


Aku kira tiada salahnya memenjarakan kesukaan dan kegembiraan aku. Lalu menyembunyikannya daripada orang lain..
Blog ini kupaparkan perjalanan, pengalaman, nukilan rasa dan minda semoga dapat diimplementasikan untuk tatapan semua,sebagai iktibar, pengajaran yang dapat dijadikan sedikit panduan.Semoga laman ini membawa banyak kemaslahatan dan kemanafaatan serta ingatan buat diri ini dan orang lain, INSYAALLAH....



Kesibukan sehari-hari menyebabkan keluangan masa yang ada seperti kosong dan hambar. Sepanjang hari ini aku menghabiskan masa dengan membaca... pelbagai bahan dan menonton televisyen, rancangan-rancangan yang aku kira agak ringan dan santai. Rasanya aku tidak membuang masa dengan tidur semata-mata. Namun aku merasakan hari ini, dan beberapa hari berlalu terlalu panjang dan lambat berakhir. Puas aku menatap laman-laman web dan blog rakan-rakan dan membaca pelbagai isu semasa tetapi masa yang aku gunakan seperti sedikit cuma. Menghabiskan masa dengan pelbagai permainan dalam media elektronik ini juga tidak melekakan aku... Kenapa? Aku sedikit buntu.
Untuk melengkapkan jadual tugasan dan perancangan tahun hadapan pun, sudah banyak yang diselesaikan. Aku ingin menghabiskan masa untuk diri sendiri dan keluarga... namun banyaknya masa yang ada. Ketika bekerja dan melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan, aku rasakan masa 24 jam, 7hari seminggu... tidak mencukupi. Tidur aku pun tidak melebihi 4 jam setiap hari. Hari siangnya fikiranku sentiasa berjalan... Dan, ketika 'cuti' begini, semua itu menjadi satu kerinduan buatku..
Mungkin hanya aku rindu akan sesuatu... sesuatu yang aku sendiri tidak tahu. Ingin aku catatkan bicara rindu di hati aku ini kali ini...
Dengarlah.... hati-hati yang mendengar dan menerima, bersabarlah.. kerana rindu pasti akan datang lagi... Inilah bicara rindu di hati aku ini.

Namun aku kira kesibukan itulah pula yang menghiburkan aku. Daripada kesedihan, daripada kepiluan, daripada kekosongan, daripada kehampaan, daripada kepayahan dan kebimbangan, daripada kepedihan dan kehampaan, daripada rasa terkilan berpanjangan, daripada berasa iri hati dan kecil hati.... JIKA ADA semua itu dalam hidup aku... Sebenarnya, aku sangat gembira dengan kesibukan ini kerana menjadikan hidup aku ini lebih bermakna dan memberi makna pula kepada yang lain....
Biarpun aku tahu, jika tanpa aku pun segalanya akan tetap berlangsung dengan baik dan bermakna.


Seperti tercatat yang terdahulu, jika aku ingin berbuat sesuatu....aku inginkan sesuatu tujuan dan matlamat itu tercapai. Biar betapa sukar sekalipun pastinya jika ia sesuatu yang datang dari niat yang baik dan ikhlas, dariNYA, untukNYA dan keranaNYA....Hasilnya akan bermanafaat juga....sebelum dari itu, biar betapa sukar sekalipun... urusannya pasti dipermudah dan segalanya adakan dapat diselesaikan... Itulah pegangan aku yang kerdil ini... Hidup dan mati, solat dan ibadah hanya untuk DIA... Bagaimana, kenapa, mengapa, bila ....Hanya DIA Yang Maha Mengetahui..... Apatah jika janji yang termenterai itu sudah sampai tempohnya. Semoga kita akan mencapai segalanya dengan redhaNYA.
Selepas satu tanggungjawab, satu lagi tanggungjawab aku pikul.. dan bersebabkan DIA, aku menerimanya dengan ikhlas. Aku menerima dengan senang hati dan gembira. Jika aku tidak melaluinya, aku tidak akan pernah tahu. Biarpun di sebalik kelemahan aku ini, aku yakin dengan kekuatan yang ada dalam diri aku ini. Dan berbekalkan keyakinan dan kekuatan itu aku terus untuk melangkah... Siapa tahu apa yang ada di hadapan kita... namun jika itulah cara untuk aku mencapainya, untuk aku TAHU DIRI..... supaya aku ada di landasan yang sepatutnya...aku pasti melaluinya.
Aku sedikit teruja untuk menyentuh beberapa kisah yang aku lalui selama dua bulan ini, rentetan beberapa peristiwa lalu... atau tautan kisah-kisah sekitar hidup aku ini. Mungkin aku tidak kelihatan seperti gusar atau bermasalah, tapi siapa tahu apa yang berlaku dalam hidup aku dan apa yang ada dalam benak fikiran dan lubuk hati aku.

Mungkin tidak ada yang dapat menyingkap sepenuhnya kisah lalu untuk dijadikan gambaran sebenar perjalanan hidup kita sebagai pengalaman dan pengajaran... Namun dengan sedikit usaha ini, semoga kita akan sentiasa ingat-mengingatkan sesama kita... pastinya sebab kita hamba yang sentiasa lupa.
Aku hanya berpesan sedikit, mengingatkan diri aku ini juga... tiada salahnya kita mencari kesempurnaan... namun kita seharusnya sedar, sebagai manusia yang banyak kelemahan dan kekurangan, masakan kita akan mencapai kesempurnaan...
Dan ketika kita mencari kesempurnaan itu, tidak wajar meletakkan orang lain dalam tanggapan kekurangan yang sekadar menutup kelemahan kita sendiri... Menuding orang lain sekadar melindungi kekurangan diri.

Tiada salahnya jika kita mengakui kesilapan dan kekurangan... selagi ia adalah suatu tindakan yang benar, ia akan tetap benar... Tidak perlulah kita menunjuk-nunjukkan kelebihan kita sehingga kita menjadi sombong, bangga diri dan angkuh.... Sedarlah, kebaikan dan kebajikan itu akan dengan sendirinya menonjolkan kehebatan itu... tanpa dipinta, tanpa direka.... Jika ia memang sebenarnya kehebatan, maka kehebatan itu akan memperlihatkan kewujudannya.
Mungkin ada yang tidak mengerti dan memahami apa yang tersirat dalam catatan aku ini... sekadar ingatan untuk diri ini dan teman-teman yang memahami... Kiranya ada kekurangan di pihak yang lain, tidak perlulah diperbesar.... jika ada kelebihan di pihak kita juga tidak perlulah dihebahkan.... Kemuliaan itu akan berbicara sendiri.
Tidaklah pula aku menuding kepada sesiapa, mungkin hanya diri aku juga.... ingin sekali mengungkapkan kisah... seperti kaduk naik junjung, seperti si kudung mendapat cincin.... ada dalam kalangan kita, mungkin hampir sekali dengan kita. Hanya kerana terasa diri kita hebat, kadang kala kita terlupa dengan aib yang perlu ditutupi...lantas membuka aib yang bukan berhak untuk kita perkatakan...
Ada kalanya kita mendapat kuasa yang bukan sepatutnya milik kita, tetapi kita lebih berkuasa daripada yang memang berkuasa.... sehingga ada ketika kita lupa... banyaknya usia seseorang itu, maka lebih luaslah pengalamannya dan ilmunya..... lebih banyaklah dia merasai garam, mengenal pahitnya hempedu, merasai pedasnya si cili padi, mengertinya sakit ketika jatuh, memahami hikmahnya sebuah tangisan dan mengetahui ilmunya suatu pengetahuan...
Maka mengapa dengan ilmu yang sedikit, pengalaman yang dangkal, pengetahuan yang cetek kita mencabar kewibawaan yang sudah pasti pada takuknya? Bukan tidak boleh, tapi jika kita salah, jangan tuding oranglain yang khilaf. Jika kita lemah, jangan menghina oranglain yang naif... Tiada apa yang ada pada kita... lebih daripada oranglain. Tiada apa yang kita miliki...lebih bagus daripada orang lain.... Tiada apa yang kita kecapi, lebih nikmat daripada orang lain... Dan, mungkin apa yang kita hilang itu, lebih banyak daripada oranglain..
Buat mereka yang mengerti... jelajahi diri kita, muhasabah segala yang ada, berlaku kepada kita.... Pasti kita tidak akan berasa apa-apa kelebihan dan kebaikan, kebagusan dan keelokan... melangkau apa yang ada/berlaku kepada orang lain... Semoga sedikit catatan aku kali ini... memberi manafaat. Wassalam.

Aku hanya ingin singgah sebentar ke laman catatan aku ini. Rasanya sudah agak lama aku tidak menjejaki laman ini. Banyak yang berlaku dan aku agak sibuk akhir-akhir ini. Semoga segala tanggungjawab yang diamanahkan kepada aku ini dapat aku selesaikan dengan sebaiknya.
Rendahkan hati kalian dalam menghadapi apa sahaja cabaran dan dugaan kerana dengan kerendahan hati itu, kalian pasti dimuliakan. Semoga mendapat haji yang mabrur dan maqbul.. Semoga ibadah kalian diterima dan kehidupan kita semua diberkati dan dirahmati...
Aku kira tidak mahu mencatat beberapa waktu ini, namun ada yang bergelodak dalam diri ini untuk aku luah dan kongsikan bersama..
Biarpun sebenarnya hal itu berdasarkan pendapat peribadi aku sendiri namun aku berharap catatan ini akan memberi sedikit pengalaman yang dapat dijadikan garis dan panduan dalam hidup aku dan hidup mereka yang lain.
Pedihnya hati ini melihat 'kecurangan' yang berlaku di hadapan mata... melihat isteri-isteri yang memperlekehkan suami secara diam-diam pula mendekati lelaki lain hanya disebabkan para suami terlalu sibuk dengan tugasan dan tanggungjawab... suami-suami yang bertungkus-lumus untuk membina keluarga. Seakannya tiada keadilan dalam padanan pasangan itu... Nauzubillahi min zalik... Ampunkan aku ini, Ya Allah Yang Maha Mengetahui akan kejahilan dan kebiadapan bicaraku ini. 
Namun dengan kesempatan yang singkat ini aku bukan mencatat tentang dia... tapi pasangan kepada dia. Mencatat sesuatu yang tidak aku persetujui oleh pasangan kepada dia itu.. kerana aku tidak bersetuju dengan segala kepincangan itu. Kepincangan yang dilakukan oleh golongan yang kononnya mempunyai cita-cita dan matlamat hebat. Menjadikan dia yang bercita-cita tinggi dan mempunyai impian akhirnya jatuh tersungkur. Dek disebabkan setelah menjadi pasangan, pasangan itu tidak dapat dididik dengan sebaik mungkin. Menjadi mutiara yang ada itu sumpek dan rosak.. Adakalanya aku tertanya-tanya, di manakah silap semua itu... kalangan isteri yang tidak menghargai dia sebagai suami yang hebat....akhirnya menjadikan keadaan itu semua sebagai satu kelemahan buat dia yang sepatutnya dimuliakan.
Bukan sepatutnya berlaku dalam adab dan akhlak seorang isteri... Entah mana salahnya... Dengan izin orang yang dikasihi itu, seorang isteri itu bebas bercampur gaul dengan sebarangan orang; yang mengetahui dia isteri orang; tetapi tidak membimbing isteri itu kembali kepada suaminya. Malah sentiasa leka berpacaran, sedang si suami diam di rumah menanti kepulangan isteri yang kononnya keluar dengan sesuatu alasan... ke manakah hilangnya maruah suami yang dilenyapkan oleh kepincangan si isteri... Aku sememangnya menyentuh tentang si isteri, kerana di sebalik kegagalan suami menjaga maruahnya, adalah disebabkan isteri yang mempunyai cita-cita yang tinggi... Bukan pula isteri itu lebih hebat, kaya mahupun berilmu.... tidak pula kedudukan dan status hidupnya lebih hebat daripada seorang dia sebagai suami itu... Hanya golongan sederhana yang diberikan terlalu banyak kebebasan dan kebaikan oleh suami yang bertolak ansur... Cita-cita kepada kebaikan dan kebajikan yang tidak menentu dan kisah-kisah hebat melewah menjadi diri lupa akan hakikat sebenar maruah seorang isteri.

Aku menjadi lebih hairan dengan seorang sahabat, yang telah hancur perjalanan berkeluarga, menjadi batu api yang menggalakkan seorang lain yang masih bergelar isteri, menyesali hidupnya sebagai seorang isteri.. Kejam, kenalan aku itu. Memang kini aku agak sukar menerima dia sebagai sahabat.. namun dia adalah seorang sahabat yang baik buatku suatu ketika dahulu. Hanya kerana dendam kepada seorang dia, kenalan aku itu ingin menarik rakan-rakan lain menyertai hidupnya, dunianya, sebagai seorang yang bergelar ibu tunggal, janda muda... sedangkan bagiku mereka hanya menuju kehancuran yang tidak mereka sedari. Semoga mereka akan menjadi isteri-isteri yang sedar, insaf dan bertaubat. Jika suami itu pincang dalam agamanya, dalam hidupnya.... bantulah dia bangun semula, bukan kalian menjadikan jalannya bertambah sukar dan hidupnya semakin binasa. Apatah jika dia, suami kalian itu tidak pernah mengabaikan tanggungjawab, mengapa perlu diingkari... Kenapa kehidupan dan pergaulan bebas yang memusnahkan hidup kalian itu terus kalian selusuri?