buat kami ini. 
       Dia yang dahulu itu bukan untukku. Sebab itu, walaupun aku masih menyayanginya namun aku juga masih banyak tidak bersetuju dengannya. Dia keras kepala dan degil dan aku pula degil dalam diamku.  Api dengan api akan lebih marak. Mungkin kerana itu ALLAH tidak menetapkan dia buatku. Aku ikhlas, dan akhirnya kini hati ini dapat menerima hakikat bahawa aku sememangnya tidak ditakdirkan untuknya.  Akhir-akhir ini aku sering sahaja bermimpi tentang banyak dia yang telah hadir dalam hidup ini. Setiap kali tidur aku pasti bermimpi mereka. Bukan sahaja yang lama tetapi juga yang baharu. Ada yang menidakkan aku hadir dalam hidup mereka dalam alam nya. Ada yang menjauhkan diri dariku ini namun aku mengerti apabila DIA mengaturkan hidupku sedemikian. Ada seorang ustaz berkata kepadaku, bersyukurlah dengan kekuatan naluriku ini... merasakan dan melalui sesuatu jaringan halus perasaan orang lain. Katanya, manafaatkanlah namun jauhkan diri daripada bersyak wasangka kerana semua itu hasutan syaitan. Gunakan anugerah itu dengan betul dan aku bakal mengerti mengapa ALLAH memberi.

         Dalam hidup kita ini, jangan terlalu banyak mempersoalkan segala-gala hal yang kita lalui. Biarpun pahit atau kelat, akan sampai ketikanya berakhir dengan kemanisan. Biarkan jauh yang sepatutnya milik kita, jika ditakdirkan untuk kita pasti akan datang juga kepada kita. Dan, ALLAH akan memperkenankan segala doa kita. Cuma lambat atau cepat sesuatu termakbul bukan kuasa kita menentukannya. DIA lebih mengetahui.
Bak kata Imam Al-Ghazali... "Jika mulia sesuatu yang kita tuntut dan cari, maka akan sukar dan sulit jalan...hebat halangannya dan payah mencapainya," Begitu lebih kurang susunan kata-kata yang membawa pengertian yang dalam dan bermakna. Dan dengan jelas, itulah yang berlaku sekitar hidupku ini. Aku tidak tahu piala mana yang bakal aku  pegang kelak di akhirat namun selagi hayat dikandung badan aku pasti mencuba berbuat sesuatu yang terbaik untukku.
 
        Kerana keadaan kurang sihat sebulan ini, berbagai-bagai alternatif cuba aku lakukan. Maka bermacam-macam pula keputusannya. Bagi aku apapun keputusan yang ada, yang penting adalah usaha dan usaha...berikhtiar untuk terus hidup dalam kesejahteraan. Biarlah orang tidak memahami apa yang catatkan ini.... yang penting aku lega melepaskan beban dalam hati.
       Semoga masih banyak peluang bagiku mengubati hatiku yang pernah terluka (Hmmm... terluka? Mustahil!) kerana aku melepaskan semua mereka seikhlas mungkin.... tiada sebarang protes, tiada pengaruh sesiapa, tiada keingkaran... kerana aku ikhlas dalam melepaskan mereka daripada hidup ini. Aku pasti akan ada jalan yang luas terbentang di hadapan sana...cuma memerlukan aku untuk terus mencarinya. Wallahualam...


Ahad, Jun 09, 2013

PERSOALAN ATAU MEMPERSOALKAN..

Catatan hari hanya untuk mengisi masaku ketika mengawasi  Peperiksaan... jika tidak kantuk menguasai diri... maka dengan mencatat aku bisa mengembangkan minda  setelah membaca beberapa bahan untuk penulisan ini... Banyak cerita yang boleh dikongsikan sebenarnya namun aku lebih suka bercerita tentang pandangan sendiri. Tentang sesuatu yang tidak menyentuh peribadi yang banyak. Cukuplah aku meletakkan peribadi sendiri. Bukanlah untuk membuka pekung di dada. Berkongsi dalam kesederhanaan tanpa melabelkan aib seseorang.  Baru-baru ini aku mendengar lagi kisah teman-temanku. Entah mengapa kisah lalu diungkit-ungkit lagi namun bukanlah satu kesalahan untuk membetulkan suatu kesilapan yang telah dipendam bertahun-tahun. Berkaitan dengan sahabatku.. menyebutnya aku sedikit rasa terharu dengan pelbagai dugaaan yang aku lalui yang berkaitan dengannya. Walaupun hakikatnya aku tidak menerimanya namun apa sahaja yang berlaku telah pun berlaku. Sangkaan yang aku nafikan juga telah terbukti. Ya Allah ampunilah aku dan ampunilah dia, jika benar dia telah menganiayaiku ini.. Kami memang agak rapat dan aku sering sahaja menemani dalam banyak keadaan namun dalam hal begitu, masih lagi aku dan dia ada batasan yang memisahkan kami rupa-rupanya. Aku akur jika itu ketetapanNYA itu. 


      Siapa sangka, pesanan beberapa orang yang ahli dalam sesuatu bidang itu, aku terima sekali lagi. "Berhati-hati dengan yang baik dengan kita, kerana keburukan itu bukan hanya datang yang jauh dan yang tidak rapat dengan kita." Kata-kata nasihat yang aku sering terima daripada orang dalam golongan itu. Memang berat untuk menerima hakikat itu. Dan daripada bahasa bicara orang yang ahli itu aku mengetahui maksudnya sebab aku juga sebenarnya terlibat dalam bidang yang sama secara tidak langsung. Banyak perkara yang aku tidak begitu memberikan perhatian, atas sebab-sebab tertentu yang aku sendiri mengerti. Demi sahabat itu juga. Tidak sesekali aku menyangka dia akan mempunyai sekelumit rasa tidak senang kepadaku sehingga hari ini. Apabila namanya disebut dengan jelas dan aku bertanya kenapa nama itu yang terpacul dari mulut ahli itu.. dia hanya menyatakan hanya teringat kisah lama sahaja.. dan aku memahami persoalan itu dan tidak akan mempersoalkannya.
           Mungkin banyak hal yang tidak terduga dengan pelbagai kejadian yang berlaku dalam hidupku ini. Banyak juga yang tidak terduga walaupun banyak yang betul pada sesuatu yang aku duga. Rasa hampa, rasa kesal menerobos dalam jiwa ini. Ketika ini aku tidak berapa sihat... kerana begitulah selalunya resam yang akan aku hadapi dalam hidup ini dan seringkali juga sebenarnya aku seakan-akan berputus asa dengan apa yang aku alami. Namun jika aku berputus asa, merupakan satu dosa dan sesuatu yang tidak digemari oleh Maha Pencipta.. dan aku akan sentiasa membentuk rasa positif dalam hati dan minda ini.

         Setiap yang berlaku pasti akan ada hikmahnya. Itulah yang aku tanamkan dalam hati dan minda ini untuk terus membentuk rasa positif dalam diri. Kekuatanku ini sangat perlu untuk melalui pelbagai ujian yang diberikan. Aku punyai ramai kawan namun aku sebenarnya selalu menjauhkan diri daripada para sahabat yang ada untuk mengelakkan prasangka kepada mereka. Dalam pelbagai dugaan kita akan mengenali kawan kita. Begitu juga kawan kita dapat mengenali siapa kita. Aku sudah terbiasa membantu mereka namun aku  tidak memaksa mereka untuk terus berada di sisiku ketika aku dalam kesukaran dan kesusahan. Jika ditakdirkan mereka melupaiku pada waktu senang mereka, aku reda dengan segalanya.
Yang penting, tugas sebagai kawan atau sahabat itu dapat aku laksanakan. Cuma aku mempersoalkan juga sebenarnya mengapakah rakan yang sering aku bantu itu menyimpan niat buruk kepadaku. Apakah diri ini menjadi tempat untuk orang lain beriri hati kepadaku. Aku tidak punyai apa-apa kelebihan untuk menjadi bahan iri hati orang lain... rupa paras yang cantik jauh sekali, entahlah... tidak tahu apa kelebihanku sehingga menjadi rasa marah atau irihati orang lain. Banyak lagi yang di luar sana, terutama dalam kalangan rakan-rakan lain mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaan, namun entah mengapa aku pula yang menjadi bahan kedengkian waima oleh rakan-rakan aku sendiri.



Mengenangkan ujian ini, aku terasa begitu kerdil sekali...... JUGA, sedih kerana keikhlasan aku bersahabat rupanya menjadi duri juga dalam hidupku. Ya ALLAH, semoga dibukakan hati rakan-rakanku (sudah tentu yang aku ketahui bukan seorang itu sahaja) untuk tidak menanam rasa dendam dan irihati kepada diri ini. Semoga dilepaskan segala "ikatan" yang membelenggu hidup aku ini. Bebaskanlah aku mencari hidupku ini sendiri. Biarpun sebenarnya sukar, apatah orang pengantaraan mereka itu tidak ada di muka bumi ini lagi, namun dengan rasa keikhlasan pasti 'ikatan' itu bakal terungkai juga. 
        Mengenangkan hal-hal persahabatan ini aku juga masih memujuk hati ini memaafkan sepenuhnya seorang rakanku... semoga aku diberikan kekuatan memberikan kemaafan ini. Mungkin dengan segala yang berlaku sekarang ini, aku yakin rakan itu sebenarnya belum menyedari betapa aku belum lagi memaafkannya sepenuhnya. Dengan semua layanan aku kepadanya mungkin mereka akan menganggap aku sudah melupakannya. Aku sememangnya sudah memaafkannya tetapi aku tidak mahu jatuh dalam lubang yang sama. Persahabatan aku dengannya hanya berlandaskan hablum minnas sahaja untuk menjaga hablum minnallah... hanya DIA Maha Mengetahui. Persoalan ini sering juga aku fikirkan... aku tidak tega melupakannya, apatah lagi ketika mereka yang bertaut dengan kisahku itu sentiasa ada di hadapan mata. Atau mungkinkah kerana kurangnya keikhlasanku memaafkan mereka yang berbuat salah kepadaku itu, maka aku juga masih terikat dengan rasa tidak senang orang lain kepadaku.. Ya ALLAH berikan petunjuk kepada ku dan berikanlah aku kekuatan untuk aku memaafkan oranglain dan membaiki kelemahan diri ini.. Wallahualam.

Khamis, Mei 09, 2013

PERLUKAH PENGERTIAN???

       Assalamualaikum... Setelah sekian lama, aku menulis lagi. Bukan membicarakan tentang politik sebagaimana sebahagian warga Malaysia kini. Jika ada pun tidaklah aku berpihak kepada mana-mana ideologi yang kurang aku senangi tanpa mengaibkan mana-mana pihak. Soal yang aku ingin bicarakan hanya istilah yang sering digunakan oleh golongan muda hari ini. Sebagai salah seorang yang hidup memperkasakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kita aku suka menyentuh perkataan yang sering digunakan oleh parti-parti politik kini. Antaranya fitnah, aniaya, zalim, khianat, kutuk, dan seumpamanya. Apabila aku memberikan komen ada pula yang menyelar bahawa aku tidak pernah faham dan mengerti semua istilah yang digunakan itu. Hanya kerana mereka menganggap bahawa aku tidak pernah mengalami atau merasainya. Marah juga hati ini, namun buat apa memperbesar hal-hal kecil yang hanya keliru secara pemahaman dan pengerti sesuatu bahasa. Sebagai orang yang perlu membetulkan bahasa yang biasa... dan membiasakan yang betul, banyak yang perlu dilakukan... Maka bermuhasabahlah diri. Banyak yang tidak faham namun janganlah cepat melatah apabila ditegur... hanya untuk mengingatkan bukan untuk menjatuhkan. Dalam hidup yang serba ada, serba sedia.. ungkapan itu sering terpacul di bibir. Entah ke mana rasionalnya semua itu. Jika suatu golongan itu tidak ada yang sentiasa memakai kopiah, adakah mereka itu tidak tergolong dalam golongan kamu?? Entahlah aku tidak bisa menjawabnya. Tanyalah mereka yang sering mengeluarkan kata-kata itu. Ke manakah iktikad kita kerana dengan mudah kita menentukan hukum dan membuat pertuduhan kemudian disebarkan, dipercayai lantas terjadilah ketidakpercayaan kepada semua hal.... lancarkan bantahan. Anak-anak muda kini tidak kenal sejarah mungkin! Aku sendiripun bukan benar-benar kenal sejarah, tetapi tidak pula aku bersikap biadap atau prejudis dengan hal-hal begitu. Dulu aku sangat takut jika ada orang bercakap, "awak ini tak ada sivikkah?".... Kini aku sendiri hendak mengungkapkan mereka ini tiada sivikkah atau tidak ada kesedaran sivikkah? Ada antaranya, mengajar sivik tetapi masih kurang ajar berbanding yang lain.


Sudahlah hal itu, kini aku ingin meluahkan rasa hati ini. Perlukah pengertian daripada semua yang berlaku dalam hidupku ini.
         Kembali ingatanku buat 'Abid. Dia sudah berumahtangga sejak lima tahun lalu. Tersenyum sendiri apabila aku mengenangkan semua itu kembali. Tentang dia, tentang cintaku yang tidak berbalas itu. Sehingga kini, aku solo... mungkinkah aku serik. Namun tidak sesekali aku menafikan bahawa 'Abid adalah yang terbaik buatku... banyak pengalaman yang aku rasai ketika bersamanya. Lima tahun mengenali, kemudian lima tahun menagih cintanya dan kini setelah lima tahun dia 'meninggalkan' aku ini. Cuma semakin tua ini tiada tekanan yang aku rasai setiapkali melihat dia. Aku masih sama, padaku mencintai tidak semestinya memilikinya. Aku gembira kerana dalam lima tahun ini dia membuktikan dia tekal dan tetap pada pendiriannya. Tidak perlu aku mempersoalkannya lagi.
          Hidup ini sememangnya tidak selalunya indah dan aku mengerti apa yang Allah tentukan dalam hidupku ini. Lima tahun dahulu, sekembali dari Tanah Suci Mekah, aku melihat kembali corak dan aliran hidup aku jika bersama 'Abid. Sememangnya 'sakit' sekali.... namun tidak pernah aku kesali. 'Abid lelaki baik dan dia berhak untuk menerima yang baik juga.. Ya Allah, bukanlah aku ini tidak baik, namun aku bukanlah orang yang terbaik untuknya dan begitulah sebaliknya. Salah satu faktor apabila aku memintanya berkahwin dengan orang lain, malah mendoakannya sebegitu di bawah pancuran emas di Hijir Ismail...adalah kerana fahaman ideologi yang berbeza. Dalam doaku, jika adalah lebih baik bagi kami untuk tidak bersama, maka mudahkanlah urusan itu. Maka apabila sampai di tanahair aku semakin merasakan bahang perpisahan itu. 


Aku meminta untuk bersamanya buat kali terakhir, dan sekiranya dia menolakku... pilihan yang ada adalah dia berkahwin dengan orang lain. Aku sememangnya tidak mampu menahan rasa yang agak menyulitkan pada diri atas tautan yang ada antara kami. Maka dengan rasa ikhlas, aku melepaskannya... walaupun aku terpaksa melakukan beberapa kali solat hajat untuk memutuskan 'ikatan' yang ada antara kami. Dia mungkin tidak mengerti, kenapa aku meminta dia berkahwin dan meninggalkanku... Dia mungkin berasa sakit hati, biarpun dalam hatinya tidak pernah menerimaku, wallahualam... Dia mungkin berasa hairan dalam aku sering menyatakan rasa cintaku kepadanya tetapi aku tega meminta dia berkahwin lain... Dia mungkin tertanya-tanya kenapa aku menipunya dengan menyatakan aku sudah mempunyai orang lain dalam hidupku... Mungkin, tetapi aku tidak menipunya, kerana ketika itu memang ada orang lain dalam hidupku...Namun Allah tidak juga mengizinkan aku dengan dia.. entah ke mana pula sidia ketika ini... Semoga dia juga berbahagia sepertimana bahagianya 'Abid, orang yang aku kasihi itu.

Adikku pernah menasihatiku, kenapa perlu aku pertikaikan fahaman politik dia dan aku jika benar-benar kami saling mencintai dan berjodoh. Semua itu kerja Tuhan, katanya. Memanglah isteri perlu taat kepada suaminya, namun jangan membuta-tuli... bahasanya sememangnya kasar, namun itulah hakikatnya... katanya, jika hanya kerana ideologi, perkahwinan akan menjadi porak-peranda maka buatlah pilihan. Bukan semua yang kita suka, kita hendak akan kita miliki... jika Allah menyatakan sesuatu itu tidak baik untuk kami, maka sememangnya akan tidak ada kebaikannya untuk kami. Mengelirukan, bukan????  Dan dengan ada pilihanraya yang berlangsung 5 tahun sekali ini.... aku mengerti apa yang Allah aturkan buat kami.


Melihat 'Abid menyatakan pendiriannya... mendengar 'Abid memberikan pandangannya... 
Aku tahu aku tidak salah untuk membuat keputusan dengan salah satu alasan ini.  Dia berada dalam ideolisme politiknya yang satu itu.... walaupun aku sering mendoakannya berjaya dalam perjuangan partinya... kerana aku suka melihat dia gah dan menjadi pemimpin yang berwibawa suatu masa kelak.. SEDANGKAN aku dalam fahaman politik lawannya... walaupun aku tidaklah aktif apatah lagi fanatik, jiwa aku dan 'Abid tidak akan sama. Aku reda dengan ketentuan Allah ini. Bukan bermakna aku tidak lagi menyayangi dan mengasihinya lagi. Cuma kini aku tidak lagi memberikan perhatian kepadanya.... Untuk apa semua itu, jika menambahkan dosa semata-mata.


Dari suatu segi aku memang menuruti permintaan dan kata-katanya, namun aku akur bukan kerana dia tetapi kerana Allah yang sering dia kaitkan itu.  Terima kasih Allah kerana melahirkan rasa cinta ini buat 'Abid....dan terima kasih Allah kerana tidak menyatukan hati kami dalam gerbang perkahwinan. Aku ingin sentiasa mengkagumi dia, sebagaimana dia dulu dan sekarang... dan semoga dia lebih hebat pada masa akan datang. Dalam kedudukanku sebagai seorang yang mencintainya... bukan dalam posisi aku menjadi isteri derhaka kerana ingkar kepada seorang suami...  Hingga kini, aku selalu mendoakan dia berjaya dalam hidupnya, dan bahagia bersama pasangan dan keluarganya. 


Semuanya memerlukan pengertian... dan aku telah menjelaskan pengertian aku akan semua yang terjadi ini. Sukar untuk aku menyamakan 'Abid dengan orang lain...namun Allah lebih Mengerti dan Mengetahui apa yang terbaik untuk kita dan untuk semua kita....dan siapa kita untuk mempersoalkannya. Suasana pilihanraya ini banyak mengingatkanku tentang fenomena cintaku yang tidak pernah berbalas itu... aku tidak kesal mencintaimu... dan kau tahu aku akan terus mencintaimu selagi kau berada di jalan Allah. 
CUMA, terus-terang aku menyatakannya... aku rindu dikau 'Abid yang dahulu....bersemangat dalam segala usaha kerana kini aku tidak melihat dikau sepertimana dikau yang bersemangat dulu... tetapi siapalah aku memintamu untuk menjadi seperti apa yang aku harapkan... Perlukah pengertian ini....aku sendiri tidak pernah pasti....

Khamis, April 25, 2013

JIKA ITU TAKDIRNYA..

         Jika itu takdirnya, kata-kata yang sering kita dengar apabila sesuatu itu berlaku dalam hidup seseorang. Dengarnya seperti mengalah dan berserah akan apa yang berlaku tanpa ada apa-apa perlakuan untuk mengubah sesuatu itu.  "Hendak buat bagaimana lagi jika itu takdirnya", "Akan aku terima segalanya, jika itu takdirnya.", "Jika itu takdirnya apa lagi yang boleh kita lakukan." dan banyak lagi ayat-ayat yang mungkin boleh kita dengar atau kita sendiri yang melafazkannya.

         Sengaja aku memilih tajuk ini. Dalam menjalani hidup kita ini tidak selalunya, tidak selamanya kita akan sentiasa tabah dan kuat melakukan segala sesuatu itu. Pasti hati kita akan terluka, pasti akan ada kesakitan, pasti menjengah kepiluan... banyak lagi yang perlu kita lalui. Biar apapun keadaan kita, siapa kita; mustahil kita menafikan bahawa kita tidak pernah berasakan diri kita sedang berada di bawah, umpama dibenam dengan sengaja; yang seterusnya menjadikan kita seseorang yang sangat lemah pada satu-satu ketika. 

          Siapalah kita menafikannya. Namun jika itu takdirnya bukan tanda kita lemah atau gagal. Jika itu takdirnya memungkinkan kita berusaha lebih daripada sepatutnya untuk mencapai sesuatu yang lebih baik. Mungkin ketika ini DIA belum lagi ingin menunaikan permintaan kita; yang pastinya bersebab.. dan sesungguhnya ALLAH  Maha Mengetahui. Usahalah meragui, kita di situlah terletak keimanan kita.

        Aku melihat kekecewaan dan rasa hampa kepada sesuatu yang berlaku di dunia merupakan amanat dan didikan Allah buat aku. Mengetahui, tidak semesti kita mengenal segala sesuatu itu.  Maka aku berpendapat dengan bijaksana kita dididik secara tidak langsung untuk menjadikan kita semakin tabah dan kuat. Sentiasalah aku bersyukur kerana Dia tidak pernah meninggalkanku walaupun acapkali aku pergi meninggalkan sama ada secara sedar mahupun tidak. Maka aku cuba mendidik untuk bermuhasabah diri agar didikan itu terterap indah dalam peribadiku ini.

    Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud :

'Apabila Allah mengkehendaki keburukan atas suatu kaum, maka Dia menjadikan urusan mereka berada di tangan orang-orang yang hidup mewah.'   
                        Riwayat Ad-Dalami

    Sabda baginda lagi yang bermaksud :

'Apabila kebaikanmu membuatmu gembira, dan keburukanmu membuatkan kamu dukacita; maka kamu adalah orang mukmin.'
                                          Riwayat adh_Dhiya melalui Abu Umamah

Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
'Ada empat perkara, barang siapa diberi keempat perkara itu, berarti ia benar-benar telah diberi kebaikan dunia dan akhirat, iaitu: lisan yang selalu berzikir (kepada Allah), kalbu yang selalu bersyukur (kepadaNYA), tubuh yang sabar dalam menghadapi cubaan, dan seorang isteri yang mahu dikahwini bukan lantaran takut celaka atau mengharap hartanya.
                                         Riwayat Thabrani melalui Ibnu Abbas R.A

   

   Aku sering tertanya-tanya bagaimana aku dapat mendidik diri menjadi orang yang sentiasa tenang walaupun ketika aku dalam keadaan terduga olehnya. Tidak aku menafikan, beberapa waktu belakangan ini aku berasakan kemurungan kerana lemah iman dan hilangnya rasa bersyukur dengan situasi di sekeliling. Namun Dia sering 'memujukku' dengan pelbagai cara yang tidak terduga. Jika itulah takdirnya aku tidak akan pernah berjauhan daripadaMU, ya Allah.. Beberapa bulan ini aku diduga dengan kekangan masa dan tugas, namun walaupun hal ini cuba aku perbaiki dari semasa ke semasa. Aku diuji dengan rasa rendah diri, aku diuji dengan kesempitan rezeki, dan aku diduga dengan gangguan kesihatan. 

       Dalam sibuknya rakan-rakan sejawat menarik perhatian majikan baru, aku mengambil keputusan untuk menjauhinya. Biarlah mereka meraih perhatian itu, kerana sudah tidak betah untuk menjadi bahan umpatan dan penghinaan lagi. Aku mengharapkan berpindahnya majikan lama ke tempat baru membawa cerita-cerita itu bersama tanpa meninggalkan kesan buruk pada tanggapan ketua jabatan yang baru. Ya Tuhan, sesungguhnya aku sering berkecil hati kepadanya. Namun aku seorang yang tidak setuju dengan pendekatan rakan-rakanku yang berlumba-lumba mendapat perhatian dan perhargaannya. 

      Bagiku andai aku tertolak daripada perhatian ketua jabatanku itu, biarlah jika itu takdirnya. Aku tahu segala-gala berisiko kepada kerjayaku ini. Aku mohon maaf jika aku tidak mampu untuk berbuat sesuatu yang baik untuk kalian dan diriku sendiri. Ujian ini ada kalanya menjadikan aku tidak bermaya. Dengan rasa terkilan dan rasa diketepikan... aku akan terus memegang amanah yang ada sebaik mungkin. Biarlah tidak akan penghargaan sesama manusia, asal DIA tidak sesekali meninggalkan. Aku tidak mahu menjadi orang yang rugi. Buat masa ini aku cuba bertenang. Rehat untuk diri sendiri pun kadang kala sudah terhakis.. namun hal itu adalah lebih baik daripada tidak ada yang patut aku sumbangkan kepada yang lain.

      Mungkinkah kerana aku tidak berbincang dengannya tentang banyak hal, ketua jabatanku tidak pernah memandang serius apa yang aku lakukan. Bicaraku pada bila-bila masapun sering dipintas dan menyebabkan ucapan itu termati begitu sahaja. Jelas hati ini berasa sayu dan sedih. Mungkin kerana aku lebih banyak diam, maka aku ini dianggap tidak mampu untuk semua tanggungjawab itu.  Ya Allah, berilah aku kekuatan menahan air mata ini mengalir di hadapan khalayak.. selalu sahaja aku berdoa begitu. Lemahnya aku ketika itu atau ketika sesuatu itu terjadi.. KAU berikanlah aku kekuatan melindungi semua itu.  Aku memang tidak punya tempat untuk meluahkannya. Kerana dalam kalangan sahabat-sahabat aku sentiasa lebih pantas meraih perhatian dan meletakkan diri mereka hebat di pandangannya. Allah, sebaknya hati ini ketika ini.

      Hari ini aku luahkan rasa hati ini dalam catatan ini. Sememangnya dalam catatan-catatan seperti inilah aku meluahkannya. Pasti mereka tidak akan sesekali mengambil perhatian kepada apa yang aku catatkan kerana aku tidak penting pun dalam kalangan mereka. Ya Allah, hati ini sayu apabila ada kalangan rakan-rakan yang menjatuhkan aku dengan sengaja. Berikanlah aku kekuatan. Jika itu takdirnya aku sememangnya redha namun aku tidak boleh membiarkan semua itu melemahkan diri ini untuk melakukan sesuatu yang betul. Keluarga yang bersama aku juga tidak memahami aku, atau tidak cuba memahami aku ini. Bukanlah aku inginkan penghargaan ; cuma pengertian akan apa yang aku perbuat untuk mereka dengan mengabaikan kebaikan diri. Kesedihan ini menambah keresahan hatiku. Selain tugas yang selalu tertangguh aku kira reputasi aku di mata ketua jabatan sememangnya rendah. Adakalanya ingin sahaja aku menjerit kerana seolah-olah tidak ada sesiapa pun membantuku. Apapun, aku tidak boleh menyalahkan orang lain. Aku perlu mencerminkan diri agar tahu di mana cacat cela diri ini.

      Bukan mudah meraih kepercayaan orang dan amat menyakitkan apabila rasa kepercayaan itu dipangkas oleh sahabat sendiri. Namun aku sering memujuk diri ini, usah ditanya apa yang oranglain berikan kepadaku, persoalkanlah apa yang selama ini aku berikan orang lain... maka setelah aku meninjau dan menimbang banyak perkara, aku menerima jika itu takdirnya.

         Alhamdullillah hati ini semakin tenang dan redha akan apa sahaja yang aku lalui ketika ini. Aku akan bertindak untuk mengukur baju di badan sendiri. Seperti apa yang tercatat dalam hadis-hadis yang aku pilih... aku seharusnya bersyukur kerana kedudukanku yang lebih baik daripada sebelumnya.. Aku juga tidak mahu diuji dengan sesuatu yang tidak mampu aku tanggung dan aku lalu. Aku bukan hendak gah, aku bukan mahu disanjung atau dipuji... cukuplah jika Allah yang menghargai diri ini dengan pelbagai pujukan demi aku melalui hidup ini dengan segala redha dan keberkatan daripadaNYA. Menyebut keberkatan, ingin aku merujuk kepada rezeki ini.. biarpun ada ketikanya aku sering keputusan kewangan dan menyebabkan aku sangsi dengan keberkatan yang ada; namun aku lebih senang diuji begitu daripada diuji dengan kemewahan yang kemudiannya membawa aku jauh, semakin jauh dariNYA.

      Tahun ini aku punyai beberapa hasrat yang besar. Ya Allah di petang Khamis/Jumaat yang mulia ini aku berdoa dan bergantung harap kepada dengan sepenuh hati ini, semoga KAU kabulkan dan perkenankan hasratku. Salah satunya, aku ingin kembali ke Baitullah lagi. Membawa orang tuaku dan beberapa orang lain bersamaku.. Usahkan KAU lenyapkan kerinduanku ini kepadaMU.. Semoga KAU akan sentiasa memperkenankan permintaanku sebagaimana KAU memujuk dan menggembirakan selama ini. Jadikanlah aku anak yang berbakti kepada orangtua, dan hamba yang sentiasa taat kepadaMU. Sesungguhnya aku ini sering alpa dengan keindahan dunia yang sementara dan terlalai mencari keindahan akhiratmu yang kekal abadi.

         Jika itu takdirnya, yang akan menjadi suatu ilmu dan didikan kepadaku, aku menerima dengan reda. Tiada apa yang lebih baik selain mendapat keredaan Allah... dan semoga takdir hidup ini sentiasa dalam dakapan cinta kasih Allah, Amin ya Rabbal alamin...

Sabtu, Mac 02, 2013

Mencuba yang baharu

Kali pertama aku mencatat menggunakan Teknologi canggih masa kini...iaitu menggunakan samsung Galaxy Camera. Sudah semestinya teruja sekali apabila aku boleh mencatat menggunakan gadget terkini...
        Sebenarnya aku memang tak berniat menggunakan gadget-gadget baharu yang selalu membuatkan aku terasa sukar menggunakannya dan perlu mengambil masa untuk menjelajah entah bermacam-macam kerenah gadjet yang kononnya diperbuat dengan pelbagai kepintaran. Namun ia masih memerlukan  manusia untuk mengendalikannya....secara pintar. Jika kita tidak dapat mengoperasinya secara pintar maka gadget-gadjet masih berfungsi sama seperti yang tidak pintar itu. Ada yang kata apa guna  menggunakan telepon pintar, kamera pintar sedangkan penggunanya tidaklah pintar.

         Untuk membolehkan aku mengurus dan memahami kepintaran yang kononnya dimiliki gadget ini aku yang perlu meneroka. Entah  apa yang seronok dengan gadget  seperti ini. Kita juga yang perlu mengoperasi semuanya barulah ia boleh berfungsi pintar. Aku sendiri tak pasti kenapa aku terpengaruh dengan gajet ini. Mungkin kerana promoternya yang begitu bijak mempengaruhi aku atau mungkinkah kerana aku memang berazam untuk memilikinya disebabkan kutukan dan ejekan kawan-kawan yang mempertikaikan kemampuan aku berbanding pendapatan aku kini. Sedangkan mereka tak tahu ke mana pula pendapatan aku disalurkan. Rasanya  cukuplah aku melayan kutukan mereka ketika ini. Aku tidak semewah mereka.. ukur baju di badan sendiri....
Pemandagan di Ijok  dalam perjalanan ke kampung
            Kalau diikutkan sangat hati yang sakit memang beginilah jadinya... apa yang dapat aku katakan lagi apabila aku sudah terlanjur membeli gajet ini. Kad sim pun sudah dipotong dan aku sudah membuat perjanjian jual beli.... susah hidup ini apabila ada keinginan tetapi tidak dapat dikawal oleh akal yang waras ketika tiba masanya... Cukuplah juga aku berboros dengan segala kemudahan dan kesenangan yang ada. teringat juga gurauan seorang teman... nak simpan sangat duit buat apa, berseronok dengan segala penat lelah dan kepayahan kita berkerja dengan menggunakannya untuk kepuasan diri kita.
          Dan  kini  aku pasrah... dan aku catatan hari ini aku catat menggunakan Samsung Galaxy Camera yang aku miliki bersama rasa ralat dalam hati serta baharu dua minggu  aku miliki baharu aku menerokanya.....inilah kehidupan...ada kala yang kita tak impikan selalu sahaja datang tanpa diduga.....yang kita inginkan sering pula hilang dan menjauh... Wallahualam..

* Catatan yang dikemaskini..

Selasa, Februari 19, 2013

ERTI PENGORBANAN..

Asslamualaikum..
Hmmm.... sebulan sudah tidak mencatat. Banyak isu tetapi tiada keluangan masa untuk mencatat dan juga liputan yang tidak menentu. Nak kata macam biskut chipsmore itu tidak lah, Cuma beberapa hari ini agak okay sedikit. Kerja pun sudah beransur kurang.
       Tajuk yang aku pilih kali ini erti pengorbanan. Macam besar sahaja isunya. Namun sebenarnya tidaklah sebesar mana yang akan aku catat di sini. Cuma hal ini mengesan di hati ini. Hanya Allah yang mengetahui rasa hati ini ketika mendengar khabar itu. Masyaallah sabarnya dia melalui kehidupan yang penuh ujian dan dugaan ini. Al-Fatihah buat arwah dan semoga pengorbanannya itu akan memberikan kesedaran bagi mereka yang tinggal dan ditinggalkannya...


      Aku menerima berita itu daripada salah seorang sahabatnya.. mereka mantan anak dididkku. Biarpun mereka bukanlah antara mereka yang sangat rapat denganku namun aku sememangnya aku kenali. Apabila ditanya aku mengenali atau tidak aku mengiyakan, namun sedih rasa hati ini mendengar khabar pemergiannya. Kata-kata di dinding facebooknya..
"Syahid itu syurga..takut saya nak melahirkn umat Nabi Muhammad ini..Minta maaf zahir batin..". 
        Sesungguhnya dia telah merasakannya... hari itu hari terakhir dia bersama-sama keluarga dan kita di dunia fana ini. Dan perjalanannya itu telah terkhabar kepadanya. Maka akhirnya dia pergi bersama-sama anak dalam kandungannya setelah cuba melalui proses melahirkan secara normal.
Alangkah mulia hatinya, ketika dalam keadaan cemas dia masih menjaga nama baik sang suami dengan menyatakan suami itu bertugas di luar.... sedangkan suaminya itu bersama-sama dengan isteri yang satu lagi. Dan tambah memilukan sang suami juga sedang dalam perancangan untuk beristeri satu lagi...

        Sahabatnya bercerita dan melalui cerita teman-teman, orang yang menziarahi jenazahnya waktu pengebumiannya terlalu ramai sehingga bertolak-tolakan. Mungkin salah satu sebabnya dia meninggalkan dunia ini pada hari penghulu segala hari iaitu hari Jumaat yang mulia. Pastinya dia tidak dihisab dan insyaallah syurga bagi pengorbanannya itu.. Namun berertikah pengorbanan itu buat sang suami itu?


       Sebagai seorang suami yang menzalimi isteri sedemikian rupa apakah maknanya pengorbanan si isteri. Anaknya yang pergi bersama si ibu merupakan anak yang kelima.. dan selama ini setiap kali dia bersalin, si isteri menguruskan dirinya sendiri.. Kaya bagaimana sekalipun si suami tetapi menzalimi isteri, apakah martabatnya pada isteri tersebut? Dia menerima sang suami dengan ikhlas dan sepenuh hati. Melahirkan zuriat-zuriat buat sang suami namun akhirnya dia 'terkorban' tanpa suaminya di sisi. Sedihnya hati aku ini mengetahui kisah ini, namun aku juga gembira kerana pastinya si isteri boleh memilih mana-mana pintu syurga untuk memasukinya. Alhamdullillah.. menangis dia di dunia ini, semoga bergembiralah dia di sana... Ya Allah, rahmatilah dia dan tempatkanlah dia dalam golongan yang mendapat redaMU.. dan doaku, Semoga sang suami itu diberikan petunjuk dan hidayah dalam hidupnya.. dan tidak dia melakukan perkara yang sama pada isteri-isterinya yang lain. sedarlah tanggungjawab seorang suami itu berat apatah lagi jika memiliki isteri lebih daripada satu. Apakah sang isteri sahaja yang mesti taat dan setia kepada suami? Apakah si suami tidak perlu untuk taat dan patuh dengan tanggungjawab dan amanah terhadap sang isteri.
      
       Terkenang juga kepada saudara yang aku kasihi...hidup bersamanya, namun aku tidak pernah tahu apa yang ada dalam fikiran dan hatinya. Membesarkan anak-anak seramai enam orang sendirian. Ada suami seperti tiada suami.. urusan persekolahan anak-anak, urusan makan minum dan keperluan anak-anak, urusan tempat tinggal semua ditanggung sendiri. Dengan gaji yang tidak seberapa itu dia menjalani hidup dengan tabah. Aku yang bergaji agak besar inipun sering sahaja kekurangan apatah lagi dia. Doaku untuknya semoga Allah limpahkan rezeki yang banyak dan datang daripada segenap sudut dan semoga berikan kekuatan buatnya menjalani hidup yang mencabar ini sebaik mungkin. Entah apa di fikiran si suami yang aku anggap kejam kerana menganiayainya. Bertahun hidup bersama tiada apa-apa yang diberikan buat si isteri. Bukan si isteri tidak bersyukur dengan menidakkan pemberian suami namun yang jelas setiap apa yang ada dalam rumahtangga itu adalah pemberian si isteri. Akhir zaman ini semakin banyak lelaki-lelaki yang bergelar suami tidak bertanggungjawab. Memikirkan keperluan nafsu sendiri sahaja. Berkahwin lebih daripada satu, nafkah tidak pernah tertunai dengan sempurna.


       Kadang-kadang terfikir juga, semasa mereka menerima ijab dan kabul itu bukankah mereka telah sedar akan tanggungjawab mereka kepada amanah yang diakui akan dijaga oleh mereka. Namun secara sedar juga mereka mengabaikannya sewenang-wenangnya. Mengapa sang suami itu lupa bahawa setiap anak yang dilahirkan juga adalah amanah buat mereka. Dan akhirnya disebabkan sikap tidak bertanggungjawab sang suami, isteri dan anak-anak itulah yang mengheret mereka ke neraka. Bukan kerana anak isteri itu sengaja namun disebabkan nakhoda yang tidak bijak mengemudi kapal pelayaran yang dipilihnya sendiri itu. Selalu juga ada sang suami bertanya kenapa ada sahaja yang tidak cukup dalam hidup mereka sedang sebenarnya mereka tidak sedar, keberkatan dalam hidup itu juga hadir daripada doa anak-anak dan isteri, atau isteri-isteri mereka. Dan ada juga mereka yang turut menderhaka dan tidak menjaga hati ibu bapa yang menjaga mereka. Kelewahan pengaruh luar seperti kawan-kawan dan pusat-pusat hiburan tambah menghanyutkan mereka. 


        Aku juga semakin bimbang dengan keadaan ini. Apa masa hadapan anak-anak yang mempunyai ayah, abah, babah, papa, daddy, bapa yang tidak pernah bertanggungjawab. Perlukah pula isteri berkorban untuk terus setia. Namun banyak isteri yang tidak mahu menyandang gelaran janda, maka mereka reda melalui situasi itu sendirian. Benarkah pengorbanan itu? Mungkin benar kata seorang rakan... kebimbangan mendapat suami yang lebih teruk daripada suami yang sedia ada sekiranya mereka bercerai kemudian berkahwin dengan suami yang lain. Namun siapa kita menentukan itu semua. Kita tidak tahu apakah masa hadapan yang ada. Mungkin kita sudah gagal sebelum mencuba.
          Kita seharusnya sentiasa bersangka baik dalam banyak hal dalam kehidupan ini. Jika penat kita berkorban dan pengorbanan itu menjadi sia-sia, maka tidaklah sebenarnya pengorbanan itu bererti..
Semoga kita dapat mengikhlaskan segala-gala apa yang kita lakukan, untuk siapa yang kita lakukan itu... jelasnya niatkanlah kerana ALLAH, maka segala ketentuan olehNYA merupakan suatu ujian yang membolehkan kita memperoleh keredaan daripadanya. Setiap apa yang dilakukan akan ada pahalanya dan akan memberikan kita banyak pedoman dan nasihat tanpa kita sedari. Dengan meniatkan semua itu kerana ALLAH juga akan menjadi ibadah. Manusia kerdil seperti kita ini akan selalu lupa namun dengan segala yang kita lakukan kerana ALLAH kita pasti akan menjadi bijaksana tanpa kita sedari. 
    Sudah agak panjang aku mencatat. Rasanya apa yang ingin aku sampaikan sudahpun terlaksana. Doaku buat orang-orang yang bersabar dan taat kepada suruhan ALLAH, terutama dalam kalangan kawan-kawan dan kenalan yang teraniaya dek kehidupan berumahtangga akan ditempatkan dalam golongan orang-orang yang mendapat keredaan ALLAH dan dikasihi ALLAH dengan sesungguhnya. Bukan mudah untuk terus bersabar dan bukan juga mudah untuk hidup di luar batasan kesabaran. 
    Segala yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu kelemahan kita sendiri mentakrif dan mentarbiah diri ke jalan yang sebenar-benarnya ditentukan oleh Allah. Semoga apa yang tercatat ini menjadi satu ingatan buat kita bersama, insyaallah.