Rabu, Mei 13, 2009

PASTI ALLAH YANG LEBIH MENGETAHUI APA YANG TERBAIK..


ASSALAMUALAIKUM....
WA MARHABAN BIKUM...

Catatan aku kali ini bukan sekadar berkisar tentang dia, tetapi juga berkisar dengan senario yang berlaku dalam hidup aku dan kesannya kepada yang lain.

Ukhuwah itu memang manis... Itulah kata-kata seorang sahabat.

Cinta itu akan datang sendiri... Kata seorang sahabat yang lain...

Seorang mukmin yang baik adalah untuk mukminah yang baik... Kata sahabat yang sering mendengar aku.

Setiap kesusahan pasti ada kesenangan..kata seorang sahabat yang selalu menenangkan..


Untuk mendapat sesuatu yang mulia, pasti banyak kesulitannya... pesan seorang sahabat yang berilmu dan menyenangkan..

Banyak lagi kata-kata rangsangan, inspirasi, semangat, pujukan oleh para sahabat... Terima kasih kerana menjadi sahabat aku yang banyak kekurangan ini.

Pada paparan ini, aku ingin menjawab beberapa soalan dan pertanyaan daripada keprihatinan para sahabatku dan orang-orang sekeliling aku, yang menyayangi dan menerima aku ini seadanya. Semoga segala jawapan aku dalam paparan ini akan menenangkan hati kalian yang bertanya atau pada sesiapa sahaja yang tertanya-tanya.

Inilah hakikatnya dalam hidup aku ini...bagaimana aku menjalani segala ujian kasih sayang yang ALLAH berikan ini.

Semoga kalian akan dapat memahami... dan kalian tentu akan mengerti....maka apapun persoalan tidak akan timbul lagi.

Sahabat, kawan, teman dan sesiapa sahaja yang mengenali aku dan mengetahui sedikit perjalanan hidup aku ini.... "Dengarlah....luahan hati aku ini dalam melalui segalanya ini"

Dengan segala kepastian yang kalian ketahui...menimbulkan seribu satu tanda tanya, emosi, perasaan dalam hidup kalian ...

Maafkan aku kerana menyebabkan kalian berasa begitu simpati kepada aku. Aku sendiri? Amat bersyukur dengan kepastian itu. Bersyukur dengan erti kata sebenar...dari hati aku ini.. seikhlasnya. Aku berasakan batu di pundak aku ini diturunkan semerta... Aku merasakan tiada lagi beban yang perlu digalas..
Aku ingin menyatakan segala sesuatu dalam catatan ini sejujurnya dan sebaik mungkin.. Kalian juga tentu sedar, bahawa banyak hati yang perlu dijaga.. jika ia sesuatu yang perlu dirahsiakan...semoga ia dapat dirahsiakan. Terlalu lama aku menyimpan kesakitan dalam hati aku ini... kerana aku, kalian menambah jumlah dosa-dosa dalam akaun kalian.. semakin hari semakin bertambah... maka dengan segala keputusan dan kepastian itu semoga akaun kalian akan bersifat minus untuk dosa berkaitan memperkatakan sesuatu yang berkaitan dengan aku.
Ketika aku menunaikan umrah pada tahun sebelum ini...ku pohonkan begitu banyak doa buat aku, dia, saudara mara dan kalian.. InsyaALLAH, aku mengingati semua yang aku pohon ketika itu.
Setiap kali selepas tawaf, ALLAH melapangkan aku untuk bersolat dalam Hijir Ismail di bawah pancuran emas itu...tepat di bawahnya tanpa sebarang gangguan, tanpa sebarang kesukaran...malah aku sering dikepung, di kelilingi rantaian manusia di sekitar ku, yang membolehkan aku berbicara dengan DIA, selesa.. bertenang dan dalam keadaan mengingati apa yang aku pohon... Sujud aku ketika itu selama mana pun ia adalah satu kelapangan dan ketenangan yang tidak dapat kugambarkan. Di situlah aku mengatur kata-kata...
DAN, para sahabat....
Doa seorang insan kerdil seperti aku ini, ku hitung-hitung...sedang ditunaikan satu persatu. Itulah hakikatnya.
Mungkin ada antara kalian tidak akan percaya dan meragui kisah aku ini... kerana ketika aku bercerita nikmat dan kebahagiaan menunaikan umrah...ada antara kalian bertanya kepada aku, benarkah begitu? Layakkah aku memperolehi semua itu? Sahabat... aku tiada jawapannya. Hinanya aku pada pandangan kalian tidaklah begitu rendah berbanding kehebatan kalian. Aku yang merasai nikmat itu, maka aku yang lebih mengetahui...biarpun sejuta kali kalian tidak mempercayai...terpulanglah.
Sahabat-sahabatku,
Hidup aku ini tidak DIA jadikan seperti kalian, mungkin. Hidup aku ini penuh dugaan dan ranjau duri... Mungkin kurang daripada orang lain..tapi masih terlalu banyak yang perlu aku hadapi.
Kadangkala kita hanya boleh menuding, malahan mengungkit lebih banyak keburukan daripada kebaikan yang ada... tapi seringkali pula kita lupa bahawa apa yang kita buat tidak lebih menambahkan masalah.. tidak membantu sedikit pun.. Kita tidak pernah menjadi sahabat yang baik pun, waima hanya untuk mendengar apatah lagi untuk menyimpannya sebagai rahsia.
Aku ingin kembali kepada janji aku kepada DIA, setiapkali yang aku ucapkan dalam solatku.
Walaupun bukan aku sahaja begitu...tetapi catatan ini adalah daripada perspektif aku...
Sahabat-sahabat yang aku kasihi...
Aku sememangnya mencintai dia... seburukmana pun pandangan dan tanggapan kalian kepada aku ....aku tidak akan malu menyatakannya. Aku mencintai dan mengasihi dia.. Tetapi cinta aku yang bermatlamat yang satu kerana ALLAH. Mungkin kalian masih tidak menyakini aku.. tidak mengapa kerana aku dan DIA pasti lebih tahu.
Aku ingin sekali kalian mengetahui, bagaimana cinta aku itu... Biarpun ia sesuatu cinta yang tiada nilainya pada kalian... Itu adalah cinta aku kerana ALLAH. Tetapi cinta kepada manusia, pasti akan lenyap pada bila-bila masa jika DIA kehendaki. Cinta aku itu tidak sama dengan cinta sesiapa pun namun ia adalah pemberian terbaik dalam hidup aku ini... DAN KERANA ITULAH AKU INGIN KALIAN MENGETAHUINYA...bahawa cinta aku adalah milik aku...bukan milik kalian untuk menentukannya. Waima...bukan juga milik dia yang aku cintai itu... tidak akan sesekali menjadi milik dia... jika ada pun hanya bisa beriringan dengan cinta aku itu. Hhmm.... kalian tentu lebih keliru.
Ketika aku melihat pintu Kaabah dibuka 1 Syaaban yang lalu... ada sesuatu dalam hati aku ini dibuka bersama... ada sesuatu dalam jiwa aku ini seperti dibawa pergi... Dan DIA telah membuka suatu hijab dalam hidup aku ini...mungkin dua, mungkin tiga... siapa tahu.. dan DIA telah atur segalanya dengan baik dan cermat...

Aku terlalu sedih ketika itu, menangis semalaman hingga bukan lagi hingus yang keluar malahan darah dari hidung aku ini... Aku sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang aku tangisi... tapi hari ini aku mulai tahu..biarlah ia tersemat hanya dalam hati aku.
Ada yang bertanya, dengan kepastian itu yang kononnya menjadi pengakhir jalan cerita ini...tidakkah aku bersedih, kecewa? Adakah aku kuat dan dapat melaluinya? Bagaimana keadaan aku?
Bertanya sesama sendiri...bertanya aku sendiri...atau memperkatakan sejarah itu berulang kali....
Untuk sekian kalinya....
Lupakanlah kisah dan sejarah itu...
Jalani hidup baru dengan lebih baik...
kerana semalam yang hilang itu pasti tidak akan kembali....
sedangkan masa depan itu pasti akan kita lalui...
biarpun kita tidak pasti tapi ia pasti hadir dengan harapan...
Sahabat dan teman...
Aku berdoa semoga orang-orang yang aku cintai akan mengecapi kebahagiaan dunia dan akhirat.
Kasihani aku dan kasihani dia yang aku kasihi itu sebagai mukmin yang baik dan mencintai ALLAH..... Lepaskan kami daripada bebanan pelbagai fitnah yang berat. Bebaskan kami daripada ikatan bebanan dosa yang memberatkan perjalanan kami....
Seorang lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik.. itu yang selalu aku dengar, aku baca daripada kitab suci itu... maka itulah hakikatnya... DIA telah menemukan pasangan yang terbaik untuk mereka , satu sama lain.... Mengapa aku, kalian harus bersedih?
Kerana aku menyayangi....maka aku ingin orang-orang yang aku sayangi itu bahagia, gembira, mendapat rahmat dan keberkatan dunia dan akhirat.. Jika kalian ingin tahu...itulah juga nilai cinta bagi seorang aku ini...
Perjalanan kita masih panjang...atau mungkin telah terlalu singkat... Aku ingin sekali menutup kisah ini sebagai satu pengorbanan yang sedikit dalam menjaga ukhuwah fillah. Cukup lah setakat itu sahaja.
Perjalanan orang yang sama-sama kita kasihi dan sayangi itu bakal bermula... Baru bertatih dalam melangkah... semoga kita dapat memberikan sokongan dan bantuan....walau hanya melalui sepotong doa..

Sahabat-sahabat yang amat aku kasihi.. Aku ingin sekali kalian mengetahui...bahawa aku tidak suka akan simpati, aku tidak suka akan belas kasihan....yang penting aku ingin kalian ketahui.... Aku tidak suka kalian menangis kerana aku...
Di kesempatan ini, aku memohon maaf jika kata-kata aku kasar selama ini.. aku mungkin menganiaya dalam mempertahankan kebenaran aku... aku mungkin salah berpesan... aku mungkin terlepas pandang.. Maafkan aku..
Aku tidak akan menangisi kebahagiaan yang akan dikecapi oleh orang lain. Mengapa?
Adakah aku perlu bersedih, ketika dua insan membunuh harapan dan memusnah janji-janji syaitan...?
Adakah aku perlu menangis, ketika orang yang aku cintai menyempurnakan imannya...?
Adakah aku perlu kecewa apabila seorang mukmin dan solehah bersatu dan menjadi umat kesayangan Nabi Muhammad SAW...?

Adakah aku perlu diberi simpati kerana banyaknya ihsan dalam hatiku ini.....?
Adakah aku perlu lemah dan jatuh hanya kerana ALLAH sedang menguji aku dan menyayangi aku....?
Adakah aku perlu engkar hanya disebabkan sesuatu yang tidak menjadi milik aku diambil kembali oleh yang hak...?
Adakah aku perlu hampa membolehkan seorang lelaki menjadi seorang pemimpin yang berjaya dalam membina hidupnya...?
Adakah aku hampa melihat seorang anak yang bertaqwa, mentaati orangtua dan mencintai agamanya....?
Adakah aku perlu bimbang dengan kebahagiaan dan kegembiraan yang bakal dikecapi oleh seorang lelaki yang bakal menjadi suami, dan bapa yang baik....?
Dia sudah menyempurnakan agamanya, memilih untuk menjadi umat Muhammad yang baik, rela menjadi pimpinan dan nakhoda untuk suatu pelayaran menuju ALLAH...
Aku yakin mereka pasti boleh dan bahagia dunia dan akhirat....
Perlukah aku sedih, hampa, kecewa, musnah, lemah, jatuh....kerana semua itu...kerana ketentuan itu... Aku ingin lebih dikasihi dan disayangi DIA..maka ketahuilah jika tiada sesiapa yang akan menjadi pemimpin dalam hidup ku di dunia ini pun...jika itulah takdirNYA, AKU REDHA.. kerana aku lebih mencintai DIA.

Aku sebenarnya tertanya-tanya, cinta aku kepada DIA .....sekadar diuji dengan sedikit nikmat dan diduga dengan masalah sekecil ini...jika tidak dapat aku lalui..bagaimana dengan dugaan yang lebih besar?
Jika ketika ini aku berada di Palestin... adakah aku masih kuat diuji dan diduga seperti mereka?
Jika kesakitan dan kepayahan sekecil ini pun tidak dapat aku lalui....mampu aku melalui dugaan sebesar itu...
Adakah aku mampu membuktikan cinta aku kepada DIA, jika aku sangat takut dan gerun dengan penderitaan dan kesakitan anak-anak kecil itu... Mampukah aku mengangkat senjata ketika itu... atau sekurang-kurang menyelamatkan keluarga ku daripada syaitan yang bertopengkan manusia itu.. Alhamdullillah kita punyai nikmat tinggal di bahagian bumi yang aman ini..

Begitu sekalikah aku ini lemah sehingga tidak mampu melalui semua ini? Aku mampu dengan segala kekuatan daripada DIA yang maha berkuasa.
Bohong jika aku katakan tiada sekelumitpun semua perasaan itu dalam hati aku.
Selama ini aku memohon dan meminta kepada DIA dan dia.. kini DIA dan dia telah menunaikan segala permintaan itu.. Kesakitan itu, kesedihan itu, kepedihan itu, kehampaan itu, kekecewaan itu....apa-apa sahaja tentang itu... jika ada, jika ada, jika ada, jika ada, jika ada... telah DIA damaikan secara perlahan-lahan.

DIA pasti mendengar kita, dalam apa keadaan pun...waima ketika kita melupakan DIA...
Ketika semua perasaan itu wujud... aku akan bersolat taubat, bersolat hajat, bersolat iskhtiharah..... dan DIA telah mengangkat segalanya itu perlahan-lahan. DIA telah memberi alamat, DIA telah memberikan isyarat.. Bukan dalam sebulan dua ini...malah berbulan-bulan yang lalu. Cuma baru-baru ini, DIA mengurniakan nikmat dan DIA mengambil semua keresahan itu...dan DIA memberi tanda, isyarat.. Aku tidak perlu bersedih kerana kemenangan...walaupun pada sesetengah orang, kekalahan itu.
Aku juga tidak mahu ada sebarang salah sangka... Aku sudah menutup 'diari' ini...sejak agak lama dulu. Bukan kerana aku tidak menyayangi tetapi kerana aku lebih menyakini DIA... Semoga segala yang aku lakukan dan pilih ini betul. Yang kita suka, cintai, kasihi....tidak semestinya baik untuk kita. Begitu juga sebaliknya.
Semoga kepastian ini akan membuahkan nikmat ukhuwah yang lebih erat.
Buat yang memahami...aku bukan menjauhi segalanya kerana dendam, marah, irihati atau seumpamanya... jika kalian memahami, pasti kalian mengerti... Segala pengorbanan dalam perjalanan selama ini sungguh bermakna... terima kasih atas segalanya. Redhakan aku seorang sahabat meneruskan perjalanan dengan ikhlas dan berjaya juga. Ikhlaskanlah kalian atas segalanya. Aku juga pasti mengikhlaskannya. Jika ada yang baik daripada perjalanan yang lalu...gunakanlah sebagai pengajaran yang bermanafaat... yang buruk, yang tidak elok...tinggalkanlah. Yang menyakitkan, yang menyedihkan...lepaskanlah. Kita punyai banyak masa untuk sentiasa mencari cinta...cinta kepada DIA, ALLAH Rabbul Izzati....Ukhuwah itu pasti akan lebih manis dan bererti.

Rasanya cukuplah aku menyatakan isi hati aku ini. Semoga ini tidak memberatkan mahupun membebankan sesiapa.. Aku ingin gembira dan bahagia bersama kalian.. teman-teman dan sahabat.

Buat sekian kalinya....
Izinkan aku ini bersama-sama kalian meraikan segala sesuatu itu dengan keikhlasan yang sebenar.
Semoga segala yang dirancang akan dipermudahkan urusannya oleh ALLAH.
Semoga segala ketentuanNYA, bersama rahmat dan keberkatan...
Semoga ukhuwah fillah antara kita akan sentiasa berpanjangan.
Semoga setiap gerak, langkah, ucapan dan tutur kata, tindakan, keputusan, fikiran, niat kita.....menjadi ibadah yang diterima olehNYA.





Semoga dalam hati setiap kita tersemat cinta yang luhur, murni dan ikhlas kerana ALLAH Subhanawataala..
Semoga hidup kita akan sentiasa ceria, gembira dan sejahtera sepanjang hayat.
Semoga kita akan sentiasa dilindungi...selamat dunia dan akhirat..
Semoga kita dapat menjadikan segala sesuatu itu menjadi lebih baik dan terbaik...
Semoga kita dapat menerima orang lain seadanya..
Semoga hidup dan mati kita dalam agama ALLAH dan Rasullullah..
Semoga kita menjadi hamba yang bertaqwa, berhikmah dan sentiasa mencari ilmu dan keredhaan ALLAH...
Semoga kita sentiasa ingat, memberi, dan meminta kepada yang hak dan dapat menunaikan hak di dunia untuk akhirat lillahi taala..
Semoga hidup kita aman, damai, merdeka dan berjaya dunia dan akhirat..
Semoga kita semua saling dalam menyayangi, mencintai dan mengasihi... antara satu sama lain.
Semoga kita berada di jalan lurus dan benar kerana ALLAH...
SEMOGA ALLAH SENTIASA MENDENGAR KITA...

Jumaat, Mei 08, 2009

KISAH AKU DAN DIA (UM..SUATU MASA LALU..SATU KEBAHAGIAAN)


Assalamualaikum.... Hari ini aku ingin mencatat lagi tentang Kisah aku dan dia. Sebenarnya aku hanya memindahkan catatan ini daripada salah satu catatan yang lama...kerana ketidaksesuaian catatan ini dalam kenangan itu.
Ada yang menyatakan mengenangkan hal-hal lalu merupakan satu kerugian. Kita seharusnya memandang ke hadapan, bersangka baik dengan apa yang akan berlaku di hadapan kelak tanpa membawa kenangan lama. Namun bagi aku... kenangan lama itu berpengajaran dan membawa sesuatu yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit, harta benda... hanya kepada mereka yang terlalu mengikut kehendak hati dan runtutan perasaan serta tidak tahu membezakan kewajaran sahaja yang akan terjerumus ke kancah kekhilafan itu berulang kali...tidak mampu berubah mahupun menggunakan pengalaman itu sebagai guru. Aku berharap jika ada yang membaca semua catatan aku tidak akan menyalahtafsir niat dan tujuan blog ini aku 'lahirkan', apatah lagi catatan di halaman ini berkisarkan cinta, kegagalan dan kekesalan... Hanya mereka yang berfikir akan melihat dan mengambil pengajaran daripadanya. Aku memang menggunakan wahana cinta dan yang jelas pengalaman aku sendiri, kebanyakannya.... juga pengalaman orang lain yang disisipkan sebagai cara, kaedah dan pendekatan untuk memberi sedikit pesanan dan ingatan kepada yang lain.

DIA ( kisah aku dan dia yang membahagiakan dan menggembirakan )
Cinta itu buta... mungkin ada benarnya. Kisah ini aku paparkan tentang dia yang mengasihi aku tanpa mengira usia aku.Ketika itu aku melanjutkan pelajaran aku ke Institusi Pengajian Tinggi yang lain. Membaiki hidup masa depan aku. Walaupun susah untuk aku meneruskan sambil bekerja. Namun bukan itu ukuran kejayaan...malah kejayaan yang melalui getir dan ranjau itu lebih manis rasanya. Mungkin sebenarnya aku terpaksa untuk menyertai aktiviti kokurikulum...mujur aku punya kelebihan dalam salah satu bidang kokurikulum itu...
Wajib aku menyertai kokurikulum untuk mencukupkan PNGK ke tahap yang dapat kucapai kini. Disebabkan aktiviti itulah aku bertemu dia. Dia mempunyai ciri-ciri lelaki yang aku idamkan. Bukan terlalu sempurna..tetapi agak sempurna dari sudut pandangan aku ini. Wajahnya sederhana.. berkumis kebiru-biruan. Kemas dan rapi. Dia tidak begitu tinggi..tapi ideal dengan susuk tubuh yang segak dan kemas. Dia mempunyai sepasang tangan yang cantik pada pandangan aku. Aku akan sentiasa mencuri-curi pandang jari-jemarinya yang cantik dan sempurna itu. Suatu ciri yang aku kira tidak akan dipandang oleh mana-mana perempuan. Itulah aku...Betapa kacak pun seorang dia, aku tidak akan tertarik sehingga aku dapat meneliti jari-jemarinya. Jari-jari runcing dan menguja aku. Biarlah...sebab semua orang punyai pandangan dan pendapat tersendiri. Wajahnya ada ciri-ciri wajah kecinaan dan sedikit seperti Arab, memang amat menarik minat aku kepada dia. Tetapi usah salah faham...bukan cinta, cuma minat! disebabkan dia punyai ciri-ciri yang aku suka.Satu lagi, aku tidak berminat dengan dia yang sebaya dengan aku...apatah lagi lebih muda. Aku mengagumi dia itu....tidak lebih dari itu. Selain itu, dia seorang yang mudah mesra, peramah, ada daya kepemimpinan yang tinggi dan amat lucu. Kewibawaannya terserlah.. dia mampu mengendali dan mengawal suasana.. dia akan membuatkan semua orang berasa selesa, tenang dan gembira. Semua yang aku suka pada dia ada pada dia. Tetapi dia 12 tahun lebih muda daripada aku. Mustahil bagi aku untuk menerima dia. Tentu ada seorang aku yang sangat bertuah mendampingi dia, kelak. Keindahan fsn ciri-ciri seorang lelaki yang aku suka cukup pada dia. Tetapi itu tidak mengizinkan aku untuk membuka hati aku kepada dia. Namun, adik itu tetap aku manjakan. Dia memang amat istimewa, matang..berfikiran terbuka. optimis walaupun dalam usia begitu muda. Aku tidak pernah menyangka, tidak pernah menduga..akan ada seorang dia seperti dia dalam hidup aku. Alhamdullillah, Aku mengenali dia...walau sekejap. aku sentiasa berasa dihargai ketika bersama dia... aku bisa berbicara pelbagai topik dengan dia, daripada sukan, ekonomi, sosial, politik....apa sahaja. Dia tidak pernah memperolok atau memperlekeh aku..walaupun aku tidak tahu. Kata dia aku ada sesuatu yang dia suka...dan sehingga kini aku tidak pernah tahu.
Aku sangat rasa bersenang hati dengan dia. Dia sering membuatkan aku tertunggu-tunggu dia. Dia pula sering menanti aku pada laluan ke dewan aktiviti. Setiap kali ingin bertemu aku, dia akan mengambil apa sahaja yang boleh dijadikan hadiah kepada aku. Daun-daun kering...di atasnya dicatat nama aku dan dia. Bunga-bunga lalang yang disusun menjadi jambangan kecil. Ranting-ranting unik yang menarik. Apa sahaja.. cokelat, pen, gula-gula...apa sahaja yang boleh dijadikan hadiah. Aku sendiri akan ternanti-nanti dia sekiranya dia lambat sampai....menanti apakah jenis hadiah dan kejutan daripada dia. Aku gembira dengan pemberian-pemberian itu. Aku senang dengan ingatan-ingatan itu, walau hanya cebisan kecil kertas daripada buku catatannya yang tertulis kata-kata indah. Aku rasa berteman ketika bermasalah. Bukan tiada teman lain yang boleh membantu aku...cuma, aku lebih berasa selesa jika berbicara dengan dia. Dia punyai buah fikiran yang bernas..Aku rasa teruja, sekiranya aku lambat tiba dan dia terdahulu... dia akan berlari-lari mendapatkan aku. Dia menghormati aku..dia menggembirakan aku...dia membuat aku berasa dihargai.Aku ingin sekali menerima dia dalam hidup aku...menjadi pemimpin yang utama dalam hidup aku. Menjadi nakhoda berkaliber dalam kapal pelayaran hidup aku.
Namun aku terikat dengan prinsip aku..Entah apa yang ada dalam hati aku ketika itu. Aku berasakan hati aku 'berbunga-bunga' setiapkali bertemu dengan dia. Rasanya aku juga adalah orang yang paling gembira ketika dia memanggil aku sayang dan membahasakan diri abang.. di depan orang dia akan tukar panggilan itu.. hanya ketika aku di sisi dia, dia akan menggunakan panggilan. Tidak tahu kenapa aku tidak pernah menghalangnya.. Sehingga suatu hari ketika aku menjelaskan prinsip aku...dia menyelarku dan menasihati aku. Usahlah aku menjadikan kesombongan(prinsip) itu satu pegangan dan hiasan hidup aku...kerana keangkuhan itu hak DIA. Kata dia lagi, sekiranya prinsip itu tidak bertepatan dengan syariah Islam...prinsip itu boleh dilanggar, dimansuh.. Katanya lagi, dia mencintai aku... hanya dalam tempoh tiga bulan perkenalan kami dia amat tertarik kepada aku...kerana ALLAH. Sedangkan ketika itu aku dalam keadaan berat badan melebihi 90 kilogram...gempal? Gemuk? Cabi? Apa-apa lagi.... Apa yang dipandang dan dilihat pada aku.. kata dia lagi, aku sangat 'cantik' sebagai seorang wanita yang dicari-carinya. Katanya lagi..berilah dia peluang mencontohi Rasullullah SAW, mencintai dan memperisterikan Saidatina Khadijah dengan ikhlas, setia... jujur, suci kerana ALLAH. Kata dia lagi, usia itu bukan ukuran suatu cinta itu...kerana dia benar-benar ingin aku dalam hidupnya.
Dulu aku tidak tahu bagaimana perasaan boleh hadir di hati dia... aku tidak faham. Walaupun aku telah melalui apa yang mungkin dikatakan cinta itu berkali-kali. Aptah lagi buat seorang dia yang muda belia seperti itu kepada seorang aku yang tidak sepadan dengan aku. Namun sebenarnya kini aku sudah mengerti..
Buat sekian kalinya seorang dia meneleku di hadapan aku. Kali ini bukan dengan tangisan tetapi dengan bunga telur di tangan...yang pada kad ucapan terimakasih di lidi bunga telur itu tertera nama aku dan dia...bilalah dia menulisnya aku tidak pasti. Sedangkan aku sendiri yang menyediakan bunga itu dengan tangan aku ini untuk persembahan akhir sesi ko-kurikulum itu.. Kerana persembahan budaya yang kami pilih memerlukan persiapan seperti itu. Aku tidak dapat membayangkan perasaan aku ketika itu. Sangat pelik dan unik.
Dan pada suatu hari dia tidak hadir ke aktiviti kokurikulum itu...namun dia menitipkan salam kepada aku. Dalam sehelai kertas, dia mencatat "...Kecintaanku, doakan kekasihmu ini dapat melalui peperiksaan akhir ini dengan jaya...MFR." Lantas aku menemui penyampai pesanan itu, bertanya peperiksaan apa yang dia sedang duduki...pastinya aku terkejut. Dia yang romantis itu menduduki kertas Bahasa Arab...Dia, antara siswa terbaik di Akademi Pengajian Islam. Aku tidak pernah tahu selama ini. Aku juga tidak menyangka semua itu. Yang aku tahu namanya, dan asalnya dari Pulau Borneo..
Kata dia penyampai pesanan itu... Dia menjadi perhatian dan kegilaan siswi, tetapi dia memilih aku.. kerana aku adalah aku yang tiada tandingan di mata dan hati dia...Namun, aku berfikir... aku menyukai dia. Cinta? Mungkin tidak...tetapi kata dia, cinta itu boleh dipupuk selepas nikah. Aku dan dia? Nikah? Tiada dalam minda aku ini...tidak pernah terfikir. Dia jauh lebih baik daripada aku. Dan....dia jauh lebih muda daripada aku ini! Aku tidak mampu melaluinya...Apatah lagi berdasarkan pengalaman aku yang lalui sebelum ini yang membentuk pendirian aku ini. Bagi aku restu itu adalah sangat penting. Perkahwinan tanpa restu tidak akan menjanjikan kebahgiaan yang sebenar. Aku sedar siapa aku. Layakkah aku berada di sisi dia ... dengan pelbagai kelebihan ada pada dia, tentu Allah akan memberikan yang terbaik. Siapa tahu.. Itulah doa aku buat dia..buat dia yang sangat kusenangi itu.
Pada jamuan akhir itu, dia memberi aku nombor telefon..tetapi malangnya dia tidak mengambil nombor telefon aku.. itu sahaja kesilapan dalam kisah aku dan dia. Sebelum berpisah, dia berkata..jika ada jodoh, berpisah oleh benua...jarak masa, aku dan dia pasti bersatu.. Tapi itu kata dia. Kata aku, cukuplah setakat itu... dan nombor telefon itu aku perosokkan ke dalam tong sampah ketika menuju ke kereta. Bagi aku tiada jalan yang boleh aku tempuh bersama dia... maka cukuplah. Cukuplah hubungan itu... Aku tidak mahu dia berasakan kerugian. Dia punyai harapan dan masa depan yang cerah. Dia, lelaki baik..pasti DIA akan memberikan dia suri yang solehah dalam hidupnya. Itulah juga doa aku buat dia... Ketika itu aku tidak mengerti... Kini, aku tahu dan memahaminya..dengan jelas. Cinta akan hadir tanpa dipaksa, akan timbul dengan sendirinya..kerana aku mencintai dia, sehebat dia...dan aku merasai kesakitan itu. Kesakitan membuang cinta itu daripada hidup aku..InsyaALLAh, selagi dia, dia dan dia....ada di jalan benar, aku pasti mencintai dia. Biarpun setiap satunya, merupakan cinta yang berbeza tapi cinta itu pasti datang dari DIA. DIA lah sandaran cinta yang sejati.Buat dia yang aku kisahkan ini..pertemuan aku dan dikau di IPTA itu...merupakan masa-masa yang berharga dan membahagiakan aku... Semoga ketika ini, dikau bahagia di samping seorang yang bergelar isteri yang dikau cintai kerana ALLAH..Terima kasih memberikan aku kebahagiaan, rasa dihargai, rasa disayangi ketika itu... MAAFKAN AKU, meninggalkan dikau tanpa berita. Sesungguhnya, aku ingin dikau tahu, kebahagiaan orang-orang yang aku kasihi, adalah keutamaan aku.. semoga dikau mengerti..seperti aku kini yang lebih mengerti. Ketika itu aku tidak terfikir kesakitan yang mungkin dikau alami...tapi kini aku telah tahu kerana aku telah duduk ditempat itu..tempat orang yang ditinggalkan..
Ditinggalkan untuk dia mencari kebahagiaannya.. kerana tiada apa yang dapat aku berikan kepada dia. Aku gembira kerana DIA mengizinkan aku menyintai dia... biarpun cinta itu hanya hadir dalam hati dan naluri aku ini. Aku kini sangat memahami. Iman di hati ini bukan wujud hanya kerana seorang dia tetapi kerana DIA yang selayak dicintai. Apakah akan ada kesedihan jika orang yang dicintai menuju ke jalan bahagia.. Mungkin aku tersilap tetapi aku tahu apa yang aku cari dalam hidup aku. Aku bermohon kepada DIA...DIA pasti memberikannya...biarpun lambat mahupun tiada di dunia ini... Aku pasti DIA pasti ada sebab. Mengapa seorang aku mahupun seorang dia mahu mempertikaikannya. Itu hak DIA, hanya hak DIA.. Semoga sesiapa yang membaca catatan ini akan dapat memahami. Selagi kita diuji, diberi pelbagai cubaan....pasti DIA amat menyayangi kita. CUKUPLAH DIA UNTUKKU... DIA pasti membahagiakan aku, DIA pasti menyayangi dan mengasihi aku.. aku tahu itu..
Rasanya agak panjang catatan aku buat dia.. Dia pasti mengerti, jika dia tahu aku sudah mengerti kini.. Segala yang baik itu datang dari ALLAH dan buruk. lemah dan daif itu adalah kelemahan aku sendiri. Semoga catatan ini bermanafaat.

Khamis, April 30, 2009

ANTARA AKU DAN DIA..... ADA SUATU RAHSIA


Assalamualaikum.... Sebenarnya ini adalah catatan lama... kuimplimenkan di laman ini, mengisi slot Kisah Aku dan Dia.... yang lalu. Sebenarnya aku tidak tahu siapa dia.. Manusia ataupun ????
Hanya Allah yang lebih mengetahui siapa dia..

Antara aku dan dia.... ada satu rahsia.
Jauh di sudut hati ini hanya aku sahaja yang tahu. Betapa dingin dan beku suatu perasaan yang mengharapkan kehadiran seorang insan yang sekelip mata menghilang dari hidupku.. Segalanya umpama mimpi, hadir seketika cuma namun mengikat utuh jaluran benang sari hati lalu mencantumkan dua hati yang entah kepunyaan siapa.

Ada waktunya kekesalan timbul namun mungkin ini hanya suatu ujian terhadap hamba yang sering alpa dengan janji dan kehidupan. Jauh di sudut hati ini juga telah terpadam nolstalgia semalam yang memilukan....cuma yang tinggal hanya harapan mendatang yang kabur...menantikan kehadiran seseorang yang begitu anggun bertakhta di hati dan nurani ini. Kesedaran mungkin menyerlah namun impian yang jarang hadir mungkin akan lebih mencengkam dan mengancam lilitan kasih yang telah dibentuk Illahi buat hambaNYA ini. Aku mungkin dia tidak pernah menduga keadaan sebegini akan berlaku. Kerelaan melepaskan rupanya menguji hati untuk suat lagi penantian yang tidak akan ada kesudahannya. Alam mungkin tertawa melihat manusia yang sering leka dalam menjalani hidup sebegini. tapi aku yakin antara aku dan dia.... masih ada suatu rahsia. Tentu ada hikmah di mana-mana apabila pertemuan sebegini berlaku dalam hidup manusia yang senantiasa lalai dan lemah ini.

Mereka yang lain mungkin dan seharusnya tidak mengetahui apa yang ada di dalam hati ini, dan dengan sengaja berjenaka. Aku ingin sahaja berkongsi cerita tapi dengan siapa? Biarpun kadang kala kufikirkan hanya aku dan dia yang mengetahuinya...suatu rahsia antara dua jiwa yang sama rasa dan sama-sama digerakkan dan akur dengan sandiwara ini. Lihatlah suatu ketika bila redhaNYA tiba, aku dan dia pasti bersua bukan hanya untuk bersemuka tetapi jauh dari itu untuk hidup bersama.....
Walaupun hakikatnya aku malu dengan diriku ini tetapi itulah kebenarannya... aku tidak bisa lari meninggalkan sesuatu yang ditentukan ujiannya kepadaku. Fahamlah hati dan jiwa ini sering memberontak. Ingin rasanya kugeledah segenap ceruk rantau ini untuk mententeramkan hatiku namun apakan daya, aku tidak mempunyai kuasa melakukandan aku sedar aku manusia lemah yang sepatutnya mengetahui kekurangan diri. Ya ALLAH, ya tuhanku.... aku redha dengan 'gerakkan hati ini' kerana aku yakin menemukan kami sebegitu rupa bukan untuk bersenda tetapi untuk menduga sejauh mana kekuatan hati kami dalam menghadapi segalanya. KAULAH YANG SATU....... aku akur dengan kasih sayangMU.... Bukalah hati kami menerima antara satu sama lain seadanya sepertimana telah KAU anugerahkan kepada kami dan semoga pertautan ini tidak akan terlerai walau apa sekalipun yang terjadi.... Seaib manapun aku dan dia, semoga kami akan tetap menerima antara satu sama lain... Ya ALLAH, antara aku dan dia.....sememangnya ada satu rahsia....


Sebuah catatan buat dia .... kucatat suatu ketika dahulu. Lebih 15 tahun dahulu... Kucatat dalam laman ini sekadar untuk kenangan. Bahawa kadang kala manusia ini sering dalam kerugian, kecuali mereka yang berpesan-pesan dan sabar dan kebenaran. Aku sendiri tidak tahu sama ada dia wujud dalam dunia ini atau hanya di dunia yang satu lagi. Semoga segalanya ini mengajarku menghargai hidup di dunia dan nikmat dari NYA yang satu. Catatan ini mungkin sudah tidak bermakna lagi, dan aku sesuaikan untuk slot kisah aku dan dia ini untuk tatapan umum.....

BUAT SESEORANG YANG KU KENALI SEBAGAI...........
Musha, Assalamualaikum buatmu...
Kependekan namamu yang kuberikan tanpa dikau ketahui apa yang tersirat dan apa sebenarnya yang berlaku..

DIA,
yang kukenalpasti hanya namanya sedangkan dirinya tidak begitu aku kenali. Bingkisan ini bukan bertujuan menganggu. Tidak terlintas di fikiran, sejauh ini ingatan pertemuan yang sebentar itu aku dan dia alami. Jika dia masih ingat, aku dan dia pernah bertemu suatu ketika dahulu. Mungkin dia tidak mengingati aku apatah lagi mengenali aku. Namun hingga ketika catatan ini aku sandarkan, ingatan antara aku dan dia masih segar dan memahat kenangan indah dalam hidupku. Tidak pernah aku merasakan sebegini hinggalah tiba ketika itu. Dan aku tahu semua itu hanya ujian buatku yang kadang kala angkuh dengan prinsip aku. Walau apapun , aku bersyukur dengan segala yang dikurniakan ini.

Dia,
Ketika itu aku bergelar Hajjah, satu-satunya sebab mengapa sebenarnya aku patut malu pada diriku sendiri tetapi aku tetap manusia biasa yang punyai perasaan seperti orang lain. Aku yakin cetusan rasa yang dilahirkan pada pertemuan kita di sisi Masjidil Haram pada Jun, 1993 bersamaan Zulhijjah 1414, membibitkan rasa keinsafan atas kebesaran Illahi dan mungkin bakal membawa kebaikan buat aku mahupun aku dan dia.

Dia,
Ujian itu membuatkan aku lebih redha dengan hidup aku kini; juga redha dengan hakikat pertemuan dan perpisahan. Aku berasa cekal kini untuk menghadapi pelbagai jaluran hidupku apatah lagi apabila berkait dengan hati dan perasaan. Kehadiran dia melenyapkan begitu banyak memori silam yang aku alami. Aku ingin dekat dan mengenali dia tetapi puas aku berusaha namun tiada apa yang aku perolehi. Mungkin aku dan dia bertemu hanya untuk berpisah

Musha, telah aku berusaha sedaya upaya untuk menjejaki mu namun kejayaan tidak berpihak kepada aku.
Lalu sehingga suatu ketika itu tiada sesiapa yang lain di sisi aku namun aku telah mencuba untuk membina hidup baru dan membuka ruang di hati aku, walaupun bukan itu yang aku ingini. Aku ingin dia tahu betapa ku berasa gembira dan bahagia atas segala perhatian yang dia berikan kepada aku ketika waktu itu.

Musha(DIA)..
Hotel Anwar Makkah menjadi saksi pertemuan aku dan dia. Setiapkali kehadiran Zulhijjah, aku sentiasa berdebar-debar dan aku tidak pasti mengapa aku berkeadaan begitu. Aku sering tertanya-tanya, mengapakah aku masih mengharapkan peristiwa itu berulang semula dan aku berharap dapat memperbaiki kesilapan ku namun peristiwa itu telah lama meninggalkan aku dan dia.
Arafah dan JabbalRahmah terus menjadi kenangan. Kadangkala terfikir olehku.... ingin bertemu dia semula di situ sebagaimana pertemuan Nabi Adam a.s dan Siti Hawa r.a., isteri tercinta. Namun siapa kita yang akan mendapat kurniaan seperti itu. Walau apa pun, jika ada rezeki dan jodoh aku dan dia...tiada siapa yang menghalang. Tentunya kuasa Allah mengatasi segalanya. Sekiranya apa yang aku harapkan itu terjadi, mungkin akulah insan yang berbahagia dalam hidup ini.

Dia,
Sebenarnya aku tidak tahu bagaimana caranya lagi untuk mengutusi dia dan aku berasa aib untuk meneruskan niat aku ini namun kugagahi juga hati aku ini untuk menyampaikan apa yang ku pendam sekian lama. Segalanya itu memori semalam yang akan aku simpan baik-baik di sudut hati ini. Apa yang penting, tujuan aku adalah mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih aku kepada dia kerana hadir dalam perjalanan hidup aku ini.

TERIMA KASIH.....Mungkin kaulah ujian yang meninggalkan kesan dan nolstalgia indah yang akan aku jadikan sempadan dalam meneruskan hidup aku yang akan datang. Bersyukur aku akan segala nikmatNYA..

Buat Dia (MUSHA)...
Semoga dia sentiasa sejahtera dan berbahagia dalam dakapan kasih sayang dan restu dari ALLAH subhanawataala. Sentiasa gembira dan ceria dalam menjalani kehidupan dia; juga dapat melaksanakan segala tanggungjawab dengan baik dan sempurna walau di mana sekali pun dia berada..dan aku ingin dia mengetahui.. aku sentiasa mengingati dia....

Sebenarnya ada terlalu banyak kisah yang aku boleh ceritakan tentang dia. Kata dia, seseorang yang mengubati aku suatu ketika dulu..... Dia (Musha), itu bukanlah seorang manusia biasa seperti aku dan kalian...malahan seorang yang dikatakan daripada golongan jin... namun sehingga kini, tiada siapa, tiada bukti yang dapat mengesahkannya. Kononnya, aku yang sederhana dalam dunia manusia ini ....begitu cantik di alam jin. Wallahualam.... Kemudian akan kukisahkan kelak, pengalaman demi pengalaman dalam slot aku dan dia. Aku sentiasa ingin tahu kebenarannya itu dan aku sentiasa mencari sesuatu... sesuatu, yang kadang-kadang aku tidak tahu apa yang aku cari.
Buat dia.... Siapa pun dia sebenarnya, aku telah melalui pengalaman 'Cinta pandang pertama' dengan dia. Aku tidak dapat menggambarkan dengan jelas. Selama lebih 5 tahun, aku menutup hati aku untuk orang lain. Semua perasaan terhadap dia yang pertama, dia dan beberapa dia lenyap semerta ketika pertama kali aku melihat dia. Ahh... memang sukar untuk aku menceritakannya dengan jelas. Suatu ketika kalian akan tahu....biarpun bukan cara dan keadaan yang sama yang aku lalui ini. Tentang aku dan dia yang satu ini, akan kuceritakan lagi untuk tatapan umum...kerana ada sesuatu yang ingin aku kongsikan bersama yang lain...walaupun bukan atas dasar kisah cinta yang terpapar seperti sebelum ini.
Cukup rasanya catatan ini dahulu.....semoga bertemu dengan 'warkah' yang lebih bermanafaat, insyaALLAH...

Rabu, April 29, 2009

KISAH AKU DAN DIA ( KINI, AKU MENGERTI DAN TAHU KESAKITAN ITU)

ASSALAMUALAIKUM.... Hari ini aku ingin mencatat panjang tentang kisah aku dan dia.. Sebelum aku meneruskan, aku ingin sekali mengucapkan ucapan ini buat dia, dia dan beberapa dia lagi.."MAAF, MAAF, MAAF...MAAFKAN AKU!". Kini, aku mengerti, kini aku tahu, kini aku merasakannya... kita aku redha, kini aku pasrah....kerana kini aku alami kesakitan itu. Kesakitan yang dirasakan oleh semua dia yang akan kukisahkan seterusnya.. Beberapa dia yang mungkin pernah kusakiti, ketika aku tidak mengerti tentang kesakitan itu sendiri.
Daripada catatan Hamka:
Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia. Ia laksana setitis embunyang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlain-lainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanan, kedustaan, panipu, langkah serong dan lain-lain perkara yang tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur, disana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji.

Setiap individu mempunyai tafsiran tersendiri kepada cinta. Namun aku tidak dapat memberikan tafsiranku dengan jelas. Kerana cinta itu tidak boleh dipegang, dilihat....mungkin hanya dirasa...jika berpeluang merasakannya.

Dalam hatiku ini ada cinta.. cinta aku kepada dia, kerana DIA...menuju DIA. Namun aku tidak bisa lagi mencintainya...tetapi aku tetap bersama cinta itu sama ada bersama dia atau tanpa dia ...tetap menuju DIA. DIA satu-satu tempat utama cinta seorang yang bernama aku ke dunia abadi.. Mungkin sukar untuk memahaminya... Mungkin akan mudah pula untuk mengerti. Aku ingin melihat ke belakang mengimbau memori silam.. bukan tujuan aku mengaibkan sesiapa tetapi aku ingin dia tahu bahawa suatu ketika itu aku tidak pernah tahu kesakitan itu...dan hanya kini aku tahu apakah yang ada dalam hati seorang dia..

DIA memberikan masa begini lama untuk aku dapat mengerti. Semoga MAAF aku ini masih bisa mengubat luka-luka yang kutinggalkan dulu. Semoga aku bisa mengubah haluan yang lebih baik akan datang.

DIA (kisah aku dan dia yang kuhormati, kini aku mengerti nilai tangisan itu)
Aku tidak pernah berniat untuk mempermainkan sesiapa..terutama dia. Seorang dia yang sangat pemalu. Seorang dia yang sangat sopan dan berhati mulia. MAAFKAN AKU.

Untuk pengetahuan dia, aku sentiasa ingat akan dia..biarpun bukan seperti apa yang dia sangkakan. Dan bukan seperti dia yang satu lagi itu sangkakan. Aku memang nakal ketika itu... kerana aku sudah ada dia. Dia yang pertama itu, yang memberi aku pilihan meneruskan pengajian aku atau meneruskan dengan dia. Namun aku sanggup meletakkan dia di tempat kedua kerana aku pasti DIA tentu memberikan aku pilihan terbaik apabila aku beriskhtiharah memohon petunjuk.

Dia pemalu, sedangkan aku sangat lincah. Setiap kali aku melintas di hadapan kelasnya, aku akan mengintai dia. Aku akan memanggil dia berbisik-bisik, perlahan-lahan....apabila dia tercari-cari, aku akan menyergahnya. Aku tertawa. Dia juga tertawa. Aku senang melihat dia ketawa, setelah terkejut atau buat-buat terkejut. Sepasang matanya yang agak kuyu di sebalik kaca mata berkaca-kaca, bersinar ceria... senyuman dia begitu manis...biarpun tidak semanis senyuman aku, tidak seceria ketawa kecil ku kerana dia tersenyum.. Usia kami yang menjangkau 19 tahun, tidak memperlihatkan kami begitu keanak-anakan. Setiap kali aku meninggalkan kelasnya aku akan melambaikan sambil menyebut namanya...dan dia? Tertunduk malu, mengulum senyum..melambai perlahan dan melirikkan matanya. Itulah dia, berkulit hitam manis...walaupun bukanlah kacak pada ukuran sesetengah orang tetapi sangat manis pada tanggapanku. Aku sungguh menyenangi dia.
Kenapa dia? Kenapa aku berbuat begitu kepada dia? Tiada alasan yang kukuh. Cuma aku amat berminat untuk mengenali dia daripada perbualan aku dengan teman akrabku yang sekelas dengan dia. Kata teman baikku itu, jika aku boleh membuat dia bercakap mesra dan mengurangkan rasa malu dia yang menebal itu...aku memang hebat. Namun memang sebenarnya aku hebat... hebat yang tidak disangka-sangka.

Bukan juga kerana cabaran itu...aku memang tertarik kepada dia. Apatah apabila dia menjadi ahli tutorial bersama aku. Mungkin berjodoh. Aku bertambah tertarik mendekati dia. Sebagai dua anak bongsu tutorial, peluang aku terbuka luas mendekatinya. Setiap kali dia mengangkat pandangan melihat aku berbicara lembut, manja...aku akan memandang, senyum...jika ada peluang, aku mengenyitkan mata. Dia? Tersipu malu. Dia amat kusenangi. Namun hanya sebagai teman...kerana aku telah punyai dia yang lain.
Aku menjauhkan diri dari dia perlahan-lahan...apatah apabila peperiksaan menjelang. Dia? Akan sering tercari-cari aku..dan, aku senang dengan keadaan itu.. aku terasa amat diperlukan, amat disayangi...cuma, sebagai teman. Bagi aku. Tidak bagi dia. MAAFKAN AKU. Aku tidak mengerti ketika itu.

Apabila aku pulang lewat, dia akan menanti aku... dari tingkat atas melaung-laung nama aku.. menyatakan sayang kepada aku..menyatakan rindu. DAN, aku membalasnya...sekurang-kurangnya dengan isyarat. Namun di hati aku ada dia yang lain. Bukan aku berniat untuk mempermainkannya, cuma aku tidak pernah menduga, tidak pernah menjangka...di hatinya, ada aku yang pertama (?). Semoga dia sudah melupakan aku. Ketika ini, aku dapat membayangkan dia.. wajah dia, senyuman,lirik mata....Aah, dia memang istimewa.
Mungkin ketika ini dia sedang bahagia dengan isteri dan anak-anak tercinta. Aku tidak berniat mengingati kisah ini untuk mengaibkan dia...tetapi aku ingin memberikan sedikit pengalaman kepada sesiapa yang membaca catatan ini..bahawa hidup kita ini sentiasa berubah-ubah..hanya DIA yang maha mengetahui.

Namun, aku tidak akan selamanya begitu.. Dan, akhirnya DIA menentukan jalannya. Lebih 2 tahun aku belajar bersama... sebagai seorang bakal pendidik, kami akan dihantar ke tempat-tempat tertentu. Begitu juga dia. Bagi aku, aku telah pasti tempat aku kerana aku terikat dengan pihak tertentu.
Suatu hari, nama aku diumumkan. Ada tetamu ingin bertemu..ada seseorang ingin berjumpa aku. Aku tidak bersangka-sangka. Biarpun ketika itu, lebih jam 10.45 malam. Tiada tetamu dibenarkan melawat. Aku bergegas turun ditemani sahabat akrabku. Di lobi asrama, tiada sesiapa yang asing aku lihat. Semua, senior dan junior yang kulihat. Aku pergi ke ruang pengumuman. Bertanya siapa yang memanggilku.. dan pesanan aku terima. Bertemu seseorang di bilik tetamu atau bilik rehat.. Aku dan sahabat baikku ke ruang dimaksudkan. Ruang itu sudah gelap. Malam semakin larut. Siaran malam itu tidak menyeronokkan. Hanya lampu di ruang duduk tetamu terpasang. Aku melihat dia..berseorangan duduk..memandang keluar. Aku tertanya-tanya..kenapa dia? Mujur, aku ditemani. Aku menuju kepada dia. Bertanya. Dia mengiyakannya. Aku tergelak kecil..belum sempat bertanya lanjut. Dia meminta aku duduk. Sahabat baikku duduk jauh sedikit di sofa sebelah. Hanya kami bertiga.
Dalam suram cahaya, aku melihat dia mengumpul kekuatan. Dia meluahkan perasaannya. Memohon maaf kerana mungkin kami akan terpisah jauh kerana penempatan kelak. Aku? seperti tertimpa batu yang begitu berat. Astaghfirullahalazim... Apa yang berlaku? Apa yang telah aku lakukan? MAAFKAN AKU, teman....Aku tidak berniat melukakan hati dia. Aku berterus terang, di hati aku ada dia...yang enam tahun lebih tua daripada aku, daripada dia... Pada dia itu hati aku tersimpan, bukan pada dia. Aku terangkan prinsip aku...tidak mungkin, aku berpacaran dengan dia yang sebaya dengan aku.

Aku terkejut...kerana ketika aku berpaling untuk memandang dia...dia telah meneleku di hadapanku. Hanya kira-kira sekaki di hadapan aku. Dia.... menangis, tersedu-sedu... memohon kepada aku, menyatakan cinta dia kepada aku. Tetapi aku tidak dapat meneruskan dengan dia. Aku tidak ada menyimpan rasa yang sama kepada dia.

MAAFKAN AKU...aku sudah jauh tersilap. Aku menerangkan segala-galanya. Aku amat menyenangi dia. Aku amat menghormati dia. Aku amat menyayangi dia...tapi hanya sebagai seorang teman, tidak lebih dari itu. Apa lagi yang dapat aku katakan. Aku tetap meneruskan dengan dia...hanya sebagai teman biasa. Tidak pernah aku terfikir sejauh itu. Dan kukira usia kami yang muda tidak akan menjanjikan kebahagiaan hidup berumahtangga. Aku tidak akan mengikut dia. Aku dan dia pasti akan terpisah. Terpisah kerana status aku dan dia ketika itu. Jauhnya dia merancang...aku tidak tahu. MAAFKAN AKU...

Dia terus menangis... Aku? menjadi jelek.. Ah, Lelaki.... Lemahnya, mudahnya mengeluarkan tangisan..airmata.. tambah-tambah kerana aku ini... KETIKA ITU, aku tidak memahami. Kenapa harus ada tangisan? Apa yang sangat menyedihkan? Dia merayu aku.. tapi hati aku ini keras seperti batu.. tidak selembut kata ucapku. Tidak selonglai langkah kaki dan lenggok badanku. Aku tak pernah melihat seorang dia yang akan menangis seperti itu..hanya kerana aku. Aku yang tidak pernah tahu apa yang ada dalam hati aku..
Selepas peristiwa itu, dia selalu lari. Sedangkan aku mulai rindu akan dia.. bukan rindu kerana perasaan satu itu. Setiap kali bertemu aku, dia akan lari. Aku bukan musuhnya..namun dia tetap lari dari aku. Mujur ketika itu, senior dibenarkan untuk tinggal di luar. Dia berpindah.. Aku juga tinggal di luar. Rumah penginapan kami terlalu jauh. Cuma sesekali aku dapat bertemu dia. Aku mendapatkan khabar nya daripada teman lelaki sahabat baik aku yang tinggal serumah dengan dia. Namun dia semakin memencil. Aku kehairanan. Apalah hendak dikisahkan dengan peristiwa itu...kerana ketika itu aku tidak faham.

Kini, aku lebih faham. Aku mencintai dia...namun dia tidak memiliki perasaan yang sama dengan aku. Aku telah cuba menjauhi dia tetapi DIA belum mengizinkan perasaan itu terpadam. Aku berasa sakit kerana itu. Tentu ketika itu, dia lebih merasakan kesakitan itu..Kini baru aku mengerti. Alhamdullillah, aku mengenali cinta itu melalui dia itu...melalui tangisan itu...luahan hati dia...nilai kasih cintanya kepada aku. Kenapa aku? Aku dan dia tidak akan tahu. Sama seperti aku...Kenapa cinta aku tertumpah kepada dia? Aku dan dia juga tidak pernah tahu.

MAAFKAN AKU..teman!
Jika dikau membaca dan memahami catatan ini, aku ingin dikau tahu.... Dikau antara dia yang amat memberi erti dalam hidup seorang yang bernama aku. Aku mengerti kini. Aku ingin dikau tahu, aku tidak sesekali berniat melukakan hatimu...mahupun memperlekehkan harapan dikau itu..

Aku mendoakan dikau akan bahagia dengan keluargamu yang telah kau bina selepas perbuatan aku kepadamu.
Entah apa khabarmu... Andai aku dapat menjejakimu. Bukan menagih kasih atau simpati. Walaupun tiada dia di sisi aku... Aku amat ikhlas dengan pertemuan itu.. Aku ingin bertemu dikau bersama keluarga yang kau cintai kerana Allah.

Temanku...
Semoga, jika kau menangis lagi kelak...bukanlah kerana seorang aku yang menyakitimu. Semoga tangisan dikau kelak adalah tangisan kebahagiaan dan keimanan.. ketaqwaan kerana cinta dikau kepada DIA... bukan manusia seperti aku... Jadikanlah tangisan dikau lebih bernilai dan bererti. MAAFKAN AKU....

DIA (Kisah aku dan dia yang mengharapkanku)
Aku tidak punyai kisah yang panjang bersama dia. Cuma cerita singkat yang ingin aku kongsikan.
Dia yang satu itu sangat segak, sasa...namun di wajahnya ada sedikit kekurangan. Mungkin oranglain akan memandang berbeza kepada dia. Yang pasti bukan aku. Aku menghormati dia dan menerima dia seadanya. Sebagai teman sekuliah dan sekumpulan aku. Biarpun hanya dua orang sahaja aku dalam kumpulan itu. Sehingga untuk ke praktikum pun aku bersama sekumpulan dengannya. Kerana sikap bersahaja aku itu mungkin... dia amat senang dengan aku. Namun aku tidak pernah menjanjikan apa-apa. Sekadar teman menuntut ilmu.
Entah apa yang menarik pada aku...cuma mungkin aku genit, manja dan lembut. Aku memang tidak tahu tentang apa yang menarik pada aku.. Cuma yang aku tahu, aku akan menerima sesiapa sahaja untuk menjadi teman aku. Kelemahan aku dalam bahasa Inggeris, merupakan peluang bagi dia. dan, sehingga kini, apabila aku bermasalah untuk mempelajari, mempraktikkan Bahasa Inggeris, dia ada dalam kenanganku. Dia akan menunjukkan ajar bagaimana untuk membaca kamus dan mengingati pelbagai kosakata. Di sebelahku... menyendengkan badan...semakin lama semakin rendah sehingga aku akan mengalihkan kerusi aku, menjarakkan dari dia. Banyak sekali dia membantu aku. Biarpun orang lain mempertikaikannya.. Tetapi, akhirnya aku tahu.... dia amat suka akan aku. Entah iya, entah tidak. Biarpun dia pernah menghulurkan sebentuk cincin kepada aku...aku tidak mengerti. Kata dia, dia ada kabel besar yang dapat menukarkan aku mengikut dia. Ketika itu aku tidak faham.. aku tanya kenapa aku perlu ikut dia..dan kata dia, kerana dia ingin aku menjadi suri hidup dia. Tapi sehingga kini aku sering menganggap dia bersenda. Biarpun aku tahu dia memang berniat.

MAAFKAN AKU.. tidak bisa menerima dia. Dia ada segala-galanya.. Kaya, pandai, segak...cuma sedikit kekurangan tidak menjejaskan apa-apa pun. Ketika dia mulai menjauhi aku, aku terfikir..benarkah dia berniat kepada aku.. tapi dia terus menjauh. Tentu hatinya terluka, sangat terluka...tapi ketahuilah, aku tidak bermaksud.

Namun, kini aku mengerti kesakitan itu..menanggung malu, biarpun hanya antara aku dan dia sahaja yang tahu. Ketika dia redha dengan keputusan aku, langsung berundur perlahan-lahan. Ketika itu aku tidak tahu. Aku tidak merasakannya..merasakan perasaan itu.. kesakitan itu.

Kini, ketika dia menolak aku...dan aku redha dengan keputusan itu, maka aku tahu... kesakitan itu. Aku kenali perasaan itu. Perasaan dia yang sudah berlalu, mungkin dia yang kuhadapi ini... Walaupun tidak sama dengan apa yang dia rasai.. Cinta itu bukan mengongkong. Cinta itu memberi tanpa mengharapkan balasan. Cinta itu pengorbanan. Hati dan perasaan. Kini, baru aku tahu kenapa dia menjauh. Kerana kini aku sendiri berundur diri demi kebahagiaan dia yang aku kasihi.
Biarlah sekiranya hanya aku yang mengerti... Aku yakin DIA lebih berhak aku cintai. Buat dia teman yang mengharapkan aku... terima kasih dan maafkan aku.. Dikau mengajar aku menerima orang lain seadanya..seperti dikau yang tidak meletakkan status tinggi keluarga sebagai ukuran sebuah persahabatan. Tentu ada seseorang seperti aku, atau lebih baik daripada aku...akan mendampingi dikau...Semoga dikau akan dirahmati sentiasa oleh DIA.

DIA (Kisah Aku dan dia yang membuat keputusan yang salah kerana kekhilafan pertimbangan kerana aku.

Kisah ini mungkin tidak terlalu berkaitan dengan aku... Jelasnya, segalanya hanya kekhilafan dia sendiri.. membuat pertimbangan dalam hidupnya. Aku sendiri tidak sedar segala yang berlaku dalamn hidupnya. DIA, tidak mengisyaratkan apa-apa kepada aku tentang dia.. Aku benar berasa sesal dengan segala yang berlaku. Kepada dia. Mungkin aku terlalu leka dengan kegembiraan bersama teman-teman dan pelajaran aku. Atau aku agak leka dengan perhatian orang lain kepada aku... Atau, aku menyimpan kesetiaan yang satu kepada dia yang pertama... Atau, aku terlalu menerima dia sebagai teman kepada orang lain.... Entahlah, aku tidak boleh hendak beratau, atau lagi..

Payah untuk aku mengisahkan tentang dia. Dia memanglah teman sekuliah aku. Dengan namanya yang kurasakan unik, aku memanggilnya dengan suatu panggilan... tapi bukan aku sahaja yang memanggilnya begitu.. Yang lain juga. Sememangnya dalam kerja kumpulan, dia sering ada dalam kumpulan aku. Bukan kumpulan yang begitu cemerlang seperti kumpulan-kumpulan lain itu..tapi kumpulan yang punya keserasian yang begitu unik. Masakan aku sedar, aku ini begitu penting dalam hidup dia. Sedangkan dia lebih rapat dengan kakak tutor itu. Kakak itu yang menjaga kebajikan dia, kegembiraan dia, kesenangan dia... Dan juga kerana dia tahu di hati aku ini sudah ada dia. Dia juga tahu bahawa beberapa dia itu ada 'hubungan' khusus dengan aku... hubungan yang aku sendiri tidak tahu apa jenisnya.

Dia memang akan memperlihatkan kehebatannya...berbicara, sama seperti kakak tutor aku itu.. Aku kira tentu sahaja itulah orang yang ada dalam hatinya. Mungkin silap aku juga..ada bersama-sama kakak itu, yang hampir sama dengan nama aku dibezakan sedikit sebutan kerana vokal 'i'.... ketika kakak itu bertemu, bermesra, bergurau senda, beraktiviti dengan dia. Bukan permintaan aku jika setiap aktiviti aku, ada dia..

Ketika ini, aku sebenarnya tidak tahu bagaimana hendak menanggung rasa sebak dalam hatiku ini. Teringat dia yang satu ini, sebenarnya menyebabkan hati aku sayu. Perasaan ini sering hadir jika aku mengenangkan sejarah yang satu ini. Aku sendiri tidak tahu mengapa semua ini terjadi... Terutama ketika dia mengalami peristiwa putus tunang. Tunangannya yang mengasihinya..yang ditinggalkan bagi tujuan asal dia menuntut ilmu. Aku sedih.. Kata mereka, semua itu kerana seorang perempuan seperti aku.. Kakak tutorial aku itu yang disebut-sebut orang. Tetapi siapa sangka, sebenarnya orang yang menyebabkan dia meninggalkan orang yang dikasihi, yang menjadi tunangannya dengan restu keluarga dan akhirnya memutuskan pertunangan itu....SEBENARNYA adalah aku.. Aku yang tidak sedar apa peranan aku dan siapa aku kepada dia. Itulah sejarahnya...

Sewaktu hari konvokesyen.. dia duduk berselang satu anak kerusi antara aku dan dia... Aku Pelajar cemerlang kelima dan dia pelajar cemerlang ketujuh. Pertemuan aku dan dia semula meninggalkan satu jaluran kekesalan dalam hidup aku... Ah, kenapalah selama ini, aku tidak tahu! Dia bertanya khabar aku.. dia bertanya tentang dia yang pertama. Aku berterus terang bahawa dia yang pertama itu, sudah tidak menjadi kisah hidup bersama aku. Dia sudah berkahwin.. dia sudah berkahwin. Dia tersenyum... panjang, puas.. Aku? Kehairanan.
Akhirnya, keluar dari mulut dia itu...kata-kata yang aku ingat sehingga kini..entah sehingga bila.
"Ehm, Padan muka engkau... Dulu aku hendakkan engkau, engkau tak nak aku..kini baru kau rasa!" Dalam keadaan yang bergurau aku kira.. Aku? Tambah kehairanan.

Selesai reheasel itu, kembali ke asrama IPTA itu... aku berkumpul dengan kawan-kawan...aku menyuarakan situasi aku dan dia. Mereka mungkin tidak mengendahkannya. Mungkin tidak penting bagi mereka.. Sehingga ketika aku berseorangan di balkoni asrama itu... Kakak tutorial aku menepuk lembut bahu lantas memeluk aku. Kami duduk rapat di balkoni itu. Kakak itu menyusun kata dengan teratur, ringkas dan jelas... Dan, barulah aku tahu... cerita dia yang sebenarnya. Setelah lebih setahun rahsia itu disembunyikan.

Dia sebenarnya 'mencintai' aku...mungkin! Dalam diam-diam. Dia nekad sebenarnya. Ketika aku menolak dia di bilik rehat asrama dulu, dia mengetahuinya. Cuma dia tidak tahu tentang dia yang ketika itu di hati, yang menjadi sebab dia aku tolak... Ketika dia memutuskan pertunangan itu, dia mempunyai harapan besar untuk meneruskan bersama aku. Malangnya, aku tidak sedar, aku tidak tahu....aku tidak mengerti. Kenapa aku? Kenapa aku penyebab dia berbuat tindakan yang salah itu? Kenapa harus aku? Kakak toturial itu menjaga nama baik dia dengan 'menggadai' nama sendiri... kerana dia hanya mengetahui ada dia yang lain dalam hati aku ketika aku menolak dia....setelah dia memutuskan pertunangan itu. MAAFkan aku...kerana aku tidak tahu yang aku lah dalang semua yang berlaku. Patutlah begitu kata-katanya kepada aku. Buat dia, kenapa bertindak melulu tanpa usul periksa. Adakah kerana aku menolak dia, dan kerana aku melayan pula dia dengan baik....dia berasakan aku berbuat semua itu kerana dia. Panjang istighfar aku ini. Istighfar kerana pesona aku kepada golongan dia. Ya ALLAH, sebenarnya sehingga kini aku tidak mengerti. Mengapa semua ini harus terjadi. Bagaimanakah keadaan tunangannya itu ketika dia memutuskan hubungan mulia itu? Hubungan penjalin dua hati ke gerbang perkahwinan yang musnah kerana dia mengharapkan aku. MAAFKAN aku, kerana aku tidak tahu akulah penyebab runtuh mahligai yang bakal terbina itu. MAAFkan aku, kerana aku tidak tahu semua itu....andainya aku tahu, aku tentu akan berusaha agar mahligai itu tetap terbina. Kasihan dikau yang menjadi mangsa keadaan...hanya kerana dia menyintai aku.

Pada hari konvokesyen...aku tidak sempat untuk berbicara dengan dia. Dia juga tidak memperhatikan aku. Tidak mengendahkan aku.. Aku ingin sekali mendapat kepastian daripada dia...namun aku hampa. Aku tidak seperti yang lain masih menetap beberapa hari di asrama..kerana jarak rumah keluarga tidak jauh. Segalanya menjadi sepi semula..

Beberapa tahun kemudian... dia menghubungi aku. Untuk menyambung sillaturahim yang terputus sebelum ini.. Mungkin kerana dia tahu dalam hidup aku masih tiada dia yang bergelar suami. Teman-teman lain yang memberi makluman kepada dia. Bagaimana aku? Sangat tidak selesa. Aku terasa ada sesuatu dalam hati aku.... aku tidak tahu mampukah aku meneruskan dengan dia. Sedang dalam hati aku ini, tiada satu perasaan kepada dia. Walaupun ketika itu dia berkata... cinta itu boleh disemai, dipupuk, dibaja...perlahan-lahan. Akhirnya pasti juga bercambah. Betulkah? Mungkin....tapi aku tidak mahu memperjudikan masa depan aku..biarpun di sisi aku tiada punya sesiapa.

MAAFkan aku, kerana aku tidak boleh meneruskan dengan dia.. Masih terngiang-ngiang kata-kata itu, bicara dia yang menyelar aku. Maafkan aku...kerana hati aku ini sangat terguris! Pedih dan sakit setiapkali aku teringat...hingga kini. Tapi kita tidak tahu apa yang bakal berlaku akan datang. Semoga akan ada penyelesaian yang baik. Aku sentiasa mendoakan dia bahagia dan berjaya selalu.

MAAFkan aku.. Kini aku mengerti, sukarnya untuk dia yang satu itu menghadapi aku....yang tiada aku di hatinya. Mungkin seperti aku...dia berasakan begitu. Usah bimbang, usah gusar....kerana kini aku sudah tahu, sudah faham.. betapa baik atau hebat pun dia, aku tidak bisa menerimanya.

Jika hari ini, dia menolak aku...pasti aku mengerti. Jika tiada aku dalam hati dia...tidak pernah dia menyukai aku..aku jelas faham. Kepercayaan itu asas suatu hubungan. Aku tidak pernah minta dipercayai...tapi aku ingin sekali dia tahu kebenaran atas segala yang aku lalui...Mempercayai atau tidak, bukan aku yang menentukannya. Terpulanglah kepada dia, mengukur dan menilai keikhlasan aku ini. Sedang sebenarnya aku redha.. jika dia tidak mempercayai aku sekalipun... aku tidak pernah kesali. Kerana dengan segala tanggapan itu, dia melorong dan mendorong aku ini menuju cinta DIA yang hakiki...

DIA ( Kisah aku dan dia yang menjengkelkan hati dan perasaan)
Kisah yang akan kupaparkan ini, agak ringkas. Tidak banyak yang bisa aku ceritakan tentang dia yang satu ini. Aku hanya mengenali kerana aku dan dia berada dalam tempat pengajian yang sama... kelas pun berbeza. Tetapi dia dan dia yang seorang terdahulu aku kisahkan dalam satu kelas yang sama. Aku tidak pernah menganggap dia punyai kaitan dengan aku.

Dengan wajahnya yang tampan, aku pasti dia punyai banyak peminat daripada kalangan teman-teman dan mereka di persekitarannya. Aku tidak pernah terpikat dengan ketampanannya dia itu. Rasanya dia tiada sebab untuk mendekati aku. Tiada keperluan dan tiada kepentingan. Kursus kami berbeza. Dan yang aku pasti, aku kurang menyenanginya. Siapa kata setiap orang yang mempunyai wajah yang tampan itu akan menambat hati orang lain. Tambah-tambah seperti aku ini, yang sangat tidak menyukai seorang dia merenung orang dengan pandangan yang menimbulkan rasa sangsi.

Aku menyimpan kisah ini lama....tapi aku paparkan hari ini kerana aku berasa seseorang itu patut bertindak wajar jika sesuatu kesalahan itu berlaku di hadapan mata. Aku jadi kesal kini.. Aku pendamkan rasa kemarahan aku ketika itu kerana aku takut malu. Takut tiada siapa pun mempercayai aku ini.. kerana peribadi dia yang disenangi oleh orang lain. Aku tidak mahu dikatakan perasan dengan dia. Tapi hari ini aku kisahkan tentang dia, bukan hendak memalukan dia atau seumpamanya tetapi kerana aku yang sederhana ini mengundang pelbagai masalah kepada orang lain. Sama ada kepada mereka yang rapat dengan aku atau mereka yang tidak begitu mengenali aku ini.

Sebenarnya, kejengkelan hati aku ini kepada dia hanya kerana suatu peristiwa. Ketika aku cuba menerima dia sebagai kawan seadanya...tidak berapa lama itu peristiwa itu berlaku. Aku berharap dia sekarang sudah menemui apa yang dia cari dalam hidupnya... Seorang aku yang memiliki susuk tubuh, langkah longlai yang 'menggetarkan' hati dan nalurinya.. Seseorang seperti aku yang merangsang keinginannya waima ketika berkata-kata. Seseorang yang seperti aku yang hanya dengan pandangan sahaja dapat melunturkan keegoannya. Seperti itukah AKU dalam tanggapan seorang dia. Seorang yang merangsang nafsu dan syahwat dalam keadaan bersahaja aku ketika itu. Terasa malang dan hinanya aku ketika itu. Ketika keluar dari mulut dia kata-kata itu. Hanya ALLAH yang tahu apa yang ada dalam hati aku ketika itu. Seorang dia, berdiri di hadapan seorang aku....bercerita tentang bagaimana seorang aku digambarkan sebagai satu simbol rangsangan buat seorang dia. Itukah pesona seorang aku kepada dia.

Namun sebenarnya dia meminta secara baik-baik.. Mungkin hanya aku yang bersalah sangka. Mungkin hanya aku yang menyimpan rasa hina dengan hasratnya itu.. Mungkin hanya aku yang menganggap dia seorang yang kurang ajar. Mungkin hanya aku yang benci dengan tanggapan dia itu... Walau sebenarnya hanya aku dan dia yang tahu.

Peristiwa itu berlaku apabila dia melihat aku menunggu teman baik aku....dia mendekati aku yang sedang bersandar di pagar itu. Dia melihat-lihat sekitaran itu...tiada sesiapa hanya aku. Kebetulan hari itu kelas aku selesai cepat, maka aku perlu menunggu yang lain ketika itu. Ketika itu dia memberi salam. Aku menjawab tanpa bersangka-sangka... Dia memulakan kata-katanya...menyatakan perasaan cemburu dia terhadap aku kerana layanan mesra aku kepada dia yang satu itu. Dia menyatakan perasaan marahnya kerana aku tidak melayan dia, seperti dia. Aku mula curiga lalu aku bertanya. Dan, akhirnya dia berterus terang.. dia ingin mengahwini aku... Aku terpempam. Bukan kerana lamaran itu tetapi kerana alasan kepada lamaran itu. Dia memuji aku...dia memuji susuk tubuh aku...dia membayangkan keseronokan ketika memeluk aku...dia meluahkan perasaan dan keghairahan melihat lentok liuk lenggang tubuhku... dia membayangkan kucupan dari bibir mongel aku...membayangkan kerangsangan ketika melihat aku.. dan banyak lagi..dan aku mula merasakan hina aku ini sebagai seorang yang dijadikan satu simbol... DAN disebabkan semua itu dia mengajak aku berkahwin. Ya ALLAH, itukah nilai, harga diri dan maruah seorang aku. Ketika itu, aku bertanya jika aku tidak seperti aku lagi... apakah yang akan berlaku kepada aku.. Adakah setelah semua itu tiada, adakah dia ingin kepada aku? Dan dia berkata...dia tidak ada jawapannya.. dia tidak pernah memikirkannya. Dia kata, apa yang dia tahu..Dia inginkan aku. Ketika itu....ketika itu....ketika itu, aku hanya mampu menangis di dalam hati. Cukuplah aku mendengar segala pengakuan dia itu. Aku tiba-tiba benci dia.. jika sebelumnya aku tidak dapat begitu menyesuaikan diri dengan dia..tapi selepas itu, aku tidak ingin dia wujud dalam hidup aku sekalipun...

MAAFkan aku....Aku menolak dia, bukan kerana kebencian, kemarahan itu. Hanya kerana aku berasa aku masih punyai maruah. Maruah yang patut aku pertahankan. Apa yang akan berlaku jika aku menjadi isteri dia..Apa akan berlaku jika aku menerima dia..Seperti dia, aku juga tiada jawapan. Maafkan aku kerana perkara yang dia anggap kecil itu, begitu menyakiti aku.. Dulu aku sudah tahu kesakitan itu. Dan kini aku bertambah tahu. Cinta itu mungkin nafsu. Cinta itu mungkin berahi. Cinta itu mungkin rangsangan. Cinta itu mungkin wahana emosi... Cinta itu mungkin....?????? Aku tidak mahu cinta yang itu dalam hidup aku...
Sejak dulu juga, sejak peristiwa itu... aku sedar cantik itu abstrak, cantik itu subjektif, cantik itu kolektif, cantik itu 'hidup', cantik itu pandangan mata, cantik itu tanggapan hati.... dan 'cantik' yang pelbagai itu...mengwujudkan cinta. Cinta kepada kecantikan dunia. Dan aku tidak mahu cinta yang satu itu... Maka aku berterima kasih kerana dia mengungkapkan wajah cinta pada tafsiran dia...
Dulu, aku tidak mengerti. Kini aku lebih memahami. Dia akan pergi dari hidup aku...namun aku pasti cinta akan dia, kerana cinta yang berbeza dari cinta dia yang itu... Semoga dia akan mencintainya seseorang wanita kerana cinta yang aku harapkan itu...bukan cinta kerana terpaksa, cinta kerana nafsu, cinta kerana membuktikan sesuatu...cuma kerana cinta yang satu itu...kerana cinta kepada DIA yang satu.
Kerana dia, aku terus mencari cinta seorang dia...yang melabuhkan cintanya kepada DIA..dengan sesungguhnya cinta yang membawakan. keredhaan, keamanan, keselamatan, kebahagiaan, kesejahteraan dunia dan akhirat. Kerana kisah dia, sebenarnya membuatkan aku ingin terus pergi dari dia...namun kini dia yang akan pergi dari aku yang mencintai dia...untuk dia membina cinta kepada seseorang dengan cinta yang benar kerana ALLAH.

DIA (Kisah aku dan dia yang mengharapkan aku)

Kisah ini, tidak jauh bezanya dengan kisah aku dan dia yang lain. Cuma dia adalah saingan kepada dia yang pertama. Aku sebenarnya sangat senang dengan dia. Dia menjadi sahabat yang baik. Teman yang sangat menyenangkan. Teman yang membimbing. Dia kawan sehingga bila-bila dunia dan akhirat...jika dia masih sudi untuk menerima aku sebagai sahabat.

Dia seorang yang bertubuh kecil. Dia seorang yang periang. Dia seorang yang berwawasan. Dia sering membuat aku rasa bertenang dan berteman. Aku sangat menghormati dia. Menghormati dia sebagai seorang insan yang menghargai dan menyayangi oranglain dengan ikhlas. Dia, aku kira seorang yang redha dengan ketentuan Illahi.
Mungkin aku tidak pernah menyedari kehadiran dia dalam hidup aku. Dia hanya meluahkannya apabila sahabat karibnya meluahkan perasaannya kepada sahabat karibku.. Pada aku mungkin kerana sahabat karibnya sudah berteman, maka dia juga turut ingin berteman. Cuma pilihannya adalah aku, satu pilihan yang tidak tepat. Kerana pada ketika itu aku sudah menentukan dia yang aku pilih dalam hidup aku. Namun tidak semua pilihan aku itu tepat. Sesuatu yang amat kita sukai tidak semestinya baik untuk kita. Itulah aku... aku telah memilih dia, abang sahabat aku ketika itu. Secara diam-diam. Aku yakin aku tidak bertepuk sebelah tangan..walaupun kata dia tidak menyukai aku. Bagi aku aku berkeputusan setia...walau kasihku tidak kuperlihatkan..walau sayang dan rindu tidak kunyatakan...biarpun cemburuku tidak aku hamparkan.

Mungkin semua itu tidak perlu...cukuplah dipendam di hati. Kerana berpegang kepada setia, aku menolak dia. menolak dia dengan berterus terang.... dan menyatakan pendirian aku. Aku menemani sahabat ku bukan bermakna aku suka berpacaran.. Aku menuruti sahabat akau, tidak bermakna aku setuju. Jika dia ingin melayari hidup seperti sahabat aku dan teman karib aku... aku bukan orangnya. Kerana betapa cetek pengetahuan agama aku, aku beramanah dengan keyakinan dia, orangtua. Setiap kali aku teringat dia, pasti aku berasa simpati...walaupun hidup dia jauh lebih berjaya daripada aku. Dia sudah berkeluarga...sedang aku masih mengharap kasih sayang ALLAH untuk melayari hidup aku sebagai seorang isteri... itupun jika ada dia yang menjadi jodoh dalam hidup aku ini. Setiap kejadian tentu ada hikmahnya.
MAAFKAN aku...mungkin sahaja aku silap tapi aku dapat juga mengenali diri dia serba sedikit.

Mungkin dia tidak seluhur aku gambarkan... kerana dia memperlihatkan siapa dia dalam diam-diam. Malah aku tidak menyangka dia yang peramah, berhati lembut dan sentiasa tertawa itu mempunyai dengan juga. Namun aku faham, bumi mana yang tidak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora. Dia manusia biasa yang punyai b anyak kelemahan seperti aku, kalian....

Ketika aku bercerita tentang dia yang pertama, bertunang sebelum hari pernikahannya... dia juga menyelar aku dengan kata-kata yang sama seperti dia yang aku ceritakan sebelum ni...
Kata-kata itu memang pedas tetapi bukan kali pertama aku mendengarnya... " .......Padan muka kau, dulu aku hendak akan engkau...engkau tak nak!.." Memang padan muka aku... itulah bahasa kasarnya...tapi aku tidak pernah menyesali kerana memilih untuk setia. Siapa sangka peristiwa itu berulang. Namun ALLAH sudah menjadikan aku seorang yang tabah. Seorang yang menerima ketentuanNYA dengan redha. Hanya DIA yang tahu apa yang terbaik untuk aku ini. Sehingga kini, biar berapa orang sekalipun menyelar aku, tidak akan ada kebimbangan di hati ini. Kerana DIA lebih aku cintai. DIA pasti menggantikan sesuatu yang lebih baik kelak. InsyaALLAH, dan aku menyakini segalanya. MAAFKAN aku.... aku sehingga kini tiada kekesalan di hati aku...bukan kerana aku sombong tetapi kerana aku berpegang kepada adanya Iman dalam jiwa aku ini dan adanya taqwa dalam iman aku itu pula. Apabila aku terkenang akan dia, aku pasti menghitung-hitung kembali apa yang telah perbuat kepada diri aku... adakah aku menyakiti diriku, apakah aku menzalimi diri aku, adakah aku mengkhianati diri aku...... Rasanya, tidak sekali-kali... aku menjaga amanah ALLAH ini...diri aku ini... Jika aku tiada seseorang dia di dunia ini, semoga akan ada seorang biduanda menanti aku di syurga kelak.. Aku pasti bersangka baik kepada DIA, yang aku cintai.

MAAFkan aku kerana di laman ini, aku luahkan rasa marah aku kepada dia yang sebenarnya aku kagumi suatu ketika dahulu. Namun selepas beberapa kejadian, aku kini tahu....setiap yang indah dan baik di luar itu tidak semesti mulia hatinya. Perjalanan kisah cinta aku ini mungkin pelbagai...namun aku telah diberi terlalu banyak kesempatan untuk melalui pelbagai kisah dengan hikmah yang beriringan. Alhamdullillah aku menjadi seorang yang kuat. Mungkin bicara aku tidak melalui kata-kata lisan namun aku masih punyai hati dan perasaan. Kini, aku sudah tahu banyak, namun masih banyak yang perlu aku cari. Semoga perjalanan aku kelak bukanlah kesilapan.

Dia masih menjadi teman ku..kawan aku.. kerana aku masih berpegang dengan hablum minannas wa hablumminnallah.. dan sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana ALLAH TAALA.

Buat dia, sekiranya membaca catatan ini, semoga tiada dendam di hati dia. Redhalah...sekiranya turun berlian dari langit, selaut permata dia hamparkan pasti tidak mengaburi mata dan hati aku. Jika aku terpesona sekali pun, jika DIA tidak mengizinkan, tidak akan ada apa-apa yang berlaku. Dia selalu mengingatkan aku, dia selalu berpesan...hormati orangtua, jagalah sembahyangmu... jagalah peribadimu... semoga nasihat dia itu lebih berguna untuk dirinya. Maafkan aku....bukan aku memperlekeh dia, namun sebagai masnusia kerdil, yang sentiasa cetek fikiran... akan menjadi seorang bijaksana, dengan hanya berfikir sejenak. Melalui dia, aku mengetahui...berbicaralah yang benar... jika hendak melarang sesuatu, pastikan penasihat itu dapat menasihati dirinya terlebih dahulu. Aku sebenarnya memang petah...tetapi aku malu berbicara...kerana ada kalanya bicara aku pasti pincang. Dia, ada berpesan...jagalah lidahmu kerana lidah itu tidak bertulang, jagalah matamu...kerana matamu tidak berhijab..dan lindungi pendengaranmu...kerana telinganya tidak bertapis.... maka seimbangkan semuanya melalui hati dan minda...kerana jika kedua-duanya berkerjasama...kau akan selamat..Renungkanlah.

Buat dia, biarpun banyak lagi yang dapat aku kisahkan...cukuplah... kerana dia tentu akan berubah...daripada baik kepada yang lebih baik... MAAFkan aku...dulu aku tidak tahu..namun kini aku tahu...betapa peritnya menghindari dendam...dan betapa membahagiakan kerana ikhlas dan redha.

DIA ( Kisah aku dan dia yang sentiasa hangat ....terima kasih kerana mengajar aku sesuatu....)

Dia yang satu ini sebenarnya amat aku senangi... Biarpun mungkin dia tidak menyenangi aku. Aku tidak lagi berhubung dengannya. Aku kira tentu dia bersalah sangka dengan aku. Namun aku banyak belajar daripada dia yang 'bengis'...akhirnya aku menghormati dia sebagai seorang yang bersifat tegas dan sebenarnya berhati lembut.

Dia teman sekuliah aku... Dia punyai 11 adik beradik lelaki dan seorang adik perempuan.... Dia kasar, namun dia penyayang sebenarnya.. Mungkin dia tidak biasa hidup dalam kalangan golongan aku. Sesekali dia akan memperlihatkan kedengkelan dan ketidakselesaan secara terang-terang...tapi hanya di hadapan aku. Jika dia ingin berbicara dengan seseorang aku, pasti temannya seorang yang kasar... kerana dia lemas dengan seseorang seperti aku. Apabila aku kenangkan dia, aku jadi senyum sendiri. Kini, setelah aku menjadi pendidik pun, pengalaman tentang dia aku sandarkan untuk mendekati dan memahami anak-anak didik golongan dia.
Aku faham sebenarnya.... dia rasa tertekan, 10 orang adik-beradik dalam bidang pertahanan, kecuali dia.. pastinya kalian yang membaca catatan ini yang daripada golongan dia lebih memahami. Namun dalam setandan pisang masakan semua busuk, mahupun masakan semua elok... Tapi aku ingin dia tahu... aku tidak pernah memandang rendah kepada dia. Biarpun bagaimana kasar dia mengherdik aku, biarpun betapa sinis dia menyindir, biarpun alangkah jelek dia mengejek aku. Tidak tahu mengapa...aku tidak pernah marah kepada dia. Ini juga cinta, kah....Aku...tiada jawapannya.
Suatu yang amat terpahat di ingatan aku, ketika dia selalu berkata 'panas-panas', aku tidak boleh duduk dengan engkau...panas-panas! tapi akhirnya, dia akan duduk di sebelah aku, atau di meja belakang aku.... atau di meja hadapan aku...atau di mana-mana sisi yang berhampiran aku. Dia akan memilih untuk satu kumpulan dengan aku...walaupun aku tak pandai..terutama dalam kelas bahasa Inggeris... Dan, setiap kali dia hampir kepada aku, aku akan membalas panas-panas, pergilah duduk jauh-jauh.... Dia. Akan buat muka.. mencemik, menghebeh, mencuak dan seumpamanya....pergi hanya seketika..hanya kerana 'panas'...akhirnya akan hampir kembali kepada aku. Aku? sering mentertawakannya...dia akan buat muka.
MAAFKAN aku... kerana sehingga kini aku tidak tahu apakah perasaan sebenarnya kepada aku.. Namun aku bersyukur mengenali dia. Melihat dia dalam album-album lama ....berkejar-kejar memori indah itu..
Maafkan aku juga kerana aku tidak tahu juga....apa perasaan aku kepada dia. Semoga dia akan memberi aku peluang untuk terus bersahabat dengan dia. Semoga dia berbahagia dengan keluarga tercinta... tentu dia tidak 'panas'.....ketika mendekati isterinya.. Bukan cerita lucah, tapi itulah hakikat...panas itu hanya untuk menjauhi aku... aku ingin sekali bertanya... dapatkah kita membohongi hati... hanya DIA yang maha mengetahui.

Apapun, semoga dia akan terus berjaya dan cemerlang. Dia pasti boleh.... boleh menandingi adik-beradik yang lain. Boleh menjadi seorang yang bertanggungjawab... boleh mengharungi pelbagai liku kehidupan.... aku sentiasa mendoakan dia. Semoga dia faham... Oohh...aku hampir lupa. Dia tidaklah sekacak mana....tapi ketegasan dia dalam semua hal menampakkan dia seorang yang tampan pada pandangan seorang aku.

CUKUPLAH DAHULU....
Sebenarnya ada beberapa kisah dia ingin aku paparkan namun biarlah dahulu... mungkin akan ada pengajaran yang akan datang perlu diketengahkan untuk tatapan semua. Semoga kita boleh belajar sesuatu melalui catatan ini. Hidup ini mungkin sukar, mungkin sulit, mungkin payah...namun tidak mustahil ia adalah segala kebahagiaan.. Buat diri aku sendiri... semoga aku dapat menilai berdasarkan logik akal , naluri yang benar dan syariat yang lurus. Semoga aku masih diberi keberkatan dan rahmah dalam hidup ini. Wassalam..