Khamis, September 13, 2012

BERKATILAH UMURKU YANG SEMAKIN PENDEK INI...

Alhamdullillah, hari ini mengikut kiraan Masehi meningkat lagi. Angka yang mungkin tidak digemari oleh seseorang. Namun bagiku ia hanyalah angka. Angka yang mungkin sebahagian daripada kita tidak ambil kisah.

Kelaziman bagiku untuk membaca surah yasin pada malam sebelum hari lahir ku ini, walaupun hanya pada kiraan masehi.. tetapi aku tidak akan menyambutnya kerana pada tanggapan aku ia merupakan suatu ketika yang mengingatkan aku yang semakin hampir dengan kematian. Entahkan cukup entahkan tidak apa yang aku bawa  sebagai bekalan di sana nanti.

      Perjalanan aku ini semakin singkat. semakin sampai ke penghujungnya. Sejujurnya angka 44 merupakan suatu yang sinonim dalam perjalanan hidupku. Mungkin! Pada jangkaannya, yakni jangkaan beberapa orang yang pernah merawatku. Namun usah percaya kerana segala sesuatu datangnya dari Allah. Apa kebenaran manusia yang perlu diyakini, aku tidak pasti. 

      Hari ini aku berbesar hati untuk mencatat di sini. Tidak pasti kenapa. Namun aku hanya ingin mencatat. Mencatat sesuatu pada ulangtahun kelahiranku 44 tahun yang lalu. 

      Bagi seorang perempuan pada usia ini sudah dianggap begitu tua. Begitu juga bagi diriku. Aku punya masa yang semakin singkat dalam menjalani hidup ini, kurang lagi setahun. Dan setahun itu pula adalah masa yang lama.
 
 Hidup dalam kalangan keluargaku yang menyayangi aku, aku kira menjadikan aku sangat bersyukur, sedangkan banyak orang di luar sana tidak memiliki apa yang aku ada kini. keluargaku bukan hebat dan tidak ada kelebihannya, namun dalam hati ini keluarga aku ini sangat hebat dan mempunyai banyak kelebihan. 
    
        "Terima kasih bapak, kerana menjadi imam yang baik dan nakhoda yang bijaksana dalam mengendali keluarga dan melahirkan aku di dalamnya. Berkongsi suka duka dengan saudara-saudaraku yang ada ini. Mereka juga tidak sehebat orang di luar sana, namun cukuplah mereka hebat dalam hatiku ini." 

       Gambar yang aku muatkan di sebelah ini memperlihatkan pelangi yang kabur namun indah dan dapat dilihat sesekali walaupun tidak jelas. Begitulah juga hidup ini yang mengandungi pelbagai warna pelangi namun ada kalanya kelihatan dan ada kala hilang. Adakalanya kabur dan pergi kemudian datang kembali. 

       Hidup ini indah jika kita mencorakkannya dengan indah... mewarnai hati ini dengan indah, pelbagai warna dan sinar yang tersendiri. Terpulanglah kepada kita untuk menginterprestasi keindahan warna dalam kehidupan kita. Semua tanggungjawab kita yang diamanah Allah sebaiknya. Diri kita ini milikNYA yang esa, dan kenapa harus kita abaikan diri kita walaupun kita tahu nyawa akan meninggalkan jasad apabila tiba waktunya.
 
 Aku berharap apa yang pernah diungkapkan mereka ada kebenarannya. biarpun ia umpama ramalan. Semoga meningkatnya usia ini, semua kekalutan dan masalah itu akan hilang. Cukuplah kepayahan yang pernah aku alami selama ini. 

      Semoga kepenatan aku selama ini berbaloi untuk aku hargai dan sekurang-kurang ada yang menghargainya. Malangnya ada kalanya orang yang menghargai itu bukan sesiapa denganku. Mereka yang melihat yang lebih memahami namun yang ada bersamaku tidak pernah melihat semua itu atau sengaja memejamkan mata kerana walaupun sebenarnya mereka sedar tapi tidak mengakui.

Melihat kelahiran-kelahiran baharu, aku sangat bersyukur sekali. Sekurang-kurang umat Muhammad SAW bertambah dan semakin banyak. Sekurang-kurangnya apabila sampai masanya untuk aku kelak akan ada penyambungnya. Walaupun bukan dari darah dagingku sendiri. 
    
       Alhamdullillah, aku diberikan peluang untuk merasakan kehadiran orang baharu walaupun bukan dari kandunganku ini. Keistimewaan yang tidak ada pada orang lain. Aku yakin pasti ada sesuatu rahsia yang tersirat pada setiap kejadian yang berlaku dalam diri ini. Mungkin aku tidak akan melaluinya, maka Allah memberikan aku peluang merasakan bagaimana rasanya apabila mula atau awal untuk menjadi ibu.

         Pada usia ini, jika aku berkahwin sekalipun masihkah aku berpeluang untuk mengandungkan dan melahirkan anakku sendiri. Ada kawanku berkata, itu bukan urusan kita. Benar itu semua bukan urusan kita apatah lagi dengan segala kecanggihan yang ada kini... yang utama dengan izin Allah 'Qun fayaqun'  tidak ada suatu apapun yang mustahil. Allah mengizinkan maka akan berlakulah. Namun sebagai manusia biasa kita dapat menjangka sejauhmana kemampuan kita. Memang tidak ada yang mustahil namun kita boleh dapat menafsir keupayaan dan daya kita dalam memungkinkan apa yang ada di hadapan kita ini mungkin berjaya atau tidak. 
 
 Bukanlah aku berputus asa, cuma bermuhasabah. Tentu ada sebab kenapa sehingga kini Allah belum mengizinkan aku menjadi seorang isteri mahupun anak. Sedangkan orang yang berkehendakkan aku banyak cuma jodoh belum menyebelahi aku ini. Entah apa dan di mana silapku. Kini, mungkin selepas ini aku perlu memikirkan dan mencari peluang untuk melengkapkan bekalan melalui perkara yang lain. Hidup ini tidak memungkinkan aku membawa doa anak yang soleh solehah maka banyak lagi langkah yang perlu aku ambil untuk bekalan menemuinya nanti. Ibadahku... Sedekah dan amal Jariah serta ilmu yang bermanafaat dan dapat aku manafaatkan. Semoga usaha aku ini berbaloi.

         Semoga setiap orang yang membaca catatan ini dapat mendoakan yang terbaik buat diri ini. Jika masih berpeluang untuk aku membawa bekalan doa anak soleh itu, semoga ia berlaku dengan sebaiknya. Pada usia ini, aku tidak mengharapkannya namun siapa tahu mungkin akan ada yang lebih baik buat diri ini. Semoga hidup ini lebih bererti. 

        Aku sentiasa berharap setiap sesuatu kemungkinan dalam hidupku seterusnya mengarahkan aku kepada kebajikan dunia dan akhirat. Bukan masa untuk aku membazirkan apa yang sudah aku miliki. entah esok entah lusa aku tidak berpeluang lagi melihat dunia ini.

       Sebelum aku berundur atau pergi... aku berdoa semoga Allah menerbitkan rasa kasih dan sayang di hati insan-insan mukmin untuk mengasihi aku. Bukan aku pentingkan diri ini, cuma aku berharap ketika setiap mereka mengingati aku ini, mereka bisa mendoakan aku... apatah lagi apabila  mana tiba masanya aku menghadap illahi kelak. Semoga bibit kasih itu terus bercambah, dan aku dalam lingkungan doa orang-orang yang mengasihi aku itu. Insyaallah...