Ahad, Mac 06, 2011

TERKILAN ATAU MERAJUKKAH HATIKU?

Draf untuk catatan ini sudah beberapa hari aku sediakan, namun mungkin tiada masa dan tajuk yang sesuai aku biarkan sahaja. Hari ini aku punyai sedikit luang masa maka aku tidak mahu melepaskan peluang ini..

Entahlah... semakin usia ini meningkat dan semakin juga umur ini semakin pendek untuk menuju kembali ke sisi Allah... semakin pula cepat terasa dan teruja kepada perkara-perkara remeh sekalipun. Sebenarnya sudah beberapa waktu aku berasa sebegini namun aku biarkan perasaan ini berlalu pergi dengan sendirinya. Malang sekali rasanya sehingga ke hari ini aku masih lagi berasakan perasaan yang berbaur ini.  Sudah beberapa waktu ini aku tidak menitiskan airmata walau apapun keadaannya... cuma hari ini dan semalam aku terasa begitu sayu sehingga aku menitiskan airmata ini. Ya Allah berikanlah kekuatan kepada hambamu ini..

Ya Allah berikanlah aku kekuatan dan kesabaran menghadapi dugaanMu ini... aku tahu seseorang itu tidaklah diuji di luar kemampuannya. Ya Tuhan aku tidak perlu merajuk atau berasa hati kerana satu hal yang kecil itu... Hah, kecil sungguh aku di sisiMU...
Lain yang aku rancang tetapi lain pula yang terjadi. Walau aku tahu bahawa setiap apa yang ditentukan itulah yang terbaik buat aku ini. Kasih sayang dan perhatian itu tidak sepatutnya menjadi rebutan dalam kalangan kami.. tidak sepatutnya sama sekali! Namun aku tidak boleh menolak semua itu... Jauh hati aku disebabkannya. Bertambah jauh lagi apabila aku berasa keutamaan kami itu tidak berterus terang kepada aku.  Astagfirullah Al-Azim.....hanya kerana perkara sekecil itu... Aku berasa sangat kecil dalam kalangan mereka, apatah lagi dengan banyak kelebihan aku miliki namun tidak meletakkan aku di tempat yang sewajarnya. Mungkin hanya aku tidak kaya dan tidak memiliki sebarang kelebihan sebenarnya. Mungkin selama ini hanya perasaan aku ini sahaja yang berlebih-lebihan. Siapa aku untuk berjauh hati dengan darah dagingku sendiri... Ya Tuhan... bimbinglah hati aku ini kepada sesuatu yang lebih menenangkan dan hindarkan rasa berkecil hati aku ini.  Aku tidak cemburu dengan kelebihan-kelebihan yang KAU berikan kepada mereka tetapi entahlah.... aku sendiri tidak tahu mengapa???

Dulu aku pernah sahaja 'mencatat' kepada seseorang.... yakni sekiranya dia merindui aku, maka aku memintanya menjengah aku dalam ruangan ini.  Namun kini walaupun aku tidak mengharapkan dia menjengah ruangan ini, aku masih ingin mencatat sesuatu supaya dia mengetahui...
Hati aku ini tidak pernah berasa sesayu ini...untuk beberapa waktu ini.. Aku mendengar khabar, mendengar cerita...biarpun aku diminta untuk tidak bercerita, namun aku ingin berkongsi sesuatu dalam ruangan ini..
Kata dia yang bercerita, "Sepatutnya seseorang itu apabila sudah berpasangan, pasangannya akan membantu dia untuk semakin bertambah baik dan lebih berjaya. Namun dia kini tidak lebih hebat atau lebih baik dari sebelumnya... malah lebih banyak kekurangannya"
Ketika itu aku hanya mampu tersenyum mendengar cerita demi cerita itu... dalam hati ini banyak lagi kata-kata yang tidak terungkap.. Ketika dia bertanya, tidakkah aku berasa sesuatu... marah dan berkecil hati, kecewa...cemburu, kesal???  Aku tidak menjawab....tetapi memberikan alasan yang kuat kenapa aku dan dia yang bercerita itu untuk membantu dia yang kami sayangi itu... biarpun tahap dan bentuk rasa sayang kami berbeza.. dan aku tidak tahu tahap apakah sayang dia kepada dia itu... tentu tidak sama dengan tahap sayang aku kepada dia pula.. Aku lebih kepada mencintai dia maka aku sering ingin mendoakan kebahagiaan dia.. mungkin dia lebih kepada perasaan bahawa  sidia yang diceritakan itu mungkin mencintai diri dia yang bercerita.  Perasaan itu tidak sama.. Aku mencintai dia, maka tidak perlukan perhatian dia... sekadar mencintainya dan ingin dia bahagia dengan hidupnya... maka tidak akan ada rasa cemburu ataupun tidak akan ada perasaan ingin sesuatu daripada dia selain kebahagiaan dia... jika dia bahagia dengan pasangannya maka itulah kebahagiaan aku pula.. berlainan dia yang merasakan selama ini dicintai, diberi perhatian, tempat berkongsi pelbagai perkara... dan kini selepas dia berpasangan terasa diri terpinggir dan dilupakan dari segala perkara.

Buat dia yang mungkin rasa dikasihi itu... lepaskanlah dia dengan ikhlas.. berikanlah perhatian kepada pasanganmu... USAH lah dikisahkan dia dengan pasangannya.. Itu sahaja nasihat dari seorang kawan ini... Biarlah pasangan itu dengan hidup mereka... tidak usahlah kita menuntut lebih daripada hak yang diberikan kepada kita. Cukuplah setakat apa yang kita miliki.
Yang jelas, aku memang berasa hati... dan rasa terkilan.... kerana dia datang berkongsi cerita tentang dia bersama aku.. Aku sudah tidak perlu tahu.. Entahlah...
Mungkin rasa kesamaan mengasihi orang yang sama itu, memberikan dia rasa aku merasakan perkara yang sama sepertinya... Sebenarnya tidak sama sekali.  Aku melepaskannya dulu ikhlas kerana Allah...tanpa syarat dan aku yang ingin sekali melihat dia gembira dan bahagia... maka aku tidak menuntut apa-apa selepas itu.  Maka itulah beza antara kita.. aku berasa hati kerana aku dianggap sebagai orang yang tidak ikhlas.  Tidak akan sama perasaan antara kita, walaupun kita mengasihi orang yang sama.
Buat dia, selusurilah catatan ini.
Aku tidak menafikan segala apa yang diperkatakan oleh orang lain kepadamu... banyak benarnya daripada tidak benar.  Cuma dengan rasa cinta sesama manusia yang bersisa dalam hati ini, aku ingin memberikanmu sedikit nasihat... Mungkin sudah agak lama aku tidak menasihatimu... aku tidak pernah melupakanmu, dan aku tidak pernah lepas daripada memberikan perhatian kepadamu.... dan sehingga kini aku lebih senang mencatat daripada berbicara denganmu.
Kasihku... setiap perjalanan baru dalam hidup kita ini akan ada banyak perkara indah yang boleh kita terokai.. semakin jauh kita akan merasainya nikmat perjalanan itu.... namun, perjalanan baru yang indah itu tidak boleh kita pisahkan dengan perjalanan lama yang masih perlu dilalui... Seimbangkanlah dan janganlah kau rampas kebahagiaan yang lalu daripada banyak orang yang lain hanya kerana kau ingin mengejar kebahagiaan untuk kepentinganmu sendiri.
Aku tahu mungkin kemanisan hidup bercinta kerana Allah itu masih terlalu baru kau rasai.... sehinggakan kau agak asyik dengan segala itu... Kau sebagai pemimpin maka kau sepatutnya tahu mengimbangi hidupmu dalam berkeluarga dan dalam menjalin kekeluargaan... yang baru mahupun yang lama. Mungkin kau tidak sedar segala itu... Muhasabahlah semoga banyak masalah akan terurai. 
Kini, aku gembira kau gembira... tidak terikat dengan aku dan masalah aku ini.. dia di sisimu itu tentu akan menjagamu dengan baik... mungkin jika bersama aku, kau yang terpaksa menjaga aku... Mungkin semua itu tidak kau sedari..
Pada aku, tiada apa-apa kekurangan yang boleh meletakkanmu rendah dari sebelum ini... namun aku sudah mendengar banyak tentangmu.. tentang ketidaksungguhan mu dalam banyak perkara... walau tidak kurang yang memujimu... Aku kira tidak layak menasihitimu kini, namun sebagai sahabat... aku ingin menjelaskan... Hiduplah seperti Junjungan kita Sallallahu alaihi wasallam... seperti contoh, idola, dan panduan terbaik sebagai seorang lelaki... adil dalam semua hal, bertambah kewibawaannya dengan kehadiran isteri tercinta, Saidatina Khadijah... walaupun kau dan pasanganmu itu bukan Nabi SAW dan isterinya... supaya tidak akan ada yang memperkatakannya.
Didiklah cinta hidupmu agar dapat menyeimbangi peranannya di sisimu... bukan mengikatmu di sisinya. Dan bukan juga dia memilikimu sepenuhnya...sehingga 'merampas'mu daripada oranglain yang juga berhak kepadamu... Aku tidak mahu menyatakan siapa, namun aku tahu kau lebih tahu... DAN, yang selebihnya itu... kau perbetulkanlah.. aku pasti kau memahaminya.

Aku sememangnya terkilan, 'dibawa' untuk kembali 'menguruskan' hidupmu... banyak lagi yang perlu ambil tahu... apatah dalam keadaan aku mengambilberat tentangmu.
Cukuplah aku mencatatkan rasa terkilan dan mungkin rasa berjauh hati aku ini.. Inilah aku sebagai manusia biasa yang penuh kekurangan dan kelemahan... aku punyai hati yang perlu aku jaga... kerana jika hati yang satu ini berasa kecil.... ia pasti akan semakin lemah... aku perlu menyembuhkannya kembali... mungkin terapi mudahnya dengan meluahkan apa yang berbuku di dalamnya... maka catatan ini aku paparkan.. semoga pengalaman ini memberikan sedikit panduan untuk semua...

Ahad, Februari 20, 2011

KETIKA MATA INI BELUM INGIN LELAP...

 Sepertinya semua tajuk yang aku pilih bersifat melankolik dan sensitif... bukan romantik pun aku kira... mungkin sedikit sepadan.

Waktu ini sudah menjelang dinihari, ketika aku menatap ruang maya ini... namun ketika ini juga mata ini belum mahu lelap lagi.. Sebentar tadi anak kecil berusia 4 tahun itu meminta aku mendodoinya... lalu aku lakukan...
Katanya: Umi, kenapa adik tak boleh tidur lagi... Umi nyanyilah lagu Allah... Adik pejam tapi tak boleh tidur...". Aku cuma senyum, dan memeluknya... dari alunan Asmaul Husna, aku berzikir dan berselawat, kemudian aku mengalunkan lagu-lagu taubat dan nasyid mudah untuk anak-anak kecil mengenal Pencipta Yang Satu itu serta kekasihnya SAW... Itupun kerana dia meminta aku menyanyikan lagu Allah... tapi sukarnya untuk dia tidur...

Tiba-tiba dia bersuara : "Umi.... adik dengan umi sembahyang minta maaf dengan Allahu Akbar dan minta kita boleh tidur...". Pastinya aku senyum panjang... Lalu aku jawab," Kalau adik doa sambil baring pun Allah tahu dan bagi adik tidur"... fikirku kalau dia bangun dan bersembahyang sunat bersama aku, pasti dia akan lebih sukar tidur... sedangkan esok dia perlu bangun awal pagi untuk ke Taska...
Lalu dia segera berdoa untuk tidur yang dibacanya sekian kalinya seterusnya berdoa dimaafkan dia dan minta dia boleh tidur... sambil berzikir mendodoinya, maka dia akhirnya tertidur kira jam 1.45 pagi... Dan mata aku masih belum mahu pejam lagi... mungkin inilah peluang yang DIA berikan buat aku mencatat lagi di ruangan ini... Terima kasih Allah.

Menjadi suatu isu dalam kotak fikirku ini, tentang beberapa 'bicara' oleh teman-teman di ruangan 'facebook' mereka... Falsafah, kata-kata hikmah, rungutan, cetusan hati dan seumpamamya... malah aku tertarik dengan tindakan yang diambil oleh sepasang suami-isteri yang juga kawan-kawan itu dalam meraikan hari kelahiran anak mereka... aku memang bersetuju, dan sangat gembira... kerana bukan aku sahaja beranggapan akan tindakan itu... akan tetapi mereka lebih berfikiran jauh... Jika aku melakukan dengan menanam tumbuhan kecil seperti kaktus, pandan dan lidah buaya... rupanya mereka lebih terfikir menanam pokok buah-buahan di sekeliling rumah.. Namun langkah itu bersesuaian memandangkan kediaman mereka mempunyai ruang cukup untuk mereka penuhi dengan pokok buah-buahan, sedangkan aku tinggal di rumah teres dengan tanah yang ada sekangkang kera.. Maka aku dapat merasakan sesuai untuk aku menanam pokok yang renek dan menggunakan ruang kecil... objektif dan harapan yang ingin kami lestarikan itu tetap sejajar.... Di samping semangat, keperihatinan.... aku ingin menerapkan 'jiwa' dan harapan kami dalam misi itu... begitu juga mereka..

Teringat aku ketika belajar di Universiti Malaya... kagum dengan beberapa pensyarah seperti Prof.Hashim Musa, Dr. Sanat Mat Nasir, Dr Abdul Razak dan beberapa orang pensyarah yang lain.... mereka mempunyai pandangan  dan falsafah yang mereka pegang dan gunakan... Pelbagai kesukaran dan kesulitan mereka lalui untuk sampai ke tahap itu... dan aku mengakui, semakin banyak ilmu yang kita cari dan dapati... semakin pula kita terasa semakin kecil berbanding yang lain... dan semakin terasa pula kita semakin tidak pandai... Alhamdullillah, Aku bersyukur kerana sampai ke tahap ini... Mungkin aku tidak dapat meneruskan ke peringkat MA tapi aku yakin setiap apa yang diberikan kepada aku ini, adalah yang terbaik buat aku...

Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud :
"Barangsiapa yang dikehendaki ALLAH, nescaya dia akan menjadikannya memahami agama."
(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Maka sebab itulah sehingga kini aku amat bersyukur berada di tempat aku sekarang.  Bagi aku ilmu itu bukan semata-mata diukur daripada pencapaian akademik semata-mata... namun ketinggian ilmu itu juga datangnya dari pengalaman yang tidak dapat dicari melalui pengikhtirafan akademik... Jika seseorang itu anak itu derhaka, bukan disebabkan kepandaiannya kerana kepandaian itu sepatutnya menjadi suluh kepadanya.... mungkin disebabkan ilmu yang dimiliki tidak cukup, tiada ketaqwaan dalam hatinya... imannya juga mungkin merundum....

Firman Allah yang bermaksud:
"Wahai para Rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah Al-Mukminun :Ayat 51)

Begitu jugalah dengan Ilmu..."Ilmu tanpa amal umpama pokok yang tidak berbuah". Pepatah Arab yang sering disebut-sebut dalam topik keilmuan itu sendiri... Dan ilmu itu akan menjaga kita dan semesti akan menjadi pakaian dan akhlak kita... Seperti menanam pokok tadi... ia perlu dibajai, disiram dan dijaga untuk terus hidup subur dan dapat dimanafaatkan untuk kebaikan...

Semoga kita akan sentiasa dalam mencari ilmu dan menjadi manusia yang bermanafaat kepada diri kita sendiri dan kepada orang lain..

Di sana padi, di sini padi,
Barulah boleh dipanggil bendang;
Di sana budi, di sini budi,
barulah boleh dipanggil orang...

Yakni menjadi orang yang berguna, dan budi itu bermaksud budi bahasa, budi bicara, tutur budi, dan budiman...dan yang jelas semua itu adalah hasil dari ilmu dan akhlaknya...

MUNGKINKAH AKU DIDUGA SEKALI LAGI???

Seharian berada di rumah hujung minggu ini, aku rasakan agak selesa berbanding sepanjang dua minggu yang berlalu... Hari ini kesihatan aku agak baik... jika sebelum ini pelbagai kesan dan kesakitan aku alami silih berganti namun hari ini aku mula kebah... Mungkin sebab aku sudahpun boleh berbuat sesuatu untuk 'mengubati' diri aku ini... Satu jag air zam-zam yang aku bacakan kepadanya surah al-fatihah nampaknya memberikan kesan baik kepada aku ini... Sakit seharian yang aku tanggung selepas minum air zam-zam itu, memberikan sedikit kelegaan... ditambah dengan minyak wangi yang aku beli pada satu pasar malam yang lalu... yang mana aku hanya melihatnya 2 kali sebelum penjual minyak wangi itu tidak lagi kutemui selepas itu... Aku pun tidak pasti kenapa selalu sahaja peristiwa-peristiwa demikian berlaku kepada aku ini...

Setiap kali aku mengalami sakit yang melampau dan aku sendiri ragui... pasti ada sahaja yang menawarkan sesuatu kepada aku... mungkin secara kebetulan. Ketika aku lalu di hadapan gerai jualan itu, peniaga itu memanggil aku dan berkata, "Kak, cuba minyak wangi ini... Kijang Kasturi yang boleh hilangkan kesan santau dan rasa tidak tenteram dalam dada akibat sihir... kita berusaha Allah yang mengizinkan dan inilah satu ikhtiarnya.. Mujarab jika dengan perkenan Allah..."

Maka langkahku pun terhenti, bukan berminat sangat untuk membelinya sebab banyak minyak wangi di pasaran yang mempunyai identiti yang sama... aura bauan dan wangian itu memberi kesan atau terapi kepada pemakainya.. Waktu itu aku belum mengalami apa-apa masalah kesihatan lagi... Dan kini apabila rasa berdebar-debar dalam dadaku semakin menjadi-jadi malahan keadaan tubuh badanku yang lemah tak menentu itu aku rasai, aku teringatkan minyak wangi itu yang aku simpan dalam beg tanganku selama ini.. Aku sapukan ke bahagian yang sakit.. dan aku titiskan sedikit dalam air zam-zam yang aku minum... Alhamdullillah kesakitan itu beransur hilang...

Bukan satu keanehan kepada aku dengan keadaan aku ini... mungkin orang tidak akan merasakan perkara yang sama... mungkin akan ada yang lebih teruk dari aku ini... Aku sudah biasa dengan keadaan 'disihir' atau mungkin kesan 'santau' lama yang ada dalam diri aku ini... Cuma waktu ini aku tidaklah mengalami muntah darah... batuk melampau dan seumpamanya... Dan jika keterlaluan aku akan melakukan solat hajat memohon kepadaNYA  semoga aku mampu untuk diduga dan diuji sekali lagi... dan aku rasakan permohonan aku kepadaNYA telahpun DIA perkenankan... Terima kasih ALLAH...
Aku tidak mampu menolak kemungkinan aku mungkin ada melakukan kesilapan atau tersalah tindakan atau pertuturan yang tidak disenangi... dan aku redha diuji dan melalui dugaan ini... Mungkin ada sesuatu yang perlu aku pelajari daripada semua yang berlaku ini.

Kebetulan pula ada yang bertanyakan aku lagi... bukan seorang namun beberapa orang... dan aku belum ada sebarang jawapannya ketika ini... dan aku bermohon usahlah mendesak aku ini... jika jalan itu yang aku pilih, aku perlu mengabaikan banyak perkara untuk kepentingan aku sendiri... dan jika jalan ini pula yang aku pilih, maka aku terpaksa mengabaikan diri aku pula... Ya ALLAH, aku tak tahu jalan mana pula yang akan aku pilih... Aku serahkan kepadaMU, dan berikanlah aku petunjuk yang benar dan terbaik.... Semoga aku akan dapat menarik rambut dalam tepung yang tidak memudaratkan kedua-dua pihak , mungkin dalam kisah aku ini, ketiga-tiga pihak yang terlibat....

Mungkin aku diduga sekali lagi....
Kini, dua minggu belakangan ini tidur dan lenaku ditemani dengan pelbagai cerita...kisah... dan tafsiran yang ada antaranya sukar dimengertikan.
Ada juga pada malam-malam itu berkali-kali aku terjaga... apatah kita aku tidak bersih, aku hanya mampu beristigfar dan memohon perlindunganNYA..
Dalam keadaan bersih, aku pasti akan bangun dan menunaikan solat sunat... sekiranya aku tidur kembali, aku akan terjaga sekian kalinya... dan jika aku terus mengaji dan bersolat sunat sehingga menjelang subuh, aku pasti dalam keletihan yang tidak kusangka-sangka... apatah dengan ujian sakit yang aku alami itu.  Semoga segala keresahan itu akan hilang... Aku sentiasa berdoa agar aku tidak akan menghampakan sesiapa... maka aku sentiasa berdoa tiada siapa yang akan berharap atau menaruh harapan tinggi kepada aku lagi..
              
Jika benarlah tanggapan aku ini, aku bermohon kepada yang Maha Mengetahui dan Maha Penyayang itu agar segala dugaan dan ujian yang aku lalui ini akan berkesudahan yang baik untuk semua pihak.

    "Ya Allah, ampunkan kekhilafan aku ini sekiranya ada... Ya, ampunkanlah kealpaan aku ini sekiranya tidak aku sedari... hanya kepadaMU aku bermohon akan segala kebajikan di dunia ini semoga membawa kebajikan di akhirat kelak... Ampunkanlah dengan kelemahan diri ini..."

Jumaat, Februari 18, 2011

APAKAH BICARA DI DADA LANGIT ITU??

Entah kenapa setelah lama tidak mencatat dalam laman sesawang ini, aku memilih tajuk ini untuk aku meluahkan rasa hati aku ini...
Walaupun sebenarnya dalam beberapa waktu belakangan ini, aku mengalami banyak tekanan dan ketegangan dalam hidup aku. Banyak kehampaan dan kekecewaan tentang beberapa perkara yang aku lalui akhir-akhir ini.

Mungkin disebabkan ketidakselesaan dan ketidaksediaan aku berkongsi dengan oranglain maka aku memilih tajuk ini untuk bicara ini... namun yang jelas hati aku ini belum sepenuh tenteram dan selesa. Sejak aku menukar minat aku merakamkan bicara-bicara di langit, aku belajar untuk membaca catatan Allah di muka langitnya itu namun aku masih tidak dapat mengerti dan mungkin tidak akan mengerti apa-apa sekalipun...
Aku merakamkan banyak gambar-gambar melalui kamera digital yang aku miliki beberapa tahun lalu hasil daripada tunggakan gaji aku selama beberapa tahun... masa itu, kamera itu adalah yang terbaik buat aku... walaupun 'cikai' pada oranglain... itulah yang termampu buat aku... Dan sebagai jurukamera amatur, biasalah jika gambar yang aku ambil pun tidak seberapa hasilnya... mungkin bukan secara terancang. Dengan kamera yang sentiasa aku bawa ke mana-mana itu, aku rakamkan gambar-gambar dalam catatan kali ini, seadanya... sewaktu memandu... sewaktu aku bersantai.... sewaktu bersiar-siar.... Adakalanya adik-adik dan anak-anak buah aku yang berada di samping aku yang lebih teruja untuk merakamkann gambar-gambar yang ada. Banyak lagi gambar yang aku rakamkan dan banyak juga antara gambar itu begitu menyentuh hati aku ini. Aku kadang kala terasa begitu berdebar-debar ketika menatap gambar-gambar yang aku rakamkan ini... dan setiapkali itu pula aku sering tertanya-tanya..... APAKAH BICARA DIA DI DADA LANGIT ITU???.
Cukup dengan pelbagai perkara yang berlaku akhir-akhir ini yang begitu menimbulkan kesengsaraan dan kepedihan serta kepayahan buat banyak orang termasuk aku sendiri... namun dengan segala yang berlaku itu masih banyak pula kepincangan yang berlaku dalam dunia ini.

Untuk beberapa waktu ini ketika aku mendengar beberapa rakan yang membincangkan hal-hal Yakjud-makjud, Imam Mahadi, kebangkitan akhir zaman, tanda-tanda kiamat.... kebimbangan, ketakutan... terus-menerus melanda dalam hati aku ini. Entah bagaimana aku akan melaluinya... semoga aku akan dapat meneruskan perjuangan hidup ini dan dapat meneruskan hidupku dalam ibadah yang tulus ikhlas... Entah apa akan berlaku dalam hidup ini... dan aku tidak boleh berputus asa dalam semua hal.


Aku juga berkeputusan untuk menyendiri sementara waktu daripada pergaulan lagho bersama rakan-rakan lain.. Biarlah apapun kata mereka... yang jelas ada sebab di sebalik semua itu.  Biarlah... ada ketikanya nanti atau mungkin tidak akan ada ketikanya... siapa tahu... mungkin aku akan meluahkannya juga..


Biarlah juga hati ini beralah melalui masa berkurangan kesakitannya dari semasa ke semasa... Aku pasti DIA pasti memberi petunjukNYA untuk aku menghadapi semua ini... 


Di dada langit itu mungkin ada cerita yang ingin disampaikan kepada sesiapa yang berfikir... Bukan sahaja melalui peristiwa-peristiwa yang berlaku... sama ada melalui bencana alam dan gejala alam yang berturutan dari semasa ke semasa.   

 Mungkin juga suatu peringatan buat kita semua yang berbangga-bangga dengan apa sahaja yang kita miliki waktu ini sehingga kita mungkin tidak sekali-kali ingin beralah dengan segala sesuatu... yang memungkinkan kita meminta oranglain melakukan sesuatu untuk kita sedangkan kita tidak boleh langsung 'dicuit' oleh segala sesuatu akibat kebanggaan yang ada dalam diri kita. 

Firman Allah dalam surah At-Takaatsur yang bermaksud :
"Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu). Dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui. Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin, nescaya kamu akan melihat neraka jahiim, dan sesungguhnya kamu akan benar-benar melihatnya dengan 'ainul yaqin, kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu),"


Ada ketikanya kita memang terlupa atau tidak sengaja mendabik dada tentang apa yang kita miliki sekarang dan secara tidak langsung membolehkan kita sikap berlebih-lebihan...Banyak pula ketikanya kita tidak sedar akan segala perlakuan itu dan dengan sengaja mewujudkan tanggapan salah kepada diri kita ini... apapun yang berlaku pasti akan ada hikmah di sebaliknya... cuma adakah kita menyedari dan menginsafi akan segala itu...


Setiapkali aku bersendirian menatap ke dada langit, ada kalanya aku terlalu bimbang...  Mengapakah banyak 'catatan-catatan' aneh yang dipaparkan di langit itu... mengapakah sukarnya aku untuk memahaminya... Setiap kali aku melangkah keluar dari rumah, aku pasti melihat ke dada langit... sama ada malam, sama ada siang, sama ada petang, pagi, tengahari.... selalu, kerap dan lazimnya... jika aku melihat langit itu dan dalam dada aku ini ada debaran yang tidak menentukan, maka akan aku hentikan langkah buat beberapa ketika sekira-kira tujuh kali al-Fatihah... sehingga aku berasa tenteram... dan jika dalam benak fikirku semakin berkecamuk, maka akan aku tangguhkan perjalanan aku itu... beberapa masa tertentu sehingga gerak rasa ku ini berasa masa yang sesuai untuk berangkat..


Mungkin ada banyak dalam kalangan kenalan aku sudah tahu beberapa rutin hidup aku ini. Apatah lagi ahli keluarga aku ini... dan aku memang sangat yakin bahawa Allah pasti memberikan tanda walau dengan apa cara sekalipun... sama ada secara langsung atau melalui pelbagai petanda dan isyarat... dan aku juga pasti tentu ada sesuatu yang terpapar di dada langit itu yang dapat menjelaskan sesuatu... gambar-gambar yang aku rakamkan ini adalah hasil minatku merakamkan dengan kamera digital secara tidak sengaja... namun ada juga tersirat dalam hati ini dan sedikit ralat terutama ketika aku tidak dapat merakamkan waktu malam yang indah....


Tentu sekali bicara-bicara di dada langit itu membawa pelbagai kisah dan cerita... dan akhir-akhir ini aku lebih berminat untuk 'mendengar' bicara-bicara di langit daripada mendengar bicara-bicara songsang orang-orang di sekeliling aku ini... Entahlah, kenapa bicara sebilangan mereka kini semakin tidak aku senangi... bicara untuk menjatuhkan orang lain waima sahabat sendiri... bicara tentang keaiban orang lain untuk menutup kelemahan diri sendiri... Biarlah mereka berbicara sepuas-puas... aku sudah tidak suka untuk mengetahuinya... dan semua itu hanya selepas aku sudah berpesan... maka jika pesanan orang kecil sebagai aku terus dibiarkan dan diperlekeh... biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya.... aku tidak menyesal jika kehilangan mereka yang dalam hati mereka ada banyak rasa iri dan dendam... dan pada bicara mereka ada kebusukan, serta setiap nasihat dari oranglain bukan apa-apa buat mereka.

Firman Allah yang bermaksud : " Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit di dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik." (Surah Al-Ahzab:32)


Aku menjauh dan aku hanya mampu berdoa semoga mereka, terutamanya sahabat-sahabat aku itu akan ingat akan kelemahan itu... Ya aku hanya dapat mendoakan mereka dan berdoa untuk diri aku sendiri semoga dapat menjaga bicaraku dan akhlakku...


Sabda Rasullullah SAW bermaksud : " Sesiapa menghulurkan kepada suatu kebaktian maka balaslah dia, jika tiada apa-apa balasan, maka hendaklah kamu mendoakan kepada... " Riwayat Al-Tabrani...


Namun tidak pula aku ingin membalasi apa-apa kejahatan yang dibuat oleh orang lain itu... sama perbuatan itu secara terang-terangan atau sembunyi-sembunyi... Atas sebab itu aku lebih rela berdiam dan berdoa.... bukan hanya untuk segala kebaktian namun bagi setiap kebatilan, semoga akan berubah dan dalam adab yang baik.. Dan aku lebih redha untuk membaca dan melihat bicara di dada langit itu setiap masa daripada mendengar bicara dusta dan beradu domba...


Inilah aku....dan atas beberapa alasan juga aku tidak mencatat agak lama dalam ruangan ini kerana bagiku, banyak yang bakal melukai hati aku sendiri... Dan apabila aku bersedia kelak pastinya aku akan mencatat dengan pengkisahan yang tidak menyentuh ruangan orang lain hanya berkisar aku dan bicara aku... mungkin juga berkisar bicara di dada langit itu jika aku fahaminya...


Rasanya perubahan kecenderungan ini adalah suatu langkah yang baik bagi aku ini... mungkin kini aku lebih menyendiri dan lebih menumpukan kepada segala tanggungjawab aku yang aku rasakan perlu aku utamakan sahaja... dan aku rasa lebih senang berurusan dengan benda-benda yang tidak bernyawa dan tidak mempersoalkan apa-apa. Bukanlah bermakna benda-benda tak bernyawa ini tidak berupaya untuk mengeluh... mungkin akan ada bicara-bicara yang ada dalam 'kotak fikiran' benda-benda yang tidak bernyawa itu. Namun pasti setiap segala sesuatu di dunia mengharapkan banyak perkara baik yang berlaku.. Cukuplah dengan kita juga bersangka baik dengan segala sesuatu itu juga.. 


Ketidakselesaan kepada banyak perkara ini, menyebabkan aktiviti-aktiviti yang ada ini aku bataskan... Aku juga sudah tidak kerap membantu orang lain... Setiap sesuatu itu pula akan ada yang mempertikaikannya maka menyebabkan aku berkira dalam banyak perkara... dan apabila aku memandang ke langit itu.... aku sering bertanya : "Ya Allah, apakah yang ingin Kau tunjukkan kepada aku ini?"
dan "Apakah bicara di dada langit itu???
"Ya Allah, berilah aku jawapan jika itu yang perlu aku tahu...."





Jumaat, Januari 07, 2011

Sabtu, Disember 18, 2010

MEREKA MENDOAKANKU....

Alhamdullillah..... Tahun masihi 2010 beberapa hari lagi akan berakhir, maka tahun yang baru akan menjelang.. 1Muharram 1432H sudah bermula 24 hari yang lalu.... maka pasti banyak 'perjalanan' yang akan dilalui...

Alhamdullillah....
Banyak juga perkara yang sudah diselesaikan, walaupun masih ada juga yang belum dibereskan... Semoga hari-hari mendatang akan lebih baik dari hari-hari sebelumnya...
Aku berasa amat selesa dengan pengakhiran tahun ini... setahun yang berlalu, aku dapat melaluinya dengan baik... biarpun banyak yang pahit, banyak yang menyakitkan.. masih tidak kurang yang menggembirakan dan menyenangkan..

Hadirnya Muharram, bermakna bulan Zulhijjah dilabuhkan tirainya bersama kenangan dan pengalaman ibadah haji yang dilaksanakan oleh mereka yang menjadi tetamu ALLAH...

Banyak dalam kalangan kawan-kawan aku yang selesai menunaikan fardhu haji tahun ini... pergi dan balik mereka dengan selamat ke tanah air, semoga bersama haji yang mabrur... dan alhamdullillah, mereka sentiasa ingat dan mendoakan seorang aku ketika di bawah naungan Kaabah... dengan pelbagai doa yang mungkin mereka doakan yang terbaik buat aku..... Sebenarnya aku juga tidak pernah menduga bahawa aku berada di sudut hati mereka, dan ketika berada di tempat sebegitu membahagiakan, merka mengingati aku ini.... terima kasih dari hatiku, setulusnya....


PERINTAH SUPAYA BERDOA

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu berfirman : “Berdoalah kepadaKu, nescaya akan ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Ghafir : ayat 60)

Maksudnya;

“ Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku (Allah), maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku kabulkan permohonan mereka yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendklah mereka memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu dalam kebenaran.” (al-Baqarah : ayat 186)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “ Doa itu adalah ibadah, Tuhanmu telah berfirman, berdoalah kamu kepadaKu, nescaya pasti aku akan perkenankan.” ( Riwayat Abu Dawud, Tirmizi dan Ibn Majah)

dan sabda baginda yang bermaksud:“ Doa adalah otak atau intipati ibadah”

Imam Bukhari dalam bukunya menyebut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang tidak memohon kepada Allah, nescaya Dia akan murka kepadanya”


Doa merupakan senjata bagi orang mukmin.. dan Allah berjanji akan menunaikan segala doa hambaNYA namun cepat atau lambat sesuatu doa itu dimakbulkan tidak ditentukan... dan setiap doa itu tidak semestinya dimakbulkan sepertimana permintaan dalam doa tersebut, malah mungkin digantikan dengan segala sesuatu yang berbeza.... tetapi akhirnya berhasilkan apa yang dipohon itu... Ada juga doa yang berlawanan daripada yang diharapkan dan panjang perjalanan sebelum dimakbulkan, namun masih bernatijah apa yang dipohon...

Terima kasih buat teman-teman yang mengingati aku ketika di Tanah Suci Mekah dan mereka mendoakan aku ini pada ketika mereka berada di tempat-tempat makbul doa... Apapun doa mereka buat aku ini, aku pasti doa itu adalah untuk kebaikan aku...

Teringat aku ketika mendoakan rakan-rakan dan kenalan ketika menunaikan fardhu haji kali pertama lebih kurang 17 tahun yang lalu... ketika itu aku masih dalam golongan muda belia... bertemankan bapak dan emak... Rezeki aku dijemput menjadi tetamu Allah pada usia muda....
Banyak kenangan indah... dan seperti rakan-rakan aku itu, alhamdullillah aku diberi ingatan kepada keluarga dan orang yang pernah ada dalam hidup aku, keluarga, rakan yang menyenangkan, orang-orang yang mengasihi dan dikasihi, waima mereka yang berbuat tidak elok kepada aku... dan kerana ingatan itu, aku berdoa untuk diri aku dan mendoakan untuk mereka yang lain...

Setelah belasan tahun berlalu, kembali aku ke tanah suci menunaikan ibadah umrah... dan aku masih diberi banyak kesenangan dan keselesaan, malah kebahagiaan yang nyata dalam hati dan jiwa aku ini... dan seperti yang lain aku berdoa dan sentiasa mendoakan orang lain...

Kini, aku dapat melihat doa-doa aku itu telah DIA perkenan dan makbulkan dengan sepenuhnya. Alhamdullillah.... hanya inilah kesyukuran yang dapat aku ucapkan..... dengan penuh kesyukuran dalam hati aku ini. Aku bahagia melihat mereka yang berbahagia dengan hidup mereka sekarang... berjaya dan gembira... Aku tahu biarpun segala itu mungkin bukan kerana doa aku semata-mata, sekurang-kurang aku tahu, aku pernah berdoa untuk itu...

Cuma, dalam beberapa hal terutama berkenaan dengan diri aku ini belum tertunai... Tentu ada sebabnya.... jika doaku untuk diriku ini tidak termakbul, pasti ada alasannya... atau mungkin belum tiba masanya.... dan mungkin suatu hari kelak doa orang lain pula akan tertunai untuk diri aku ini... tiada siapa yang tahu...

Apabila mendengar mereka berkata : "Imaha, ketika di sana... teringat pada awak, dan kami ada berdoa untuk kebaikan awak! Semoga segala berjalan dengan baik, lancar dan membawa banyak kebaikan kepada awak!" Itulah antara kata-kata yang aku dengan daripada bicara seorang kawan baikku.. Aku hanya menjawab, Alhamdullillah dan terima kasih.

Walaupun begitu, aku agak berasa risau dengan itu... apa yang mereka doakan untuk aku... segala menjadi tanda tanya... Teringat seorang rakan rapat yang menelefon aku bertanya apa yang ingin aku pesan di sana kelak... Disebutnya satu-satu yang ingin dia doakan buat aku... aku hanya bisa diam mendengarkan senarai doanya yang panjang... Mana mungkin aku menolak? Aku punya 'permintaan' yang lain dalam hati aku ini, tidak sama dengan perincian yang dia berikan... namun mana mungkin aku menolak? Maka aku akur, dan aku yakin DIA lebih tahu apa yang terbaik buat aku ini....

Hari ini, banyak lagi doa yang mereka maklumkan.... Aku sengaja bergurau, nanti doa tak makbul jika diheboh-hebohkan apa yang kita minta... dan...... kini senyap sekejap...
Hari ini, apakah doa-doa mereka itu sama dengan apa yang aku inginkan.... sama ada yang aku inginkan untuk masa depan aku atau yang ingin aku luputkan dari ingatan dan hidup...

Ya ALLAH, aku menyerahkan segala-galanya kepadaMU... Andai doa mereka itu lebih membawa kebaikan kepadaku maka KAU tunaikan permintaan itu pula, pasti aku menerima dengan ikhlas, seikhlasnya yang aku mampu... Andai doa aku sendiri lebih baik untuk diri aku ini, lalu KAU makbulkan.... juga akan aku ikhlaskan menerima segalanya seikhlas-ikhlasnya... tanpa sebarang persoalan... Makbulkan dan perkenanlah ya ALLAH, doa-doa yang terbaik dalam doa-doa kami itu... kerana KAU Maha Mengetahui akan apa yang ada di bumi dan apa yang ada di langit...Biarpun apa yang perkenankan itu bukan kehendak dan harapanku... aku pasti menerimanya sepenuh hati... kerana sesuatu yang menggembirakan kami, mungkin tidak baik untuk kami...

Pada hening malam Jumaat penghulu segala hari ini, aku bermohon semoga KAU perkenanlah... makbulkanlah doa-doa kami ini.... dengan segala kebaikan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat... janganlah pula kami KAU alpakan... janganlah pula kami dijauhkan dariMU, ya ALLAH.... Kami sentiasa ingin berada didekatMU... Semoga KAU pelihara kami ini daripada segala kekufuran yang nyata dan yang tersembunyi... Amin, Ya Rabb...