Selasa, Julai 13, 2010

KEADAAN AKU INI PELIK TETAPI KEBIASAANNYA BENAR..

Tajuk ini aku pilih kali ini....
Keadaan aku yang pelik ini tetapi kebiasaannya benar... Apa yang pelik dan apa pula yang benar..

Suatu masa dulu aku tersenyum dan tergelak sendiri apabila mendengar cerita daripada rakan-rakan atau saudara maraku tentang suatu keadaan yang berlaku dan berfikir mana logiknya cerita itu... Kesakitan seseorang dirasai oleh seseorang lain kerana keakraban dan tautan naluri..
Kegelisahan dan rasa sesuatu tidak baik akan hadir kepada orang-orang terdekat dan ditandai atau diisyaratkan melalui pelbagai kejadian.. Contohnya si isteri hamil dan si suami mengidam..

Suatu masa kakakku bercerita... seorang rakan lelakinya mengidam macam-macam kerana isterinya hamil... sedangkan si isteri tidak mengalami sebarang rasa teringin atau mengidam itu... aku gelak sahaja kerana aku kira cerita itu rekaan semata-mata.
Namun, aku akur apabila seorang saudara jauh menghadapi kemalangan kerana mabuk, pitam dan rasa meloya yang teruk. Tiba-tiba dia berasa pening dan mabuk, serta rasa meloya dan hilang kawalan kepada motorsikal yang ditungganginya.. Mujur ketika motorsikalnya tersasar ke parit tiada kenderaan lain di belakangnya...

Selepas kejadian itu, aku bertanya kepada nenek saudaraku yang kebetulan seorang bidan lama... Dia kata, tidak mustahil perkara itu berlaku.. kerana naluri seseorang itu kadangkala menautkan segala rasa sakit, gembira dan seumpama kepada seseorang yang sangat akrab itu.. dan aku mulai mempercayainya...


Kata nenek itu, itu dipanggil gerak rasa atau naluri. Kadangkala 'perkongsian' sebegitu adalah melalui suatu 'perjanjian' antara kedua-dua pihak suami-isteri itu.
Kejadian seumpama itu tidak menjadi pelik... apatah apabila berlaku kepada ahli keluargaku sendiri... contohnya, apabila abang iparku akan demam beberapa hari ke seminggu atau berminggu-minggu setiap kali kakak sulung ku hamil... lazim setiapkali iparku demam yang teruk, kami akan mendapat khabar baik itu... Hal lain juga apabila tiba waktu bersalin, ibu ku akan mengalami konstuksi bersalin dan ibu juga akan tahu sama bayi itu atau cucunya itu sudah selamat dilahirkan.. Katanya itu naluri keibuaan terhadap anak-anak..

Hal itu juga tidak menjadi pelik, apabila hal yang sama berlaku kepada aku ini... Aku akan terasa sesuatu keadaan apabila ibu ku tidak sihat dan ahli keluarga mengalami kesukaran... Apatah lagi jika setiap ahli keluarga... adik-beradikku dan iparduaiku hamil... Aku akan terasa mual dan kadangkala aku boleh mengagak berapa bulan kehamilan mereka..
Pernah suatu masa apabila adik ku minta untuk aku mengurutnya aku bertanya dia, kandungannya berapa bulan dan kunyatakan juga jangkaanku... lalu hendak dijadikan cerita, adikku memarahi kakakku kerana membocorkan berita kehamilan... tapi aku menjelaskan, bahawa aku memang ada perasaan tentang kehamilannya. Maka terpaksalah dia memohon maaf kepada kakak ku kerana bersalah sangka..

Cerita lain tentang keluarga ku ialah tentang adikku yang seorang lagi... jika dia hamil dia memang bersenanghati tidak perlu meminta apa yang dia suka malahan akan tersenyum apabila pulang ke rumah semua sudah tersedia.. Semua itu disebabkan rasa mengidam itu ada pada aku, dan aku akan mencari sedapat mungkin apa sahaja yang aku teringin itu... malah semua orang akan merasakan makanan itu termasuk adik yang hamil itu... sehingga suatu masa dia ingin menyembunyikan, aku dapat mengagaknya kerana ada pergerakan dalam tubuhku... maka aku boleh mengagak berapa bulan kandungan itu..

Tidak menjadi pelik apabila berlaku kepada saudara atau keluarga sendiri...

Kini, menjadi pelik kerana aku sering mabuk, pitam, pening, meloya dan mengidam apabila sesiapa yang menjadi kenalanku, juga sesiapa yang sering berada di sekelilingku walaupun bukan yang akrab hamil...
Dahulu jika yang hamil itu selain keluarga adalah teman-teman akrab yang boleh membuat aku berasa begitu 'tersiksa' mengidam... Bukanlah masalah kerana yang akrab dengan ku tidak begitu ramai... Setiap kali aku mengalami alahan itu aku boleh bertanya..

Ada juga rasa gembira apabila khabar itu sampai kepada aku ini... dan selain rasa gembira tentang bakal kehadiran keluarga baru itu, khabar itu juga bermakna rasa mabuk atau mengidam itu akan hilang...

Hari ini 14 Julai,2010.... Beberapa kejadian berlaku beberapa hari dan minggu yang lalu... Aku sebenarnya terasa siksa dan tertekan dengan keadaan aku ini... Setiap hari aku akan muntah-muntah dan mabuk... Kadang-kadang melampau... sehinggga keselesaan aku kepada aktiviti harian juga kadangkala terjejas.. Malah jadi kesukaran apabila aku mula mengidam makan makanan yang agak jauh tempatnya untuk didapati... aku akan memandu jauh adakalanya berpuluh kilometer untuk mendapatkan semangkuk mee atau sepinggan nasi.... dan setelah merasai makanan itu, aku tak mungkin menghabiskannya.... Keloyaan baru datang, keinginan kepada makanan lain tiba... sehinggalah aku tahu siapakah yang sedang hamil...
Tentu pelik, kan.... tapi itulah hakikatnya...

Beberapa hari lalu aku bermimpi beberapa orang yang selayaknya tidak dalam mimpi aku ini, namun aku berat menyatakan bahawa merekalah yang hamil... Namun beberapa hari ini, dua orang memaklumkan bahawa mereka hamil..... Alhamdullillah, kerana mereka memberitahu walaupun aku tidak bertanya-tanya... seorang itu berkata mendengar aku merungut kepada seorang rakan, dan seorang lagi mendengar aku meloya-loya dan muntah-muntah dalam tandas.. Mungkin mereka kasihan kepada aku, kerana sebelum ini aku bertanya juga.. cuma kini aku sudah malu hendak bertanya...

Akan tetapi, hari ini aku masih merasakan pelbagai keinginan atau rasa mengidam itu malah masih muntah-muntah waktu pagi... apa mereka panggil? " Morning sick" bagi perempuan mengandung... Aku sudah malas hendak bertanya.... Mungkin isteri kawan-kawan ku pula... Semoga akan ada khabar yang menyusul kelak...


Banyak juga kisah yang memulakan kisah aku ini... antaranya mimpi aku yang beberapa kali membidani perempuan bersalin... aku memang tidak mahu mendalami atau percaya akan mimpi-mimpi itu tetapi yang nyata, naluri aku kepada wanita hamil agak tinggi... dan aku memang sudah bisa mengurut secara tradisional.. Seorang perempuan memang pernah menghampiriku. Perempuan itu agak tua.. yang pelik dia bertanya tentang suatu ubat... tidak aku ingin menyatakan di sini... lalu aku bertanya kembali kenapa dia memintanya daripada aku? Perempuan separuh umur itu menjawab bukankah aku ini seorang yang 'pandai' dalam perubatan tradisional dan perbidanan...
AAHH!!! Biar betul.....
Aku tidak pernah jadi bidan dan aku tidak tahu amalan perubatan alternatif mahupun tradisional seperti yang dimaksudkan.. Memang banyak yang menawarkan untuk mengajar aku, tetapi aku tahu aku tidak mampu... maka mana mungkin 'ilmu' itu akan datang tanpa aku mempelajari... Dan mungkin aku boleh mengubati...tetapi untuk diri aku sendiri sahaja, itupun kerana suatu masa dulu aku pernah dianiayai orang... disihir dan disantau. Maka amalah itu daripada beberapa orang ustaz dan bapa angkatku, amalan untuk diri sendiri...
Dan, aku tidak bersedia, malah bukan seorang yang begitu sabar dalam amalan alternatif ini....

Mungkin semuanya ini tidak pelik bagi sesetengah orang... tapi sedikit pelik bagi diri aku sendiri. Bagi rakan-rakan sekerja apatah lagi keluargaku... kepelikan kepada diri aku ini, mungkin telah mereka yakini.. Maka jika mereka terasa kasihan kepada aku, mungki.... mereka akan bercerita sendiri kepada aku. Aku ingin berterima kasih kepada mereka yang perihatin dengan keadaan aku ini... Biarlah bermula dengan rasa kasihan dengan keadaan aku, tetapi tindakan memaklumkan berita-berita gembira itu adalah sesuatu yang menyelesaikan masalah dan menyenangkan keadaan aku ini. Bukanlah aku menolak 'anugerah' ini tetapi ada waktu-waktu aku kurang selesa dengan diri aku... Semoga apa yang aku alami ini suatu kebaikan bukan kemudaratan... sama ada untuk diri aku sendiri, keluarga, rakan-rakan, kenalan mahupun sesiapa sahaja...Semoga kebaikan ini juga memberikanku kemaslahatan yang banyak di dunia dan akhirat... InsyaAllah...

Yunimaha5

Selasa, Julai 06, 2010

PADA KETIKANYA AKU TERASA BEGITU HAMBAR..

Bukanlah suatu yang asing bagiku apabila ada ketika dan hari-hari yang tidak begitu menyenangkanku.. Namun beberapa hari malah mungkin beberapa minggu belakangan ini aku terasa kosong dan hidupku seperti tidak bergerak dan beredar seperti kebiasaannya. Ada sahaja yang hampir tidak berlaku malah ada yang mungkin terlaksana dengan terlalu lambat seumpama sesuatu itu tidak berlaku...

Memeningkan kepala... Ya Allah, adakah hidup aku ini... beberapa waktu ini dalam ke'celaka'an? Aku sendiri tiada jawapannya... Mungkin ya atau benar... kerana tiada sebarang perubahan pada beberapa waktu ini, hari ini, minggu ini... berbanding bagi setiap hari semalamnya. Ada waktu ketika memandu pun aku bisa terlelap.. Namun, alhamdullillah aku tidak terlibat dengan sebarang kemalangan... bersama aku dua orang ibu atau isteri... dan jika berlaku sesuatu, tentu kekesalan tidak akan sesekali meninggalkanku kelak... Dan, semoga dijauhkan daripada segala sesuatu yang tidak diingini....

Aku berasakan demikian, kerana aku berpegang kuat dengan pepatah Arab yang bermaksud;
"Beruntunglah seseorang yang hari ini lebih baik daripada semalam;
Rugilah seseorang itu yang hari ini sama dengan hari semalam; dan celakalah bagi seseorang itu jika hari ini lebih teruk daripada semalam.."

Aku muhasabah diri... namun aku tidak berjumpa, khilaf perjalanan hidupku dalam hari-hari yang ku lalui ni. Masih kini, aku terus mencari.... Kesumbingan di bibir cecawan kehidupanku ini... semoga aku bisa mencari jawapannya, lalu menghindarkan kebimbangan dalam hati aku ini.

Beberapa waktu ini beberapa sahabat bertanya kepada aku tentang beberapa perkara. Soalan-soalan yang aku kira tidak sesekali berkaitan dengan keadaan aku beberapa waktu belakangan ini... Kasihan mereka berprasangka begitu kepada aku... tetapi terima kasih juga dengan keperihatinan itu. Aku sendiri tidak punya jawapannya...

Sahabat,
Hidupku tidak ada kesusahan apa-apa... malahan beberapa waktu ini DIA berikan aku rahmat dan rezeki yang baik... sehingga jika suatu ketika aku terbeban dengan banyak hutang, hari ini semua itu sudah aku jelaskan dan sudah aku uruskan masalah-masalah berkaitan sebaiknya.

Sahabat,
Aku tidak pernah berkecil hati, atau berasa hati, atau berasa hampa, atau berasa disakiti... Bukan penghargaan yang aku harapkan dalam kerjaya dan apa sahaja tanggungjawabku.. kerana bukan itu juga aku harapkan dalam hidupku... Aku ikhlas untuk semua itu, semoga ikhlas itu adalah benih-benih ibadah sepanjang hidup kita yang jelas semakin singkat hari ke hari..

Apatah lagi untuk aku berasa iri hati dan dalam mempertikaikan kejayaan dan pencapaian oranglain. Setiap kita punyai nilaian dan tanggapan berbeza. Tidak perlu diwara-warakan jika kita ikhlas berjasa.... dan, semoga kita juga tidak tahu bahawa apa yang kita lakukan, apa yang kita berikan itu berupa jasa atau budi kepada orang lain... Semoga tiada dalam hati kita sekelumit kebanggaan pun bagi setiap apa yang kita sumbangkan... biarkan kita tidak tahu kerana itu lebih baik... buat kita dan buat oranglain juga...

Sahabat...
Tidak juga aku terasa terluka, apatah lagi kecewa...
Malah ketika ini aku berasa bahagia dan gembira. Tidak aku nafikan, sesekali mungkin hadir rasa kosong dalam hati dan rasa malas rentetan itu... tapi itu tidak akan menjadikan aku sebegini rupa.. Tiada apa-apa yang harus aku bimbangkan... Hubungan lama sudah berlalu, hubungan baru terus berkembang.... hubungan akan datang, akan menanti... Mengapa perlu ada rasa kecewa sedangkan segalanya itu rahsia DIA Yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Tiada apa juga yang perlu dikesalkan jika perjalanan, pertautan, perkaitan, persefahaman dan apa-apa sahaja yang seerti dengan itu... terjalin mengesot-ngesot perlahan.... Adalah lebih baik lambat daripada tiada, adalah juga lebih tiada jika bernatijah bahaya untuk kita di dunia dan akhirat kita..

Sahabat,
Tidak juga aku ini berasa sunyi atau sepi... Ketika- ketika dalam hidup aku ini, lebih banyak dikeliling senda dan tawa.... bukan tangisan dan kesedihan... sahabat-sahabatku. Fahamilah...
Aku gembira melihat kebahagiaan oranglain terutama kalian, sahabat-sahabat yang sering berada di ketika-ketika aku memerlukan.... DIA memberikan aku banyak kebahagiaan. Semoga kebahagiaan yang aku rasai ini adalah kebahagiaan kalian juga. Aku gembira jika pemberianku yang sedikit disambut dengan rasa keriangan yang banyak. Aku bahagia setiap makanan yang aku masak, mahupun aku beli dari rezeki segala usaha itu... dinikmati dengan penuh selera oleh keluarga, rakan-rakan... dan kadang kala kenalan yang sesekali berkunjung... mahupun jiran-jiran yang sering menyatakan kegembiraan menikmati hidangan kunjungan untuk mereka... Tiada apa yang lebih membahagiakan selain daripada dapat membahagiakan orang lain... Pastinya kalian mengenali siapa aku...

Bagiku, sahabat-sahabatku.... pertanyaan kalian kepada aku... juga apa-apa sahaja yang kalian kisahkan kepada aku... merupakan sejambak hadiah yang mengharumkan aura kehidupanku.. Aku sentiasa rasa disayangi kalian... kerana kalian perihatin... ketika kesihatanku terjejas..
kerana kalian gusar ... ketika wajahku muram dan kekurangan cahaya keriangan..
kerana kalian rasa bimbang... ketika aku kurang berkata-kata...
Cukuplah semua itu untuk aku.... Semoga penjelasan ini dapat menjawab persoalan dan melenyapkan kegelisahan dalam hati-hati kalian...


NAMUN....
Aku tidak juga menafikan ada kekalutan dalam perjalanan hidup aku ini.. Mungkin kerana ada kala aku terlalu penat..
Mungkin juga disebabkan terlalu banyak masa luang dan gelak tawa dalam hidup aku ini...
Lucu kan...
Setiap orang ingin selalu bergelak dan ketawa... begitulah rasanya..
Namun, aku ingin sekali mengurangkan rasa sengangku dan apatah rasa bergelak ketawa itu...
Biarlah semua itu berpada-pada...
Janganlah terlalu banyak tanggungjawab
Janganlah terlalu banyak kegembiraan
Janganlah terlalu banyak kebahagiaan
Janganlah terlalu banyak kesenggangan
Janganlah terlalu banyak kedukaan
Janganlah terlalu banyak kesedihan
Janganlah terlalu banyak keriangan...
BIAR lah segalanya dalam keadaan sederhana, seimbang dan sentiasa bertukar ganti... agar hidup ini mempunyai warna-warni kehidupan yang sangat indah dan bermakna... dan semoga segala itu juga dalam dalam kasih sayang Allah yang suci....

Sabda Nabi SAW bermaksud:
"Pelihara lima perkara sebelum datangnya lima perkara:
Muda sebelum tua
Senang/Kaya sebelum susah
Lapang sebelum tiba waktu sempit
Sihat sebelum tiba waktu sakit
Hidup sebelum mati...."

Insyaallah, inilah yang perlu dijaga... mungkin seperti janggal susunannya namun aku tidak rasa ada silap... jika ada, ampunkan aku Ya ALLAH... aku hambaMU yang dhaif dan serba kekurangan.

Kadang-kadang aku terasa sakit dalam sihat ku... kerana aku rasa DIA melupakanku... aku tidak diuji, mungkinkah DIA sudah tidak menyayangiku...

Kadang-kadang aku terasa sempit dalam kelapangan dan kesenggangan.... kerana aku rasa aku sudah tidak disenangi olehNYA, sehingga aku tidak tahu apakah matlamat dan apakah makna hidupku yang tidak punyai tanggungjawab untuk aku lakukan...untuk aku pikul...

Kadang kala pula aku terasa lemah dan malas dalam keadaan senda gurau yang banyak dan gelak ketawa... juga aku berasa tidak selesa dalam rasa tenang dan senario yang menggembirakan... kerana aku rasa DIA terlupa akan aku ini.... maka adakala aku sedih dan pilu dalam kesejahteraan yang banyak... Aku sering sahaja berfikir... kenapa DIA meninggalkan aku ini...

Hingga setakat catatan ini, aku sudah mula menyedari.... Ketika ini... ketika aku meluahkan rasa hati aku ini.... ada yang datang menghampiri.... Semoga firasat ini benar... DIA tidak pernah meninggalkan aku sebenarnya.....
CUMA AKU SAHAJA YANG SERING LUPA DALAM SENANGKU....
CUMA AKU SAHAJA YANG SENTIASA LEKA DALAM KEBAHAGIAANKU...
CUMA AKU SAHAJA YANG SELALU ALPA DALAM LAPANGKU
UNTUK...
MENCARI CINTANYA,
BAGI MENCARI REDHANYA...
UNTUK MEMENUHI MASA BERSAMANYA...
BAGI MELUAHKAN BICARA RASA KEPADANYA....

YA ALLAH...
Ampunkanlah aku hambaMU yang selalu kehilangan ini....
Bimbinglah aku hambaMU yang selalu tersasar ketika aku lupa...
Dakaplah aku dalam kasih sayangMU yang Maha Agung itu....
Semoga aku sentiasa dalam CINTA MU.....

Rabu, Jun 23, 2010

APABILA HATIKU......

Apabila hatiku berasa resah... Aku terfikir2 di mana jika ada salah dan silapku?
Apabila hatiku berasa gusar... Aku terfikir-fikir adakah kepincangan aku menyempurnakan tanggungjawab ku..
Apabila hatiku berasa gundah... Aku terfikir-fikir pernah aku mengecewakan oranglain
Apabila hatiku berasa gulana .., Aku terfikir-fikir sedarkah aku mungkin menyakiti orang lain..
Apabila hatiku berasa sedih... Aku terfikir-fikir mungkinkah aku menyusahkan orang lain..
Apabila hatiku berasa pilu.. Aku terfikir- fikir, adakah aku melukai hati-luka yang mengharap..
Apabila hatiku berasa gelisah.. Aku terfikir-fikir masihkah tertaut hatiku pada kasih yang tidak wajar
Apabila hatiku berasa takut.... Aku terfikir-fikir, adakah aku mengahncurkan orang lain..
Apabila hatiku berasa gementar ... Aku terfikir-fikir, tautan apakah lagi yang tersisa..

Dan,
Ketika ini...
hatiku berasa hambar
begitu menyesakkan..
maka...
Aku terfikir-fikir
Apakah lagi yang telah aku lakukan
khilaf apakah lagi yang tidak aku sedari...
sehingga tiada ketenangan di dalam hati...

Maka aku tiada jawapan..
Untuk semua itu...
Namun...
aku masih tetap bermuhasabah...
dan aku berfikir-fikir...
mungkinkah aku seharusnya bertaubat..
taubat yang ikhlas..
lalu berserah, tawakal yang wajar...
semoga segalanya diampunkan....
Lantas,
Aku bakal bisa menjalani kehidupan...
Aku bakal meneruskan perjalananku...
seaman dan sedamai yang boleh....
dalam hatiku,
dalam jiwaku,
dalam nafasku....
menuju ke syurga MU...
Semoga akan ada tempatku di sana...
Di dunia abadi....

Yunimaha5... dalam meniti hari-hari menuju DIA...

Isnin, Mei 17, 2010

KAGUMNYA MENDENGARNYA BERKATA-KATA...

Berburu ke padang datar,
tampak rusa belang kaki...
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi..

Dialah pemberi paling setia,
tiap akar ilmu miliknya
pelita dan lampu segala
untuk manusia sebelum dewasa..

Dia ibu dialah bapa juga sahabat
alur kesetiaan mengalirkan nasihat
pemimpin yang ditauliahkan segala umat
seribu tahun katanya menjadi hikmat...

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki tahta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama' mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca...

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Trengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan didulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
menjadi kenangan ke akhir hayat..

USMAN AWANG
1979

Seorang temanku pernah berkata..." Tugasku memanusiakan manusia... menginsankan manusia, mengkamilkan insan.... membudimankan seseorang...."

Guru pernah mengajarku melalui serangkap pantun yang aku sandarkan usahaku ke arah itu... selaras dengan kata-kata temanku itu..

Pelbagai ungkapan yang berkaitan dengan kata-kata dan pantun di bawah ini... yang menjadi pengajaran buat aku dan mereka yang lainnya...


Di sana padi, di sini padi..
barulah boleh dipanggil bendang;
di sana budi di sini budi..
barulah boleh dipanggil seseorang'..

Maksudnya orang yang budiman.... Dalam susun atur kata-katanya pasti sekali mengandungi hikmah. Aku sentiasa kagum dengan ungkapan kata mereka yang bergelar budiman itu... Budiman daripada pelbagai aspek. Menyeluruh dan memberikan kekesanan dalam kehidupan mereka yang mendengarnya..
Pada usia muda, zaman kanak-kanak yang menggembirakan ... aku punya dia yang begitu menarik hatiku... Dia begitu arif dan petah berkata-kata... Dikisahkan olehnya kepada aku tentang Adam a.s, tentang keanggunan Yusuf a.s, tentang Isa al-masih dan banyak lagi. Aku begitu kagum. Dia begitu arif dengan ilmu, pengetahuan dan pengalaman... dan hidupnya sentiasa bersama kitab dan naskah suci al-quran. Waima ketika pergi memetik buah kopi dan koko, mulutnya tidak henti berkumat-kamit... kadang kala dia tetap bercerita.. tentang adat, tentang resam, tentang budaya, tentang akhlak... tentang rasa hormat, tentang kasih-sayang. Macam-macam lagi... semua. Dan aku membesar di sampingnya tidak pernah jemu mendengar dan belajar... Sesungguhnya aku kagum ketika dia mengungkapkan kata... mendengarnya berkata-kata. Dia tidak pernah jemu mengajar ku... pertama mengenal 'alif', 'ba'. 'ta' dan seterusnya memulakan bacaan itu, memulakan perbuatan itu.... memulakan segala sesuatu itu dengan bismillahirahmanirrahim.... semoga setiap apa yang kita lakukan itu ibadah dan berkat.

Tentu sekali setiap aku berasa bangga apabila dia berkata-kata, seperti mana aku bangga dan kagum apabila dia, bapaku berkata-kata... Ayatnya mudah, namun banyak yang tersirat.. Hidup bersama mereka yang pintar, tahu dan bijak berkata-kata, tentu menberikan aku bonus... namun aku tidak mewarisi kepetahan mereka berkata-kata dengan hebat itu...

Pada alam persekolahan awal aku pula, aku mengenali beberapa orang lagi yang apabila mereka berkata-kata, aku sangat kagum dan bertenang.. Biarpun aku tidak seperti mereka, tetapi aku yakin setiap kata yang mereka lafazkan berserta dengannya pentakrifan yang munasabah, berserta dengannya juga ilmu dan pengalaman yang banyak.. Cuma aku rasa bertuah, rasa kekaguman aku itu mendekatkan aku kepada mereka.. biarpun pada oranglain, pada pandangan sahabat-sahabatku... dia,dia, dan dia itu garang seperti singa lapar... mengaum sepanjang masa. Sedangkan aku sering ingin mendengar lagi, dan lagi ...kata-kata yang keluar dari mulut mereka... Terima kasih kerana sering memberi dendaan dan hukuman jika aku ingkar dan leka.. malas dan alpa... Omelan kalian kini menjadi aku seseorang. Walaupun tidak sehebat kalian dalam berkata-kata...

Pada zaman remaja aku ini, aku mengenali dia.... mengajar aku menyusun seni bunyi tepukan kompang ... prang, ding... prang, ding.. zikir yang dialunkan dari bibirnya, mengasyikkan... Namun bukan itu sahaja, kerana aku sebenarnya kagum setiap kali dia berkata-kata.... kata-katanya tersirat sesuatu yang bermakna dan tersirat ajaran yang tidak langsung... Dalam kata-katanya ada gurauan bernas dan nasihat berguna... Dalam sendanya dia selitkan kasih sayang dan pengertian...

Menginjak aku ke usia baru, aku mengenali banyak lagi mereka yang begitu aku kagumi... Dia sering 'menganiaya' aku pada asalnya.... namun akhirnya, aku sedar... dia banyak mendidikku berhati cekal dan berjiwa waja. Ada kalanya aku ingin sekali mengulangi masa itu... agar aku bisa mendengar dia berkata-kata, lembut namun mengesankan... tegas tetapi menenangkan..
Beralih hidupku ke dunia lebih mencabar... rupanya banyak dalam kalangan seusia aku ini yang bisa berkata-kata dengan ungkapan dan ilmu yang bernilai dan bernas... banyak sekali, termasuk dia yang aku anggap sebagai musuh untuk mencapai cita-cita aku menuju kecemerlangan. Yang jika ketika bersama aku dia akan terasa 'panas', 'rimas' dan seumpamanya. Itu katanya, bukan kata aku... biar aku jauh, aku pasti akan memerhati, mengikuti dan mendengar... setiap kali dia berkata-kata.. sama ada menunjukkan cara.. sama ada membicarakan tugas.. sama ada mengagihkan tanggungjawab... Dia punyai strategi, dia ada keistimewaan, dia ada keterampilan... sebagai pemimpin, terutama ketika dia berkata-kata.. Kagum aku mendengarnya setiap kali berkata-kata.

Berikutan masa berlalu dengan pantas, sekali lagi aku bertemu dia... sederhana, tenang, tekal, tegas dan taqwa... satu yang utama, setiapkali dia berkata-kata, sama ada dalam urusan rasmi atau sebaliknya... aku sering tertegun. Namun, mungkin sahaja dia tidak tahu. Menginjak dia ke pentas pembicaraan... isu-isu mudah, isu-isu berat, isu-isu panas... mahupun mengendalikan majlis, apatah menegaskan pendirian dan menyampaikan hujah dan nasihat... hatiku, mindaku ...emosiku tertumpu kepada dia. Kagum aku dengan pertuturannya. Tentu sekali dia seorang pemimpin yang hebat... bukan sahaja bicara pasti beralasan bernas. Malah setiap kata-kata yang keluar ada aturan rigid daripada ilmu dalam mindanya... Itulah telahan aku ini. Doa aku akan sentiasa mengiringi dia... jika aku berpaling dari melihatnya berkata-kata... sepasang telinga ini akan sentiasa pula mendengar bicaranya...
Kata dia, jika ingin berilmu... bacalah sesuatu, setiap masa... jangan dilupa, ilmu sentiasa ada... Kata dia, dia lebih suka menulis , mencatat dan berdiri di sebalik tabir untuk apa sahaja tugasan.. Namun aku tahu dia pasti sedar.... dia lebih hebat jika berkata-kata....
kerana dia pembaca yang setia...
kerana dia pendengar yang tekun..
kerana dia pemerhati yang teliti...
bukan hanya dalam bidangnya..
tetapi selagi ada dan termampu olehnya...
Dia tentu sekali pemberi pendapat yang berguna..
Pada usia muda, bukan ukuran kehebatan seseorang...
Usia bukan ukuran...apatah lagi jika ilmu yang disandar...
Satu hal yang dia tidak sedar...
bukan hanya aku, malah banyak yang lain
akan KAGUM MENDENGARNYA BERKATA-KATA.

Maka dengan catatan ini, semua mereka itu ingin aku dedikasikan ucapan "Selamat Hari Guru"... sama ada guru atas pengiktirafan umum, mahupun guru pada tanggapan aku...
Kini gelaran itu turut aku sandang... semoga jika tidak dikagumi segala bicara, akan ada juga yang tersemat di jiwa.... semoga ada yang menjadi pengajaran dan dijadikan tauladan... biar sedikit daripada tiada... Insyaallah.

Selasa, Mei 11, 2010

TATKALA RENTAK DEBARAN TERASA ANEH

Inilah bicara ku kali ini... Tatkala rentak debaranku terasa aneh....

Mungkin suatu yang tidak memberi erti kepada orang lain... namun bagi aku situasi itu membawa makna...

Baru sahaja berlalu sambutan Hari Ibu yang rasmi disambut oleh semua orang, mungkin ..pada 9Mei, setiap tahun... Biarpun bagi aku, hanya dia tempat aku mencurahkan segala bakti selagi hayatku masih dan hayatnya masih ada.. Tidak juga aku, dia atau sesiapa sahaja yang tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang.. maka selagi ada hayat ini, aku cuba sebaik mungkin untuk menggunakan masa dan keluangan yang ada untuk ibu...

Hari ini 17 Mei, aku menyambung catatan di atas yang hanya sempat aku catat sebanyak itu sahaja... kebetulan hanya setakat itulah keluangan masa yang aku ada untuk mencatat. Aku punyai sedikit masa hari ini untuk mencatat... semoga masa ini cukup untuk aku perkatakan apa yang aku alami ini...

Tatkala rentak debaran dalam dada aku terasa aneh... Suatu masa dahulu jika itu berlaku.. aku tahu kepada siapa yang perlu aku tuju selain daripada ahli keluarga.. Kerana rentak debaran aku itu memang berkaitan rapat dengan tautan naluri dan hati aku ini. Aku sedar semua itu sudah berlalu... dan aku redha dengan segala yang berlaku.

Namun ketika ini rentak debaran yang aneh itu datang lagi... Entah atas alasan apa. Cuma ketika ini, sedang catatan ini aku paparkan...hati ini sudah kembali tenang cuma ada sedikit kesayuan yang tersayat ; yang tidak aku ketahui dari manakah hadirnya. Mungkin disebabkan beberapa perkara yang berlaku, yang sebenarnya tidak aku tahu kebenarannya.

Aku kini berasa kegusaran dengan beberapa perkara... Beberapa minggu sebelum ini , aku berasa mual-mual, sering sahaja muntah-muntah seperti orang hamil layaknya. Kerja gila, aku bertanya kepada banyak kenalan aku tentang mereka, adakah antara mereka yang hamil atau adakah antara isteri-isteri mereka itu pula yang hamil...dan aku hampa. Sehingga suatu ketika pula seorang teman bergurau, dan tersilap sangkaan aku bahawa isterinya hamil.... namun rasa mual, kemabukan 'morning sick' dan rasa loya itu masih ada... Sahabat itu menafikannya.. Namun aku pasti tentu ada dalam kalangan mereka yang agak rapat atau yang ada tautan hati dengan aku, akan menerima 'orang baru' dalam hidup mereka... Alhamdullillah jika itu benar! Jika tidak, mungkin ada 'kebahagiaan' yang kan muncul dalam hidup seseorang antara kami.

Akan tetapi hari ini ada kesedihan dalam hati ini, yang hadir dalam hati ini tiba-tiba... menyebabkan aku teringatkan seseorang.. Aku berasa mungkin ada yang telah 'kehilangan orang baru' itu... memandangkan pada hari jumaat yang lalu aku menanggung kesakitan yang aku kira keterlaluan.. sehingga aku tidak mampu untuk melakukan sebarang kerja berakibatkan kesakitan itu... Dan, aku juga kira... sekiranya kesakitan sebegitulah yang dialami oleh para ibu.. Allah pasti telah menyediakan kekuatan yang luarbiasa dalam jiwa setiap ibu... maka sebab itulah sabda Rasullullah SAW, seorang ibu itu perlu ditaati tiga kali berbanding seorang bapa...
DIA belum memberikan aku peluang menjadi seorang ibu, dan jika kesakitan sebegitulah waima ketika seorang ibu itu keguguran, pastinya akan lebih lagi apabila seorang ibu itu melahirkan...


Rezeki itu telah berlalu... Sahabat, jika benar itulah yang berlaku kepada mu.. Aku hanya mampu mendoakan dikau dan pasangan bersabar menghadapi dugaan itu. Mungkin ada hikmah di sebalik segalanya itu... DIA akan memberikan yang lebih baik, insyaALLAH. Dan akan ada lagi rezeki itu menjengah kalian lagi... Aku akan sentiasa mendoakan kalian.. Biarpun tiada aku di hati kalian lagi, aku tetap akan 'bersama' kalian sekiranya termampu.

Bukan semua aspek kehidupan itu dapat kita rancang dan laksanakan seperti apa yang kita harapkan. Jika ia sesuatu yang tidak baik untuk kita, mungkin segalanya tidak seperti dirancang, atau akan tertangguh. Aku pernah mendengar kata-kata bahawa kitalah yang menentukan apa yang akan kita perolehi...
Mungkin ia satu motivasi atau pendorong semangat yang baik untuk mereka yang berfikiran negatif agar boleh berfikir secara rasional...
Sepertimana kata-kata "jika kau kata kau boleh.... kau pasti boleh melakukan" yang menjadi perangsang kejayaan seseorang... Hakikatnya, mendapat atau menjadi apa yang kita harapkan tidaklah semudah mengungkapkan kata-kata itu... Sehebat manapun kita di dunia ini, tidak dengan izinNYA segala tidak akan berlaku. Janganlah kita lupa akan ketentuan itu... Itulah iman kita, percayakan qada' dan qadar...
Perbuatan baik hari ini, adakala dibalas baik hari ini juga.... namun tidak kurang mendapat balasan buruk.... tetapi akhirnya akan ada banyak kebaikan di sebalik semua itu.... Perbuatan jahat dan khianat juga sama... Ada kala yang berbuat jahat dan khianat itu akan mendapat balasan baik ketika itu... Hanya mereka yang mengetahui dan hikmah sahaja mengetahui.

Sahabat, ada kala kita berasa kita akan boleh menghadapi apa sahaja kemungkinan... tetapi apabila ketika itu tiba, kita seolah-olah tewas dan gagal... maka dengan keimanan dan kekuatan taqwa di hatimu itulah yang akan membuatkanmu lebih kuat..
Maaf, jika aku tersalah duga... cuma hatiku kuat mengatakan rentak debaran aneh yang berlaku dalam dada ku ini masih kuat kaitannya dengan dirimu... Dan, aku sentiasa ingat kamu, terutama 'pengorbanan' dalam menentukan perjalanan hidup kita agar semuanya berjalan lancar... InsyaALLAH, masih ada kasih dan ihsan dalam hati ini, terutama buatmu sahabat yang amat aku kasihi...

Aku terfikir juga, jika kehilangan kandungan sesakit yang aku alami itu... maka sakit melahirkan akan menjadikan naluri keibuan itu semakin kuat dan akrab. Pastinya tautan hati ibu dan anak yang begitu suci terjalin setiap saat menanti kelahiran... Namun mengapa ada yang begitu tega untuk membuang anak atau bayi sesuka hati setelah menanggung kesakitan yang sebegitu perit...
Banyak antara mereka yang menginginkan cahaya mata tidak berpeluang untuk itu.. seperti aku ini.. tetapi mereka tergamak membunuh bayi yang tidak berdosa setelah bersusah payah melahirkannya...
Bersyukur aku, sekurang-kurang masih ada anak-anak tempat aku menumpang kasih sayang dan perhatian... Tiada akan terasa sedikit kesedihan waima ketika mereka menangis kerana meronta-ronta dan menimbulkan rasa kesakitan kepada kita... malah setiap satu sentuhan itu menambah benih kasih dan mencambah sayang sesama kita...

Aku ingin sekali melihatmu, apatah lagi apabila rentak debaran terasa aneh dan amat aneh.. berpanjangan dan berterusan... dan ketika malamku sering dikejutkan pada ketika dan saat yang sama setiap malam... mungkin sepatutnya ketika itu tahajjud mu kepada DIA menyebabkan aku terjaga... Aku tidak bisa untuk menjelaskan semua di sini... namun dengan segala kerendahan hati ini, aku bermohon kepadaNYA semoga apa yang terbaik untukmu akan dipermudahkan setiap masa dan ketika... Sudah setahun berlalu, semuanya dalam keadaan baik dan lancar... aku berasa gembira kerana itu dan aku berharap tahun-tahun yang mendatang akan lebih baik buatmu...

Cukuplah catatan aku tentang tajuk yang aku pilih kali ini... semoga catatan ini akan melenyapkan rentak debaran pelik itu.... seterusnya.

Selasa, April 27, 2010


Salam... Hampir dinihari ketika ini, dan mata tidak mahu lelap lagi.. Aku terfikir menjengah laman ini biarpun talian tidak begitu baik dan sering terputus.. Semoga akan ada manafaatnya nanti...

Agak lama aku tidak mencatat dalam ruangan ini.. seorang blogger mencatat daripada pembacaan dan pendapat beberapa penulis... untuk menulis, kita perlu menjadi pembaca terlebih dahulu... Dan, aku sering membaca sehingga terlupa untuk menulis.. cuma dua minggu belakangan ini aku tidak berpeluang membaca kecuali akhbar dan laman-laman penulisan blog di alam maya ini sahaja.. banyak kekangan dan urusan yang perlu aku selesaikan..
Dan, dalam banyak kekangan itu....banyak pula yang perlu aku syukuri.. Alhamdullillah, atas segala yang telah diberikan kepadaku biarpun sekejap dan sedikit yang aku peroleh.. Aku sedar tiada yang lebih baik daripada mensyukuri segala sesuatu itu walaupun sedikit, kerana itulah tanda redha dengan ketentuan DIA yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Biarpun sedikit yang aku peroleh dan sangat sedikit laba yang aku rasai daripada apa yang aku peroleh itu, aku berasa bahagia... dalam penghayatan aku sendiri.. Jika ditanya berapa peratus yang aku terima itu menjadi milikku, aku tidak tahu... mungkin hanya 10% atau 5% sahaja... 90% lagi adalah untuk dan rezeki orang lain. Alhamdullillah, sekurang-kurangnya dunia ini bukan "neraka" dunia buat yang lain... 10-5% yang aku terima itu pula telah kuagihkan kepada sesuatu kerana niat dan nazarku... dan tiada apa sebenarnya untuk aku ini... namun aku sangat gembira DIA memberikan aku jalan... agar jalan-jalan di hadapanku pula akan lebih lapang dan mudah untuk meneruskan jalan ke sana nanti.

Dan aku juga diuji dengan keadaan yang kurang sihat dan beberapa kesakitan yang melanda tiba-tiba. Mungkin salah diri aku sendiri, dan sudah pasti aku tidak sesekali menuding kepada yang lain. Aku yang tidak bisa menjaga diri sendiri.."Ya Allah, ampun aku yang tidak berdaya ini, namun jauhkan aku daripada perasaan berputus asa dan berkeluh kesah... "
Dan atas alasan itu juga, apa yang berlaku belakangan ini adalah sesuatu yang aku rancang dan aku atur sebaiknya.. Alhamdullillah, DIA memudahkan segala urusan aku ini.. Jika ditakdirkan, hayatku berakhir dalam waktu terdekat ini, sekurang-kurangnya ada banyak yang telah aku selesaikan.... maka tiadalah pula memberikan beban kepada oranglain.
Jika ditakdirkan usia masih panjang di dunia ini, semoga apa sahaja yang kulakukan beberapa waktu dan ketika ini, akan memudahkan urusan yang berentetan dan bertautan... Semoga aku dapat memberikan sedikit 'budi' kepada oranglain.


Namun, aku tidak mahu sesiapa terlalu bergantung kepada aku, waimah dalam menentukan apa yang akan dimakan, atau ke mana yang akan dituju mahupun apa yang patut dilakukan...
Mungkin aura aku ini bukanlah kepada pemimpin yang memberi arahan dan membuat keputusan... aku tidak setegas itu dalam memimpin orang lain... mungkin hanya lebih kepada pembimbing dan pemudah cara... bagi sesiapa yang memerlukan. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang mengenali dan berada di sisiku telah biasa dengan rasa senang, mudah dan selamat jika aku campur tangan dalam pelbagai hal... sehinggakan rasa percaya itu menjadikan diri mereka sendiri mua... terbiasa tanpa ada rasa bebanan disebabkan jika ada aku tidak ada apa yang akan dibimbangkan... DAN aku sendiri ingin mengurangkan perasaan bertenang dan selamat itu sedikit demi sedikit... agar tidak akan ada kebergantungan yang banyak kepada aku. Semoga ketika aku meninggalkan mereka, mereka akan lebih tenang dan selamat.... dan tiada apa-apa akan terjejas, biar apapun keadaannya.. Aku ingin 'pergi' daripada rasa kebergantungan yang tinggi itu. Semoga doaku ini akan dicepatkan.

Aku tidak mahu sesiapa pun bersalah sangka. Bukan juga aku tidak ikhlas dengan segala apa yang aku buat, aku berikan. Namun sampai bila perlu ada aku untuk membantu di sisi mereka itu? Mereka itu, mungkin keluarga.. mungkin kenalan... mungkin teman... mungkin sahabat... atau mungkin juga musuh, siapa tahu? Sebagaimana suatu kisah yang berlaku kepada Nabi SAW yang pernah aku dengar beberapa kali... Kisah seorang tua yang membenci baginda dan sering melontar kepada baginda pelbagai benda termasuk najis ketika baginda dan sahabat melalui hadapan rumahnya untuk ke masjid... dan pada suatu ketika dua hari baginda tidak menerima cemuhan dan dibaling oleh wanita itu... maka baginda bertanya kepada sahabat... dan dijawab oleh sahabat bahawa wanita tua itu sedang sakit... lalu baginda melawat wanita tua itu dan menimbulkan persoalan di hati sahabat... Apakah erti semua itu... Dan, Siti Aisyah RA meriwayatkan dan menyatakan bahawa akhlak baginda SAW itu adalah Al-Quran.. dan bukti akhlak mulia baginda kepada wanita tua yang memusuhi sudah jelas terbukti.
Bukanlah pula aku menyamakan kisah itu kepada apa yang aku lakukan ketika ini. Tidak sedikit pun mungkin tetapi aku yakin jika DIA melewatkan jodohku misalnya, jika DIA tidak mengurniakan harta berlimpah contohnya... pastinya ada hikmah atas segala sesuatu itu.
Mungkin kini DIA membuka sedikit demi sedikit ruang untuk mereka mahupun aku menghadapi pelbagai kemungkinan..
Yang baik..
Yang buruk...
yang manis...
yang pahit...
yang indah....
yang buruk.....
yang segalanya itu tidak akan kita ketahui...
Namun aku tetap ingin berusaha, menyediakan ruang yang terbaik untuk mereka, mungkin untuk diriku sendiri menghadapi hari muka. Aku ingin sekali jika ada nikmat dapat aku kongsikan bersama... jika ada duka dan kesakitan, akan aku sembunyi sekedap mungkin... Mungkinkah?

Berkata-kata memang mudah....
Ini pernyataan aku untuk catatan selanjutnya..
Aku teringat baru-baru ini seorang teman bercerita pelbagai hal tentang dirinya... Sedangkan setiap apa yang diceritakan itu, aku sendiri tidak pasti sama ada dia fikirkan atau tidak... yang pasti hatiku terkilan juga..
Sejarah itu bukan lama berlalu... namun berkata-kata itu mudah sahaja tanpa berfikir.. Kadang kala kita berfikir mudah.... kenapa tidak untuk berkongsi kegembiraan dan pendapat. Namun bukan pula kepada aku yang sentiasa ingin menjaga apa sahaja yang keluar daripada bibirku ini... Kata-kata itu boleh melukakan... kegembiraan itu boleh menyakitkan orang lain.. Sudah berkali-kali terhantuk.... tidakkah itu memberikan banyak pengajaran... Mungkin berbicara dengan aku kini, menjadikan suasana itu membosankan... namun adalah lebih baik aku diam dan tidak memberikan apa-apa komen, jika kata-kata itu akan memberikan natijah... tentu ada yang memahami aku ini... Aku hanya dapat mendoakan agar sahabat itu akan menapis segala ceritanya... akan berfikir sebelum berkata-kata... kerana setiap apa yang diperkatakan itu akan ada kesannya... terutama kepada dirinya sendiri. Semoga dia akan sentiasa ingat...

Baru-baru ini aku bertemu dengan dia yang suatu ketika dulu amat aku sayangi.. siapa sangka. Dan dalam waktu yang sama, aku bertemu dengan dia yang seorang lagi...suatu masa dulu amat menyayangi aku ini. Dua orang yang berbeza dan mempunyai pertalian naluri dan perasaan dengan aku ini, suatu masa dulu..
Entah apa perasaan aku ini, aku tidak tahu... aku gembira tetapi aku bersedih... aku berbangga dan aku berasa rendah diri juga.. Aku berasa selesa namun kejanggalan ada di mana-mana... Aku ingin berlama-lama namun aku lari dari dia dan dia itu... Entahlah, aku rasa aku begitu tabah... tetapi apabila segala itu berlaku... pertemuan, pembicaraan, bertanya khabar... rupanya aku seorang yang begitu lemah dan takut.
Itulah keadaan aku, berani yang takut, tabah yang tidak berdaya, gembira yang tidak kurang bersedih... Mengapa itu berlaku? Aku tiada jawapannya. Namun aku akan senantiasa bersyukur... Dia dan dia itu mungkin sekarang ini bahagia.. dan berjaya. Itu sahaja doa aku ini.
Ini sahaja mungkin paparan pengalaman aku beberapa ketika ini... semoga ada juga jika tidak banyak, sedikit yang telah aku kongsikan dalam catatan ini memberikan manafaatnya... Setiap segala sesuatu itu adalah ketentuan DIA... namun kita tidak boleh bersahaja mesti berusaha.. Biar sedikit yang kita dapat, bersyukurlah kerana itu lebih baik daripada tiada... Jika kita gembira, berpadalah kerana duka ada di mana-mana... Jika kita berbuat sesuatu, ikhlaslah kerana bahagia ada di dalamnya. Wassalam..

Khamis, April 08, 2010

KERANA AKU PERNAH BERJANJI..


Assalamualaikum...
Suatu masa dahulu, aku mencatat kepada seseorang.... Jika dia merindui aku...buka laman sesawang ini dan bacalah catatan aku... mungkin aku juga merinduinya..
Dan hari ini aku mencatat kerana janji itu.... walaupun pada aku ia bukan suatu janji yang sebenarnya. Dan yang pasti aku ketika dan saat ini, tidak merinduinya... Bagaimana akan aku catat banyak perkara jika aku tidak rindu untuk mencatat apatah lagi hanya untuk dia.... yang rindu aku semakin pudar, mungkin sahaja sudah tiada kini..
Itulah cinta kepada manusia.... Boleh hilang bila-bila masa sahaja, rasa rindu... rasa sayang... rasa resah dan gelisah... yang hadir kerana cinta itu, kian hilang dan boleh hilang. Namun sahihkah hanya dengan adanya rasa rindu dan rasa sayang itu, pasti ada cinta.
Subjektif!!!
Sedang aku masih cinta... cuma aku sudah tidak sayang dan aku tidak rindu..
kerana itu bukan hak ku pula.
Apapun aku mungkin sudah berjanji.. mungkin secara tidak langsung... mungkin sahaja secara tidak sengaja. Terlupa berfikir kerana sering rindu itu bertandang.. Alpa memikirkan tatkala resah kerinduan itu menjelang.
Maafkan aku teman.... kerana rindu aku kepada mu semakin menjauh. Aku tidak lagi berasa perasaan-perasaan itu, keinginan-keinginan itu... dan yang hampir jelas, aku semakin lupa apa yang pernah aku lalui dulu... Jangan lah ia menjadi kemarahanmu... Alhamdullillah, aku masih ingat kamu, biarpun sesekali menghilang... dan yang penting, kamu masih dalam doaku.. seorang sahabat yang mengasihimu... insyaallah.
Cuma, dalam catatan ini... ingin sekali aku menyatakan pendapat aku yang bersifat dangkal ini... yang datang sepontan dalam kotak fikiran ini... Mengapa? Mengapa? Mengapa?
Ada firmanNYA yang bermaksud : Allah tidak mengubah sesuatu kaum itu, melainkan kaum itu yang mengubah nasibnya sendiri.
Kamu pasti sahaja tahu... Ilmumu jauh lebih baik daripada aku ini... maka pastinya dikau lebih memahaminya ayat itu. Dan kamu pasti tau pegangan dan prinsip aku ini... bahawa setaip hari itu pasti ada perubahan.. Biarpun sedikit, daripada tiada langsung... Dan, ketahuilah... aku sentiasa ingin melihatmu berubah menjadi lebih baik...
Cuma mengapa, ya? Kebahagiaan yang kamu ada sekarang tidak mengubah kamu daripada hidupmu yang lalu... Aku mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu ada sekarang.. Bukan kamu tidak boleh berubah, kan? Aku pernah tahu banyak perubahanmu ketika 'bersama' aku dulu.... sekurang-kurang kamu mendengar kata-kata dan saranan ku... walaupun dalam keadaan protes... kamu masih tetap berubah. Sedikit... sedikit demi sedikit... dan aku berpuashati. Pernah juga aku sarankan banyak perkara dan kamu menolaknya, namun kamu akan berubah juga akhirnya... senyap-senyap, diam-diam.. dan aku juga yang tahu.
Memang benar dalam doa aku ini... dalam mendoakan kesejahteraanmu, aku mendoakan juga tautan naluri kita akan terputus dengan erti yang sebenarnya... Biarpun sukar bagiku, tapi akan ada bahagia bagimu.. Aku masih seperti dulu.... 'Rimas', dengan kamu yang sentiasa ada dalam kebetulan-kebetulan yang tidak terduga. Hingga kini, aku masih tertanya-tanya kenapa banyaknya kebetulan antara kita... tapi teman, itu adalah ketentuan DIA... Kebetulan, kebetulan dan kebetulan... Cuma sekarang ini aku tidak bersangka buruk... Aku teringat pesanan kamu yang 'tajam' dan menghiris hati ini... Apabila aku ada, kamu sangat benci.. sangat terganggu.. maka aku juga pasrah, bahawa DIA yang menentukan segalanya.
Aku hanya boleh berpesan, kamu mungkin tidak akan ambil tahu tentangnya... namun sebagai teman, aku cuba berpesan-pesan... Kamu tidak akan suka dengan umpatan, tetapi bagaimana kah kamu menyekat umpatan itu, kepada kamu.... disebabkan tindakan kamu...
Pastinya, kamu yang terbaik buat beberapa orang daripada mereka... tapi bagi aku, prestasi mu kini merudum. Bangkitlah semula... buktikanlah kembali... dan tutup serta padamkanlah umpatan itu... Ia boleh berlaku sebaik mungkin... pokok pangkalnya niat kamu dan usaha kamu. Aku pasti sukar untuk kamu berubah... sebab hitam kata mu... akan hitam seterusnya... Putih katamu, akan putihlah segalanya... Bagus dengan pendirian itu, namun kamu sangat rugi kerana tidak melihat warna-warna lain yang indah itu... dalamkata-katamu, pada pandanganmu ada hitam dan putih sahaja... sedang dalam putih itu, ada tujuh warna pelangi yang sangat indah... dan dalam warna hitam itu merangkumi semua warna asas yang bersatu... "Ingat kata-kata itu lagi?"
Semoga kamu mengerti dan terus mengerti... Walaupun tidak ada rindu lagi dalam hati aku ini buat kamu, aku masih yakin... apa yang ada dalam hati aku ini, bersertakan doa-doa yang baik buat kamu... Berilah sedikit, tetapi ikhlas... kamu bisa memiliki kebahagiaan yang banyak.. Lepaskanlah sedikit keegoaan mu dengan ikhlas... kamu akan mendapat penghormatan yang lebih banyak lagi... Doaku buatmu kekasih.... belajar untuk mula belajar... bermula untuk belajar semula... Uhibbuka Jiddan, Insyaallah.... Ikhlas minalqalbi.
Wassalam....